Autonomi bermula dari akar umbi

[1]. Manifesto Pakatan Rakyat Sabah telah menyatakan bahawa mereka akan mengembalikan hak Sabah Sarawak seperti Perjanjian 1963. Juga mereka akan menghormati kedudukan Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan. Manakala terdapat hujah menyatakan bahawa SAPP dan STAR tidak boleh membawa pertukaran kerajaan, kerana selagi BN terus mengawal Parlimen dan Kerajaan Persekutuan, autonomi sebenar tidak akan berlaku. Mengikut Perlembagaan Persekutun, bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dihuraikan dalam Bahagian 4 iaitu Senarai Persekutuan dan bidang kuasa Kerajaan Negeri pula dihuraikan dalam Bahagian 5 iaitu Senarai Negeri, dan terdapat juga Senarai Bersama yang menghuraikan perkongsian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Kerajaan Persekutuan memegang sebahagian besar berbanding Kerajaan Negeri, dimana antara bidang kuasa Kerajaan Persekutuan ialah pendidikan, pengangkutan, keselamatan dalam negeri, kewarganegaraan, kesihatan, dasar luar dan banyak lagi bidang berkepentingan dalam sebuah negara. Manakala untuk Kerajaan Negeri pula, bidang kuasa agak terhad iaitu tanah, perhutanan, dan Islam. Oleh itu, untuk membuat perubahan, pergerakan ini menyatakan “Undi Parlimen dengan Kepala; Undi ADUN dengan Hati. Undi Pakatan Rakyat untuk Parlimen; Undi parti tempatan untuk ADUN”. Sentimen ini wujud kerana bukan sahaja pembangkang sangat berpecah pelah, tetapi rakyat Sabah dari dulu lagi merasai penindasan dari Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh UMNO/BN. Pergerakan ini melihat bahawa perubahan konkrit boleh dicapai dengan menukar Parlimen melalui Pakatan Rakyat. Pada masa yang sama, rakyat Sabah yang mempunyai agenda Borneo di hati masih boleh memilih parti tempatan untuk menguatkan dan menjadi semak dan timbang (check and balance) dalam pentadbiran tempatan. Walaupun hati rakyat Sabah adalah untuk agenda Borneo, tetapi pada masa sekarang rakyat Sabah diajak untuk berfikir secara matang dan bukan secara emosi. Apabila kempen ini berlangsung, ternyata ramai tidak tahu perbezaan antara Parlimen dan ADUN. Nampaknya kelemahan ini untuk juga memanipulasikan kebanyakkan orang kampung di pedalaman Sabah. Terdapat juga ramai pelajar yang tidak tahu apa bidang kuasa Parlimen dan ADUN, dan terus merasa tidak peduli untuk melibatkan diri dalam proses pembinaan negara. Bukan itu sahaja, hasil daripada latihan pendidikan kewarganegaraan yang saya ikuti pada tahun 2011, ramai yang tidak fasih (termasuk kerajaan tempatan) dengan bidang kuasa masing-masing. Jika saya mengundi untuk PR nanti, tidak bermakna saya setuju dengan mereka 100% kerana banyak lagi isu yang harus diperbaiki, salah satunya adalah pemilihan ahli majlis tempatan. Pemilihan ahli majlis tempatan harus dihidupkan semula supaya operasi pihak berkuasa tempatan lebih cekap dan telus. Kerana kebanyakkan masalah-masalah rakyat adalah berkenaan dengan isu-isu tempatan yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat seharian. Kerajaan tempatan pula adalah kerajaan yang paling dekat dengan rakyat, oleh itu yang paling mencabar sekali.  Teringat saya seorang kawan wartawan yang membuat panggilan aduan mengenai longkang tersumbat di depan rumahnya setelah sekian lama. Dan semua jiran di tamannya yang hairan siapa yang membuat panggilan itu dan tepuk tangan kerana akhirnya satu masalah tempatan diselesaikan. Seperti yang dikatakan oleh seorang kawan, penipuan terbesar ialah apabila ada parti politik mengatakan bahawa ia boleh menyelamatkan Malaysia. Untuk memperkasakan rakyat adalah lebih daripada berpolitik semata-mata, kerana pembangunan bermula dari akar umbi. Autonomi haruslah bermula dari bawah dan sepatutnya bukan sahaja bergantung kepada parti politik atau ahli politik. Dan orang muda harus sedar bahawa perubahan bukan semuanya dari parti politik atau menjadi ahli politik. Ia bergantung kepada setiap rakyat untuk melibatkan diri dalam proses pembinaan negara secara kreatif. Jika rakyat tidak tahu hak mereka sendiri, maka senang untuk mana-mana parti politik untuk mendiskriminasikan rakyat sendiri. Selepas ini banyak lagi kerja harus dilaksanakan, seperti latihan pendidikan hak asasi manusia, latihan pendidikan kewarganegaraan dan kerja akar umbi di komuniti yang harus dilaksanakan secara konsisten dan bukan hanya menunggu tiba pilihanraya.

]]>