Projek Dialog

Pentingkah bangsa?

Saya dilahirkan di Kota Kinabalu, dan dibesarkan berbeza dengan persekitaran India, Cina Melayu. Mungkin dengan pemahaman yang berbeza mengenai bangsa, hal itu telah mendorong saya untuk bertanya, mengapa identifikasi bangsa dalam kehidupan harian menjadi sangat penting?

Pada tahun 2007, saya telah melanjutkan pelajaran ke satu universiti tempatan di Semenanjung Malaysia, dan ternyata saya juga menghadapi beberapa kejutan budaya. Antara pengalaman menarik yang saya pernah hadapi ialah, seorang pak cik teksi bertanyakan apakah bangsa saya. Kejadian ini berlaku ketika berada dalam teksi, dengan loghat Sabah yang masih kuat saya memberitahu lokasi yang saya hendak tuju.

Pak cik tersebut terus bertanya, “kamu Melayukah?” mungkin hairan atas kesinambungan loghat berat dengan muka saya yang bukan Melayu Cina atau India. “Tidak”, saya menjawab. Dengan keraguan yang bertambah, sekali lagi dia bertanya, “jadi Cina?”. “Bukan”, saya bilang. “Jadi apa?” dia tanya. “Saya Dusun”. Tetapi pak cik tersebut tidak tahu apa itu Dusun, jadi saya beritahu sajalah saya ini dari Sabah. Cerita ini bukan kejadian terpencil, tetapi sejak itu saya selalu berhadapan dengan pengalaman dan soalan yang sama.

Dan hal ini menyebabkan saya mempunyai satu kesedaran baru, iaitu betapa kuatnya identifikasi bangsa di Semenanjung Malaysia. Ada kemungkinan juga ia berlaku di Sabah, cuma realiti yang saya alami kebanyakkannya dari Semenanjung Malaysia. Yang menariknya, saya tidak mendapat kesedaran itu sehinggalah saya mengalami banyak pengalaman yang sama mengenai soalan apakah bangsa saya. Begitu pentingkah apa bangsa saya daripada keperibadian saya sebagai manusia?

Kerana di Sabah soalan identifikasinya berbeza, di mana orang tua selalu akan tanya saya berasal dari daerah mana, dan selepas itu kampung mana dan baru ditanya anak siapa. Oleh itu, soalan mengenai bangsa adalah satu pembelajaran baru bagi saya ketika di Semenanjung Malaysia. Penekanan kepada identifikasi bangsa, telah mempengaruhi pemikiran saya untuk menjadi lebih sedar bahawa saya dan kamu adalah berbeza.

Bukan itu sahaja, saya turut secara tidak sedar menjadi lebih ingin tahu apakah bangsa seseorang. Semasa di Sabah, masa sekolah menengah, saya tidak merasakan pentingnya terhadap sikap obsesi yang ingin tahu akan bangsa seseorang. Hanya selepas mendapat kesedaran ini saya tiba tiba ingin tahu apakah bangsa seorang kawan lama saya.

Bukan itu saja, tiba-tiba ada lagi satu pengkategorian baru yang sungguh memisahkan, iaitu semangat bumiputera. Kami dilabelkan sebagai kaum bumiputera untuk membezakan antara siapa bukan Melayu dan bukan Islam. Ada suatu masa semasa kami diwajibkan untuk menghadirkan diri ke ceramah siri pengenalan siswa-siswa di universiti, di mana ceramah tersebut telah disampaikan adalah berbentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Kami juga menyanyi lagu tema di mana di penghujung rangkap terdapat “demi bangsa Melayu”. Selepas selesai sahaja ceramah tersebut, kami berkumpul dalam bilik dan bincangkan pengalaman baru yang kami alami. Tiba-tiba seorang kawan saya yang berasal dari Sarawak menangis kerana ketakutan dan berkeras mahu balik ke Sarawak.

