Projek Dialog

Shariati dan Malaysia: Ideal Islam dan realiti totalitarian

Jadilah manusia agung
Bagai seorang syahid
Seorang imam
Bangkit
Berdiri
Di antara rubah, srigala,
Tikus
Domba
Di antara nol-nol
Bagai Yang Satu

– Ali Shariati

Agama untuk kebebasan

Bagi Ali Shariati cuma ada dua sahaja agama dalam dunia ini.

Satu adalah agama penindas. Satu lagi, adalah agama orang-orang tertindas: agama orang muhajir, agama orang-orang yang melawan agama penindas, agama Firaun. Agama-agama yang lain dari dua ini sama ada tidak bersikap atau berkecuali.
Bagi Syari’ati, agama bukan sebagai kumpulan doktrin yang berdimensi ritual semata-mata. Menurutnya, agama adalah sumber lahirnya kesedaran (awareness), landasan akhlak, tanggungjawab dan kehendak bebas yang mampu menggerakkan pemeluk – pemeluknya menzahirkan kekuatan pembebas dari ketentuan – ketentuan yang dipaksakan sertai ideologi-ideologi politeis yang menindas.

Syari’ati berpandangan bahawa Tauhid tidak sekadar memperbincangkan tentang ranah keilmuan dan falsafah, bahkan Tauhid adalah lebih daripada itu.

Bagi Syari’ati, Tauhid dimulakan dari pemahaman yang ilmiah. Agama membuka kesedaran terhadap falsafah dan analisa tentang Tuhan yang menuju kepada pembebasan kemanusiaan universal dari berhala diri dan berhala sosial.

Tauhid adalah tiang sendi ideologi pembebasan yang menegasi segala bentuk diskriminasi menuju pada kesetaraan darjat semua manusia. Tauhid di tangan Syari’ati menjadi sesuatu yang organik, yakni satu semangat melawan kezaliman dan penindasan berdasarkan pada nilai – nilai keadilan. Dalam pandangan Syari’ati, Tauhid adalah pembebasan, kesetarran dan keadilan sejagat.

Agama dalam kebebasan

Agama bukanlah sesuatu yang boleh dipaksakan kepada sesiapa. Lakuum diinuukum waliyadin. Agama merupakan sesuatu yang personal dan agama hadir hasil kerelaan sesuatu individu atau masyarakat. Ia tidak boleh dipaksa oleh mana – mana daulah, kerajaan, khalifah, sultan, undang – undang, jabatan itu, jabatan ini, ustaz – ustazah, mahupun ibu bapa.

Agama yang datang dengan cara paksa adalah seperti rogol. Orang yang memeluk Islam secara paksa, adalah orang-orang seperti mangsa rogol, yang akan trauma dan sampai mati, menyumpah tragedi yang dipakukan kepada dirinya.

Ini penting untuk diingatkan, bahawa sekalipun agama seperti dikatakan Syari’ati berupaya menjadi ‘motor’ (engine) yang mampu menjadi pemangkin untuk membebaskan umat manusia. Tetapi agama juga akan menjadi suatu kuasa yang merbahaya apabila menjadi kemapanan, apabila menjadi status quo, menjadi sebuah hukumah, menjadi sebuah daulah, agama itu berpotensi untuk membinasakan umat manusia.

Sekonyong – konyongnya, datanglah seorang lelaki (ahli parlimen Belanda) bernama Geert Wilders beberapa tahun dulu, dengan provokasinya, dia ada mengatakan:

‘I have nothing against the people. I don’t hate Muslims. But Islam is a totalitarian ideology. It rules every aspect of life – economics, family law, whatever. It has religious symbols, it has a God, it has a book – but it’s not a religion. It can be compared with totalitarian ideologies like Communism or fascism.’

Agak mengecewakan, seorang ahli parliament, dari negeri barat, yang katanya lebih maju, lebih berperadaban dari negeri-negeri dari timur, yang kononya tidak bertamadun memberikan pandangan yang tidak matang tentang Islam.

Sentimen anti-Islam, sentimen berasas?

Tetapi, serangan Wilders sekalipun tidak matang mempunyai asas. Asasnya adalah orang – orang Islam tidak mencerminkan agamanya dengan baik. Orang – orang Islam, sebagai duta Nabi tidak menjalankan kerja para Nabi.

