Projek Dialog

Pendidikan dan peradaban manusia

Oleh Megat Hanis,

Dari segi etymology, pendidikan atau “education” berasal dari dua perkataan Latin educare ( educere ) dan educatum yang bermaksud “to lead” dan “the act of teaching” . Perkataan pertama secara tidak langsung menunjukkan bahawa dalam perkembangan pendidikan kanak-kanak, mereka telah ada kemampuan akal yang mandiri diperingkat awal makanya pendidikan seharusnya bercorak “leading” atau membimbing, bukan memaksakan pengetahuan ke atas mereka. Perkataan kedua lebih kepada prinsip dan cara mengajar. John Dewey (1916) dalam makalahnya “Democracy and Education”, menyebut pendidikan ialah jalan atau alat untuk “ meneruskan kehidupan sosial”. Dewey menegaskan bahawa kelahiran dan kematian yang berlaku kepada ahli-ahli sosial /atau individu-individu yang membentuk masyarakat menyebabkan pendidikan itu suatu keperluan untuk meneruskan kehidupan sesebuah masyarakat tanpa terkesan dengan natijah biologi individual yang tidak dapat dielakkan. Beliau berpendapat, setiap individu di dalam persekitaran sosial menjana pengetahuan dengan refleksi dan bertindak atas tiap-tiap masalah dan cabaran yg dilalui.Lantas, ilmu pengetahuan itu diperoleh secara aktif melalui proses beirnteraksi dengan alam dan persekitaran yang sentiasa berubah. Justeru, keperluan dan isu-isu terhadap pendidikan itu sentiasa berubah mengikut konteks tertentu melibatkan waktu , tempat, demografik, factor-faktor politk, kepelbagaian bangsa , agama dan sebagainya. Pendidikan merupakan sesuatu yang bersifat integral di dalam kehidupan masyarakat kerana diatas bentuk dan corak pendidikan lah corak pemikiran dan tindakan masyarakat dibentuk. Sebagaimana manusia secara individu berevolusi, dari bermula seorang bayi , melalui proses kanak-kanak, seterusnya menjalani perkembangan seorang remaja dan akhirnya menjadi dewasa dan tua, begitu jualah perkembangan masyarakat dalam mencorak sosial kontraknya, politk dan ekonomi , budaya dan agama dan seterusnya membina peradaban. Pendidikan suatu proses interaksi dengan alam Pendidikan hendaklah difahami sebagai proses, bukannya suatu subjek (disiplin) ataupun tahap pencapaian (degree, master, PHD). Jika kita lihat “Emile” karya Rousseau (1762) , ia menceritakan bagaimana Emile, seorang kanak-kanak lelaki yang dibawa keluarganya jauh ke luar bandar di mana dia dididik dengan belajar memahami kesan tindakannya dengan hukum alam (contoh : jika dia pecahkan tingkap, dia akan kesejukan ; jika dia mengambil harta pekebun, pekebun itu tidak melayan permintaannya kemudian ). Dalam proses pembelajaran itu, Emile belajar mengharmonikan tindakannya dengan kecenderungan hukum alam terhadapnya. Karya penceritaan manusia , khususnya kanak-kanak dalam berinteraksi dengan alam dalam proses pembelajaran tidak lekang dalam khazanah keilmuan Islam. Dalam “Fifty Major Thinkers of Education- From Confucius to Dewey” , Palmer et.al (2013) antara lainnya, memcungkil magnum opus Ibnu Tufayl ; Hayy Ibnu Yaqzan ( The Living One, Son of the Vigilant) yang banyak diterjemahkan ke dalam Hebrew dan kebanyakan bahasa Eropah, terutama Latin, di mana karyanya dibaca oleh ahli falsafah Jerman terkenal, Gottfried Von Leibnitz, yang banyak mempengaruhi falsafah Immanuel Kant. Karya agung Ibnu Tufayl