Projek Dialog

Tahukah Heiner Bielefeldt Apa Berlaku di Malaysia?

Dr Mohd Faizal Musa

Felo Penyelidik

Institut Alam dan Tamadun Melayu

Universiti Kebangsaan Malaysia

  Soalan yang sering diajukan, adakah komuniti Syiah di Malaysia? Siapakah mereka, penganut Syiah di Malaysia? Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Datuk Zainal Abidin Osman ketika menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (BN-Jorak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bertarikh 27 September 2012 menjelaskan bahawa kerajaan Johor telah mengeluarkan fatwa melarang mana-mana umat Islam di negeri Johor berpegang kepada ajaran dan fahaman Syiah. Fatwa bertarikh 9 Januari 2012 itu diwartakan pada 16 Februari 2012. Larangan tersebut merangkumi aspek mengajar, menerbit apa-apa terjemahan melalui media, menjadi anggota atau pemimpin syiah serta membantu mengembang ajaran tersebut. Tindakan negeri Johor tersebut bukanlah suatu yang menghairankan, kerana sejak beberapa dekad yang lalu, minoriti agama khususnya penganut Syiah (Imamiyyah dan Ismailiyyah) telah mengalami pemomokan secara institusi dan negara (state and institutionalized stigmatization). Dalam disiplin sosiologi, sarjana hak asasi manusia telah pun mahir dengan ciri-ciri masyarakat yang mengalami pemomokan (stigmatization). Sekadar ingatan, pemomokan ialah apabila berlaku empat perkara; iaitu ketika i) ahli masyarakat yang dominan bertindak membeza dan melabel kumpulan tertentu; ii) pelabelan ini, dalam konteks ini adalah Syiah, ditanggapi sebagai ‘sesuatu yang tidak dikehendaki’; iii) seterusnya pihak atau sasaran yang dilabel mengalami pengasingan; iv) di mana pengasingan itu, membawa kepada pihak yang dilabel kehilangan status dalam masyarakat secara tidak adil (Bruce G Link dan Jo C Phelan, 2001: 363). Siapakah penganut Syiah di Malaysia? Adalah lebih baik, sekiranya mereka sendiri menjawab soalan ini. Dalam memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), wakil komuniti ini memberitahu: “Etnik Melayu yang berketurunan Aceh, Minang, Bugis, Jawa, (hanya beberapa contoh) dan umat Islam dari keturunan Siam-Ayuthya, Pakistan dan Arab terdapat sebahagian kecilnya adalah pendokong Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w Syiah sejak turun-temurun (daripada nenek moyang). Kami mempunyai bukti atau hujah akademik serta warisan sejarah keluarga yang mesti diperakukan menurut Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa kami adalah bermazhab Syiah atau mengamalkan fikah Ja’fari sebagai MAZHAB ASAL kami (Memorandum Kepada SUHAKAM 27 Disember 2010). Apakah dakwaan di atas benar? Tentu, ia tidak akan dapat dicapai dengan pemomokan. Ia hanya dapat ditentukan dengan komunikasi dua hala, dan kajian akademik yang mendalam. Tentu, bukan negeri Johor sahaja melakukan pemomokan terhadap minoriti Syiah. Selangor yang buat masa ini diperintah oleh pakatan pembangkang turut menafikan hak-hak asasi kaum Syiah. Bahkan, sejak dekad-dekad terdahulu penganut ajaran Syiah sering diancam dengan penahanan tanpa bicara di bawah Internal Security Act (Mohamed Azam Mohamed Adil, 2005: 175-176). Sebagai contoh, Abdullah Hassan, salah seorang pengikut Syiah Imamiyyah ditahan tanpa bicara di bawah ISA (Internal Security Act) antara 2 Oktober 1997 sehingga 31 Disember 1999. Beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada tahun 2001 di mana empat Pesuruhjaya SUHAKAM pada waktu itu; iaitu Harun Hashim, Zainah Anwar, Mehrun Siraj dan Hamdan Adnan menerima laporan beliau. Laporan Abdullah Hassan kepada SUHAKAM dilakukan berikutan Malaysia menahan enam lagi pengikut Syiah di bawah ISA antara 20 Oktober 2000 sehingga 5 Januari 2001 (Leong Kar Yen, 2001). Zainah Anwar selaku Pesuruhjaya SUHAKAM berjanji untuk menghubungi Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri memandangkan penahanan ahli masyarakat atas