Projek Dialog

Realiti gelandangan, denyutan jiwa kota

Rumah Pak Cik Wan “Kadang-kadang ada orang-orang yang pakcik tak kenal datang, pakcik bagi dia orang tidur situ” Pak Cik Wan yang baru aku kenal itu rumahnya dibuat sendiri dengan papan-papan yang dikutipnya dari kawasan sekitar. Setinggan di Kampung Periuk yang letaknya dekat Jalan Dewan Sultan Sulaiman itu menjadi rumah orang tua yang berasal dari utaraini. Ini bukan setinggan biasa, fikirku. Ini lebih dhaif dari setinggan. Zaman kanak-kanakku dihabiskan di setinggan. Aku kenal rupa setinggan. Aku pandang muka temanku McKoy. Namanya Khairul, saja gatal bubuh McKoy, nama pasca-setinggan dia. Aku tahu McKoy memikirkan benda sama. Orang tua ini sendiri hidup melarat, boleh pula dia tumpangkan gelandangan yang datang dari luar di teratak dhaifnya. Dan begitulah kesempitan hidup menyatukan manusia jua. Rumah Pak Cik Wan pernah terbakar, ini rumah yang dia bina semula. Sekali lagi aku terbayang kisah sendiri, berdiri di sebelah mak aku di waktu kecil, memerhatikan rumah-rumah jiran terbakar dan menunggu rumah sendiri jadi mangsa. Atau ketika berlari-lari dari masjid ke rumah mengekori kepulan asap tebal dan marah pada bomba kerana habis buku komik Slam Dunk aku lenjun dibasahi air pili bomba. Bukan sekali dua aku lihat kampung terbakar. Tapi tak terbakar pula rumah aku. Mampu kumpul duit sekolah beli komik pula tu. Jadi aku tak layak ceritakan duka prahara derita Karbala aku di sini. Pak Cik Wan tahun lepas diberi tawaran menyewa perumahan awam PPR DBKL di Cheras kerana menjadi mangsa kebakaran. Aku meminta dia mengeluarkan segala dokumen simpanannya. Borang Baitulmal 4-5 mukasurat dan surat tawaran DBKL. Katanya dia ke pejabat DBKL sehari selepas dapat surat dan disuruh isi borang. Pak Cik Wan menatap borang lama, keliru kerana tidak biasa isi borang sebegitu. Dimintanya encik petugas membantu tapi Yang Berhormat Encik Petugas punya urusan seri paduka baginda, jadi menolak untuk membantu dan menyuruh Pak Cik Wan pulang. Pak Cik Wan, si miskin solo kota yang kurang berpelajaran duduk menunggu mukjizat Tuhan Maha Pemberi. Amin si penyair dan Mckoy tak tahu nak geleng kepala atau tepuk dahi. Rasa sedih bercampur marah. Tak tahu nak salahkan siapa. Aku membelek surat tawaran. Tarikh luput 14 hari lepas tarikh tawaran pertengahan Jun tahun lepas. Bagaikan seorang politikus, aku pun mengucapkan kata-kata keramat “kena tengok lah apa yang kita boleh buat ni, Amin.” Amin sibuk membelek borang baitulmal “Ni surat perjanjian akad beli hotel 5 bintang ka ni?”. Kisah Pak Cik Wan, kisah jiwa kota Pak Cik Wan adalah salah satu jiwa di celah lambakan miskin tegar di kota Kuala Lumpur. Dia masih beratapkan zink. Ramai yang beratapkan jambatan dan beralaskan kaki lima. Mengikut anggaran yang pernah dibuat Pertiwi, jumlah gelandangan mencecah ribu. Usaha-usaha membantu gelandangan banyak dijalankan secara konsisten oleh Kechara, Pertiwi, gereja-gereja, dan NGO-NGO lain dan orang perseorangan. Tapi jumlah gelandangan semakin bertambah. Soalnya kenapa? Saudara, aku tidak percaya orang-orang seperti Pak Cik Wan malas. Dia polos dan naif, tapi bukan malas. Kalau malas, dia tidak berusaha membina tempat teduh dengan tangannya sendiri. Lebih dari itu, hatinya lebih besar dari bangunan-bangunan milik korporat di sekeliling terataknya itu, kerana di celah kesempitan ruang