Oleh: Uthaya Sankar SB
(Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya)
Pada penelitian saya, ada tiga pihak yang “berhak” (jika mahu) mendesak
supaya filem Vishwaroopam (2013) diharamkan/dimurnikan di Malaysia.
[caption id="attachment_1458" align="alignright" width="148"] Filem ini secara terang-terangan menentang puak pengganas dan
keganasan yang dilakukan mereka.[/caption]
Apabila saya menyatakan demikian pada ruangan status Facebook pada 5
Februari 2013, ramai yang bertanya apakah cakera video digital (DVD) filem
berkenaan yang ditulis, diarah dan diterbitkan oleh pelakon terkenal Kamal
Haasan sudah berada alam pasaran.
Sebenarnya, jangan lupa bahawa filem itu ada ditayangkan di Malaysia
pada 24 Januari 2013; sehari sebelum saya ke Taiwan selama seminggu
atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd. Isu serta maklumat lengkap berkaitan
penayangan filem tersebut bolehlah dirujuk di media konvensional dan
alternatif.
Dalam perkembangan terbaru, filem Vishwaroopam khabarnya akan
ditayangkan semula di pawagam tempatan (dengan sedikit lagi suntingan)
dalam masa terdekat; dengan izin Tuhan. Saya akan pergi menontonnya
semula untuk menghayati filem bermutu ini secara lebih mendalam bersama-
sama rakan pelbagai kaum dan agama.
Sementara itu, sejak pulang dari Taiwan pada 31 Januari 2013, saya sering
bermimpi tentang Vishwaroopam dan beberapa pihak yang pada 2011 pernah
tampil memberikan komentar berhubung novel Interlok: Edisi Murid iaitu teks
Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).
“Biarpun ada unsur kejelekan pada sesetengah tempat, pengakhirannya
membawa kepada pemahaman bersama bahawa perpaduan antara kaum
penting, sekali gus mendaulatkan perpaduan kaum yang bersesuaian sebagai
pemangkin perpaduan di kalangan penonton.”
Demikian presiden sebuah persatuan penulis peringkat nasional yang juga
pensyarah di sebuah universiti tempatan berkata semasa sidang media dalam
mimpi saya.
Dalam mimpi yang sama, seorang ibu dari Kepong menghubungi saya
melalui telefon dan mengatakan beliau baru menonton DVD filem
Vishwaroopam yang dibawa pulang oleh anaknya yang belajar di Tingkatan
Lima. Katanya, kandungan filem itu memang menghina kaum India dan
agama Hindu, serta tidak sesuai ditayangkan di Malaysia.
Beberapa hari kemudian (masih dalam mimpi, tentunya), si ibu berkenaan
menghadiri “Wacana Vishwaroopam: Jujur atau Perkauman” anjuran sebuah
akhbar tempatan lalu bertukar menjadi penyair dan pengkaji sastera Melayu
yang menyokong filem Vishwaroopam ditayangkan kepada umum tanpa walau
satu suntingan.
Saya bermimpi malam tadi. Seorang penulis veteran dan bekas pensyarah
universiti menjadi panel “Dialog Filem Vishwaroopam” anjuran sebuah
persatuan penulis di Kuala Lumpur. Beliau berkata, “Dulu filem Dasavatharam
(2008) tulisan dan lakonan Kamal Haasan mendapat sambutan hangat
seluruh dunia dan mencapai pungutan US$45.5 juta. Kini, kumpulan tertentu
fikir ‘Kamal hebat, kita pancunglah’. Ini punca isu penentangan terhadap
Vishwaroopam.”
Saya bermimpi bahawa beberapa persatuan penulis serta badan bukan
kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum, meminta Kerajaan Malaysia
meneruskan tayangan filem Vishwaroopam. Mereka juga dengan tegas
menolak sebarang campur tangan politik yang berpentingan peribadi dan
bersifat politik perkauman. Mereka (dalam mimpi saya) menolak tuntutan
supaya filem itu disunting jika alasannya adalah kerana wujudnya unsur
penghinaan terhadap kaum/agama tertentu. Bagi mereka, tiada unsur
penghinaan sama sekali dalam filem itu.
