Oleh: Uthaya Sankar SB
(Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya)
Ramai yang mungkin sudah pun lupa akan apa yang ditulis oleh Ridhuan Tee Abdullah (Tee Chuan Seng) menerusi rencana bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” (Sinar Harian, 18 Februari 2013).
Pelbagai pihak pada mulanya tampil menyelar keceluparan lelaki ultra kiasu itu menghina agama Hindu dan penganut agama berkenaan; sekali gus memberi imej negatif mengenai penganut agama Islam. Rencana susulan yang masih juga celupar, menghina agama Hindu dan membuktikan realiti sikap ultra kiasu yang dimilikinya tidak disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada
25 Februari 2013 kerana dianggap sensitif.
[caption id="attachment_1755" align="alignright" width="150"] Interaksi antara agama perlu digalakkan dan disuburkan.[/caption]
Bagaimanapun lelaki bermulut celupar itu menyiarkan rencana berkenaan di laman umum Goodreads pada 24 Februari 2013, kononnya “atas permintaan semua”.
Tidak setakat itu, wakil akhbar Sinar Harian yang kononnya berjanji akan meminta lelaki ultra kiasu itu memohon maaf atas keceluparannya ternyata tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan Ridhuan Tee lebih berkuasa daripada penerbit akhbar berkenaan.
Buktinya adalah apabila tulisan lelaki ultra kiasu yang “lebih Melayu dari Melayu dan merosakkan imej Islam” (Sinar Harian, 25 Mac 2013) masih disiarkan di akhbar berkenaan secara mingguan tanpa sebarang sekatan.
Ketua Publisiti dan Perhubungan MIC, Vell Paari sebelum ini lantang bersuara menentang tindakan Ridhuan Tee serta mengancam (kononnya) akan berkempen meminta orang ramai tidak mengundi calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika tiada tindakan diambil ke atas lelaki ultra kiasu itu. Bagaimanapun, dia seolah-olah sudah
berpuas hati dan selesa selepas wawancara dua halaman penuh bertajuk “Elak guris hati mana-mana kaum” disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 27 Februari 2013.
Berdasarkan apa yang berlaku sejak dahulu, tidak salah apabila dikatakan bahawa orang “Bukan Hindu” sering mempersenda dan menghina agama Hindu. Soalnya, mengapa perkara ini berlaku di Malaysia? Mungkinkah disebabkan kelemahan penganut agama Hindu sendiri? Maknanya, penganut agama Hindu sendiri kurang memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran agama Hindu, lalu tidak mampu tampil mempertahankan agamanya apabila dihina atau dipersenda orang lain.
Atau adakah perbuatan menghina agama Hindu menunjukkan bahawa orang “Bukan Hindu” tidak memahami agama Hindu serta orang itu sebenarnya tidak memahami agamanya sendiri. Saya berani mengatakan bahawa orang yang ada pegangan agama pasti tidak akan menghina mana-mana agama.
Atau adakah penganut agama Hindu sendiri yang menghina agama Hindu? Atau sikap penganut agama Hindu sendiri yang memberikan imej negatif mengenai agama Hindu sehingga sanggup dipersenda dan dihina orang “Bukan Hindu”?
Demikian pelbagai persoalan yang muncul dalam minda; khususnya selepas klip video melibatkan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Malaysia, Zulkifli Noordin menghina agama Hindu tersebar luas di ruang siber pada penghujung April 2013.
Reaksi ikhlas rakan-rakan
[caption id="attachment_1756" align="alignright" width="150"] “Do onto others as you would have them do onto you.”[/caption]
Mantan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu mengaku membuat kenyataan itu “sepuluh tahun dahulu” kerana kononnya terpengaruh dengan “politik sempit, sifat jumud, ekstremis dan cauvinis” yang dimilikinya semasa bersama-sama PAS dan PKR. Agaknya pegangan agama lelaki itu begitu lemah sehingga dia “yang berpendidikan undang-undang di Eropah” boleh turut menjadi ultra kiasu sehebat Ridhuan Tee.
Selepas Zulkifli “menyusun sepuluh jari saya mohon maaf sekiranya saya mengguris hati mereka (penganut agama Hindu) kerana saya tak berniat nak menghina agama Hindu” (Free Malaysia Today, 3 April 2013), keluar pula satu lagi klip video mengenai tindakannya menuturkan ayat-ayat seperti “entah k** mana bawa kitab Hindu dia” dan “k** ni bawa kitab Hindu sumpah” pada 6 Mac 2013.
Saya membuka perbincangan (dialog) mengenai isu ini di Facebook untuk mendapatkan komen ikhlas daripada rakan-rakan pelbagai kaum dan agama. Sekurang-kurangnya boleh berlaku dialog antara agama secara sihat dan membina.
