Projek Dialog

Matinya universiti

Penterjemahan The Death of Universities oleh Terry Eagleton. Diterjemah oleh Muhammad Nazreen.   Adakah ilmu kemanusiaan semakin hilang daripada dunia universiti? Soalan ini janggal. Ia serupa seperti pertanyaan adakah minuman keras akan lenyap daripada pub, atau egoisme hilang daripada dunia Hollywood. Tanpa minuman keras, pasti tidak ada bar, begitu juga tanpa kemanusiaan, universiti tidak akan wujud. Jika matapelajaran sejarah, falsafah dan sebagainya lenyap daripada dunia akademik, apa yang ia akan tinggalkan mungkin fasiliti latihan teknikal, atau paling tidak institut penyelidikan korporat. Tetapi, ia tidak akan digelar universiti, sekurang-kurangnya daripada makna klasik, dan tentu ia mengelirukan untuk menggunakan gelaran demikian. Walaubagaimanapun, adakah wujud universiti yang mengasingkan cabang ilmu kemanusiaan daripada disiplin ilmu yang lain. Cara paling cepat untuk merendahkan taraf subjek-subjek ini – selain daripada melonggokkan cabang-cabang ilmu dalam satu wadah – adalah dengan meletakkannya pada suatu taraf yang bisa mencapai kompromi. Iaitu, ilmu kejuruteraan dan undang-undang untuk manusia pandai, manakala ilmu yang membahaskan idea dan sivik itu hanya layak untuk mereka yang lemah. Ilmu kemanusiaan sepatutnya membentuk asas kepada pembentukan sesuatu universiti itu. Pengajian undang-undang dan falsafah, dipimpin dengan pengenalan terhadap seni dan kesusasteraan, perlu diajarkan kepada pengamat undang-undang dan jurutera termasuklah buat mereka yang masih menuntut di dalam fakulti kesenian. Sekiranya ilmu kemanusiaan tidaklah menghadapi ancaman yang serius di Amerika Syarikat, mungkin kerana ilmu kemanusiaan masih dianggap sebagai asas pengukuhan institusi pengajian tinggi. Semasa ilmu kemanusiaan muncul pada lewat abad ke 18, disiplin kemanusiaan menggalas tugas sosial yang penting. Ia penting untuk melebarkan dan melindungi sistem nilai daripada kebutaan orde sosial yang herot semasa zaman tersebut. Kemunculan ilmu kemanusiaan moden dan sistem kapitalisme industri merupakan kembar semasa ia dilahirkan. Untuk melindungi set nilai dan idea terus terhimpit daripada arus kebutaan zaman, kita membutuhkan institusi-institusi yang dikenali sebagai universiti terpinggir daripada aktiviti sosial harian yang lain. Keterpencilan bermaksud pembelajaran ilmu kemanusiaan akan menjadi tidak berguna. Tetapi ia membenarkan ilmu kemanusiaan dijadikan banteng untuk menyanggah ‘conventional wisdom’. Daripada masa ke semasa, di waktu akhir 1960an dan beberapa minggu lepas di Britain, sanggahan itu dibawa ke jalanan, bersemuka dengan bagaimana kita sebenarnya hidup dan bagaimana kita seharusnya hidup. Apa yang telah kita saksikan ketika ini adalah kematian universiti – universiti sebagai pusat perdebatan. Semenjak pentadbiran Margaret Thatcher, golongan akademia telah menjadi hamba kepada status quo, bukan untuk mencabarnya di atas nama keadilan, tradisi, imaginasi, kebajikan manusia, kemerdekaan minda atau visi alternatif untuk masa hadapan. Kita tidak akan mampu mengubahnya dengan meningkatkan dana kerajaan untuk membiayai ilmu kemanusiaan sepertimana memotong perbelanjaan sehingga sifar. Kita akan mengubahnya dengan memberi penekanan terhadap refleksi kritikal te nilai-nilai dan prinsip kemanusiaan supaya ia menjadi tunggak utama universiti-universiti, bukan hanya pengamatan terhadap Rembrandt atau Rimbaud. Akhirnya, ilmu kemanusiaan hanya boleh dipertahankan dengan menekankan betapa pentingnya ia; dan ini bermakna penekanan terhadap peranan-peranan mutakhir di dalam urusan pembelajaran akademik. Bagaimanakah perkara ini dapat diterjemahkan kepada tindakan? Secara kewangannya, kita mungkin tak mampu. Kerajaan berniat untuk mengecilkan peranan ilmu kemanusiaan, bukan mengembangkannya. Mungkin bukan pelaburan yang terlalu besar untuk mengajar Shelley bermakna merundum di belakang pesaing-pesaing ekonomi kita? Tetapi, tiada universiti yang dibina di atas asas pertanyaan kemanusiaan, maka ia mengukuhkan pendapat bahawa institusi pengajian tinggi dan kapitalisme canggih berbeza secara fundamental. Dan implikasi politik tersebut membuahkan pertanyaan yang lebih penting daripada persoalan yuran-yuran mahasiswa.

]]>

Share your thoughts!

More Articles