Dengan suntikan semangat Bumiputera, bukan sahaja identifikasi bangsa tetapi identifikasi agama juga telah menjadi suatu yang nyata. Pernah sekali apabila saya turun dari kelas membeli nasi lemak untuk makan tengahari, sekali lagi kerana loghat Sabah yang kuat saya terus diketahui sebagai orang Sabah. Dan penjual pada hari itu pun teruja kerana dia juga berasal dari Sabah. Tetapi yang peliknya dan dengan tiba-tiba soalan seterusnya ialah, “kamu Kristian kah”?

Jadi sekarang menurut pengalaman tadi, saya telah diidentifikasi dahulu sebagai Kristian baru manusia sebagai kawan baru. Mungkin soalan dia adalah bersangka baik, tetapi keadaan persekitaran secara tidak sedar membuatkan terdapat suatu keutamaan untuk berfikir bahawa saya dan kamu adalah berbeza dari segi kepercayaan agama. Pada saya keutamaan ini menjadi dinding pemisah untuk mewujudkan stereotype terhadap sesama.

Jika saya bersama kawan berbangsa Melayu, kami akan dipisahkan dengan label ‘Muslim dan non-Muslim’. Jika kami dikumpulkan beramai-ramai bersama kawan Melayu kami, kami dipisahkan dengan label ‘Melayu dan bumiputera’. Jika kami di gereja kami pula dilabelkan sebagai ‘BM speaking group’, dan di situ juga berlaku diskriminasi secara tidak sedar. Menurut saya, memisahkan manusia sebegini sememangnya menjadi penghalang untuk mencapai perpaduan yang konkrit dan bermakna.

Dalam realiti negara kita yang mempunyai berbilang kaum, adalah penting untuk kita mengambil kira bukan sahaja dimensi kepelbagaian budaya yang kita alami di peringkat akar umbi. Kita juga harus mengambil kira manipulasi politik yang telah membawa perubahan dan pengalaman dalam kehidupan harian. Banyak teman-teman yang mengalami diskriminasi halus ini jarang untuk ingin membicarakan tentang pengalaman mereka secara terbuka.

Kebanyakkan berfikiran bahawa pengalaman ini hanyalah bersifat remeh temeh, tetapi secara hakikatnya setiap pengalaman ini sebenarnya ialah hasil daripada peminggiran yang berstruktur. Peminggiran berstruktur terbina di setiap peringkat kehidupan kita kerana kita ditekankan untuk memberi tumpuan apakah bangsa atau agama seseorang berbanding siapakah seseorang itu sebagai manusia. Peminggiran ini juga akan memberi kesan kepada pembangunan sosio-ekonomi, contohnya dalam bidang pendidikan, tempat kerja, peluang pekerjaan, peluang perniagaan.

Kebanyakkan Orang Asal yang berasal dari Sabah terutamanya generasi muda sudah jarang dan ada juga yang langsung tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa asal mereka. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantaraan sehari-hari di rumah dan dengan ibu bapa. Dan menurut undang-undang tertinggi di negara kita, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Dalam Perkara 160(2), orang Melayu adalah orang yang beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Dengan takrifan ini, seorang belia Orang Asal yang tidak boleh bertutur dalam bahasa ibunda (bahasa Kadazan, Dusun atau Murut), dan jika dia menukar agama ke Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Manipulasi akan berlaku untuk menganggap Orang Asal itu sebagai seorang Melayu, dan ini mengakibatkan ada suatu ketakutan. Dan ketakutan itu akan menjadi suatu kebencian secara senyap.

Sifat pinandsan dan peminggiran terhadap bangsa dan agama yang lain tidak semestinya kerana seseorang itu bersifat rasis. Tetapi terdapat satu diskriminasi sistematik, di mana ia sudah sebati dan diinspirasi dalam sistem budaya, sistem agama, institusi awam dan media.

Juga banyak parti politik di Malaysia yang ditubuhkan berasaskan kepada bangsa, dan ini menyumbang kepada obsesi tadi. Oleh itu, terdapat keperluan yang mendesak untuk memperbetulkan kembali keadaan untuk menghentikan penindasan berbentuk diskriminasi agama, dan bangsa dan bermula untuk mengenali sesama sebagai manusia. 

]]>

Share your thoughts!

More Articles