Tuhan bersama siapa?

“Sir, my concern is not whether God is on our side; my greatest concern is to be on God’s side, for God is always right.” -Abraham Lincoln

Kita sedia maklum bahawa sepanjang sejarah,manusia telah berperang dan berbunuhan sesama sendiri atas pelbagai alasan dan justifikasi.

Dari faktor survival, ekonomi, pengembangan budaya, pertambahan populasi , dan segala justifikasi yang diberi atas nama kebebasan, hak asasi manusia, keadilan sejagat, semangat kebangsaan, tiada yang dapat menandingi kebejatan peperangan fizikal, kelimuan mahupun sentimen yang dilaungkan atas nama agama.

Ini bukanlah perkara baru dalam realiti kita hari ini. Pelbagai isu-isu yang dibangkikan atas nama agama atau Tuhan telah merebak melalui pengaruh politik, media, penulisan malah telah membentuk mentaliti penganutnya atas keyakinan pasti bahawa segala yang mereka perjuangkan itu mendapat mandat Tuhan.

Sumber yang asli Vs. Sumber yang tidak asli

Orang Islam selalunya berbangga bahawa Al-Quran dan Sunnah yang dipercayai itu adalah benar kerana ianya berhasil dipelihara sehingga ke hari ini dimana keasliannya telah dapat dibuktikan.

Dalam dialog antara agama pula menyaksikan tokoh-tokoh dialog antara agama seperti Syeikh Ahmad Deedat, Dr Zakir Naik malah Shah Krit di Malaysia yang kononnya berhasil menyanggah kekeliruan dan betapa tidak autentiknya Bible yang dipercayai Kristian itu berbanding dengan Al-Quran.

Namun apakah impak ataupun signifikan sama ada teks suci kepercayaan masing-masing itu autentik atau tidak?

Apakah dengan autentiknya teks itu, maka seluruh penganutnya akan bersatu? Tidak jugak. Kerana walaupun kitab itu asli, interpretasi manusia keatasnya masih berbeza-beza.

Untuk umat Islam misalnya,dari isu akidah, fiqh, politik, ekonomi semuanya berbeza pandangan. Hakikatnya, sumber teks yang asli itu juga menatijahkan umat Islam yang bertelagah sesama sendiri, malah mengkafirkan satu sama yang lain. Dari soal akidah terpecahnya sectarian yang besar antara Sunni dan Syiah.

Di dalam mazhab Sunni pula, terpecahnya lagi mazhab-mazhab akidah seperti asyairah/maturidiyyah, salafi/wahabi, ahbash yang kesemuanya menganggap diri mereka tergolong dari Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Manakala dalam mazhab Syiah pula, terpecahnya kepada imamiyyah, zaidiyyah, ismailiyyah dan sebagainya.

Itu pun belum lagi kita bicara soal sistem politik yang masing-masing berbeza pendekatannya. Soalnya, dalam pertelagahan ini , Tuhan bersama siapa? Ataupun siapa yang bersama Tuhan?

Belajar dari sejarah

Semenjak kecil, saya sebagai Muslim yang tidak mencari, yang mana “by birth” menjadi Muslim selalunya merasa kagum dengan ceritera-ceritera pejuang-pejuang Islam yang suatu ketika dahulu pernah mentadbir dua pertiga dunia.

Dalam keadaan saya diajar bahawasanya Islam tidak tertegak dengan pedang, akan tetapi dalam masa yang sama, keagungan Islam suatu ketika dulu selalu digembar-gemburkan dengan kejayaan penakhlukan tentera-tentera Islam keatas wilayah-wilayah di dalam dua empayar besar ketika itu, Byzantine di sebelah barat dan Persia di sebelah timur.

Dari kehebatan panglima perang Khalid Al-Walid, Sultan Salahuddin Al-Ayubi sehinggalah Sultan Muhammad Al-Fateh penakhluk kota Konstantinople.