[caption id="attachment_1459" align="alignright" width="150"] Kamal Haasan menulis skrip, mengarah dan menerbitkan filem
bertaraf antarabangsa ini.[/caption]
Saya bermimpi malam tadi. Ketua umum sebuah parti politik memberitahu
wartawan di Petaling Jaya: “Saya dah tonton filem Kamal Haasan ini sudah
lama, saya tidak nampak apa-apa yang rasis pun. Saya rasa kita perlu
adakan perbincangan untuk selesaikan perkara ini.”
Ternyata pengalaman sebenar dalam isu berkaitan novel Interlok: Edisi Murid
pada 2011 kembali bermain dalam mimpi saya. Saya ada menghuraikan
mengenai realiti dunia mimpi dalam salah satu bab novel Panchayat: Edisi Khas
(2012).
Dalam mimpi saya malam tadi, seramai 60 orang hadir dalam perhimpunan
besar-besaran di perkarangan pejabat sebuah persatuan penulis bagi
membantah tindakan mempolitikkan filem Vishwaroopam.
Mereka yang terdiri daripada tidak kurang 30 NGO dan persatuan penulis
dari seluruh negara sama-sama bersepakat memperakui Vishwaroopam
sebagai sebuah karya yang mempunyai intergriti. Sehubungan itu, mereka
meluluskan lapan resolusi bersama. Antaranya menolak sebarang tuduhan
bahawa Vishwaroopam adalah sebuah filem yang menghina masyarakat India
beragama Islam.
[caption id="attachment_1463" align="alignright" width="150"] Reaksi terhadap Vishwaroopam bermula di Tamil Nadu, India sebelum
menular ke Malaysia.[/caption]
Mereka juga menolak sebarang cadangan untuk menarik balik tayangan
Vishwaroopam di pawagam tempatan serta membantah sekeras-kerasnya
sebarang cadangan untuk meminda/menyunting mana-mana bahagian dalan
filem tersebut.
Dalam mimpi saya, presiden sebuah parti politik juga mengeluarkan
kenyataan berhubung kontroversi filem berkenaan. Katanya, ia seharusnya
dinilai dan diadili dari kaca mata produk seni filem yang bertujuan
menggambarkan konteks sosial sejarah. “Kekeliruan fakta atau maklumat
dalam filem ini, sebagaimana yang didakwa oleh pihak tertentu, perlu
dibahas secara ilmiah dan dengan keterbukaan intelektual yang tinggi tanpa
menjejaskan niat asal filem ini dibikin,” katanya.
Dalam mimpi saya, seorang wartawan menghubungi presiden sebuah
persatuan penulis untuk mendapatkan reaksi. “Dalam filem tersebut ia
menggambarkan bahawa sebahagian masyarakat terbabit sahaja yang terdiri
daripada pengganas. Tidak semestinya filem perlukan ketepatan seratus
peratus. Ini fiksyen yang menggunakan anakronisme. Mencari ketepatan 100
peratus di dalam filem dan sastera adalah kerja bodoh,” ujar individu terbabit.
Saya juga didatangi mimpi yang sangat realistik di mana empat Sasterawan
Negara mengeluarkan kenyataan bersama. Saya membaca petikannya
(dalam mimpi, tentunya) seperti berikut:
[caption id="attachment_1464" align="alignright" width="150"] Kelab peminat Kamal Haasan di Malaysia tampil berkempen
menyokong filem Vishwaroopam.[/caption]
“Kami, Sasterawan Negara Malaysia, ingin menegaskan bahawa sebuah
teks sastera dan filem bukanlah sebuah teks politik, dan bukan juga teks
sejarah atau geografi. Sebuah karya sastera dan filem ialah sebuah teks yang
melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan kepentingannya dalam konteks
zaman dan sejarahnya. Yang dilukis didekatkan sehampir mungkin kepada
kenyataan di dalam dan di luar diri manusia, kerana karya sastera dan filem
tidak tercipta daripada kekosongan atau vakum.