Gaijin Rurouni Kenshin berpendapat bahawa orang yang suka mempersendakan agama penganut agama lain “sebenarnya tidak beragama kerana jika dia beragama, dia tidak akan sesekali memperkecilkan agama lain kerana ajaran agama masing-masing cukup jelas iaitu menghormati mana-mana agama.”
Seorang rakan penulis yang dikenali menerusi nama pena Chulan Chin Priaprai bersetuju dengan pandangan di atas. Malah, beliau memberikan contoh terbaik daripada terjemahan ayat 6, Surah al-Kafirun dalam Quran iaitu “untukmu agamamu, untukku agamaku”.
“Malahan, bagi orang Islam yang mengamalkan ajaran Islam yang benar, banyak larangan untuk mempersendakan agama lain. Mempersendakan di sini bermaksud mengejek, mengeji atau mempermainkan tanpa hujah dan dalil. Perkara ini memang terkutuk,” kata Mohd Shah Rizal Samsudin.
Dalam komennya yang agak panjang di Facebook, beliau turut menyingkap sejarah bagaimana Nabi Muhammad SAW sentiasa melarang umatnya menghancurkan rumah ibadat, membunuh tawanan (kanak-kanak, wanita dan orang tua), serta melarang menebang tanaman dan sebagainya kerana melanggar norma peperangan.
[caption id="attachment_1757" align="alignleft" width="150"] [Vell] – Vell Paari kelihatan diam selepas wawancaranya disiarkan di akhbar.[/caption]“Akhlak Islam juga mengajar untuk jangan mengeji atau menghina orang lain tanpa asas dan dalil, kerana boleh jadi orang yang dihina itu lebih baik daripada orang yang menghina secara serkap jarang. Allah SWT dalam kitab yang diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW menegaskan hal ini dalam salah satu ayat,” katanya.
Mohd Shah mengemukakan ayat ke-108 daripada Surah Al-Anam di mana terjemahannya adalah seperti berikut:
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”
Rakan itu turut berpesan menerusi komennya: “Jika tuan melihat, membaca atau mendengar seseorang yang menghina Tuhan agama-agama lain tanpa dalil dan asas, ketahuilah bahawa mereka itu lemah iman akibat jahil dan Islam berlepas diri daripada kejahilan mereka.”
Usah persenda mana-mana agama
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa rakan-rakan beragama Islam turut tampil memberikan penjelasan dalam isu-isu ini. Pasti mereka tidak mahu tindakan ultra kiasu seperti Zilkifli dan Ridhuan Tee mencemarkan kesucian dan kemurnian Islam.
Seorang lagi rakan penulis, Abdullah Abdul Rahman (Tabir Alam) mengingatkan tentang peraturan penting (golden rule) iaitu “Do onto others as you would have them do onto you” (berbuatkan kepada orang sebagaimana kamu mahu orang berbuat terhadap kamu).
“Persoalannya, mengapa kita harus mempersendakan agama anutan orang lain? Diri sendiri belum pasti lebih baik atau alim berbanding orang lain. Semua kebaikan dan keburukan adalah dalam pengetahuan Tuhan,” kata anak jati Ipoh, Perak itu.
Dalam pada itu, Abdullah turut memberikan sedikit nasihat penuh ikhlas kepada rakan-rakan beragama Hindu: “Elakkan adegan memarahi dan memaki Tuhan apabila berada dalam keadaan kritikal dan bermasalah; seperti sering dipaparkan dalam filem-filem Tamil. Adegan seperti itu mungkin diambil oleh penganut agama lain sebagai contoh dan peluang untuk mengesahkan sendaan yang mereka lakukan.”
Saya menganggap pandangan Abdullah sebagai teguran membina yang bersifat positif dan berniat murni. Dalam pada itu, dialog antara agama juga perlu diperbanyakkan, seperti diingatkan oleh Isadli Al-Lanasi, “untuk mewujudkan masyarakat berpengetahuan dan saling menghormati”.
Apabila bercakap mengenai tokoh agama Islam, satu-satunya tokoh Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad SAW. Maka, saya amat bersetuju apabila Samsudin Jidin mengemukakan pandangan: “Cuba ambil sumber lain untuk memperkukuh hujah. Contohnya, bagaimana Rasulullah SAW melayani ketua mubaligh Kristian di Masjid Madinah dan sebagainya.”
Perlu diakui bahawa individu Bukan Islam di Malaysia “boleh belajar dengan mudah kepercayaan dan falsafah Islam yang diajarkan di sekolah, serta terdedah pada media RTM yang banyak mempromosi Islam” seperti dinyatakan oleh Cikgu Suguz dari Kota Kemuning, Shah Alam.
