Projek Dialog

Lee Kuan Yew Baik atau Jahat? Tokoh Sejarah Bukan Hitam Putih

Gambar: The Online Citizen.com Gambar: The Online Citizen.com[/caption]

Lee Kuan Yew Idola Nusantara? 

Manusia malas berfikir. Ini hakikat. Katakanlah ada 1,000 masalah yang berhadapan dengan kita. Masyarakat akan lebih mempercayai orang yang mencadangkan satu penyelesaian ajaib untuk menyelesaikan 1,000 masalah, berbanding dengan orang yang mencadangkan 1,000 solusi untuk 1,000 masalah.

Kita mahu pilihan yang mudah dan hitam putih. Sama ada sesuatu benda itu baik atau jahat, tiada ruang untuk segala kompleksiti dan kawasan kelabu.

Begitu jugalah dengan tokoh sejarah. Kematian Lee Kuan Yew (LKY) mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang memuja dan “mendewakan” LKY. Mereka memuji segala tindakannya dan mengatakan betapa hebatnya pemimpin Singapura ini.

Antara luahan hati yang saya sering terbaca dalam portal berita dan media sosial: “Alangkah bagusnya kalau dia jadi pemimpin Malaysia”, “Jika Singapura tidak terpisah dari Malaysia….”, “Singapura bernasib baik mempunyai LKY, kita pula….”

Fenomena pengidolaan ini agak lucu terutamanya apabila datang daripada mereka yang melaungkan slogan kebebasan selama ini. Mereka memperjuangkan kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan media, dan pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia, tetapi mengangkat LKY sebagai pemimpin tersohor.

Kebebasan Malaysia vs Singapura

Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyaman Malaysiakini, golongan ini gah mempertahankan kebebasan media. Itu baru pertama kali Najib menyaman Malaysiakini dan jika tindakan ini dianggap menggertak media, ia hanya satu permainan kanak-kanak (“childsplay”) untuk LKY yang sudah berkali-kali menyaman media domestik dan antarabangsa.

LKY dan konconya pernah menggertak The New York Times (NYT) dan International Herald Tribune kerana menerbitkan sebuah artikel yang bertajuk “All in the Family”. Menurut Lee, artikel tersebut memberi gambaran yang tidak baik tentang keluarganya, seolah-olah anaknya tidak layak memegang jawatan penting dan hanya bergantung kepada talian keluarga. Bayangkan jika Najib berbuat begini ketika NYT menerbitkan makalah pasal hubungannya dengan Jho Low dan Rita Aziz.

Bukan setakat itu sahaja. Kalau dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir, LKY lebih kuat mengamalkan pemerintahan kuku besi. Untuk 16 tahun yang pertama sejak kemerdekaan Singapura, tiada wakil pembangkang yang menang pilihan raya parlimen. Lim Chin Siong, rakan LKY yang bersama beliau mengasaskan PAP, dipenjarakan dua kali tanpa perbicaraan (1956-1959 dan 1963-1969). Penangkapan kali kedua berlaku selepas Lim Chin Siong memimpin sekelompok ahli PAP keluar parti dan menubuhkan Barisan Sosialis.

Pada ketika Barisan Sosialis semakin mendapat sokongan dari rakyat (dalam satu wawancara, Lim Chin Siong mengatakan jika pilihan raya diadakan pada hari itu juga, Barisan Sosialis akan mengalahkan PAP dengan mudah), lebih 100 pemimpin utama Barisan Sosialis, para aktivis, wartawan, kesatuan sekerja, dan mahasiswa universiti ditangkap dalam Operation Coldstore.

Operasi ini dilaksanakan tujuh bulan sebelum pilihan raya dan sekali gus melemahkan, malah melenyapkan, barisan pembangkang di Singapura. Salah seorang yang ditangkap, Said Zahari, adalah bekas pengarang Utusan Melayu dan ditahan tanpa perbicaraan selama 17 tahun! Dr Chia Thye Poh pula kemudiannya ditahan di bawah ISA selama 23 tahun. Bayangkan kalau Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim atau Jahabar Siddiq dipenjarakan begitu lama. Apa yang akan kita katakan?

Singapura, in effect, adalah negara satu parti (“one-party state”). Pada pilihan raya 2011, PAP menang 60.14% undi popular dan 93.10% kerusi di Parlimen. Jika anda menganggap UMNO-BN adalah kerajaan yang menggunakan gerimander, manipulasi, dan kawalan ketat untuk mengekalkan kuasa, PAP juga merupakan spesis yang sama.

Lee Kuan Yew Sebenarnya

Setakat ini, segala yang saya bincangkan seolah-olah mengutuk LKY. Benar, ada pihak yang melabel LKY sebagai seorang pembuli, sombong, eugenik, dan pelacur politik kerana tindakannya di atas. Saya tidak dapat menghakimi atau menjatuhkan hukuman kepada tokoh sejarah ini.

Ketika saya terlihat komen yang menyindir Astro Awani kerana menyiarkan upacara pengebumian LKY, saya merasakan terpanggil pula untuk mempertahankan LKY. Mengapa? Sebab kritikan mereka tidak tepat. Cemuhan mereka seperti “cauvinis Cina” dan “tidak berkaitan dengan/menyumbang kepada Malaysia” adalah komen orang yang buta sejarah.

Suka atau tidak, LKY adalah seorang tokoh yang banyak menentukan aliran sejarah. Dunia moden dan Asia Tenggara tidak akan sama jika tiada LKY. Kuku besi atau tidak, beliau membantu Singapura mendapatkan kemerdekaan dan memimpinnya dari zaman susah.

Ketika ditendang keluar oleh Malaysia, Singapura berseorangan menghadapi dunia yang mempunyai begitu banyak ketidaktentuan. Tiada ahli akademik dan penyelidik akan menafikan bahawa di bawah pimpinan LKY, Singapura berjaya menjadi sebuah negara maju, atau seperti yang diungkapkan LKY dalam bukunya, “from third world to first.”

Realiti Singapura

Mengikut laporan BBC dan United Nations, Singapura mempunyai salah satu kadar jenayah yang terendah di dunia. Mereka juga mempunyai kedudukan yang tinggi dalam bidang pendidikan, kesihatan, dan kemudahan membuat bisnes.

Pada tahun 2014, Transparency International melaporkan bahawa Singapura adalah salah satu negara yang paling kurang rasuah (kedudukan ke-7 di dunia). Authoritarian atau tidak, LKY berjaya menyingkirkan elemen yang boleh menggugat keselamatan negara, termasuklah kongsi gelap dan pertubuhan haram yang berleluasa ketika itu.

Seperti Dr Mahathir yang mengusahakan PPSMI, LKY juga memperjuangkan sistem pendidikan berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Singapura hanya mempunyai tujuh universiti, tetapi dua daripadanya sering tersenarai dalam ranking universiti terbaik di dunia. Beliau mewajibkan bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantara sementara semua pelajar juga mesti belajar bahasa ibunda mereka.

Perubahan yang dilakukan LKY memerlukan keberanian yang masih tidak dilihat di Malaysia (atau mungkin Malaysia lebih sukar melakukan perubahan kerana terlalu ramai pihak berkepentingan).

Singapura adalah satu “negara-kota” dan sebenarnya, pencapaian Singapura tidak begitu luar biasa jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur dan Jakarta. Namun, ia tetap satu perkembangan yang mengagumkan.

Kesimpulannya

Saya secara peribadinya tidak berpendapat LKY melakukan semua itu untuk kepentingan dirinya. Saya melihat seorang tokoh yang sangat yakin (mungkin terlalu yakin) dengan dirinya untuk melakukan perubahan memperbaiki negaranya. Mungkin juga pada satu peringkat, beliau tidak dapat lagi membezakan antara kepentingan negara dengan kepentingan diri.

Kalau kamu bertanya sama ada LKY baik atau jahat, saya tidak dapat menjawab begitu sahaja. Manusia suka benda yang sangat jelas, dimana kebenaran adalah ketara dan tidak perlu dipersoalkan. Hakikatnya, semakin banyak yang kita ketahui, semakin banyak yang kita tidak dapat tentukan dengan jelas.

LKY tergolong dalam kumpulan tokoh sejarah seperti Dr Mahathir, Tok Guru Nik Aziz, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Tun Abdul Razak, Dato Onn Jaafar, Dr Burhanuddin al-Helmy, Devan Nair, Lim Ching Siong, J.B Jeyaretnam, David Marshall, Tunku Abdul Rahman, Sukarno, Ibrahim Yaakob, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan, dan malah, Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin, Pak Sako, Anwar Ibrahim, dan ramai lagi.

Kita tidak mungkin dapat menghakimi mereka secara hitam putih. Apa yang mereka lakukan berlaku dalam konteks tertentu dan kebarangkalian jika kita berada di tempat mereka pada ketika itu, kita juga akan melakukan apa yang mereka lakukan. Apa yang pasti ialah mereka inilah yang melibatkan diri secara langsung dalam pembentukan sejarah negara. Saya mengakhiri tulisan ini dengan memetik kata-kata Theodore Roosevelt yang sering dihayati dan dekat dengan hati saya:

“Pengkritik tidak dikira; bukan yang menunjukkan betapa rebahnya manusia itu, atau di mana perbuatan amal itu boleh dilakukan dengan lebih baik. Pujian adalah milik mereka yang turun ke padang, yang mukanya dikotori habuk dan peluh dan darah; yang berusaha dengan berani; yang tersilap, yang kekurangan namun mencuba lagi, kerana tiada usaha yang tanpa kesilapan dan kelemahan; tetapi siapa yang benar-benar berusaha untuk melakukannya?; yang mengetahui semangat dan dedikasi hebat; yang menghabiskan dirinya pada jalan yang baik; yang di saat terbaiknya mengetahui kejayaan akhirnya, dan di saat terburuk, sekiranya gagal, sekurang-kurangnya gagal dengan begitu berani, supaya tempatnya tidak bersama mereka yang jiwanya beku dan malu, yang tidak tahu kemenangan atau kekalahan . “

unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles

Rethinking Malaysia’s Police Violence

by Yvonne Tan Some of us grew up with cop films—either local or international—that portray a life of action and excitement hunting down bad guys