Benarkah ini agenda Kristian?

Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) boleh diterima bulat-bulat sebagai fakta, maka hakikat yang sedang berlaku di depan mata adalah situasi di mana semakin ramai umat Islam sudah terpesong daripada ajaran Islam sebenar. Selain daripada itu, kekuatan umat Islam di Malaysia semakin tergugat dan isu murtad sudah sampai ke tahap kritikal serta semakin bertambah setiap hari. Agama-agama yang menjadi pilihan mereka yang “keluar Islam” adalah Hindu, Buddha dan Kristian. Maklumat di atas bukan rekaan tetapi dipetik daripada buku berkenaan yang diedarkan secara percuma kepada sekitar 1,000 pelajar universiti, pelajar sekolah menengah dan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang menghadiri (atau dipaksa menghadiri) “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 6 Mei 2014. Seminar itu khabarnya anjuran bersama Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Warisan Ibnu Aaby dan MAIS dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf, TV Al-Hijrah, Kumpulan Zikay dan Kumpulan Pantai Bharu. Makalah saya bertajuk “Dilema Melayu, Cina, India” disiarkan di Projek Dialog pada 16 April 2014. Dalam makalah berkenaan, saya memetik kata-kata AB Sulaiman, penulis buku Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013) yang berhujah bahawa “There is no such thing as a Malay race”. Lalu saya dihubungi wakil suatu kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai “The Patriot” dan membidas saya dengan alasan bahawa apabila saya memetik hujah Sulaiman, maknanya saya menyokong dan bersetuju dengan pandangan beliau. Memandangkan mungkin ada wakil puak-puak “kurang cerdik” yang membaca makalah ini, maka biarlah saya nyatakan secara terang-terangan (black and white) bahawa pandangan MAIS serta maklumat daripada buku Pendedahan Agenda Kristian yang dipetik dalam makalah ini tidak semestinya mewakili pandangan saya. Pelbagai maklumat serta berita mengenai buku ini disiarkan di portal berita dalam talian dan laman rangkaian sosial (khususnya Facebook) sejak ia diedarkan kepada peserta seminar pada 6 Mei 2014. Dakwah Islam VS dakyah Kristian? Kesimpulan keseluruhan bagi bab pertama terdapat di halaman 16. Ramai yang mengambil foto halaman itu untuk dipaparkan menerusi Facebook. Enam kesimpulan yang dinyatakan adalah seperti berikut: Nasrani (Kristian) adalah musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam. Nasrani (Kristian) adalah pembawa berita pendustaan dan mereka sentiasa berusaha menyelewengkan fakta tentang kebenaran ajaran Islam. Nasrani (Kristian) akan berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati di kalangan umat Islam. Jalan keluar dari usaha dakyah Nasrani (Kristian) ialah dengan berhujah kepada mereka mengenai kebenaran Islam di samping memantapkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah SAW. Umat Islam mestilah bersikap tegas dan berhati-hati terhadap Nasrani (Kristian) serta tidak taat dan tidak menjadikan mereka sebagai pelindung/pemimpin/penjaga. Jika umat Islam alpa terhadap peranan hujah kebenaran dan ragu-ragu dengan Islam, mereka akan mudah terpengaruh dengan tipu daya Nasrani (Kristian). [caption id="attachment_3483" align="alignleft" width="300"]Kesimpulan yang pasti menyentuh sensitiviti umat Bukan Islam. Kesimpulan yang pasti menyentuh sensitiviti umat Bukan Islam.[/caption] Bab kedua membantu pembaca pelbagai kaum dan agama – memandangkan buku ini ditulis menggunakan Bahasa Malaysia – untuk memahami secara mendalam mengenai gerakan evangelisme. Saya berjaya mendapatkan senaskhah buku Pendedahan Agenda Kristian pada 15 Mei 2014 dan terus meluangkan masa membacanya dengan penuh minat dan rasa ingin tahu. Buku Syiah pun saya baca, inikan pula buku yang tidak diharamkan. Tambahan pula, ia bukannya buku dari luar (Indonesia atau Somalia, misalnya) tetapi terbitan di Malaysia sendiri, di mana kita amat memahami serta menghormati sensitiviti kaum dan agama. Di mana sekitar 61.3 peratus penduduk beragama Islam, 19.8 peratus beragama Buddha, 9.2 peratus Kristian dan 6.3 peratus Hindu. Buku itu menghuraikan bahawa gerakan evangelisme di bawah mazhab Evangelical memfokuskan usaha penyebaran agama Kristian