“With Afghan forces now in the lead for their own security our troops have moved to a support role,” he said. “Together with our allies, we will complete our mission there by the end of this year, and America’s longest war will finally be over.”
– Barack Hussein Obama, 2014 State of the Union speech.
Saya membesar dengan sentimen Dasar Pandang Ke Timur dan Dasar Buy British Last. Saya membesar dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, hero rakyat Malaysia, diiktiraf negara Muslim sebagai pemimpin Islam yang lantang mengkritik Israel . Saya membesar dengan khutbah Jumaat anti imperialisme. Dalam diri saya telah ditanam bahawa negara Amerika Syarikat inilah syaitan paling besar di dunia. Syaitan inilah yang telah menceroboh Vietnam, dalang di sebalik perang Iran-Iraq, kemudian kembali menceroboh Afghanistan pada 2001 dan kemudiannya Iraq pada 2003. Saya membesar dengan ceramah dari para Ustaz pada tiap malam puasa, bahawa Amerika Syarikat ialah Dajjal mata satu yang kini bersembunyi di sebalik bendera bintang segi enam Israel. Merekalah penyokong setia Ariel Sharon dan Benjamin Netanyahu, yang menghulurkan bom, grenad, serta roket yang menyiat dan meletupkan badan anak-anak Palestin di Gaza. Saya membesar dengan membaca pelbagai bahan tulisan anti-Freemason, anti-Rotary Club serta ribuan ‘flyers’ Hizbut Tahrir yang akan menghasut dan menancapkan di dalam minda ini bahawa musuh nombor satu kita ialah George Bush. Tiada musuh yang lebih besar dari mereka lagi di dunia ini. Saya membesar dengan demonstrasi-demonstrasi anti-Amerika di kedutaan dan mesjid-mesjid. Dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini sahaja lebih dari 5 demostrasi selepas solat Jumaat diadakan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat membantah itu ini. Sehingga hari ini, saya masih diberitahu bahawa musuh paling utama di dalam hidup ini ialah Amerika Syarikat. Mereka ini pelopor ekonomi neo-liberal. Bapa kapitalis dunia. Mereka mencipta ‘drone’ tanpa manusia yang menyerang orang awam di Pakistan. Mereka menindas negara kecil untuk menandatangani perjanjian yang akan memihak kepada mereka. Jadi apabila ribut satu negara akibat kedatangan Air Force One yang membawa Potus dan The Beast di dalamnya, saya adalah orang yang paling terkujat dan hairan sekali! Ketua Pembangkang, yang selama ini dilabel, dimomok dan dikaitkan sebagai agen Amerika di negara ini tiba-tiba menangis terisak-isak tidak dimasukkan di dalam jadual lawatan sang Potus. Apakah semua ini? Dan secara tiba-tiba, daripada khutbah, ceramah agama, keratan-keratan kertas dan demonstrasi yang menaikkan sepanduk Anti-US serta seluruh ritual membakar bendera Amerika Syarikat berubah kelmarin pada jam 4.50 petang dengan layanan karpet merah dihamparkan. Tak cukup dengan itu, anak muda mula terkinja-kinja mencipta hashtag #welcometomalaysia dan #POTUSinKLdi Twitter. Sungguh Malaysia Truly Asia bunyinya. Semua orang gembira dan teruja membayangkan manusia paling berkuasa di dunia kini berada di Kuala Lumpur! Bukan itu sahaja, anak muda, pemimpin muda dan gabungan bukan kerajaan khabarnya diberikan peluang untuk bertemu sang Potus! Amboi, galaklah anak muda ini memuat naik tiket bertemu sang Potus mereka di Instagram. Lupalah sudah mereka dengan isi khutbah yang baharu mereka dengan 2 hari lalu. Lupalah sudah mereka dengan semua siri ceramah serta demonstrasi di hadapan kedutaan yang pernah mereka sertai. Lebih pelik, untuk menampakkan negara sebagai moderat dan moden, sang Potus dibawa melawat Mesjid Negara! Lupalah semua pejuang agama yang selama ini meroyan apabila ada bukan Muslim yang masuk ke dalam mesjid. Lupalah semua pejuang bangsa yang selama ini histeria dengan isu