Akan tetapi, saya tidak pernah bertanya apakah sebab penakhlukan ini? Apakah dengan mengambil sepotong sabda Nabi dan sepotong ayat Al-Quran (atas nama Tuhan) sudah cukup bagi umat Islam menjustifikasikan peristiwa penakhlukan ini?

Atau apakah penakhlukan itu suatu bentuk “pembebasan” oleh umat Islam bagi membebaskan rakyat empayar “kuffar” yang menindas dan zalim? Jika ianya atas maksud “pembebasan”, apakah bezanya justifikasi itu dengan US yang menyerang negara umat Islam hari ini atas nama “demokrasi”?

Prof Hugh Kennedy (2007), dalam The Great Arab Conquest :How the spread of Islam Changed the World We Live In, beliau mengatakan bahawa perkataan “conquest” tidak selalunya memberi makna yang negatif.

Di dalam Islam, “conquest” dalam bahasa arab disebut sebagai “fath” yakni pembukaan. Sepanjang siri penakhlukan ini, umat Islam menurut beliau mendapat “ideological justification” dari Al-Quran yang menyokong penakhlukan umat Islam akan tetapi bukannya mengabsahkan pemelukan terhadap Islam secara paksa.

And when the sacred months have passed, then kill the polytheists wherever you find them and capture them and besiege them and sit in wait for them at every place of ambush. But if they should repent, establish prayer, and give zakah, let them [go] on their way. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.” (surah at-taubah: 9 ayat 5)

Ini jelas menjadi asas kepada suatu bentuk penguasaan politik dan ekonomi atas nama Tuhan yang telah menjanjikan kesenangan di syurga (di dalam ayat yang lain). Walaupun Reza Aslan (2011), dalam No God but God :The Origins, Evolution and Future of Islam, menjelaskan dengan baik salah faham tentang maksud sebenar jihad, sepanjang pembacaan saya, tidak ada suatu pun justifikasi yang lebih tepat boleh didapati selain daripada penakhlukan itu tidak dapat lari dari didorong oleh faktor agama selain kekayaan budaya dan harta empayar yang ditakluki.

Beliau paling tidak pun menyebut sumbangan Ibnu Taimiyyah (1263-1328), yang menyanggah pembunuhan “non-believers” yang menolak untuk memeluk Islam kerana bagi beliau ia bercanggahan dengan prinsip Quran dalam Surah 2, ayat 256.

Walaubagaimapun, dalam sejarah ,ia jelas menunjukkan bagaimana agama yang disebar itu adalah sebuah bentuk perluasan pengaruh politik.

Ahmad Al-Baladhuri, seorang pakar sejarah berbangsa Persia kurun ke-9 (ada juga yang mengatakan beliau berbangsa Arab) menceritakan tentang general Persia, Rustum, yang kalah dalam pertempuran dengan orang-orang Arab mengatakan bahawa “ I have learnt that ye were forced to what ye are doing by nothing but the narrow means of livelihood and poverty”

Kita sedia maklum bahawa perluasan kuasa politik atas nama agama juga bermakna akan ada penolakan atau “resistance” dari pihak yang lain atas nama agama juga.

Tariq Ali (2002), dalam bukunya The Clash of Fundamentalism : Crusades, Jihads and Modernity, menjelaskan bahawa, pada awal kurun ke 10, empayar Christian Barat memulakan langkah untuk merebut kembali Jerusalem yang telah dirampas dari tangan mereka dengan melancarkan “First Crusade” tatkala umat Islam ketika itu yang terpecah kepada Sunni dan Syiah berperang saudara selama 30 tahun.

Malah Ibnu Taghribirdi meriwayatkan tahun 1094 ialah tahun kematian pada khalifah dan komander perang hasil pertempuran saudara tersebut. Salahudin Al-Ayubi kemudiannya berhasil merebut Jerusalem pada tahun 1187.

Akhirnya, pada July 1920, selepas kekalahan Empayar Uthmaniyyah dalam perang dunia pertama, General Perancis, Henri Gourard melawat makam Salahudin Al-Ayubi dengan berkata “ Saladin, we have returned. My presence here consercartes the Cross over the Crecent”. Sehingga ke hari ini, “tanah suci” itu telah berkali-kali direbut dengan melibatkan begitu banyak pertumparan darah atas nama agama.