“Peristiwa di luar – peperangan dan kedamaian, kesusahan dan kesenangan,
kerusuhan dan ketenangan – dilukis oleh kata-kata dan visual. Kami
berpendapat bahawa sastera dan filem ada ruangnya sendiri dengan
keseniannya yang khusus pula. Kita harus membaca sastera sebagai
sastera, menonton filem sebagai filem, dan bukan buku sejarah atau politik.
Membaca sastera dan menonton filem ialah suatu proses berfikir, merasa dan
menghayati bahasa, peristiwa dan gagasan.”
Saya bermimpi malam tadi. Seorang calon Sasterawan Negara memberitahu
saya: “Anggapkan Kamal Haasan salah. Biarkan pelakon dan pengarah itu
yang bertanggungjawab kepada kesilapan yang dia buat. Hukumannya
adalah bahawa Kamal Haasan tak pandai.”
[caption id="attachment_1465" align="alignright" width="150"] Akhbar-akhbar Tamil tidak ketinggalan menyiarkan berita berkaitan
isu ini.[/caption]
Tentu sahaja kesemua individu yang saya sebut di atas tidak semestinya
pernah membuat sebarang kenyataan mengenai filem Vishwaroopam.
Sebaliknya, kenyataan-kenyataan yang pernah mereka buat dengan penuh
prihatin dalam isu novel Interlok: Edisi Murid kembali muncul dalam mimpi
saya. Mungkin kerana ada sedikit (kalau tidak banyak) persamaan dalam
kedua-dua isu terbabit.
Untuk rekod, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menulis komentar
berikut pada 26 Januari 2013: “Vishwaroopam didakwa hina komuniti Islam
di Madras; Race 2 pula dedah jenayah niagawan yang paling atas. Satu
tidak sempat kutonton; yang ditonton sangatlah gerun. Terhimbas wajah
masyarakat – nafsu gelojoh paling dahsyat!”
Pada awal tadi, saya menyebut bahawa ada tiga pihak – pada pandangan
saya – yang berhak mendesak filem Vishwaroopam tidak ditayangkan di
Malaysia. Ini adalah pandangan peribadi saya dan tiga pihak berkenaan
adalah seperti berikut:
Pertama, penganut agama Hindu – memandangkan ada bahagian tertentu
(dialog) yang menyindir cara orang Hindu “menghukum dewa bertangan
empat”.
Kedua, puak-puak yang secara langsung atau tidak langsung menyokong
pengganas dan keganasan – memandangkan filem ini menyelar serta
mengutuk pengganas antarabangsa tanpa mengira kaum/agama.
Ketiga, puak-puak etnosentrik tertentu – memandangkan mereka tidak
memerlukan apa-apa alasan munasabah untuk berbuat apa sahaja di negara
bertuah ini.
Dalam pada itu, memandangkan saya asyik termimpi akan novel Interlok: Edisi
Murid sejak timbul isu filem Vishwaroopam, maka wajar juga saya menegaskan
pendirian saya bahawa filem ini masih boleh ditayangkan; dengan label
“18PL” misalnya.
Walau bagaimanapun, saya sendiri pasti tampil menyatakan bantahan rasmi
sekiranya (ulang: sekiranya) ada cadangan daripada mana-mana pihak yang
mahu memasukkan versi asal filem bertaraf antarabangsa ini sebagai “teks
wajib tonton” bagi Komsas dengan alasan bahawa pelajar kita sudah cukup
matang untuk mencerna isu-isu sensitif seperti disajikan dalam Vishwaroopam.