alasan kepercayaan dan agama adalah, meminjam ungkapan Zainah, ‘clear violation of Article 11 of the Federal Constitution which guarantees freedom of religion’. Pun dari tahun 2001, sehingga hujung 2012. Tiada perkembangan sihat berlaku yang memihak kepada minoriti Syiah di Malaysia. Secara keseluruhannya, Malaysia tidak memberikan kebebasan kepada penganut Syiah untuk beramal dengan fahaman Syiah yang dipilih atau diwarisi oleh mereka (Daily Times, 2011). Meskipun pemerintah Malaysia mendakwa penganut Syiah dibenar mengamalkan dan tidak diizin menyebar, hakikatnya, penganut fahaman ini mengalami gangguan emosi, psikologi dan sejak akhir-akhir ini ia menjadi bertambah fizikal khususnya di negeri Selangor. Insiden serbuan terhadap sebuah komuniti Syiah di Gombak pada 15 Disember 2010 misalnya dilakukan tanpa waran yang sempurna. Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor masuk ke dalam ruang solat mereka dengan berkasut, mencerca kaum wanita dan kanak-kanak, serta mengherdik kepercayaan mereka. Ini dilakukan dengan kehadiran media, yang bertujuan untuk mengaib mereka. Harus diingat, kumpulan penganut Syiah ini berhimpun sesama mereka secara rahsia, dan tidak mengganggu masyarakat sekeliling (Nota Keterangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, 2012). Pemomokan terhadap penganut Syiah berlaku secara meluas dan sedar, serta lebih menggusarkan dilakukan oleh pihak berwajib sendiri. Jabatan Hal Ehwal Agama Trengganu sebagai contoh mengarah masjid-masjid di Trengganu membaca khutbah Jumaat anti Syiah pada 23 September 2011. Hal yang sama terjadi di Selangor, sebagai rekod; khutbah Jumaat bertarikh 6 April 2012 menyeru umat Islam menghindari Syiah. Khutbah berjudul ‘Penyelewengan Syiah Di Malaysia’ tersebut menyatakan, antara lain ‘Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini’. Khutbah ini adalah satu bentuk pemomokan yang jahat, memandangkan dalam masa yang sama, harus diingat seramai sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961. Dakwaan dalam khutbah di Selangor itu ternyata mengelirukan dan berniat jahat terhadap minoriti ini, kerana jika Syiah ‘menafi dan menolak al-Quran’ maka apakah kedudukan sepuluh orang johan tilawah al-Quran tersebut? Apakah misalnya kedudukan johan musabaqah pdari Iraq ada tahun 2009, iaitu Osama Abdul Hamza, seorang muazzein di Haram Imam Husein, Karbala? (Dar al Quran al Kareem 1432 CE: 46). Atau apakah kedudukan akidah johan tilawah dari Iran 2006, Hossein Saeid Rostami Tabrizy? Jika khutbah Jumaat mahu jemaah mempercayai penganut Syiah ‘menafi dan menolak al-Quran sedia ada’ maka mengapakah qari berfahaman Syiah dibenarkan bertanding dalam Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysa? Justeru, tuduhan Jabatan Agama Islam Selangor dalam khutbah Jumaat tersebut perlu dipandang serius kerana merupakan satu pemomokan yang berat. Secara umumnya khutbah-khutbah Jumaat yang dibacakan di seluruh Malaysia adalah berlesenkan fatwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia bertarikh 5 Mei 1996. Khutbah-khutbah tersebut memomok ajaran Syiah, menyebar kepalsuan tentang amalan penganut Syiah dan bertujuan untuk masyarakat mengasing, membenci dan menghindari mereka. Akhirnya, di hujung khutbah, kekeliruan terhadap siapa penganut Syiah disebar dan dikukuhkan sehingga mereka dibenci masyarakat lantaran salah faham yang dikemukakan. Kewujudan Syiah juga dikaitkan dengan pertumpahan darah, pemomokan ini menyebabkan penganut fahaman ini sering menjadi mangsa ketidakadilan. Lebih menjengkelkan, seorang pegawai rendah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia menyarankan ‘secara halus’ supaya fahaman Syiah diharamkan dan penganutnya diberi tindakan tegas. Menurut beliau, ‘sejarah Islam sendiri telah membuktikan bagaimana para khalifah Islam pernah mengharamkan, bahkan bertindak tegas terhadap pembawa