Projek Dialog

Menumbangkan Mitos Islam Konservatif

PAS Bahtera PAS – Tidak Lagi Relevan? Jika Haron Din, Hadi Awang, Tantawi, Mahfuz Mohamad, Mokhtar Senik, Nik Abduh, Azli Musa dll yang seangkatan percayakan kekuatan mereka, pastilah mereka tidak membimbangkan ‘anai-anai’ yang mahu menyeberang ke bahtera yang lain. Mereka sebenarnya lebih patut risaukan anai-anai yang munafik ini sekiranya masih berada di dalam bahtera mereka. Habis semua kayu akan ditokak anai-anai ini. Usaha pembersihan golongan konservatif terhadap anasir progresif sewajarnya dilihat melicinkan lagi barisan kepimpinan mereka. Jika benar mereka kuat, mereka tidak perlu membuat cerita mimpi Nabi/Saidina Umar untuk mengabsahkan kedudukan tanpa sanggahan. Apabila dibuat pusingan U-Turn, mereka dilihat sangat lemah, tidak bermaruah, tidak reti buat kerja, dan hanya reti salah-menyalahkan. Mungkinkah kita memerlukan 100 hari lagi untuk melihat apakah hasilnya keputusan pemilihan Muktamar PAS baru-baru ini ? Sebenarnya, PAS tidak perlu lagi menang untuk melaksanakan Islam di Malaysia. Kewujudan PAS sebenarnya semakin tidak relevan dalam perkembangan politik di Malaysia. Dalam bahasa yang lain, apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ? Lumba-lumba Agama Politik UMNO, memanglah sebuah parti sekular di Malaysia, yang mengadunkan nilai nasionalisme yang pragmatik, dengan unsur agama Islam. Dalam erti kata lain, sungguhpun UMNO sekular, UMNO juga berusaha sedaya mereka untuk melaksanakan Islam yang mereka fahami (versi rasmi / kepercayaan UMNO). Kita tidak memerlukan PAS untuk melaksanakan Islam pun. Masjid-masjid, surau-surau, kuliah agama, sekolah, madrasah, kolej, universiti, bahkan bank juga turut diislamkan oleh rejim UMNO ini. Persaingan Islam versi PAS vs UMNO, hanya menguntungkan UMNO. Persoalan penting yang perlu dijawab adalah; Apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ? Tetapi perlumbaan antara kekuasaan dan pengaruh, adalah dua hal yang berbeza. PAS sebagai gerakan Islam politikal, nampaknya lebih berpengaruh kepada massa yang bermazhab Islam politikal. Walaupun asyik menang-kalah silih berganti, dan akhirnya PAS hanya mampu mendarat dan bertahan di negeri Kelantan, pengaruh Islam versi PAS sukar dinafikan berbanding Islam versi UMNO. Wajah politik Islam PAS yang nampak lebih reaksioner (selalu dibaca radikal) kelihatan lebih garang, lebih ketat, lebih rigid, lebih keras, dan dilihat adalah suara Tuhan yang sebenarnya (kerana mahu menegakkan hukum Tuhan, yang Tuhan menurut pembacaan mereka, adalah dalam wajah menghukum). UMNO telah berpuluh-puluh tahun diejek sebagai sekular, meski begitu pelaksanaan Islam versi UMNO tak kurang kalah berbanding PAS, jika tak mahu dikatakan lebih baik dari PAS. Tidak ada kemajuan progresif yang dicapai oleh umat Melayu Islam zaman PAS memerintah di Terengganu, Kedah, bahkan Kelantan. PAS tidak boleh mendabik dada bahawa mereka lebih bagus dari segi perancangan ekonomi berbanding UMNO. Adalah memalukan sama sekali jika PAS yang seringkali mengatakan dasar/rujukan mereka adalah Quran & Sunnah (perilaku – contoh Nabi), tetapi sering menggunakan alasan Kerajaan Pusat merompak royalti untuk menjustifikasi kegagalan membangunkan ekonomi rakyatnya. Sedangkan bagaimana Nabi SAW sendiri membangunkan ekonomi masyarakat Madinah tanpa menggunakan alasan hegemoni Quraisy Mekah? Sekonyong-konyongnya, datanglah ISIS, menghancurkan mitos Negara Islam, sebuah mitos yang dipegang oleh hampir keseluruhan pejuang-pejuang Islam seluruh dunia. Semuanya menjadi malu dengan imej Negara Islam versi ISIS dan mula berjarak-renggang dengan konsep Negara Islam. Model AKP (Turki) dan Rashid Ghannouchi (Tunisia) yang ber‘teman tapi mesra’ dengan sekular mula dipertimbangkan.   PAS UMNO Apa Konsep Kenegaraan PAS, sebenarnya? Perlu disebutkan di sini, PAS lebih awal perlahan-lahan mencairkan slogan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan (welfare state) sebelum kemunculan ISIS. Anjakan paradigma ini sedikit membingungkan petugas-petugas PAS, yang di dalam usrah/tamrin (program tetap pejuang Islam aliran PAS) beriman akan penubuhan sebuah Negara orang-orang Islam. Dalam mitos Negara Islam ini, mereka sering dikhutbahkan bahawa ada beza antara ‘Negara Islam’ dan ‘Negara umat Islam’. Akan tetapi bila diminta tunjuk sebuah Negara Islam pun, pasti mereka akan garu kepala. Atau jika diminta tunjuk, model klasik Negara Islam mana yang mereka mahu rujuk, sama ada Dinasti Uthmaniyah, Dinasti Abbasiyah, Dinasti Umaiyah, Khulafa’ Rasyidin atau Minhaj Nubuwwah (zaman Nabi menjadi pemerintah), mereka pasti akan terkebil-kebil. Ketika zaman dinasti, raja berkuasa mutlak, kita pun tidak jelas apakah dasar perpolitikan PAS yang sebenarnya: 1) Raja Berpelembagaan, 2) Raja Mutlak atau 3) Republik? Yang pastinya setakat saat ini, PAS sentiasa apologetik (tidak mempunyai “blueprint” rancangan) dengan apa sahaja sistem walaupun selalu melaungkan di mana-mana, bahawa mereka antara gerakan Islam yang terawal melibatkan diri dalam pilihanraya/demokrasi (itupun mereka masih berselisih tentang demokrasi, sebagai alat atau matlamat). Hanya Hudud senjata PAS Maka hanya Hudud yang tinggal, yang menjadi garis pembeza antara Islam versi PAS dan Islam versi UMNO. Jika tidak ada Hudud, apakah lagi yang tinggal kepada PAS ? Jika mereka mahu bercakap tentang ekonomi, parti-parti lain di dalam PR atau non-PR seperti PSM juga turut bercakap. Korupsi, nepotism, kronism, semuanya telah disurahkan oleh parti-parti sekular lain. Kita tidak memerlukan PAS untuk berkisah tentang penyelewengan. Dr. Manuty di dalam PKR sendiri boleh memetik mana-mana ayat suci di dalam Quran, tanpa perlukan Majlis Ulama’ PAS. Dasar-dasar di Malaysia yang kebelakangan ini semakin menuju ke arah Islam ala totalitarian, agak membimbangkan. Satu demi satu negeri di Semenanjung cuba menerapkan Islam ala kekuasaan mereka (sekali lagi, tanpa perlukan PAS pun, kerajaan negeri Terengganu boleh tudungkan semua perempuan). Ruang-ruang awam kian dicerobohi konon atas nama Tuhan, dan pelaksanaan sebegini sangat kacang sama sekali (apatah lagi, jika nak buat hukuman kerat tangan terhadap pencuri-pencuri yang miskin, apa yang susahnya?) tanpa perlukan PAS menjadi kerajaan pun. Kerana pemahaman Islam yang sangat sempit, dangkal, yang hanya memerhatikan dosa-dosa orang kecil, sebaliknya mereka tidak mempunyai pemikiran apa pun tentang pembangunan Negara. Pada kesudahannya, momentum yang memotivasi mereka untuk berjuang perlahan memudar, menyebabkan bergabung dengan kerajaan Pusat yang mempunyai pemahaman Islam Konservatif seperti mereka adalah satu-satunya pilihan yang tunggal. Article 19

]]>

Share your thoughts!

More Articles