Projek Dialog

Saadat Hasan Manto dan Anti-Sektarianisme

The Sole Spokesman: Jinnah, the Muslim League and the Demand for Pakistan (1985) menceritakan perjalanan sejarah konflik ketegangan kaum dan agama, yang merubah lanskap politik India-Pakistan hari ini. “Perpecahan India-Pakistan bukan sebahagian daripada tuntutan politik Muhammad Ali Jinnah. Ali Jinnah ketika itu merupakan pemimpin utama All-India Muslim League (AMLA) – badan representasi politik yang memperjuangkan agenda orang Islam di Pakistan. Asas perpecahan India-Pakistan disebabkan oleh desakan kaum nasionalis India yang menganggap bahawa perpecahan India-Pakistan merupakan jalan selamat untuk keluar daripada krisis sektarianisme” kata Ayesha Jalal di dalam buku tersebut. Saadat Hasan Manto (1912-1955) dibesarkan semasa konflik masyarakat Islam-Hindu berada pada tahap kemuncak. Barangkali, Manto merupakan cerpenis yang paling berautoriti di dalam menganalisa pengalaman sektarianisme di India semasa detik perpisahan India-Pakistan 1947. Saadat Hasan Manto dilahirkan di Sambrala, Punjab pada tahun 1912. Perjalanan kareer di dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan selama lebih 20 tahun; diwarnai dengan hampir 250 naskah dan karya kreatif yang dihasilkan Manto. Manto dilahirkan dan dibesarkan oleh keluarga Kashmiri kelas menengah di Amritsar, India. Manto tidak pernah tamat sekolah. Manto tidak pernah lulus subjek Urdu. Namun, siapa sangka bahawa 20 tahun kemudian – Manto dianggap sebagai salah seorang penulis-eseis-cerpenis yang paling agung di dalam sejarah kesusasteraan Urdu. Semasa Manto berusia tujuh tahun, dia menjadi saksi tragedi pembunuhan beramai-ramai Jalianwalla Bagh di Amritsar pada tahun 1919. Manto memuatkan naratif dan pengalaman traumatik dirinya ketika berhadapan dengan tragedi tersebut. Kisahnya di Amritsar dimuatkan di dalam cerpen yang bertajuk “It Happened in 1919”. Saadat Hasan Manto digambarkan sebagai seorang penulis yang begitu anti-sektarianisme. Pengalaman pahit masyarakat Islam India berhadapan dengan konflik identiti agama dan rusuhan kaum dan agama di Amritsar sering menjadi bahan penulisan yang diilhami Manto. Pemuda Revolusioner dan Sikap Melawan Di dalam zaman mudanya, Saadat Hasan Manto seorang pemuda radikal dan revolusioner. Kolonialisme British di India menyebabkan Manto terbakar dengan motivasi gerakan garis-keras pro-kemerdekaan India. Dia memilih untuk menyokong jalur perjuangan yang radikal. Manto pernah menyatakan hasratnya untuk bergandingan bahu dengan Subash Chandra Bose, pejuang kemerdekaan India untuk menghalau penjajah British keluar daripada bumi India. Semasa muda, Manto pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti bahawa British akan dihalau daripada tanah India kerana ‘homemade bombs’ (bom buatan tangan). Bom buatan tangan merupakan simbolik kepada penentangan anak watan/pribumi terhadap kolonialisme Barat. Pada Disember 1951, Manto menulis surat pertama kepada negara Uncle Sam ; Amerika. Semasa kemuncak perang dingin, Pakistan ‘terpaksa’ menandatangani perjanjian ketenteraan di Amerika Syarikat. Surat tersebut dimuatkan di dalam antologi Manto Rama (1990); terjemahan Inggeris oleh Khalid Hassan,”Letter’s to Uncle Sam” (2001). “This letter comes to you from your Pakistani nephew whom you do not know, nor does anyone else in your land of seven freedoms.” Petikan surat tersebut bermula dengan keresahan Manto terhadap nasib bangsa dan saudara sesama negara-nya. Ia menunjukkan bahawa Manto menyikapi rasa anti-kolonialisme yang tebal; setelah berdekad melawan kolonialisme British semasa era pra-pemisahan 1947. Anti-sektarianisme di dalam karya-karya Manto Kekuatan esei-esei Manto terletak pada imaginasi Manto yang deskriptif. Membaca karya Manto seakan-akan menghidupkan naratif traumatik masyarakat Islam di India yang bergelut dengan pengalaman konflik yang panjang. Salah satu cerpen Manto yang begitu simbolik terhadap tema anti-sektarian ialah Toba Tek Singh (1947). Toba Tek Singh merupakan refleksi terhadap dilema perpecahan dua negara, dua bangsa dan dua agama akibat daripada permusuhan politik dan kecelaruan identiti. Cerpen Toba Tek Singh mengisahkan tentang banduan-banduan di sebuah