Bible dalam laci hotel. Habis semua jadi lupa. Negara bagaikan sedang berpesta. Hinggakan kumpulan pejuang hak asasi tersenyum lebar mendapat peluang bertemu sang Potus. Semua ini, berlaku di tengah-tengah usul untuk memperkenalkan Hukum Hudud di negeri Kelantan, perbicaraan kes Liwat 2 Anwar Ibrahim, penarikan semua kitab Bible dari almari hotel dan perdebatan mengenai penggunaan kata Rest In Peace akibat kematian Karpal Singh. Apakah yang sebenarnya berlaku? Saya betul-betul hairan. Sejak dari kecil ditanam, di fahamkan serta dimomokkan bahawa Amerika Syarikat ini ialah negara penjajah yang jahat, tiba-tiba sejak dari semalam pembaca berita di televisyen asyik memperkatakan mengenai selfie sang Potus dengan Perdana Menteri kita dengan kapsyen; ‘Malaysia mempunyai hubungan yang semakin erat dengan Amerika Syarikat!’ Peter Burgen pada April 2012 di dalam The New York Times menyifatkan; “Compare Mr. Obama’s use of drone strikes with that of his predecessor. During the Bush administration, there was an American drone attack in Pakistan every 43 days; during the first two years of the Obama administration, there was a drone strike there every four days,” Saya tidak tahu apa tujuan sebenar sang Potus datang ke negara kita. Tetapi yang lebih pelik ialah untuk melihat bagaimana masyarakat, rakyat serta anak muda memberi reaksi terhadap kedatangan sang Potus ini. Segala khutbah, ceramah agama, keratan kertas anti-US serta demonstrasi bakar bendera yang kita lalui di hadapan kedutaan selama ini hanyalah sebuah halusinasi. Tidak wujud sebenarnya perkara seperti anti-US, anti-Amerika Syarikat atau anti-Obama. Semua, setiap dari kita, samada Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, pejuang agama atau bangsa malahkan pejuang hak asasi sekalipun, semuanya sukakan United States of America.* Semua berebut-berebut untuk mengadu domba antara satu sama lain, semua berebut-rebut untuk bergayut di dagu dan poket sang Potus untuk hidup. Kita semua menjadi buta dan tuli, terperangkap di dalam imperialisme kebudayaan seperti mana pernah ditulis Ngungi wa Thiong’o; “Cultural imperialism in the era of neo-colonialism can be a more dangerous cancer because it can take new, subtle forms. It can hide under cloaks of militant nationalism, calls for dead authenticity, performance of cultural symbolism, and even under native racist self-assertive banners that are often substitutes for national self-criticism and collective pride in the culture and history of resistance.” Ketika sang Potus sedang giat mengajak negara berdekatan untuk beri tekanan terhadap Rusia berkenaan kes Crimea, tentera Amerika Syarikat masih belum keluar dari Afghanistan sepenuhnya. Penjara Guantanamo Bay masih belum ditutup. ‘Drones’ di Pakistan masih terbang mengelilingi masyarakat awam mencari mangsa. Israel bahkan, masih menghantar misil dan roket untuk menghancurkan anak-anak Gaza menggunakan peluru dari Amerika. Dan anak muda kita? Masih giat selfie dengan sang Potus (walaupun Obama jaraknya 500 meter), giat mempromosi hubungan erat Kuala Lumpur-Washington di Instagram. Kita tahu anak muda kita bermasalah pabila ditanya wartawan, apakah soalan yang bakal ditanya kepada Obama, anak muda ini menjawab; “Mr Obama, can I do a selfie with you?” Malaysia, Truly Asia.“The use of drones is not only a continual violation of our territorial integrity but also detrimental to our resolve and efforts at eliminating terrorism from our country.”
– Nawaz Sharif, Voice of America, 23 October 2013.
* Nota editor: Harap maklum bahawa PSM dan Bantah TPPA telah melakukan demonstrasi untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap perjanjian TPPA yang ingin dicapai Amerika Syarikat.
]]>