“Dia telah merendah-rendahkan kaumnya agar kaumnya taat kepadanya. Kaumnya itu adalah golongan yang fasiq.” (Surah Al-Zukhruf, ayat 54) Maksud “fastakhaffa qaumahu” atau “merendah-rendahkan kaumnya” itu, ditafsirkan oleh ulama-ulama sebagai “memperbodohkan”, “merendah-rendahkan akal” dan “mengurangkan impian kaumnya”. Ekoran dari projek pembodohan itu, makanya manusia menjadi mandom. Pihak yang memegang tampuk kekuasaan pula merasa selamat di atas takhta mereka. Bentuk pembodohan Akal adalah alat untuk berfikir. Apabila manusia sudah berfikir, bermulanya projek kebijakan. Projek pembodohan pula adalah projek menimbulkan emosi mengatasi akal. Dengan maksud lain akal mereka dikawal oleh sentimen, bukan sentimen dikawal oleh akal. Apabila akal mereka sudah dikawal, bukan mengawal, ia menjadikan gerakan akal hanya mengikut apa yang diarah, bukan bergerak untuk memikirkan kenapa dirinya diarah dan apa motif dirinya diarah. Cara untuk menimbulkan sentimen ini cukup banyak. Di Malaysia, sentimen itu boleh diangkat dengan dua tajuk besar: perkauman dan agama. Dari sudut sejarah, menaikkan sentimen perkauman ini dilakukan oleh Firaun. Ketika Nabi Musa yang berbangsa Bani Israel tersilap menampar seorang lelaki Koptik, perkara yang ditimbulkan oleh Firaun adalah soal ketuanan Koptik. Lebih-lebih lagi, Koptik adalah bangsa tuan, sedangkan Bani Israel adalah bangsa yang dianggap menumpang. Sentimen perkauman itu diperkemaskan lagi oleh Firaun dengan melakukan proses peng-agamaan. Firaun sanggup mengakui dirinya sebagai tuhan. Dalam al-Quran, Allah mengisahkan perkara yang bermaksud, “Berkata (Firaun), Aku adalah Tuhan kamu yang paling tinggi” (Surah Al-Nazi’at, ayat 24). Tidak ketinggalan juga projek pembodohan itu dilakukan atas wajah agama adalah penguasa yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim: Seorang raja yang angkuh, mahu membodohkan rakyat bawahan dengan mendakwa bahawa dirinya seperti tuhan. Keadaan begitu menjadikan Nabi Ibrahim datang untuk menentangnya. Walaupun seorang diri, Ibrahim tetap berlawan dengan raja tersebut untuk memastikan projek pembodohan itu digagalkan. Firman Allah dalam al-Quran, “Apakah kamu tidak (pelik) memikirkan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya, kerana Allah memberikan kepadanya kekuasaan. Ketika Ibrahim berkata, “Tuhanku adalah yang menghidupkan dan mematikan”. Ia menjawab, “aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi, “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh terbitkan matahari dari barat?”. Maka tercengang orang kafir itu” (Surah Al-Baqarah, ayat 258) Sentimen Agama dalam neraca sentimen, sudah tidak lagi berasaskan kepada penghujahan yang benar. Agama dalam neraca ini akan membawa kepada kesesatan: bukan perdamaian, tetapi permusuhan. Bukan keadilan, tetapi penindasan dan kezaliman. Orang-orang agama dalam neraca sentiment pula mendatangkan hujah-hujah yang bermuarakan sumber Wahyu, tetapi dihujahkan dengan bersulamkan nafsu. Tafsiran agama yang benar telah dicandukan sedemikian rupa. Makanya, agama sudah tidak lagi dilihat dalam wajah yang sebenar. Dalam athar diceritakan bahawa Umar bin Al-Khattab pernah berkata kepada seorang rakannya bernama Ziyad bin Hudair. Kata Umar, “tahukah kamu perkara yang membinasakan islam?”. Ziyad berkata, “Aku tidak tahu”. Maka dijawab Umar, “Islam (yang indah) akan dirosakan oleh kegelinciran Ulama, perdebatan orang munafiq terhadap Kitab Allah dan pentadbiran pemerintah yang menyesatkan (zalim)” (Sunan al-Darimi, Hadis no: 220) Dalam hadis pula diceritatakan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata, “Aku bimbang berlaku kepada umatku selepasku tiga perkara”. Sahabat bertanya, “apakah itu wahai Rasulullah?”. Jawab Rasulullah, “Kegeliciran Ulama (menafsirkan wahyu mengikut sentiment dan hawa nafsu) atau pemerintah yang zalim dan hawa nafsu yang dituruti”. Dalam menegakkan sentimen, tidak hairan dalil-dalil agama turut diguna pakai. Ia tidak ubah sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib yang bermaksud, “Kalimah yang benar, tetapi dengan maksud yang batil.” Sentimen perkauman juga begitu. Jika firaun merasakan bangsa Koptik sebagai tuan, tidak hairan sentimen ketuanan Koptik dibesar-besarkan oleh Firuan agar fikrah melawan yang dikepalai oleh Nabi Musa tidak bergerak. Sentimen itu tidak ada tujuan lain kecuali untuk membodohkan rakyat Mesir. Ini kerana, rakyat Mesir yang berfikir merupakan bahaya bagi firaun dalam mempertahankan kuasa. Kemajuan Ketika tuhan mencipta Adam sebagai pentadbir bumi, para Malaikat sudah bertanya kepada Allah bahawa manusia yang bakal diciptakan tuhan ini akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah. Makanya malaikat memohon agar mereka sahaja yang mentadbir bumi, kerana sifat malaikat itu sentiasa berzikir, bertasbih dan memuji tuhan. Firman Allah, “ketika berkata Tuhan kamu (Allah) kepada Malaikat, bahawa Aku adalah pencipta khalifah di bumi. Lalu berkata Malaikat, apakah patut Kamu mencipta kalangan yang akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih dan mensucikan Kamu. Berkata (Tuhan), Aku mengetahui perkara yang kamu tidak mengetahuinya” (surah Al-Baqarah, ayat 30) Adam tetap diciptakan Tuhan kerana mahunya tuhan adalah memajukan bumi. Bumi ini tidak maju hanya disebabkan wujudnya makhluk yang tidak boleh berfikir seperti Malaikat, walaupun mereka tidak putus-putus bertasbih dan memuji Allah. Adam melahirkan keturunan manusia layak mentadbir bumi kerana manusia adalah makhluk yang boleh berfikir walaupun ada sebilangan mereka melakukan kerosakan dan pertumpahan darah. Kemajuan bumi bukan kerana penghuninya sekadar rajin berzikir, tetapi bumi menjadi makmur kerana penghuninya mampu berfikir. Dalam Al-Quran, suruhan tidak sekadar tertumpu kepada zikir sahaja, malahan wujud suruhan agar berfikir. Pentadbiran menjadi hebat apabila pentadbir adalah orang yang mampu berfikir dan berzikir. Tetapi dengan kekuatan zikir tanpa kekuatan fikir, kerajaan tidak akan maju. Manusia yang mampu berfikir terbentuk dalam budaya kritis, bukan suasana pembodohan. Islam menyuruh manusia membina kemajuan ini. Sebarang tindakan yang melahirkan pembodohan, Islam menggalakkan agar di lawan. Diselidiki pada sejarah, pasti kita akan tahu bahawa perjuangan para Nabi-Nabi yang terdahulu adalah melawan projek pembodohan ini.
]]>