ini juga dikatakan mempengaruhi tema penulisan “Wilhelm Meister” karangan Goethe yg mirip konsep yang dibawa Tufayl yakni pendidikan sebagai “sekolah kehidupan” dan membawa watak anak muda dalam merungkai falsafah dan pengajaran moral yang didapati selepas melalui konsep kehidupan ini. (Schembri, 1997) . Ibnu Tufayl cuba menjawab persoalan apakah manusia yang hidup dengan “keadaan azali” alam tanpa bantuan wahyu dan tradisi boleh memahami dan mendapat pengetahuan tentang alam dan moraliti dan akhirnya menjumpai Tuhan. Dalam pengkisahan yang dibawa beliau, Hayy dibesarkan oleh seekor rusa yang mana akhirnya dibedah oleh Hayy sendiri membuatkan Hayy menyaksikan sendiri melalui kuasa pemerhatian dan refleksi (tadabbur) , kematian itu wujud apabila terpisahnya roh dari jasad. Tufayl mencadangkan di dalam novel tersebut, ada kemungkinan, tanpa Tuhan menurunkan nabi pun untuk memberitahu tentang kewujudan diri-Nya, ahli-ahli falsafah,saintis-saintis, sufi-sufi pasti akan menjumpai Tuhan dengan mengkaji tentang alam , hakikat penciptaan diri dan semesta kerana beliau percaya Tuhan adalah entiti penyatuan semesta. Dengan mengkaji alam ciptaannya, manusia tidak ada masalah untuk mencapai satu konklusi pasti bahawa adanya Sang Pencipta , yang dengan cinta dan kebijaksanan-Nya, menjadikan alam semesta sebagai tanda bukti adanya Dia. Pendidikan menjadi asas peradaban Dari sudut sosiologi, Kendal et al. (2008) mengatakan, sejak kewujudan manusia, dalam apa cara sekalipun proses transisi tradisi, rangka-rangka nilai, skil-skil kehidupan pasti berlaku terhadap generasi seterusnya. Proses yang dinamakan sosialisasi ini bukan sahaja terbentuk pada zaman tersebut malah budaya dan tradisi yang terbentuk di zaman itu akan diteruskan dan dibawa oleh generasi seterusnya. Pada tahun 1873, antara yg dibentangkan oleh William Nicholas Hailmann (1836-1920) , seorang tokoh pendidik zaman gerakan pendidikan di awal era 20-an berketurunan German-Swiss, di hadapan Cincinnati Teacher`s Asociation dalam tulisan nya, Twelve Lectures on the history of pedagogy(1874)ialah sejarah pendidikan merupakan sejarah perkembangan perabadan manusia. Peri pentingnya pendidikan ini ia bukan sahaja bersifat formal dan institusi semata-mata malah sepanjang sejarah peradaban manusia, perkembangan pendidikan beralih kepada generasi seterusnya sejak zaman berzaman walau sebelum penggunaan tulisan lagi di era pra-sejarah. Manusia memperturunkan tradisi-tradisi dan skil-skil kehidupan dari nenek moyang mereka melalui demonstrasi dan meniru golongan-golongan tua selain bacaan-bacaan puisi, lagenda, dan tidak kurang juga melalui ritual-ritual keagamaan tertentu. Omar Nakib (2006) di dalam “Malik Bennabi’s Approach to Educational Problems In The Muslims World” menunjukkan dengan lebih jelas bahawa dalam Islam, pendidikan itu bersifat holistic dan tidak terpisah dengan misi sosial manusia yang telah termaktub di dalam Al-Quran yakni untuk membina sebuah peradaban. Justeru, pendidikan adalah pra-syarat sebelum tercapainya tamadun manusia yang cemerlang. Mengikut formula mudah beliau, Manusia (Insan) + Tanah (Turab) + Waktu (waqt) = Peradaban (Hadharah). Bennabi sangat berhati-hati dalam penggunaan terminology, seperti memilih tanah (turab) daripada “substance” atau “matter” (madda). Ini kerana dalam rangka etika ia menyalahi roh, dalam sains ia bertentangan dengan “energy/tenaga” dan dalam falsafah ia bersifat kontra-idealism.