Guru swasta itu yang berasal dari Bedong, Kedah menegaskan realiti orang Melayu/Islam kurang peluang untuk mengetahui hal-hal berkaitan kepercayaan sebenar penganut agama-agama lain, terutama agama Hindu.
“Pelajar beragama Hindu dari sekolah kebangsaan – termasuk saya – tiada masalah memahami agama Islam tetapi orang Melayu/Islam tidak ada peluang atau tidak diberikan peluang yang sama. Malah, saya berani mencabar mana-mana orang Islam bahawa saya lebih mengetahui agama anda (Islam) berbanding kamu mengetahui agama saya (Hindu),” katanya.
Bagi Sham Dharma pula, beliau berpegang pada Hukum Karma; iaitu apabila seseorang (tanpa mengira kaum, agama atau etnik) melakukan keburukan terhadap orang lain, maka orang itu akan menerima hukuman (balasan) yang setimpal.
Penganut Hindu juga perlu akui kelemahan
[caption id="attachment_1764" align="alignleft" width="150"] Kavyan akan meneruskan Konvoi Rumah Ibadat dan Dialog Antara
Agama sambil memartabatkan Bahasa Malaysia.[/caption]
“Pada penelitian saya, sikap bertolak-ansur lebih tinggi dalam kalangan penganut agama Hindu. Kita menghormati dan memahami budaya lain serta selalu bersikap memberi laluan kepada orang lain. Mungkin sebab itulah kita selalu diperlekehkan dan tidak dihormati seperti yang sepatutnya. Saya benar-benar hairan mengapa situasi seperti ini masih berlaku hari ini walaupun kita ada sistem pendidikan yang menerapkan pendidikan moral dan nilai-nilai murni,” katanya.
Pensyarah, penyelidik dan aktivis dari Bandar Baru Bangi, Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir menyatakan bahawa beliau berusaha memahami ajaran dan budaya Hindu menerusi pembacaan dan kajian. Saya sendiri ada ramai kenalan “Bukan Hindu” yang mengamalkan sikap terbuka seperti ini yang sebenarnya selaras dengan ajaran sebenar Islam dan Sunah Rasulullah SAW.
Pada penelitian Jas Guna Senggani dari Sungai Petani, Kedah, ramai orang “Bukan Hindu” tiada pendedahan mengenai agama itu serta diberikan pula fakta yang amat negatif mengenai agama Hindu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Manakala bagi orang Hindu pula, mereka gagal meletakkan diri mereka pada sudut pandangan yang positif dalam kalangan masyarakat daripada agama-agama lain,” kata pakar perancang kewangan Islam itu menerusi mesejnya.
Seorang lagi rakan dari Negeri Jelapang Padi, Revathi menambah pandangan bahawa masalah juga timbul berikutan penganut agama Hindu sendiri yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai agama mereka berikutan tidak diberi pendidikan dan penekanan sejak kecil.
“Di sekolah pula, pelajar Islam diwajibkan belajar subjek agama Islam tetapi sistem pendidikan di Malaysia tidak menggalakkan pengajaran dan pengajaran agama-agama lain kepada pelajar Bukan Islam. Sistem agama Hindu yang kompleks juga sering disalah tafsir oleh ramai orang. Selain itu, sikap lebih mengutamakan budaya, adat dan ritual berbanding agama menyebabkan mereka terlepas pandang ajaran sebenar dan ilmu sains dalam ajaran agama Hindu,” kata siswazah undang-undang (LLB) itu yang kini
tinggal di Kuala Lumpur.
Turut terlibat dalam dialog terbuka di Facebook ialah Mohd Hafiz Andrew Kusairi yang lahir di Kuching, Sarawak dan kini menetap di Pekan, Pahang.
“Saya tidak tahu agama Hindu secara mendalam tetapi saya suka fahami dialog antara agama. Ajaran dalam Islam adalah supaya sentiasa menghormati agama-agama lain selagi pihak Bukan Islam menghormati agama Islam,” kata guru berkenaan.
Pada penelitian Dr Roland Victor (Diego Garcia) dari Kuala Lumpur, fenomena yang berlaku sebenarnya tidak asing bagi mana-mana agama. “Ia berlaku apabila penganut diajar untuk menilai agama dari segi dogma; bukan berasaskan nilai dan prinsip hidup,” katanya.
Mungkin sahaja perbincangan yang berlaku di ruang siber tidak mampu mengatasi “aura negatif” yang disebarkan secara meluas oleh golongan etnosentrik, rasis, fanatik dan ultra kiasu. Sekurang-kurangnya memberikan harapan kepada kita bahawa dialog antara agama masih ada ruang dan tempat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, etnik dan agama di negara bertuah ini.