Projek Dialog membantah stigmatisasi penganut Mazhab Syiah

Projek Dialog Membantah Pengharaman dan Stigmatisasi Penganut Mazhab Syiah 

Projek Dialog berasa kesal akan tindakan kerajaan untuk mengharamkan penganutan fahaman Syiah di Malaysia. Hal ini adalah berikutan daripada kenyataan anti-Syiah oleh beberapa menteri kabinet dan ahli politik, diantaranya ialah Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri, dan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah. Projek Dialog membantah akan ancaman keras, penindasan dan prejudis pihak berkuasa serta sesetengah pihak berkepentingan terhadap golongan bermazhab Syiah di negara ini. Sebelum ini, Projek Dialog pernah menulis sebuah kenyataan media berkenaan bantahan kami terhadap Bengkel Bahaya Syiah anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kami juga telah menulis rencana mengenai isu-isu yang dihadapi oleh golongan Syiah di negara ini. Penghukuman golongan bermazhab Syiah oleh pihak berkuasa kerajaan berakar sejak tahun 1980-an akan tetapi menjadi lebih buruk sejak 1990-an. Agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Pendaftar Pertubuhan dan Kementerian Penerangan juga telah bersatu mengambil langkah drastik untuk menekan golongan minoriti Islam ini. Pihak media dan alim ulama arus perdana juga tampak giat menfitnah Syiah sebagai bukan agama Islam. Ini adalah aneh memandangkan mazhab Syiah diiktiraf oleh OIC seperti termaktub dalam Islamabad Declaration 2007. Projek Dialog juga mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia tidak terlepas dari Universal Declaration of Human Rights (1948) dan ASEAN Human Rights Declaration (2012) yang telah ditandatangani oleh negara. Islam mengajar umatnya mendalami nilai-nilai kemanusiaan dan kedamaian sejagat, dan nilai-nilai tersebut adalah terpaut dalam sejarah kedatangan Islam di sini. Sejarah menunjukkan ajaran Sunni dan Syiah telah berkembang dengan amannya di Asia Tenggara, termasuk juga di negara ini. Kerajaan-kerajaan Melayu dahulu kala menghormati, malah menerima kepelbagaian beragama di kalangan masyarakat majmuk. Sejarah kedatangan agama Syiah di Malaysia telah wujud sejak kurun ke-12. Ia tersebar luas ke kawasan-kawasan di Indonesia (terutamanya Aceh), Thailand dan Malaysia oleh pedagang-pedagang dari Selatan India. Bahkan, penerapan fahaman Syiah adalah amat mendalam dan mempengaruhi kebudayaan dan kesusasteraan masyarakat Melayu di sini. Antaranya adalah Hikayat Muhammad Hanafiyyah, ia merupakan manuskrip teks Melayu yang terawal, dipercayai berasal-usul daripada Parsi. Hikayat tersebut menceritakan sejarah awal Syiah melalui peperangan epik di antara puak regim Umayyad yang diketuai oleh Muawiyah dan Abu Hurairah, terhadap Muhammad Ibn Al-Hanafiyyah, anak kepada Khalifah Ali Bin Abi Talib. Selain itu, tokoh sastera awal seperti penyair terkenal kurun ke-17, Hamzah Fansuri, sering menyelitkan unsur-unsur falsafah mistik Syiah dalam syair-syairnya. Syair-syairnya nan indah juga telah sedikit sebanyak mengembangkan pemikiran Wahdatul Wujud (unity of existence). Sejarah perkembangan Syiah tersebut menunjukkan dakwaan bahawa Syiah akan memesongkan umat Islam adalah tidak benar sama sekali, bahkan Syiah telah memperkayakan lagi budaya dan pemikiran masyarakat Melayu di benua ini. Malaysia tidak boleh bermuka-muka di peringkat lokal dan bersikap lain di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961, akan tetapi di peringkat tempatan  penganut Syiah dianiayai dengan begitu teruk sekali. Kita sebagai umat Islam sepatutnya menghargai kepelbagaian dan keunikan agama di Malaysia, sumber-sumber keintelektualan dan sastera Melayu yang disumbangkan oleh agama-agama termasuklah dari Syiah adalah tidak terhingga nilainya. Al-Quran juga memberi penekanan dalam kepentingan kepelbagaian dan sikap inklusif di kalangan umatnya. Manusia yang tidak menghargai sejarah dan kebudayaan di sekelilingnya, akhirnya akan menjadi seorang yang daif ilmu dan cetek nilai. Negara yang tidak memelihara kepelbagaian di kalangan umatnya, akhirnya akan ketandusan nilai kemanusiaan dan ketuhanannya. Demikian itu, Projek Dialog berharap rakyat Malaysia, khususnya umat Islam di negara ini mampu mencelikkan kerohanian minda mereka agar tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur ancaman dan penindasan terhadap komuniti Syiah yang dibawa oleh pihak-pihak berkepentingan. Kami menyarankan agar alim ulama negara ini memainkan peranan penting dalam mendidik umat dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat, serta mengamalkan prinsip berdialog atau bermuzakarah dalam menangani isu-isu keagamaan minoriti. Akhir sekali, kami berharap pihak berkuasa dapat menarik balik kenyataan mereka terhadap pengharaman penganutan Syiah di negara ini, dan sebaliknya mengamalkan pemerintahan yang memelihara kemajmukan dan keadilan sosial di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama. ]]>