( Fawzia Bariun,1993) Dr. Fawzia Bariun menyatakan perkataan “tanah” dalam pandangan Islam boleh bermaksud bumi , dunia, atau alam semesta yang Allah ciptakan dan dipertanggunjawabkan untuk diterokai, digunakan dan dibangunkan oleh manusia sebagai khalifah dalam keterbatasan hayatnya di dunia . Dalam “On the Origins of Human Society” , Bennabi (1998) menegaskan di antara ketiga-tiga elemen di atas, Manusia, adalah elemen terpenting. Manusia bertindak sebagai pembina tamadun dan dalam masa yang sama menjadi hasil dari tamadun yang dibina. Ini bermakna, cabaran terbesar umat Islam ialah menghasilkan manusia yang mampu menggunakan tanahdan dalam jangka hayat nya untuk mencapai sesuatu destinasi dalam peradaban. Ini memberi indikator kepada kita bahawasanya, kegagalan mendepani isu pendidikan dan perkembangannya akan menyebabkan kegagalan kepada proses perkembangan masyarakat bertamadun yang benar-benar bebas dan progressif minda dan daya fikirnya kerana pendidikan bukan hanya seputar persekitaran kelas-kelas mahupun institusi-institusi formal seperti sekolah dan universiti malah pentingnya pedagogi-pedagogi pembelajaran dibincangkan seawal proses kanak-kanak ini belajar mengenal dunia di rumah melalui ibu bapa mereka. Tanpa kesedaran yang jitu terhadap kualiti pendidikan,terutama dalam pembentukan idea dan peranan agama sebagai perangsang, peradaban yang terhasil bukan lah sebuah peradaban yang ideal. Jika pun ada, ia hanyalah bersifat, “tamadun material” (hadara shahiyya) yang membina ketamadunan hanya melalui kekayaan ekonomi dan kekuatan politik dan sosial berpanjikan pengumpulan material sedangkan sepatutnya, segala yang bersikap material(institusi, undang-undang, sistem politk) adalah refleksi kepada idea (manusia,tanah dan masa) dalam membina tamadun dengan agama sebagai rangsangan lengkap yang mengangkat martabat manusia di proses tersebut. Kesimpulan Di dalam konteks masyarakat moden, konsep pendidikan telah berkembang dari hanya bersifat proses informal untuk kelangsungan hidup kepada bersifat institusi (sekolah, kolej, university) yang akhirnya tidak melahirkan manusia yang “belajar” dan “terdidik” kerana pendidikan tidak lagi dipahami sebagai proses interaksi dengan alam dan asas peradaban, tetapi hanyalah memenuhi keperluan ekonomi dalam masyarakat pasca-industrial. Justeru, anak-anak, pelajar dan mahasiswa dalam putaran sistem ini dan konteks idea yang tersasar, sama ada hanya akan menjadi “produk” berkualiti yang menjadi rebutan di pasaran ataupun “reject item” yang akhirnya dibakulsampahkan di jalanan-jalanan dengan “false-conciousness” (dipinjam dari Marx) bahawa dengan tiada nya pendidikan ( tahap akademik formal; degree,master, PHD) selayaknya tempat mereka disitu sedangkan pendidikan sewajarnya dipahami dalam konteks yang lebih luas , yang membentuk peradaban hasil interaksi dengan alam dan masalah-masalah yang diselesaikan hasil proses pendidikan yang betul dijana peranan agama yang mengangkat spiritual manusia dalam mendepani kemanusiaan bukan “in the presence of humanity “ akan tetapi “in the presence of God”. ]]>

Share your thoughts!

More Articles