melalui pelbagai cara dan pendekatan termasuk usaha yang bersifat serangan. “Gerakan usaha evangelisme ini menuntut komitmen yang tinggi dalam diri pendakyah Kristian, persiapan yang rapi (dari) segi fizikal, mental dan rohani serta strategi pendekatan yang betul,” kata buku itu. Sebagai pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama), berdasarkan maklumat dalam buku Pendedahan Agenda Kristian, saya mendapati ada banyak persamaan antara gerakan yang dilakukan oleh orang Islam dan Kristian. Tambahan pula, kedua-duanya memang agama yang berdakwah. Perbezaan yang nyata hanyalah apabila MAIS menggunakan istilah “dakwah” bagi Islam dan “dakyah” bagi Kristian. Pengerusi MAIS, Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dalam kata-kata aluannya menjelaskan bahawa penulis buku berkenaan adalah “berdasarkan dalil nas al-Qur’an dan hadis” dalam usaha “memberi petunjuk kepada umat Islam tentang sikap sebenar golongan Nasrani dan Kristian terhadap Islam”. Kristianisasi punca orang Melayu murtad? Pada bahagian pengenalan, dinyatakan bahawa penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian, sebaliknya menghuraikan elemen gerakan kristianisasi yang wajar diberikan perhatian oleh umat Islam. Kristianisasi dikatakan menjadi punca utama kes murtad dalam kalangan orang Islam. “Jenayah ini ibarat menculik anak orang lain dari rumah mereka dan mengajarkan kepada anak itu bahawa ibubapa [sic] mereka tidak benar,” kata buku itu. Buku terbitan MAIS ini yang diedarkan kepada peserta pelbagai agama semasa seminar (6 Mei 2014) mengingatkan bahawa umat Islam perlu sentiasa berhati-hati dengan tindak-tanduk golongan Kristian. “Umat Islam juga perlu mengelak daripada terjebak dalam perangkap samar yang sentiasa dipasang oleh pihak yang mengambil kesempatan menangguk di aur yang keruh untuk memecahbelahkan [sic] kesatuan umat yang akhirnya menguntungkan golongan Kristian secara tidak langsung.” Demikian dinyatakan dalam buku berkenaan. Bab 3 antara lain berusaha menunjukkan kaitan antara kes murtad dan usaha kristianisasi. Bagaimanapun, diakui bahawa ada faktor dalaman dan faktor luaran yang menjadi punca gejala murtad semakin menular. Faktor dalaman adalah kejahilan serta keinginan meneroka perkara baru. Faktor luaran yang disenaraikan adalah ujian kebendaan, kelemahan penguatkuasaan, desakan hidup, perkahwinan, kelemahan ummah dan usaha mubaligh agama lain. [caption id="attachment_3484" align="alignleft" width="300"]Orang Kristian dikatakan ada agenda jahat. Orang Kristian dikatakan ada agenda jahat.[/caption] Tidak perlulah saya menghuraikan faktor-faktor di atas. Sesungguhnya orang ramai (yang waras sahaja) boleh melihat dan memahami sendiri apakah benar dakwaan bahawa gerakan kristianisasi dan agenda Kristian yang menjadi punca utama murtad dalam kalangan orang Islam atau “kelemahan” sendiri. Makalah ini tidak bertujuan menghukum sesiapa atau mana-mana pihak. Bukan juga bermakna saya “menyokong” atau “sependapat” dengan MAIS semata-mata kerana saya memetik kandungan buku terbitannya. (Ahli “The Patriot” dan kelompok kurang cerdik, sila ambil maklum.) Walaupun buku Pendedahan Agenda Kristian diedarkan secara percuma kepada peserta Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara, memang sukar untuk “melihat” buku ini di mana-mana. Hal ini nyata apabila ramai yang bertanyakan buku ini menerusi Facebook tetapi hampir tiada sesiapa yang mengaku memilikinya. Maka, makalah ini sekadar bertujuan menghuraikan secara ringkas sebahagian kandungan buku ini demi manfaat bersama khalayak pelbagai kaum, etnik, agama, mazhab dan kepercayaan. Tambahan pula, buku ini turut menyentuh mengenai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian” (walaupun setahu kita, “Cina” bukan agama). Biarlah semua orang tahu mengenai kandungan buku ini yang sedang hangat diperkatakan. Tentu MAIS gembira kerana selain daripada sekadar sekitar 1,000 peserta yang menghadiri seminar anti-Kristian di UiTM, kini kandungan serta mesej buku Pendedahan Agenda Kristian sudah disebarkan ke seluruh dunia menerusi makalah ini. Usaha lupa: “Penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian,” seperti kata penerbit.         unnamed

]]>