pemikiran yang menyeleweng daripada akidah ASWJ. Sebagai contoh Ma’bad al-Juhani, pengasas mazhab Qadariyyah telah dihukum bunuh oleh Khalifah Abdul Malik pada tahun 80 Hijrah’ (Mohd Aizam Masod, 2010). Adalah menghairankan pandangan ekstrim, radikal, melampau, bernada ugutan dan berbau hasutan di atas boleh terlepas pandang. Ini menunjukkan pemomokan terhadap penganut Syiah telah terangkat secara serius, dari sebuah fatwa menjadi satu ancaman berupa apartheid. Larangan dan fatwa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia bertarikh 5 Mei 1996 yang disebutkan di atas menimbulkan kekeliruan memandangkan Artikel 11 dalam perlembagaan Malaysia menyatakan setiap orang diberikan kebebasan untuk menganut dan mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing. Malah, Artikel 3 dalam perlembagaan Malaysia menyatakan Islam adalah agama rasmi dan agama-agama lain dibenarkan untuk diamalkan dengan aman dan harmoni. Sekiranya Syiah ditanggapi oleh pihak berkuasa sebagai ‘bukan agama Islam’, sebagai ‘salah sebuah agama yang tua’, penganut Syiah masih perlu diberikan hak-hak mereka; memandangkan Malaysia memberi ruang kepada pengamal faham Bahai dan Sikh. Makanya, satu dialog berkesan harus dijalin antara pihak Syiah dan pemerintah Malaysia. Pemomokan harus dihenti. Oleh kerana itu, dalam memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) salah seorang penganut Syiah, Haji Kamil Zuhairi menyatakan; ‘oleh kerana tiadanya dialog dan wacana di antara pihak berkuasa agama tempatan dengan komuniti kami (Syiah) di Malaysia maka telah berkembang kejahilan, kekeliruan dan salah anggap yang sangat besar terhadap kami. Fitnah yang disebarkan mengenai kami Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia mengakibatkan salah faham yang sangat buruk terhadap kami. Salah faham yang buruk ini mendorong pewartaan undang-undang yang tidak adil buat kami’ (lihat Memorandum Kepada SUHAKAM 27 Disember 2010). Ketika diminta mengenang kejadian serbuan Jabatan Agama Islam Selangor pada 15 Disember 2010 tersebut, Kamil Zuhairi (2011), secara pahit menjelaskan: The officers broke into and damaged our prayer hall, a private property where we were having special prayers for the Prophet Muhammad’s grandchildren. We were condemned, criticized, slandered and threatened in local media just because we practice what had been preached by our ancestors who were Shia and have lived in Malaysia for centuries. If other communities like Hindus, Buddhists, Christians, Sikhs and others have their right to worship and practice under the constitution, then why not us? Satu soalan yang sering diajukan adalah, bagaimanakah kedudukan Syiah dalam ajaran Islam? Adalah jelas Syiah merupakan satu mazhab dalam Islam. Hakikat ini tidak dapat dipungkiri Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri. Hal ini telah diakui oleh Malaysia menerusi Deklarasi Islamabad 2007 yang dikemukakan oleh Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Kerajaan Malaysia dengan diwakili oleh Syed Hamid Albar, Menteri Luar Negara ketika itu antara lain menyatakan kesanggupan untuk melindungi hak-hak minoriti agama dari mazhab Syiah. Pemomokan Syiah sebagai fahaman ‘sesat’ dan penganutnya wajar dipinggir tidak dipersetujui dalam Deklarasi Islamabad 2007 itu. Saya kira Malaysia perlu diingatkan kembali mengenai Deklarasi Islamabad 2007 di atas. Sarjana Tariq Ramadan (Shahanaaz Habib, 2012) menyelar keras permainan Sunni-Syiah yang dimainkan kerajaan Malaysia sebagai ‘dangerous game’; malah tatkala menyatakan kekesalannya, Tariq Ramadan menyifatkan polisi tersebut sesuatu yang berupa ‘diskriminasi’: This is not acceptable. There are differences and disagreements on some issues but we are both Muslims. We should not use this division to colonise’ our way of dealing with Muslims because that would be creating division and by creating divisions we are promoting discrimination and nurturing trouble. Pandangan Tariq Ramadan tersebut, bukanlah sesuatu yang asing benar. Ini kerana pada tahun 1960, Dr Burhanuddin al-Helmi (2005, 39) ahli politik dan figur gerakan Islam yang prominen dari Parti Islam Semalaysia (ketika itu Pan Malayan Islamic Party) menegaskan dalam ucapan pembukaan sebuah simposium tentang Sufisme, menyatakan konflik Syiah dan Sunni harus diselesaikan dengan dialog, dan bahawa konflik tersebut dicetuskan oleh penguasa yang tamak: ‘Hendaklah kita pulihkan kembali kepada kebenaran perbalahan antara ahli sunnah dan ahli syiah. Sesungguhnya perpecahan itu ialah rekaan raja-raja yang tamak…’ Hal yang sama ditekankan oleh S.M Mohamed Idris (2012), tokoh persatuan pengguna dan Pengerusi Citizens Internatonal tatkala mengkritik siaran TV Hijrah bertarikh 25 Jun 2012 menerusi Rancangan Bicara: Bahaya Syiah. Media melakukan pemomokan terhadap penganut Syiah tanpa segan silu sedikit pun. Ekoran dari itu, Mohamed Idris mengutus sepucuk surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Al Hijrah Media Corporation menegur media tersebut kerana melakukan pemomokan dan memenuhi agenda memecah belahkan umat Islam: Mereka menuduh Syiah berkomplot bersama Yahudi, menganggap Islam Sunni sebagai anjing, mengamalkan penipuan, dan tuduhan lain yang mengapi-apikan yang boleh menimbulkan kebencian Islam Sunni terhadap saudara Syiah mereka. Kenyataan provokasi seperti itu jelas melanggar perintah Allah swt: Berpegang teguhlah dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah antara kamu… [Surah Al Imran 3:103]. Siaran TV yang mengutuk Syiah menjejaskan inisiatif yang diambil untuk menggalakkan pemahaman yang lebih luas antara mereka dan kita golongan Sunni dalam usaha untuk menguatkan perpaduan Islam selaras dengan pengajaran al Quran. Jelas sekali pemomokan yang dilakukan terhadap penganut Syiah bukan sahaja dilakukan dalam bentuk fatwa, khutbah Jumaat, atau enakmen dan akta yang menganiayai hak-hak mereka; pemomokan bahkan didokongi media secara besar-besaran. Radio Televisyen Malaysia (RTM), media milik pemerintah pada 9 dan 16 Februari 2012, di stesen TV1 menyiarkan rancangan berjudul ‘Mazhab atau Agama’ bertujuan memomokkan penganut Syiah. Terkini, pada 4 Oktober lepas saluran Bernama TV Saluran 502, dalam rancangan Hello Malaysia, media ini memburuk-burukkan fahaman dan penganut Syiah. Selain media elektronik, media cetak turut melakukan pemomokan seperti yang dapat dibaca di Utusan Malaysia bertarikh 17 Disember 2010 dengan judul ‘Markas Syiah Diserbu’ (Angelina Sinyang, 2010) atau Berita Harian bertarikh 28 April 2011 dengan judul ‘JAIS Pantau Syiah di Selangor’ (Khairul Azran Hussin, 2011). Fatwa dan larangan terhadap penganut Syiah di Malaysia bertentangan dengan undang-undang hak asasi manusia yang terpakai di United Nations dan adalah jelas, dalam kes ini, terdapatnya pelanggaran hak asasi manusia yang meruncing. Pencabulan hak asasi manusia berlaku apabila pemomokan berlaku. Hal dasar ini selalunya sukar difaham oleh sarjana dalam bidang undang-undang syariah di Malaysia kerana pemerhatian mereka tidak dilengkapi dengan bahagian dari disiplin sosiologi yang menjadi teras untuk menyelesaikan masalah-masalah yang ada dalam masyarakat. Undang-undang menyekat fahaman Syiah sebagai misalan dijadikan asas untuk melihat kemungkinan ‘sekatan tersebut menjadikan kumpulan agama minoriti terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan sebagai respon kepada sekatan yang dianggap mendiskriminasi mereka’ (Ezad Azraai Jamsari et al., 2011). Hipotesis akademik sedemikian menunjukkan pemomokan yang dilakukan pemerintah telah terangkat sebagai prasangka, yang malangnya berlaku di akar umbi termasuk dalam kalangan sarjana. Hal ini juga menunjukkan sectarian apartheid benar-benar berlaku dengan pelbagai alasan dan