Projek Dialog

Memerdekakan budaya Malaysia: Matlamat dan cabaran

Oleh Zikri Rahman

The paradox of education is precisely this—that as one begins to become conscious one begins to examine the society in which he is being educated…”

– James Baldwin

Budaya bukan setakat hafalan robot

Kebudayaan hanya hadir saat kita punya kesedaran, dan kesedaran itu yang mula-mula membenih sebuah pergerakan, membuah ranum gugusan kesatuan dan yang akhirnya menuai sesebuah bangsa menggapai tunas sebenar-benar merdeka.

Tidak ada sesebuah negara,apatah lagi sebuah ketamadunan yang terbina tanpa kebudayaan yang diperhalusi sewajarnya. Warga Malaysia dalam hal ini tidak terkecuali dalam menggagaskan acuan gerakan kebudayaannya sendiri.

Dalam pada itu, tulisan ini meninjau akan keberadaan gerakan kebudayaan, isu dan tindakan kebudayaan serta rumusan yang boleh kita perhalusi dalam merencana sebuah gerakan kebudayaan yang utuh.

Seiringan itu,seperti yang digarap Paolo Freire dalam bukunya Cultural Action For Freedom,kebudayaan dalam kata nama lainnya, pendidikan adalah “cultural action for freedom and therefore an act of knowing and not of memorization.”

Menilai pernyataan “act of knowing” dan “not of memorization” ini, antara kerangka pedagogi kritikal yang turut perlu diberikan perhatian oleh Freire turut berlegar sekitar penghakikian (conscientization) dan penghakikatan (determination) dalam konteks pensejarahan yang konkrit dan ikatan realiti kebudayaan dalam masyarakat.

“Warisan” penjajah

Yang wajib kita sedari, tidak akan ada proses pembudayaan yang neutral khususnya dalam proses pendidikan; yang formal mahupun tidak formal hasil dari naratif pensejarahan yang meraikan elitisme seperti yang dinukil oleh Ranajit Guha, pelopor kajian sejarah Subaltern dan Post-Kolonial dalam makalahnya, On Some Aspects Of The Historiography Of Colonial India, lebih-lebih lagi pabila,

“…Elitist historiography is of course not without its uses. It helps us to know more about the structure of the colonialist state, the operation of its various organs in certain historical circumstances, the nature of the alignment of classes which sustained it; some aspects of the ideology of the elite as the dominant ideology of the period…”

Ini boleh ditelusuri khususnya dalam pengukuhan ideologi serta struktur yang dominan dalam sesebuah jangka masa pemerintahan.

Ambil contoh bagaimana penjajahan kolonial British memperkukuh lagi struktur feudalisme di Tanah Melayu dengan meletakkan kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dalam bidang kuasa Raja-Raja kekal sehingga ke hari ini.

Yang kedua, realiti kebudayaan sesebuah masyarakat turut memainkan peranan khususnya dalam menanggapi pergelutan politik identiti dan kerencaman budaya yang semakin ruwet.

Dalam soal ini,pada awal-awal perangkaan Perlembagaan negara ini, kita dapat melihat bagaimana gerakan politik, sebagai contoh pakatan PUTERA-AMCJA menyatakan sikap dan pandangan dalam menggariskan hala tuju kebudayaan; soal bahasa dan identiti kaum di dalam Perlembagaan Rakyat tahun 1947 sebagai contoh.

Soal ini bahkan turut dilewati beberapa pemikir khususnya Franz Fanon yang berpendapat bahawa proses pembebasan dan pembudayaan dalam proses dekolonisasi itu sendiri seringkali sebuah fenomena bergulat keganasan kerana,

“.decolonization is quite simply the replacing of a certain ‘species’ of men by another ‘species’ of men. Without any period of transition, there is a total, complete and absolute substitution.”

Lantas, bagaimana gerakan kebudayaan di Malaysia menjawab kompleksiti budaya dalam isu-isu rentetan sebelum dan selepas peristiwa Kemerdekaan?

Isu tersirat, tindakan tersurat

Ketika awal-awal Malaysia masih sarat dijajah; oleh Portugis,kemudian Jepun dan British antaranya, persoalan tentang kebudayaan dalam erti kata ilmu pengetahuan mencorak pendidikan bangsanya mula menjadi perhatian anak bangsanya.

Portugis dengan semboyan “Gold, Glory, Gospel”, Jepun masuk-masuk sahaja Tanah Melayu tahun 1942 segera mencari Pak Sako, atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhammad untuk meneruskan penerbitan akhbar Warta Malaya dan Utusan Melayu, dan penentangan terhadap British turut hadir dalam kerangka persuratan kesusasteraan tanah air ketika itu. Nah, semuanya berlegar sekitar kebudayaan!

Kompleksiti isu kebudayaan ini turut diteruskan dalam proses dekolonisasi neo-imperialisme dan neo-liberalisme yang masih berjalan, ditegaskan lagi oleh penubuhan Angkatan Sastrawan 50′ atau lebih dikenali sebagai ASAS ’50 yang menggariskan “seni untuk masyarakat” sebagai anutan dalam wadah perjuangan kebudayaan mereka.

