Krisis pemikiran politik Islam

Tentang hubungan antara agama dan politik Mengulas tentang dunia Muslim dan pemikiran mereka tidak dapat lari daripada mengulas sumber-sumber yang menjadi rujukan mereka dalam kehidupan, selain tentang ‘bagaimana’ mereka berinteraksi dengan dunia moden yang serba mencabar ini sambil berpegang dengan sumber-sumber (al-Quran, al-Hadis dan teks-teks tradisi) yang menjadi rujukan. Soal hubungan agama dengan politik sentiasa menjadi topik yang berlarutan, namun malangnya seringkali ia berlangsung dengan penuh mengecewakan sejak berdekad-dekad lamanya. Ia bermula dengan kekacauan cara berfikir yang ditimbulkan oleh sebahagian yang mengaku sebagai ‘salafi’ apabila perbincangan politik dibahaskan secara terlalu literal. Tokoh ilmuan Muslim antarabangsa, al-Qaradhawi mengulas dan mengkritik fenomena ‘literal dalam nas-nas berkaitan al-muamalat’ tersebut dalam banyak karya beliau seperti as-Siyasah as-Shariyyah fi Dhau’ Nusus as-Shariah wa Maqasidiha dan Dirasah fi Fiqh Maqasid al-Shariah[i]  atas nama az-Zhohiriah al-Judud yang membahaskan persoalan-persoalan agama secara terasing daripada objektif-objektif Shariah. Di tangan mereka, hubungan agama dan kehidupan seperti hanyalah halalisation dan  haramisation; lantas ditolak wacana-wacana semasa dalam pemikiran politik atas alasan bidaah. Al-Qaradhawi semasa mengulas fenomena tersebut menyatakan: “Mereka menolak petikan daripada selain kita (Muslim), menganggapnya sebagai perkara baru dalam agama dan segala perkara baru adalah bidaah, setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan balasannya neraka. Lantas mereka menganggap demokrasi seluruhnya (kemungkaran) yang wajib ditentang, sementara penerimaan pandangan majority (bidaah Barat) yang diimport.” (al-Siyasah al-Shariyyah, hlm. 231) Demokrasi haram, penubuhan parti haram, pengehadan tempoh pemerintahan haram dan segala idea-idea baru akan dibalas haram oleh mereka dan golongan yang menuruti mereka. Kita perasan di tanah air kita fenomena halalisation dan haramisation ini berlangsung hangat terutama menjelang musim pilihanraya. Contohnya kita tidak lupa apabila ada sebahagian golongan agama yang mengharamkan pengundian calon-calon bukan Muslim. Penulisan ini bukan ruang untuk membincangkan secara ilmiah dan mendalam persoalan tersebut, tapi sesuatu yang sungguh wajar kita banteras ialah fenomena mereka yang ‘menghidupkan’ (mematikan!) wacana pemikiran politik Islam kontemporari dengan berkata “haram” semata-mata. ia adalah suatu krisis yang memandulkan khazanah pemikiran kita. Awalnya ia mungkin sebuah tindak-tanduk yang mengharamkan falsafah politik, akhirnya tanpa sedar ia bertukar menjadi sebuah falsafah yang mengharamkan segala pandangan yang berbeda dengan mereka, “min tahrim al-falsafah ila falsafah at-tahrim” (daripada mengharamkan falsafah kepada falsafah yang mengharamkan) sebagaimana diulas seorang penulis bernama Turki al-Hamad dalam bukunya as-Siyasah bayn al-Halal wa al-Haram”. Gerakan dan ideologi? Tentang agama dan politik, sebahagian gerakan Islamis pula masih gagal menjelaskan secara kritikal bagaimana sebenarnya hubungan antara kedua-duanya. Apabila disoal, mereka akan menjawab ringkas; “agama dan politik tidak boleh dipisahkan”. Soal kepercayaan dan pendirian kaum Muslim yang sentiasa melihat kehidupan dan isu-isunya menerusi kaca mata tradisi agama mereka, ia dihormati dan tidak disangkal. Namun wajarlah polemik hubungan antara agama dan politik ini dibincang kritis oleh mereka, contohnya soal bagaimana sebenarnya agama berinteraksi dengan politik? Soalnya juga ialah bagaimana membedakan antara pembahagian ruang dalam wacana agama dan politik? Adakah memandangkan politik berhajat kepada agama, dan mereka merupakan sebuah gerakan politik berorientasikan agama, maka segala idea dan pandangan politik mereka merupakan ‘agama’? Persoalan tersebut mestilah dibincang serius dan kritikal memandangkan jika tidak ia akan terus menambah kekeliruan dan campur aduk yang tidak seimbang antara dua ruang, dibimbangi akhirnya wujud unsur pemaksaan idea-idea politik atas nama agama dan autoriti khasnya dalam sebuah masharakat jamak agama dan budaya seperti Malaysia. Demikian juga dengan persoalan antara peranan negara, komuniti, keluarga dan peribadi. Kerajaan bukan ibu bapa kita, ibu bapa kita bukan kerajaan. Komuniti ada tanggungjawabnya, kerajaan ada tanggungjawabnya. Keluarga, komuniti, sekolah, universiti dan kerajaan pasti akan mempunyai tanggungjawab yang berbeda, malah bentuk dan jenis kemungkaran yang mesti dicegah juga berbeda kuasa dan peranannya. Rasuah, salah guna kuasa, kes-kes jenayah dan sebagainya antara kemungkaran yang mesti diselesaikan kerajaan, tapi etika berpakaian, waktu keluar malam dan sebagainya pula merupakan tugas ibu bapa, atau rakan-rakan (komuniti), bukannya tugas kerajaan. Ada beberapa masalah yang memerlukan kerjasama dan tanggungjawab oleh kerajaan dan komuniti, tetapi bentuk tanggungjawab pastinya berbeda. Ada pula isu-isu yang hanya melibatkan komuniti dan ada pula yang hanya berkaitan peribadi dan komuniti. Saya melihat, wacana pembahagian tugas dan peranan antara keluarga, komuniti dan kerajaan masih tidak berlangsung dengan baik oleh mana-mana kumpulan Islam sedangkan ia mempunyai perkaitan rapat dengan persoalan hubungan antara agama dan politik. Gerakan Islamis dan kaum cendekia awam yang memberi perhatian terhadap perbincangan ini juga haruslah sedar akan keperluan untuk memperbaharui wacana-wacana tentang hubungan agama dan politik. Pengalaman Islamis pada zaman kolonial sudah tentu tidak sama dengan apa yang mereka sedang hadapi pada zaman ini. Saya memberikan contoh apabila dibincangkan soal negara Islam dan negara sekular, kandungan perbincangannya pada hari ini mempunyai perbedaan dengan apa yang dibincangkan pada era kolonial dan awal pasca-kolonial. Teori Barat mungkin menyatakan; secularization = freedom = religious pluralism = democracy, tapi akhirnya yang berlaku ialah secularization = colonialism = de-Islamization = dictatorship. Justeru apabila diajak mewacanakan soal negara Islam dan negara sekular, haruslah dinilai kembali wacana yang lalu dan disusun kembali menurut konteks hari ini dan menurut latar sesebuah negara, tanpa meninggalkan apa yang diyakini mereka. Demikian juga tidak wajar perbincangan tersebut hanya memberi kita dua pilihan sahaja iaitu sama ada hitam atau putih; sama ada negara Islam atau negara sekular. Justeru tidak dapat tidak dalam projek pengharmonian antara agama dan politik ini, ditentukan apa itu objektif-objektif Shariah (fundamental values) di sebalik sekalian perdebatan dan wacana yang diadakan, contohnya antara objektif utama Shariah menerusi pintu politik ialah keadilan, keamanan, kemuliaan manusia dan kebebasan. Dunia yang makin kompleks dan cabaran yang makin berbeda mengkehendaki penilaian semua tentang persoalan-persoalan di atas, dengan menyediakan jawapan yang tidak lagi utopia dan simplistik, tetapi lebih realistik dan menepati objektif-objektif Shariah yang mesti dicapai. Negara untuk kebaikan semua warganegara, bukan untuk kepentingan golongan Muslim sahaja Krisis dalam pemikiran kontemporari politik Islam khasnya di tanah air kita menjadi makin rumit apabila soal interaksi antara Muslim dan bukan-Muslim telah dicacatkan menerusi perbincangan yang bersifat sektarian dan penuh dengan sentimen keagamaan, selain berdasarkan kaca mata hitam-putih. Kita berada dalam kesempitan dada apabila para pemimpin jadong (iaitu jahat, bodoh dan sombong dan dibantu cita bencana – meminjam istilah Syed Husein