Huntington (1996) dalam The Clash of Civilization and The Remaking of World Order mengakui perkara ini dengan mengatakan bahawa konflik antara keduanya tercetus kerana keduanya mendakwa bahawa agama merekalah yang universal dan satu-satunya kepercayaan yang sebenar untuk semua umat manusia dan mereka berkongsi suatu konsep “missionary” yang mewajibkan mereka menyebarkan kepercayaan mereka kepada “non-believers”. Lebih parah lagi, mereka melihat dunia dalam kerangka dualistic ‘us” and “them”

Bagi saya, sukar untuk kita menolak perkara ini dalam realiti hari ini, di mana mentaliti pihak yang menjajah dan dijajah terkeliru antara ingin menjaga tradisi dan pembentukan identiti unik tamadun masing-masing ataupun keinginan untuk mendominasi pihak yang lain.

Pengembangan pengaruh politik dalam mana-mana agama pun pada perkiraan saya tidak menatijahkan apa-apa pun yang kita panggil sebagai agama yang benar. Tatkala orang Islam memenangi peperangan, kita melaungkan “Tuhan bersama kita!” , akan tetapi tatkala, peperangan menyebelahi orang Kristian misalnya, mereka pula melaungkan “Tuhan bersama kita!”.

Tidakkah ini suatu yang ironi? Sebagai seorang yang beragama, walaupun saya mengetahui bahawa tanpa agama pun, manusia akan tetap berperang suatu sama lain atas faktor ekonomi, ideologi, bangsa dan sebagainya, saya melihat perang atas nama agama adalah lebih mengjengkelkan kerana ia menjustifikasi perang atas nama Tuhan yang mereka katakan Maha Penyayang!

Apakah anda pernah mendengar cerita tentang “Dialogue of Cajamarca”? Di dalam Titu Cusi: A 16th Century Account of the Conquest , terbitan David Rockefeller Centre For Latin American Studies, menyatakan bahawa pada tahun 1532, tentera Sepanyol dibawah komander Francisco Pizarro telah menjajah puak Incan di Peru.

Ketika Pizarro berjumpa dengan raja empayar Incan, iaitu Ataw Wallpa, beliau ditemani seorang paderi bernama Vicente de Valverde yang menunjukkan bible kepada Wallpa mengatakan bahawasanya ini adalah sumber autoriti daripada Tuhan dan Wallpa seharusnya tunduk patuh kepada perintah Tuhan.

Wallpa mengejek Bible itu dengan mengatakan “Tiada kedengaran pun kata-kata Tuhan dari Bible itu” dan membuangnya ke tanah. Bermula dari peristiwa itu, tentera Sepanyol pun mula menangkap Raja Wallpa dan membunuh puluhan ribu penduduk Inca demi penerokaan mereka terhadap kekayaan puak Inca setelah kejayaan Hernan Cortes menakhluk empayar Aztec atas tujuan yang sama.

Walaubagaimanapun,dalam satu makalah tulisan James A.Haught, pada tahun 1200-an sebelum kedatangan tentera sepanyol lagi, masyarakat Inca yang didominasi paderi-paderi mereka membuat ritual yang menghimpunkan hampir 200 anak kecil dalam majlis ritual besar-besaran dan membakar semuanya sebagai “offerings” kepada tuhan-tuhan mereka.

Penulis buku A Reasoning Fatih : A Bible Correspondence Course, Robert A. Laidlaw (1964), pula mengatakan bahawa pada tahun 1850, penganut Buddha Burma, menanam 56 lelaki di dalam upacara besar-besaran demi menjaga bandar Mandalay dan “royal astrologers” mereka mengarahkan supaya 500 lelaki dan perempuan, anak lelaki dan perempuan, dibunuh dan ditanam kerana jika tidak,bandar itu mesti ditinggalkan.