Bertitik tolak dari soal-soal budaya; bahasa, adat, agama, falsafah, sastera antara lainnya, pendidikan merupakan tindakan kebudayaan paling ampuh menimbang untung nasib dalam menentukan hakikat dan hakiki seseorang individu dalam bermasyarakat.

Seiringan itu, tindakan kebudayaan disusun dalam kerangka pendidikan, ambil contoh gerakan literasi yang digagas oleh Paolo Freire dalam usaha menuntut proses pendemokrasian yang lebih menyeluruh. Di Malaysia, di bawah naungan Badan Kebajikan Pelajaran Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dicapai kata sepakat pada tahun 1947 di Maktab Mahmud ditubuhkan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR).

Penubuhan LEPIR justeru memperjelaskan dinamika elemen kebudayaan; keterkaitan agama dan pendidikan, dalam menelusuri pancaroba bangsa Melayu ketika itu khususnya dalam masalah pendidikan yang melarat kepada sistem sosial, politik dan ekonomi.*

Dinamika tradisi-tradisi kebudayaan kita, terangkum soal bahasa, agama, kaum, antaranya ini juga hendaklah dilihat secara kolektif fungsinya lagi-lagi dalam tindakan gerakan kebudayaan yang mengagaskan leluhur emansipatif.

Ini ditegaskan oleh akademia Azhar Ibrahim dalam catatannya, Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi bahawa: “Sains sosial emansipatif menolak segala bentuk lagak untuk menjadi ‘saintifik’ dan ‘moden’ sehingga mengabaikan sendiri tradisi cendekiawan/etika yang ada dalam sejarah keagamaan kita.”

Beriringan pada itu, setiap krisis, polemik dan kontradiksi yang terzahir dalam aspek kebudayaan harus diraikan sesungguh-sungguhnya khususnya dalam daya kita menolak fatalisme, budaya senyap dan sunyi yang berakar umbi dari tatanan feudalisme.

Justeru pada kerangka teori dan praksis mana yang sesuai dijadikan teras gerakan kebudayaan?

Seribu Daya, Seribu Cara.

Sesungguhnya, tidak akan ada satu teori dan praksis yang boleh dijadikan dogma kerana yang jelas, paling utama adalah kesedaran. Dan kesedaran hanya terzahir di dalam tindakan/praksis yang membumi dalam tradisi kebudayaan negara kita sendiri.

Wali Songo dengan wayang kulitnya,(1)Teater “Bangsawan” yang digunakan oleh aktivis politik Indonesia dan Malaysia sedari tahun 1920-an(2) serta usaha menterjemah karya Usman Awang, Salam Benua ke dalam bahasa Mandarin adalah beberapa daya tindakan kebudayaan dalam tradisi leluhur kita sendiri.

Pertamanya, gerakan kebudayaan harus ditunjangi oleh warga berbilang identiti yang mempunyai naratif mencapai utopia secara kolektif seperti diungkap oleh Paolo Freire: “Communion with the people – accessible only to those with a utopian vision, in the sense referred to in this essay – is one of the fundamental characteristics of cultural action for freedom.”

Melawan keterasingan budaya

Keterasingan kebudayaan harus dijambatankan dengan keupayaan gerakan kebudayaan untuk menerjah masuk ke ruang massa, menerusi lingkup ruang awam menyubur proses dialogikal yang kritikal, reflektif dan inkuisitif.

Keterlibatan massa dan gerakan kebudayaan wajib berlaku secara nyata, terus, berterusan, langsung dan dua hala kepada warga keseluruhannya. Mustahaknya hal ini adalah untuk gerakan kebudayaan sentiasa berupaya membuat penilaian dan dekonstruksi terhadap pendekatan yang diunjurkan.

Penekanan terhadap sebuah tindakan kebudayaan perlu ditunjangi sebuah gerakan dan organisasi harus berjalan mampan dan menyeluruh dalam menggembur ranah sosial, politik dan ekonomi dengan nilai-nilai demokratik dengan pelan rancangan yang fokus.

Keberpihakan adalah unsur penting dalam sebuah gerakan kebudayaan, khususnya dalam menanggapi soal kelas tertindas dan terpinggir dalam sesebuah masyarakat seiring dengan pemberdayaan warga secara keseluruhannya. Kecenderungan atau pengamatan sahaja tidak cukup, komitmen dan tindakan mencari jalan penyelesaian perlu menjadi tonggak gerakan kebudayaan.

Dapat tidak dapat, warga yang berbilang identiti – ideologi, kaum, budaya, agama – dalam nada apa sekalipun – pencerahan, kebangkitan,islah, etsetra-etsetra – perlu menggengam dan menggepal satu tindakan dengan beroganisasi secara kendiri, organik dan alamiah dengan menggagas sebuah tekad kebudayaan memikul tanggungjawab.

Ini harus berlaku sehingga bilamana warga itu benar-benar merdeka saatnya diperakui haknya untuk mengungkap dalam fikrahnya sendiri, untuk menjadi dirinya yang sebenar-benar.

Berbudaya, Bertamadunlah!

unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles

Desentralisasikan Sistem Pendidikan Malaysia

Oleh Wing Thye Woo, Universiti Sunway, Universiti California di Davis Untuk mara ke peringkat pembangunan seterusnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia harus diterajui oleh ilmu pengetahuan dan