penjara di kawasan yang bernama Toba Tek Singh. Penjara ini merupakan transit banduan daripada India dan Pakistan. Setelah beberapa tahun terpisah, kerajaan India dan Pakistan bersetuju untuk melakukan pertukaran banduan. Kisahnya tentang dua orang banduan lunatik. Seorang lunatik beragama Sikh. Seorang lagi lunatik beragama Muslim. Kedua-duanya merupakan perusuh kaum dan agama. Si lunatik Sikh menggelarkan diri-nya Master Tara Singh. Manakala, si lunatik Muslim menggelar diri-nya Quaid E Azam Muhammad Ali. Mereka saling memusuhi antara satu sama lain. Namun, akhirnya mereka sedar bahawa samada Pakistan atau India ; mereka kini berada di dalam penjara di sebuah tempat bernama Toba Tek Singh. Di penjara ini – mereka semuanya sama. Tiada India, tiada Pakistan. Ayat terakhir daripada cerpen Toba Tek Singh berbunyi: “There, behind barbed wire, on one side, lay India and behind more barbed wire, on the other side, lay Pakistan. In between, on a bit of earth, which had no name, lay Toba Tek Singh” Cerpen ini berjaya menangkap imaginasi penulis mengenai kisah sektarian dua manusia yang dipisah-pisahkan kerana ketidaktahuan – seperti sikap sektarian kaum dan agama dari dua belah yang berbeza. Khalid Hassan, penterjemah karya-karya Manto ke dalam Bahasa Inggeris berpendapat bahawa tema utama yang cuba dipaparkan oleh Manto adalah teman persahabatan dan kemanusiaan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Selain Toba Tek Singh, Colder than Ice juga merupakan buah tangan Manto yang memaparkan elemen anti-sektarianisme. Colder than Ice berkisar tentang perbicaraan Isher Singh, seorang Sikh yang menculik gadis Muslim semasa rusuhan kaum dan merogol gadis tersebut. Akhirnya, dia sedar bahawa gadis tersebut sudah lama meninggal dunia. Siyah Hasyhi – koleksi vignet dan lakaran Manto terhadap peristiwa pembunuhan 1947 mengingatkan kita bahawa kekerasan tidak pernah sama sekali dikaitkan dengan agama. Bagi Manto, ia adalah kemunafikan untuk menjustifikasi pembunuhan dengan agama. “If a man killed, it did not matter whether he killed in the name of his gods or for the glory of his country or his way of life. To Manto, a killer is as he was a killer!” (Khalid Hassan – Bitter Fruit, The Very Best of Saadat Hasan Manto) Bagi Manto – agama dan idealogi tidak boleh membenarkan kezaliman dan keganasan. Di dalam kata-kata yang digunakan Ayesha Jalal di dalam The Pity of Partition (2013) untuk menggambarkan ketegasan Manto, “ Knives, Daggers and Daggers cannot kill Religion!” Hari-hari terakhir Saadat Hasan Manto Saadat Hasan Manto meninggal dunia pada 18 Januari 1955. Dia meninggal semasa berumur 43 tahun. Tahap kesihatannya semakin merudum kerana ketagihan alkohol. Ketagihannya menyebabkan Manto akhirnya mati melarat bersendirian di katil. Saadat Hasan Manto akan sentiasa diingati sebagai salah seorang penulis agung kesusasteraan moden India-Urdu. Manto menulis epitaf buat dirinya sendiri. Namun atas permintaan keluarga, epitaf tersebut tidak dipamerkan di kubur Manto kerana risau akan ada “mullah gila” yang menyerang kuburan Manto. Epitaf yang ditulis Manto berbunyi: “In the name of God, the Compassionate, the Merciful. Here lies Saadat Hasan Manto and with him lie buried all the secret and mysteries of the art of short-story writing….Under tons of earth he lies, still wondering who among the two is the greater short-story writer: God or he.” – Saadat Hasan Manto (18 Ogos 1954) Melawan sektarianisme Begitu juga rasa perkauman harini – kita membenci sesuatu perkara yang belum tentu kita faham. Ada di antara kita yang tidak dapat membezakan “agama” dan “budaya”. Sikap anti-toleransi menyebabkan kita gagal akui bahawa dunia ini terbentuk dengan realiti pluralisme yang tak terelakkan. Melawan sektarianisme merupakan tanggungjawab bersama. Kita wajar mendokong sebarang usaha untuk menangkis kebencian. Membenci perkara yang ‘asing’ itu bukan suruhan agama. Agama mendekatkan kita sebagai manusia yang bersaudara. Tidak ada agama di dunia ini yang mengajarkan kita kebencian. Kebencian muncul kerana sikap kita yang gagal untuk saling belajar dan berkongsi pengalaman. Tak kenal maka tidak cinta! unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles