Kafir Justeru apakah kafir? Watak Hashemi dalam novelku itu membalas; “Kehilangan iman itu sendiri.” Protagonis novel kemudiannya menghuraikan bahawa kata kafir, yang masyhur digunakan untuk membezakan ketinggian seseorang muslim itu ketimbang non muslim, boleh ditemukan dalam al-Quran paling kurang 252 kali. Benar, Islam melarang manusia menjadi kafir, tetapi Islam tidak juga memaksa seseorang untuk beriman. Demikian hak manusia dipelihara, hak untuk beriman digalakkan tetapi hak menjadi kafir juga dihormati. Walaupun demikian, apakah definisi kafir menurut al-Quran? Ini memandangkan al Quran menyebut berkali-kali pengertian kafir. Pada ayat 6 surah al-Baqarah, Allah berfirman maksudnya; ‘Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman’. Ini menunjukkan kata kafir itu dipadankan dengan kata sifat pengkhianatan. Lihat juga ayat 38 surah al-Hajj; ‘Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur’. Selain itu kata sifat tidak setia dikaitkan dengan kekafiran pada ayat 32 surah Luqman; ‘Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi’. Sementara kata sifat pendusta dihubungkan pula dengan kata kafir pada surah az-Zumar ayat 3; ‘Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)’. Sifat degil turut dihubungkan dengan orang kafir pada surah Qaf ayat 24; ‘(Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): “Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam neraka Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya.’ Sementara pula kegiatan atau kerja maksiat dihubungkan dengan kafir pada ayat 27 surah Nuh; ‘Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya merekaakan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar’. Akhlak Jelas sekali, Islam menghubungkan orang kafir itu dengan perbuatan tercela sementara orang beriman pula ditandai dengan akhlak terpuji. Saya berpandangan tingkatan akhlak adalah lebih mustahak berbanding soal ukuran keimanan yang difahami masyarakat dewasa ini. Pemerian di awal ini secara terang memaknakan bidalan Melayu yang disebut oleh Tenas Effendy dalam Tunjuk Ajar Melayu bahawa ‘adat hidup orang beriman, tahu diri perangai pun sopan’. Bidalan seterusnya yang dikutip beliau pula menjelaskan gejala kurang sopan sebagai; ‘apa tanda orang terkutuk, tak tahu diri tak ingat petunjuk, hati tamak bercampur kemaruk, kemana pergi aruk mengaruk’. Tidak terbantah lagi, kita mendapati yang kata keimanan dipakejkan bersama tingkah laku yang tinggi dan kesopanan. Keimanan tidak disangkutkan hanya, semata-mata dengan keIslaman. Seseorang yang dalam sejarah hayatnya pernah mengucap dua kalimah syahadah boleh sahaja seorang kafir. Ia menjadi kafir apabila saat hilang keimanannya, dan ia juga menjadi kafir apabila ia ‘hilang akal’ dan ‘buruk pekerti’. Fikah seperti yang kita maklumi sangat berhubungan dengan akhlak. Sebagai contoh, aksi atau ibadah solat dihubungkan dengan usaha menegah kekejian dan kemungkaran pada ayat 45 surah al-‘Ankabut; ‘Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan’. Sementara ibadah puasa pula dihubungkan dengan menjadi orang bertakwa pada ayat 183 surah al-Baqarah; ‘Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa’. Ia tidak berakhir di situ, ini kerana orang yang bertakwa itu pula dihubungkan dengan ayat ‘orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang’ pada ayat 134 surah Al-i-’Imran. Ibadah besar haji juga dihubungkan dengan akhlak, seperti yang difirmankan Allah pada ayat 197 surah al-Baqarah, maksudnya; ‘(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).’ Ibadah Aktiviti dan ibadah zakat pula dilihat sebagai sia-sia jika tidak berakhlak pada ayat 264 surah al-Baqarah, iaitu ayat yang bermaksud; ‘Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir’. Berdasarkan pembuktian menerusi ayat-ayat di atas, ini bermakna hubungan intim akhlak dan ibadah ini sangat diperipentingkan oleh agama Islam hatta dalam fikah sekalipun. Dalam erti kata lain akhlak dan fikah sangat berhubungan. Justeru hukum (yang terkandung dalam fikah) datang dengan falsafah untuk membentuk akhlak, bukan semata-mata untuk menjatuh hukuman buat manusia. Klise? Tetapi, bukankah secara klise pengertian kafir itu dilekatkan kepada orang bukan Islam sahaja? Pengertian yang diberikan oleh saya di atas membolehkan kata kafir terlekat bukan sahaja kepada orang bukan Islam, tetapi juga kepada orang Islam. Dalam hal ini orang yang tidak berakhlak, atau kafir, juga dapat dianggap sebagai tidak berhikmah. Apakah maksud hikmah? Antara lain maksud hikmah terkandung panjang lebar dalam al-Quran pada ayat 23-39 surah Al-Israa’, maksudnya; [23] Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [24] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [25] Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat. [26] Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. [27] Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. [28] Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati. [29] Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. [30] Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya. [31] Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. [32] Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [33] Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). [34] Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. [35] Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). [36] Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [37] Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. [38] Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu. [39] Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah). Ayat-ayat suci al Quran di atas menjelaskan betapa akhlak yang baik mampu meningkatkan darjat manusia. Ini adalah kerana, ketika Allah menciptakan iman, iman itu sendiri merintih berdoa; ‘Ya Allah kuatkan aku’. Maka Allah menguatkannya dengan akhlak yang baik dan kebajikan. Kemudian, ketika Allah menciptakan kekufuran, kekufuran juga berdoa; ‘Ya Allah kuatkan aku’. Maka Allah memperkuatkannya dengan kebakhilan dan akhlak yang buruk. Hak asasi manusia Saya ingin menghubungkan pula pengertian kafir dan tidak berhikmah yang dihurai panjang lebar di atas dengan hak asasi manusia yang mengalami pencabulan berleluasa. Contoh kecil; jika anda berada di atas jalan, kekafiran anda tidak terungkap pada akidah atau kepercayaan. Jika anda tidak berakhlak di atas jalan raya, semberono dan hilang santun, jika anda seorang pembuli jalanraya, jika anda seorang pencarut tegar maka anda seorang kafir walaupun anda berserban berjubah, atau berhijab litup. Contoh besar; jika anda meyakini kepercayaan atau kaum anda lebih superior dan benar, anda pun mengherdik kepercayaan orang lain, lantas menghina kaum lain dengan begitu angkuh dan sombong, justeru walaupun ada seorang alim di mata komuniti anda, tetap menurut al-Quran anda adalah seorang kafir. Justeru, pencabul hak asasi manusia terkelompok dalam golongan kafir. Kesimpulannya, saya berpandangan kekafiran diungkap pada rendah atau tingginya akhlak, tidak semestinya terletak pada pernah atau tidak anda mengucap dua kalimah syahadah. Kayu ukur kekafiran ini diperolehi berdasarkan al-Quran dan juga kearifan Melayu (Malay wisdom). Berdasarkan kayu ukur di atas; bagaimana, adakah anda seorang kafir? Yang pasti, mereka yang mencabul hak asasi manusia dan ‘melampaui batas’ adalah sememangnya kafir. Sebelum melabel orang lain kafir dan merasakan diri anda tidak kafir, mungkin baik juga anda merujuk ‘manual Ilahiyyah’ untuk menentukan siapa dalam kalangan kita adalah sebenarnya kafir.
]]>