Masuk Islam tu bukan ke masuk Melayu?” Persoalan ini sebenarnya telah lama terbuku di minda saya dan mendengarnya dari atas pentas hanya mengesahkan bahawa bukan saya seorang sahaja yang berfikiran sedemikian. Sejak kecil, saya bergaul dengan rakan rakan yang berlainan bangsa dan agama. Matlamat kami sebenarnya sama, untuk mencari rakan saban hari, namun menjadi lumrah kami dipisahkan ketika menghadiri kelas mengaji, kelas kitab injil, ataupun upacara keagamaan masing masing. Tatkala usia mencapai remaja dan kini dewasa, ada antara pergaulan ini yang membawa kepada cinta, yang kebanyakannya samada berakhir dengan ucapan “til jannah” yang popular saban kini ataupun tidak kesampaian kerana kekangan keluarga, yang salah satu sebab utamanya adalah agama. Seperti yang dikatakan dalam satu lagi skrip karya Alfian Sa’at, dalam teater Parah, “Tidak salah berkawan dengan berlainan bangsa, tetapi jangan sampai dibuat teman lelaki!” Kisah yang saya rasa lebih dekat dengan pembaca tentunya filem Sepet karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad. Jenaka ‘masuk Melayu’ juga ada diutarakan kepada Jason dalam satu adegan ketika hubungan beliau dengan Orked dijadikan bahan seloroh rakan rakan Jason. Jadi, betulkah jika masuk Islam itu, masuk Melayu? Kisah suatu pengalaman Bekas teman lelaki saya ketika di Australia merupakan seorang agnostik, yakni beliau percaya bahawa terdapat suatu kuasa agung yang mencipta dunia, tetapi tidak berpegang kepada mana mana agama asas (organized religion), walaupun beliau dibesarkan sebagai seorang Kristian. Kami sering berdebat tentang perlunya beliau menganut agama Islam jika kami ingin menuju perkahwinan di Malaysia, dan saya sebagai seorang yang degil inginkan beliau memahami Islam sebelum menganutinya. Tambahan pula, kerjaya kami sebagai saintis membawa satu lapisan debat lagi di mana beliau berpendapat bahawa agama saya tidak menggalakkan kemodenan dan kemajuan bidang sains. Saya akui, walaupun dilahirkan Islam dan Melayu, bahawa saya sendiri tidak pasti akan mana garis pemisah antara agama dan budaya, tambahan pula jika apa yang dikatakan ‘Islam’ itu sebenarnya budaya kaum Arab. Apatah lagi, Perlembagaan Malaysia meletakkan agama dan budaya ini bersama sama di mana status bumiputera atau Melayu itu mestilah beragama dan mempraktikkan cara hidup Islam. Walaupun perhubungan kami tidak kekal, sepanjang tiga tahun perhubungan kami membuka minda saya sendiri tentang mana batasnya Islam, dan mana yang dikatakan Melayu. Saya lebih banyak membaca tentang agama dan budaya dan kami sering membanding pendapat dan pengalaman kami yang datang dari dua budaya dan agama yang berbeza. Ironi bahawa seorang agnostik mengajar seorang Muslim untuk mendalami agama beliau sendiri. Hikmah dari pelbagai sumber Antara kebanyakan majlis perkahwinan dwi-budaya yang saya hadiri, kenangan yang paling menggembirakan saya adalah majlis rakan saya di Kuching. Beliau berbangsa Melanau-Iban, beragama Islam; dan suami beliau merupakan seorang yang berbangsa Cina. Majlis akad nikah diadakan di waktu pagi, disertai semua kaum keluarga dan rakan rakan akrab beliau yang semuanya datang dari Semenanjung. Majlis disusuli pula dengan upacara minum teh di rumah pihak lelaki dan pada sebelah malamnya, majlis resepsi di hotel. Yang menariknya, kami semua berpakaian tradisional mengikut kaum pada majlis majlis di siang hari dan mengenakan pakaian moden untuk majlis resepsi- tetapi semua hadirin, termasuk ibu bapa kedua mempelai, menari joget lambak dan menyanyi karaoke diiringi pancaragam di atas pentas semasa majlis resepsi untuk meraikan pengantin. Seolah-olah hanya ada satu budaya malam itu – iaitu untuk meraikan dan bergembira. Yang saya pasti, sehingga kini, suami rakan saya tidak ‘memasuki’ budaya kaum etnik rakan saya, tetapi mencintai rakan saya seadanya. Langkah beliau menganuti Islam tidak menghalang beliau untuk bersama sama isteri meraikan Tahun Baru Cina ataupun mengunjungi pihak mertua sebagai tanda hormat ketika upacara keagamaan ataupun budaya masyakarat berbilang bangsa. Tekanan hidup sebagai wanita independen Saya pasti ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mempunyai cerita perkahwinan dwi-budaya dan agama sebegini. Ada yang menyatakan bahawa perbezaan agama dan budaya membawa kepada ikatan perkahwinan yang lebih utuh, manakala ada pula yang tidak kekal kerana tidak dapat mencari titik keseimbangan toleransi antara agama dan budaya yang berbeza. Sukar untuk seorang wanita bujang yang tidak memenuhi kotak-kotak stereotaip semasa untuk mencari pasangan hidup di Kuala Lumpur. Saya tahu, kerana saya mengalaminya. Kebanyakkan rakan menasihati saya bahawa jodoh saya bukan dengan lelaki Melayu, mahupun lelaki Malaysia. Namun sebagai seorang optimis, saya mengisi borang “Halal Speed Dating” yang akan diadakan pada 9hb Mei ini. Secara terangnya di dalam borang tersebut dinyatakan bahawa peserta acara ini harus menimbang baik kemungkinan untuk memeluk agama Islam jika mereka menjumpai cinta melalui platform tersebut. Tidak pula dinyatakan pihak penganjur yang “matchmaking” hanya akan dibuat antara peserta yang sama kaum etnik. Namun, antara kemungkinan yang bakal berlaku termasuk ada yang jatuh cinta tetapi tidak dapat berkahwin dengan individu yang mereka cintai kerana perbezaan agama. Ada pula yang memeluk agama semata mata untuk menghalalkan cinta. Manakala ada yang akhirnya menjumpai agama ketika mencari cinta sesama manusia. Usah dalam ketaksuban kita mempertahankan Tuhan, kita lupa untuk mencintai sesama manusia, seperti satu lagi bait skrip Nadirah karya Alfian Sa’at: “Bagaimana mahu mencintai Tuhan jika tidak mampu untuk mencintai seorang manusia lain?” Saya tidak mampu menjadi sesuci Rabiatul Adawiyah, namun perlu rasanya keseimbangan untuk berterusan mengenali agama sendiri dan mencintai agama dan diri sendiri sebelum mencari cinta di hutan konkrit yang dinamakan Kuala Lumpur.
]]>