Sebaliknya mereka gilakan Islam gaya khalifah, gaya Muawiyah yang tidak mahu berdialog, tidak mahu berbincang, tidak mahu bermuzakarah dan hanya mahu menang, dan tunjuk taring kekuasaan. Memang padanlah lahir orang – orang jahil menentang Islam. Mereka adalah pantulan kembali zaman Islam yang betul betul berbeza dengan ideal yang disarankan Shariati.

Tanyalah orang – orang Islam, yang bergelumang di jalan dakwah, yang terlibat dengan parti pemerintah, yang belum memerintah tetapi bernafsu untuk memerintah (seperti PAS, seperti Hizbu Tahrir, seperti Ikhwanis) apakah bentuk Islam yang mereka damba – dambakan?

Bukankah mereka mahukan Islam sebagai ad-din wad daulah, yang mana Islam menjadi sebuah sistem pemerintahan dari suatu negara, yang bukan hanya berusaha mengawal segala aspek masyarakat, tetapi juga selalu berusaha menentukan nilai – nilai baik dan buruk, kepercayaan, anutan dan faham sesebuah masyarakat.

Cabaran Muslim masakini

Orang – orang Islam, tidak mahu memanfaatkan ‘zaman dingin’ ini untuk berhujah, untuk melawan idea dengan idea, untuk bertarung tanpa khalifah, untuk bertarung dengan hujah, menggunakan alat yang disediakan dalam demokrasi.

Dalam langit terbuka, dalam global village ini, dalam dunia yang sudah hilang segala sempadan Islam harus dizahirkan dengan kemas dan mendalam. Mereka takut dan tidak berani untuk bertanding menggunakan kebebasan dan wacan meluas dan kritis tidak ada dalam kamus pemikiran orang Islam khususnya di Malaysia.

Segalanya mahu diselesaikan dengan pedang kekuasaan (saif ad daulah) untuk membanteras siapa – siapa yang tidak sekufu dengan mereka. Mereka lebih selesa menggunakan mantiqul quwwah (logika kekuatan) berbanding quwwatul mantiq (kekuatan logic) untuk beradu dengan sesiapa yang berbeza dengan mereka.

Totalitarian Islam masih berleluasa

Contohnya berlambak di Malaysia. Baru baru ini: menceroboh perkahwinan seorang Hindu dan isu rampas mayat seorang beragama Buddha oleh penguatkuasa jabatan agama hangat diperbincangkan.

Mengapakah jabatan-jabatan ini tidak mahu belajar dari Fikrah Shariati, yang mengaitkan Islam dengan semangat kebebasan dan kesetaraan?

Mengapakah jabatan – jabatan Islam ini, terutamanya JAWI dan JAIS yang sangat samseng, tidak memikirkan panjang apakah kesan yang akan berlaku di masa hadapan? Agama akan dilihat sebagai senjata kepada sesiapa yang berkuasa untuk memijak kepala mereka yang berbeza.

Sekiranya orang itu memilih Hindu, Kristian atau menjadi Ateis sekalipun, apakah dia kena dimalukan sedemikian rupa? Apakah dia akan didiskriminasi kerana memilih idea atau keimanan yang berbeza?

Apakah agama merupakan sesuatu yang deterministic, yang telah ditentukan semenjak di alam ruh lagi, semenjak azali lagi, kena menjadi seorang Islam, seorang Sunnah, walaupun tidak suka? Bukankah ini menunjukkan Islam seolah-olah benar ditegakkan dengan jalan paksaan?

Mana pula JAIS – JAWI – JAKIM nak lempar ‘qul ja’al haq wa zahaqal bathil, innal bathila kana zahuqa’? Apakah Islam itu terlalu lemah, sehingga tidak mempunyai kekuatan untuk berhujah?

Dalam suasana sebegini semangat perjuangan dan pembebasan Islam harus ditemukembali. Malaysia memerlukan Shariatinya sebelum kita terhumban lebih dalam kekegelapan di mana agama hanya alat untuk kuasa-kuasa tertentu untuk membuli golongan yang tertindas.         unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles

Raising the Feminist Future

by Yvonne Tan Unilateral conversions are clearly wrong, typically used as an excuse to separate mothers from their children. Single mother Loh Siew Hong’s case