Pada tahun 1500-an, mazhad India Thugee, mengorbankan sebanyak 50,000 orang dengan purata 2000 orang setiap tahun bagi mempersembahkan korban itu kepada dewi mereka. Amalan ini juga tidak jauh berbeza dengan puak Aztek yang membunuh hampir 20,000 oranng sebagai korban kepada tuhan mereka yang perlukan darah sebagai “nourishment” harian.

Apakah Tuhan masih relevan?

Pastinya setiap manusia memilih untuk percaya apa yang mereka mahu percaya.

Kepercayaan terhadap Tuhan memberi suatu suntikan spiritual yang sangat kuat. Karen Armstrong (1993) dalam A History of God , memberikan input menarik dalam bab-bab terakhir bukunya.

Antaranya, beliau menukilkan beberapa pandangan sarjana Barat semenjak permulaan kurun ke-19 yang mana, dengan revolusi sains dan teknologi, memberikan suatu semangat baru atau zeitgeist yang memberi autonomi dan kemandirian manusia dari tuhan. Tokoh-tokoh seperti Feuerbarch, Marx, Darwin, Nietzsche, dan Sigmund Freud mengisi wacana keilmuan tanpa memberi sebarang tempat kepada Tuhan.

Akan tetapi Freud, walaupun menganggap Tuhan ini hanyalah “personal God” setiap individu yang mana datang dari “unconscious mind”, di mana secara psikologinya ingin seseorang yang simbolik seperti seorang ayah yang “protective”, berkuasa memberi keadilan dan kebaikan untuk seseorang meneruskan hidup, beliau tetap mengakui bahawa, untuk memaksa seseorang meninggalkan kepercayaannya terhadap Tuhan di saat dia belum bersedia juga sesuatu yang berbahaya kerana ini boleh meninggalkan kesan yang tidak sihat dan menimbulkan impak yang buruk.

Karen Armstorng memberi contoh Schopenhauer yang menolak Tuhan akan tetapi akhirnya terpinggir dari bersosial dengan manusia dan hanya berkomunikasi dengan anjingnya. Ini juga berlaku kepada Nietzsche yang akhirnya tinggal seorang diri, dilanda kesakitan dan sangat berbeza dengan apa yang beliau cadangkan supaya manusia menjadi ubermench atau superman.

Kesimpulan

Bagi saya, apa pun kepercayaan kita terhadap Tuhan, sama ada sebagai tempat bergantung harap dikala kita memerlukan bantuan, ataupun sumber mutlak kita menjalankan kehidupan, kita perlulah mencari dan mencungkil apa sahaja dalam agama yang menyuruh kearah keharmonian dan interaksi yang sihat antara agama mahupun dengan yang tidak percaya kepada agama.

Malah, dalam masyarakat Malaysia khususnya yang plural dari segi budaya, bangsa dan agama,suatu sifat hormat dan penghargaan perlu diberi dan diraikan dalam meneruskan interaksi yang sihat dalam mencapai kebebasan dan keamanan yang kita kehendaki.

Dengan belajar dari sejarah, kita tidak boleh lagi bersenang lenang dengan teks-teks suci kita dengan beranggapan bahawa Tuhan bersama kita dan merasakan yang kita sudah berada di pihak yang benar.

Agama seharusnya mengangkat nilai yang lebih tinggi dari sekadar mengagungkan sesebuah bangsa dan “superiority” tamadun yang kononnya hanya dengan menganut agama “A” ini sahaja lah , semua masalah di dunia akan selesai.

Kita perlu melihat jauh merentasi dunia global dan bergaul dengan masyarakat yang lebih plural dan belajar menyebar cinta seluas-luasnya. Pastinya kita tidak mahu mengulangi apa-apa sahaja peristiwa berdarah yang dilancarkan atas nama agama.

Di harapkan, penulisan pada kali ini, tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak kerana ia dinukilkan dengan niat untuk mengajak pembaca pergi jauh dari sentiment agama yang sempit. Wallahu`alam.

unnamed

]]>