kecil rumah itu dia menempatkan gelandangan-gelandangan tak dikenali yang tiba di Kuala Lumpur untuk mencari sesuap nasi. Tapi berapa ramai gelandangan yang punya kudrat seperti Pak Cik Wan? Dan berapa setinggan yang boleh dibina di bandar ini? Berapa yang akan kekal dan tak diroboh? Bagi aku pegawai yang kerjanya cuma memberi borang lebih malas dan lebih layak bergelandangan dari para gelandangan kota. Sistem insititut kebajikan, baitulmal, pusat zakat yang menyusahkan dan borang berjuzuk-juzuk, birokrasi pentadbiran, semua ini lebih layak dipersalahkan dari gelandangan dan orang miskin. Politikus-politikus yang turun sekali-sekala sebelum pilihanraya dan menabur janji manis tanpa usaha konsisten lebih layak digelar malas. Masyarakat yang benci, prejudis terhadap orang miskinlah yang lebih layak diberi tazkirah motivasi. Siapa mereka?  Jabatan Kebajikan Masyarakat mengelaskan mereka sebagai pengemis dan kutu rayau dan menyerahkan tanggungjawab kepada polis. Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat memasukkan gelandaan ke dalam Akta Orang Papa. Maksudnya definisi gelandangan pun masih samar dan berbeza mengikut badan-badan bertanggungjawab, jadi polisi apa yang patut digubal untuk mereka pun tidak jelas. Kita, masyarakat, ada banyak kerja sekarang untuk dibuat. Aku tak menafikan ada yang sedang berusaha. Tapi jika masalah ini tidak dipandang serius sekarang oleh semua pihak berwajib, sampai bila pun tidak akan ada penyelesaian kerana jumlah gelandangan dan miskin tegar kian bertambah. Masyarakat pula mudah melepaskan tangan mengatakan gelandangan itu yang mahu jadi gelandangan, dan kita terus akur pada sistem yang semakin menjarakkan jurang kelas masyarakat ini. Tuntutan perikemanusiaan Perlu ada usaha yang lebih teratur dan serius dalam menangani isu ini. Jabatan-jabatan bertanggungjawab, sektor korporat dan masyarakat boleh bekerjasama, tapi masyarakat perlu sedar yang aktiviti turun ke padang dan gotong royong ini sudah lama wujud dalam masyarakat kita dan perlu dikekalkan. Kalau ia hampir mati kita beri ia nafas baru. Budayakan menyantuni orang miskin. Bukankah ini tuntutan agama? Bukankah kita masyarakat pelbagai agama dan yang tak beragama masing-masing mahu mengarah ke matlamat merealisasikan sebuah masyarakat yang seimbang, saksama? Kenapa kita mahu mengeluarkan kata-kata seperti “gelandangan sudah banyak diberi makan, mereka tak mahu berubah?” Bukan gelandangan yang perlu berubah, cara kita mendekati mereka yang perlu berubah. Sistem yang mencipta gelandangan yang perlu berubah. Masalah ini perlu ada kajian khusus untuk diselami dasarnya dan kemudian diikuti dengan aksi-aksi terus-menerus yang melahirkan impak besar dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga seperti aktiviti ‘bermesra dengan rakyat tersisih’ setahun sekali untuk mendapat nama. Aku dan yang lain duduk bersembang dengan Pak Cik Wan di kedai mamak, sambil makan. Kami membincangkan tentang menolong Pak Cik Wan menyara diri. Katanya dia pandai buat steamboat. Seorang perempuan gelandangan juga duduk bersama, ingin jual-jual tisu katanya. Kami yang guerilla ini cuba membantu sepenuh daya. Memang kami naif. Bukan hero sangat pun. Kami perlukan hero-hero untuk turut sertai kami, sama-sama bergerak, sama-sama membentuk semula kota ini.         unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles