Projek Dialog

Menzahirkan pluralisme dalam suasana kemelut

peaceful coexistence” atau kedamaian hidup bersama. Ia menggalakkan umat Islam untuk meletakkan nilai kesamarataan, keharmonian dan keamanan antara agama. Namun begitu, sempena Hari Raya Haji ini pula, dada akhbar dipampangi dengan kontroversi isu baru-baru ini berkenaan perkataan “Allah” dan beberapa lagi tindakan kontroversi pihak jabatan agama, memberi impresi bahawa agama adalah sesuatu yang bersifat eksklusif. Maka demikian, pengalaman menyertai Konvoi Interfaith di tempat-tempat keagamaan di sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Sentul merupakan sesuatu yang amat berharga. Saya agak tertarik dengan konsep menziarahi kuil, tokong, masjid dan rumah-rumah ibadat yang terdapat di negara ini untuk meluaskan pemahaman antara agama. Agama Hindu Pencetus Kebenaran Jennifer Pak dari BBC turut mengikuti rombongan anjuran Projek Dialog dan Kumpulan Sasterawan Kavyan. Dalam kebisingan jalan raya dan kesibukan masyarakat bandar menjalani kehidupan seharian mereka, kami memulakan interfaith walk di kuil Hindu Subramanian Chettiar. Kuil tersebut aman indah dan menghijau, terdapat sebuah sangkar besar yang menempatkan beberapa merak dan burung, ukiran-ukiran dewa-dewi dalam mitos Hindu terpampang di dinding dan atap kuil, serta diselubungi bau-bauan wangian kemayan dan bunga. Sami-sami Hindu di kuil tersebut amat selesa dengan kehadiran kami, walaupun mereka sedang sibuk melayani beberapa penganut Hindu yang sedang beratur bersembahyang dan meminta berkat. Agama Hindu merupakan satu cara hidup untuk menuju ke jalan kebenaran atau Dharma yang meliputi setiap adat, tradisi, teologi dan falsafah. Tidak hairanlah ia juga dikatakan sebagai agama yang tertua dalam penyebaran tradisi kesedaran (Enlightenment Tradition). “Allah” dan Agama Sikh Seterusnya, kami berhijrah ke Gurdwara Sahib, sebuah kuil agama Sikh yang tersembunyi di selok Jalan Sentul. Wanita diwajibkan mengenakan selendang, manakala lelaki melilit kain di kepala untuk memasuki Gurdwara. Wakil-wakil daripada agamawan Sikh amat mesra menyambut konvoi kami, malah sempat menyajikan jamuan teh susu herba dan roti. Saya agak tertarik dengan kesamaan agama Sikh dengan agama-agama Nabi Ibrahim (Ibrahamic Faiths). Hal ini kerana mereka percaya kepada konsep monolitik, iaitu Tuhan adalah satu dan mempunyai kitab sucinya iaitu Guru Granth Sahib. Mereka juga mengelarkan Tuhan sebagai “Allah”, gelaran bahasa Arab yang lazim digunakan di Timur Tengah dalam agama Kristian, Yahudi dan Islam. Dewa Pengawal Kesejahteraan Konvoi kami bergerak ke Tokong Dewa Cheok Beh Keing (Dewa Pengawal) di Jalan Sentul, sebuah rumah ibadat dihiasi dengan pelbagai simbol mitos budaya Cina yang berwarna-warni seperti naga, dewa pengawal, ikan emas, dan sebagainya. Penghuni di sekitar tokong tersebut amat gembira menerangkan sejarah tokong tersebut; tokong tersebut telah bertapak di sana lebih daripada 100 tahun, ia menjadi pusat kemasyarakatan bagi kaum Cina untuk berdoakan kesejahteraan hidup. Doa tersebut bukan tertakhluk kepada penganut Dewa tersebut, sesiapa juga boleh mendoakan kesejahteraan kehidupan mereka. Maka, saya dan rakan-rakan yang lain turut membakar kayu bedil dan masing-masing berdoa untuk keamanan antara agama. Antara Islam dan Poster Anti-Syiah Kemudian, kami berangkat ke Masjid Al-Hidayah yang bersih rapi. Ia merupakan sesuatu pengalaman yang amat unik kepada yang bukan Islam, ini adalah pertama kalinya mereka mengambil wuduk dan memegang Al-Quran. Mereka juga sempat melihat para jemaah islam menunaikan solat Zohur. Sejuk mata memandang beberapa umat Islam yang kusyuk membaca ilmiah agama dan bertawakal. Penjaga masjid tersebut juga berbuka hati menerima kami, mereka mengatakan sesiapa sahaja, termasuk yang bukan Islam boleh melawati masjid di sana. Namun begitu, apa yang menyedihkan adalah kami dapati sebuah poster anti-Syiah yang terpampang di dalam masjid. Islam adalah agama sejagat dan realitinya terdapat pelbagai mazhab Islam di dunia ini. Mereka juga mempercayai Allah sebagai Tuhan, walaupun sejarah, adat dan tradisi penyembahan mereka berlainan. Apakah patut agama dijadikan alat bagi memecahbelahkan umat dan menyemarakan kebencian? Ketidakpentingan Ritual Kami mengakhiri destinasi konvoi rumah ibadat di Wat Buddha Sri Lanka. Kuil tersebut tersergam indah di dalamnya dengan sebuah patung Buddha putih yang besar, dihiasi dengan bunga-bunga cantik di mazbah hadapannya. Kami bersantap tengah hari dengan lauk-pauk ‘vegetarian’, sambil menghayati kedamaian kuil tersebut. Sami Buddha tersebut amat mesra dengan kedatangan kami, beliau mengatakan penganut di kuil tersebut sentiasa menerima kunjungan antara agama daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah mereka juga sering melakukan aktiviti kebajikan terhadap rakyat Malaysia berbilang kaum. Saya bertanya mengapa terdapat hiasan bunga di mazbah? Apakah ritual pemujaan agama Buddha? Sami Buddha tersebut dengan tenang menerangkan konsep falsafah ajaran Buddha Teravada ini. Jelas beliau, ritual sebenarnya tidak penting langsung dalam mendapat restu atau pahala dari Tuhan, yang penting adalah karakter dan hati budi pengikutnya. Agama sebagai topik “Sensitif” Hakikatnya, walaupun negara kita dicerminkan sebagai sebuah negara yang pluralisme dan harmoni, rakyat Malaysia masih dibelenggu dengan budaya ‘sensitif’, setiap kaum tidak berani untuk berinteraksi mahupun mengambil berat dengan masyarakat beragama lain. Mereka lebih selesa dengan kepompong agama masing-masing, segala interaksi antara agama hanya sebagai ciri simbolik semasa upacara keramaian dan rumah terbuka. Bahkan, budaya berdialog antara agama masih merupakan sesuatu yang agak janggal dalam merapatkan silaturrahim dan keharmonian masyarakatan. Ironinya, saya dapati tiada satu pun penghuni  rumah ibadat yang kami kunjungi melayankan kami dengan buruk, walhal, mereka sering menekankan kepentingan kedamaian dan kesejahteraan dalam agama, dan sentiasa menerima penganut agama lain dengan hati yang terbuka. Saya percaya, sesetengah pihak berkepentingan mungkin boleh memperbodohkan umat dengan mempolitikkan nama Tuhan, tetapi, sesiapa yang benar-benar memahami kewujudan agama akan mengetahui bahawa “segala yang baik itu adalah daripada Tuhan, dan segala yang keji itu adalah perbuatan manusia sendiri”.

]]>

Share your thoughts!

More Articles