legitimasi. Sehubungan dengan itu, adalah munasabah Heiner Bielefeldt (Special Rapporteur On Freedom Of Religion Or Belief) dimaklumkan tentang perkembangan yang mendukacitakan ini. Heiner Bielefeldt perlu hadir mengunjungi Malaysia dan memeriksa keadaan pemomokan yang dilakukan terang-terangan ini. Malaysia wajib menjawab dalam sesi Universal Periodic Review (UPR) di Geneva pada Oktober 2013 atas alasan apakah Malaysia gagal memenuhi hak asasi masyarakat Syiah? Heiner Bielefeldt perlu mengunjungi Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia, dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menuntut penjelasan mengapakah Malaysia gagal mematuhi Deklarasi Islamabad 2007 oleh Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Bukankah Malaysia ahli OIC, justeru mengapakah Syiah yang merangkumi 15 peratus jumlah seluruh umat Islam didiskriminasi secara menjolok mata di negara ini? Heiner Bielefeldt mesti bertanyakan mengapakah hak-hak penganut Syiah yang bukan berwarganegara Malaysia boleh dihormati, sedangkan hak rakyat Malaysia yang berfaham Syiah dinafikan malah mereka dimomokkan secara konsisten dan sistematik. Heiner Bielefeldt perlu difahamkan mengapakah sikap munafik (double standard) ini berlaku di sebuah negara Islam yang progresif serta wasatiyyah seperti Malaysia. Ketika melawat Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia itu, Heiner Bielefeldt perlu diserahkan minit mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang berlangsung pada 24 dan 25 September 1984 [kertas No. 2/8/84, Item 4.2. 2/8/84, Item 4.2. (2)] dan beliau harus bertanya mengapakah kandungannya bertentangan dengan fatwa rektor Universiti al Azhar, Sheikh al-Akbar Mahmood Shaltoot bertarikh 6 Julai 1959 yang memperakukan Syiah sebagai satu mazhab dalam Islam. Special Rapporteur On Freedom Of Religion Or Belief dari Geneva harus mendapatkan laporan lengkap apa yang berlaku pada 15 Disember 2010, apabila 200 masyarakat Syiah yang sedang berkumpul ‘secara tertutup’ untuk berkabung mengenang peristiwa Karbala (peristiwa pembunuhan Saidina Husin cucu Rasulullah saw) di Gombak, Selangor telah diserbu, dan diganggu oleh penguatkuasa agama. Salah seorang dari komuniti ini turut diheret ke mahkamah di bawah Seksyen 12(c) Enakmen 9 1995 (Enakmen Jenayah Syariah) Negeri Selangor. Heiner Bielefeldt perlu diberi penjelasan sejajar dengan laporan ‘State of the World’s Minorities and Indigenous Peoples 2012: Events of 2011 Focus on Land Rights and Natural Resources’ yang menekankan bahawa ‘Shi’a Muslims, listed as a ‘deviant’ sect by Malaysia’s Islamic law in this majority Sunni Muslim state, also continued to face difficulties. In May, in the central state of Selangor, authorities broke up a gathering of Shi’a who were celebrating the birthday of a daughter of the Prophet, on accusations of proselytizing. Four people were reportedly detained’ (Beth Walker, 2012: 154). Akhir sekali, Heiner Bielefeldt perlu bertanya kepada elit pemerintah adakah tekanan terhadap komuniti Syiah ini dilakukan kerana Malaysia sebenarnya terhutang budi dengan dana asing daripada Arab Saudi, sebagai contoh pada Mac 2011 apabila Malaysia berterima kasih kepada regim Arab Saudi kerana memberi wang saku tunai sebanyak 8.15 juta USD; ‘distributing an additional cash profit of US$8.15 million to the 1Malaysia Development Berhad’ (Bernama, 2011). Sudah tiba masanya Jabatan Agama Islam di Malaysia berubah mengikut perkembangan zaman, dan memahami hakikat di sebalik penubuhan mereka suatu masa dahulu. Antropologis terkenal di Malaysia, Abdullah Taib (1985: 226) pernah menyatakan, ‘Sejak tahun 1920-an beberapa buah negeri di Tanah Melayu telah menubuhkan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu. Hingga ke hari ini sudah hampir 60 tahun majlis itu berjalan atas nama seperti itu. Penubuhan Majlis Agama ini ialah hasil ‘kebijaksanaan’ penjajah Inggeris.’ Untuk itu, satu saranan yang objektif ialah Malaysia kembali kepada Deklarasi Islamabad yang telah disepakati pada tahun 2007 oleh ahli-ahli OIC. Malaysia perlu menerima nasihat sarjana yang ada. Sebagai contoh, Ahmad Fauzi Abdul Hamid (2010: 76-77) menyifatkan kejumudan Malaysia sebagai merugikan, di mana satu Islam yang dibentuk oleh segelintir elit tidak dapat menafikan kewujudan dan kekayaan Islam yang pelbagai (pluralistic Islam): By stripping Islamic education of its pristine ideals, noble purposes and praiseworthy practices, the Malay-Muslim ruling establishment has transformed it into yet another area vulnerably bound to its largesse and patronage, which would ultimately be translated into political influence and support for UMNO and BN. Political considerations explain the express prohibition of pluralisme within Malaysian Islam. Any sign of dissent from official Islamic orthodoxy is frowned upon as reflective of deviance that is liable to prosecution in religious courts. Yet, this homogenization of Islam runs against the grain of Islamic history, which is rich with contestations between sects, school of thought and factions. The sufi and Shi’a provenances of Malaysian Islam, as recognized by prominent Malay nationalist Dr Burhanuddin Al-Helmy, have not been fully acknowledge in Malaysia’s official Islamic discourse as it does not tally with the ruling elites’ hegemonic agenda based on carefully constricted version of Malay-Muslim unity. Thus, Malay Shi’as and sufis have been foremost at the receiving end of government heavy-handedness ostensibly based on the concern to maintain the purity of Islamic faith. Bukan sarjana seperti Ahmad Fauzi Abdul Hamid seorang yang menyalahkan parti pemerintah di Malaysia sekarang ini, sarjana lain iaitu Judith Nagata (2011: 25), turut melihat pemomokan dan penyempitan Islam di Malaysia dilakukan oleh regim yang sedia ada: It is noteworthy how expressions of Sufism, once the most widespread form of Islam and Southeast Asia, and active in the Malay states until the Pacific War, have been repressed under the narrow, Sunni Shariah style of Islam promoted as orthodox by the UMNO state. Like wise, any hint of Shi’ism, once again more evident in local history, has been shunned as heretical by the government. Pemomokan yang disebutkan sepanjang tulisan ini, termasuk penahanan dan pendakwaan kerana kepercayaan mereka, memenuhi bentuk stigma yang dihuraikan oleh Catherine Campbell dan Harriet Deacon (2006) iaitu ‘tribal stigma’. Masyarakat Syiah ditindas dan dimomok kerana ciri-ciri luar biasa (deviation from the normative) mereka. United Nations harus masuk campur menghentikan dasar apartheid ini. Adalah diharapkan teguran atau recommendations menerusi Universal Periodic Review (UPR) di Geneva pada Oktober 2013 kelak akan menyedarkan Malaysia pencabulan demi pencabulan hak asasi yang telah direstui buat sekian lama. UPR boleh mencadangkan supaya penguatkuasa agama dikursuskan dan menjalani orientasi pendidikan hak asasi yang mana mereka perlu faham dunia ini dipenuhi oleh anggota masyarakat yang berbeza dan beragam-ragam. Pendidikan hak asasi manusia akan mendisiplinkan mereka supaya tidak menghina dan memomok orang dengan kepercayaan yang berbeza. Gantinya adalah dialog bermakna, atau interaktif yang dapat menyuburkan erti demokrasi. Semoga Heiner Bielefeldt tidak mengabaikan sectarian apartheid yang sedang berleluasa ini. Hak asasi kaum marjinal telah lama diabaikan, serta perlu dipenuhi serta merta.   *Tulisan ini adalah sebahagian dari kandungan Syarahan Sarjana Tamu yang disampaikan di Facolta di Scienze Umanistiche, Universita Degli Studi di Bergamo Italia pada 25 Oktober 2012 ketika berlangsungnya mesyuarat UNESCO Chair on Human Rights and Ethics of International Cooperation antara 25 hingga 27 Oktober 2012.  
Rujukan
 
Abdul Hamid, A.F. 2010. Islamic Education in Malaysia. RSIS Monograph No 18. S. Rajaratnam School of International Studies: Singapore.
Al-Helmi, B. 2005. Simposium Tasauf dan Tarikat Edisi Rumi. Ipoh: Pustaka Muda.
Bernama. 2011. Malaysia Supports Saudi Arabia & Gcc’s Peace Initiatives in Bahrain. 22 Mac. http://web6.bernama.com/bernama/v3/news_lite.php?id=572665.
Campbell, C dan Deacon H. 2006. Unraveling the Contexts of Stigma: From Internalisation to Resistance to Change. Journal of Community and Applied Social Psychology 7. September Issue.
Daily Times. 2011. Malaysia Bans Shias From Promoting Their Faith. Mac 10.
Dar al Quran al Kareem. 1432 H. Karbala. Imam Husayn Holy Shrine Foundation.
Deklarasi Islamabad. 2007. Islamabad Declaration The Thirty Fourth Session Of The Islamic Conference Of Foreign Ministers Session Of Peace, Progress And Harmony. 15-17 Mei. Resolusi No. 28/34-Pol berkenaan Strengthening The Islamic Unity Document. Fail No. A/61/981 S/2007./656. Hlm. 91-93.
Habib, S. 2012. Tariq Ramadan: Wising Up To Fragile Situation. The Star Online. http://thestar.com.my/news/story.asp?file=%2F2012%2F8%2F5%2Fnation%2F11751955&sec=nation
Hussin, K.A. 2011. JAIS Pantau Syiah di Selangor. 28 April. Berita Harian. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/JAISpantauSyiahdiSelangor/Article/
Idris, SM. 2012. TV Hijrah Didakwa Pecahbelahkan Islam. http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/arkib.harakahdaily.net
Jamsari, E.A dan Samuri, M.A.A dan Yaacob, S.E dan Mohd Awal, N.A dan Mohd Kashim, I.A dan Abul Hassan Ashari, M.Z. Penetapan Mazhab Ahli Sunnah Wa al-Jamaah Sebagai Definisi Islam di Malaysia: Hak Penyebaran Agama bagi Kumpulan Agama Minoriti. Jurnal Undang-undang & Masyarakat 15 (2011): 31-42
Kar Yen, L. 2001. Use Of ISA Against Shia Followers Unislamic and Unconstitutional. Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/news/3500.
Khutbah Jumaat. 2012. Penyelewengan Syiah Di Malaysia. 6 April. Jabatan Agama Islam Selangor.
Link, B dan Phelan, J. 2001. Conceptualizing Stigma. Annual Review of Sociology 27 (3): 363-385.
Masod, M.A. 2010. Antara Hak Asasi dan Mazhab Rasmi Negara. The Malaysian Insider, 31 Disember. http://www.themalaysianinsider.com/breakingviews/article/antara-hak-asasi-dan-mazhab-rasmi-negara-mohd-aizam-masod/
Memorandum Wakil Syiah Imamiyah Malaysia Kepada SUHAKAM. 27 Disember 2010. http://ab-na.com/data.asp?lang=15&Id=218727.
Nagata, J. 2011. Boundaries of Malayness: We Have Made Malaysia: Now It Is Time to Re-Make the Malays But Who Interprets the History?. Dlm. Mohamad M., & Al-Junied, S.M.K (Eds.), Melayu The Politics, Poetics and Paradoxes of Malayness. Singapore: National University Press.
Nota Keterangan Mahkamah Syariah Gombak Barat, Kuang. 2012.
Sinyang, A. 2010. Markas Syiah Diserbu. 17 Disember. Utusan Malaysia.
Taib, A. 1985. Asas-Asas Antropologi. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Walker, B. (ed). 2012. State of the World’s Minorities and Indigenous Peoples 2012: Events of 2011 Focus on Land Rights and Natural Resources. New York: Minority Rights Group International.
 
]]>

Share your thoughts!

More Articles