al-Attas) telah mengambil kesempatan realiti kepelbagaian agama untuk mengapi-apikan antara Muslim dan bukan-Muslim, sekaligus menyempitkan wacana pemikiran politik Islam, khasnya berkaitan hubungan antara agama. Antara yang terbaharu, ada kumpulan yang melaungkan slogan keIslaman dan kebangsaan Melayu menganggap bangsa selain warga Cina, India dan lain-lain sebagai berkewarganegaraan kelas kedua, mereka juga masih menyebarkan kebencian seperti menyebut “pendatang Cina” dan sebagainya, sedangkan semua merupakan warganegara dalam satu negara. Prof Dr Louay Safi, tokoh intelektual Muslim yang terkenal telah menulis satu artikel menarik bertajuk Linas’a ila bina’ dawlah madaniyyah tahmi huquq al-muwathinin, la dawlah diniyyah tar’a masolih al-mu’minin (Ke arah membina negara madani yang melindungi hak-hak warganegara, bukannya negara agama yang menjaga kepentingan orang beriman), beliau menutup tulisan itu dengan menyatakan; “Legitimasi politik terlaksana menerusi pelaksanaan prinsip-prinsip umum yang dibawa piagam Madinah bukannya menerusi pelaksanaan hukum-hukum fiqh yang khas untuk pengikut agama Islam. Perjanjian Madinah yang mentadbir kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat tidak menyentuh pelaksanaan hukum-hakam Islam dengan gambaran sempit yang diseru oleh sebahagian golongan beragama pada hari ini. Menerusinya ia mahu menukarkan sistem politik kepada sistem diktator yang religius, bertentangan dengan jawhar agama dan ruh Islam; keadilan, kesamarataan, saling membantu, saling bermaafan, menghormati kepelbagaian agama, pilihan-pilihan manusia dan kebebasan rakyat, jauh daripada dikte-dikte pemerintahan mutlak atau negara yang diktator.” Ternyata politik berorientasikan ketakutan dan sentimen keagamaan dan perkauman telah mengalihkan perhatian banyak pihak akan perbincangan sebenar yang wajar diangkat. Lebih memburukkan keadaan apabila segelintir pihak telah memetik beberapa teks klasik mengenai hubungan antara Muslim dan bukan-Muslim dengan keluar dari konteks yang dikehendaki. Mereka menimbulkan persoalan “kafir harbi” sedangkan sekalian rakyat sama ada penganut agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Atheist, Agnostik dan lain-lain merupakan warganegara yang sah, mempunyai hak-hak yang mesti diberi dan mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksana. Hal kesamarataan kewarganegaraan tersebut telah diulas oleh ramai tokoh ilmuan Muslim seperti Fahmi Huwaydi menerusi karya terkenalnya Muwathinun La Dzimmiyyun, al-Qaradawi dalam beberapa tulisannya; antaranya al-Want wa al-Muwatanah dan Dr Muhammad Imarah turut menulis dalam pelbagai bukunya. Salah satunya ialah dalam buku Thawrah 25 Yanayir (Revolusi 25 Januari), beliau semasa mengulas tentang konsep kewarganegaraan telah menulis: “Kesetiaan seseorang warganegara terhadap negaranya mewajibkan ia berlepas diri daripada musuh-musuh negara tersebut. Sepertimana untuk negara ada hak-hak ke atas warganegara, demikian juga sesungguhnya untuk warganegara ada hak-hak ke atas negara dan rakyatnya. Antara hak yang terpenting ialah; kesamarataan dalam persamaan peluang (equal opportunities), penafian diskriminasi dalam hak-hak politik, sosial dan ekonomi disebabkan warna kulit, kelas dan agama, sambil merealisasikan perpaduan sosial yang menjadikan rakyat jasad yang satu.” Demikian sebagaimana tersebar dalam teks-teks klasik dan semasa politik Islam bahawa interaksi antara Muslim dan bukan-Muslim terasnya ialah konsep Lahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna iaitu soal hak dan tanggungjawab sama ada Muslim ataupun bukan Muslim adalah sama dalam sesebuah negara. Malangnya konsep ini tidak begitu diangkat ke tengah-tengah masharakat di Malaysia gara-gara sentimen agama dan kaum yang sempit. Selagi kita tidak keluar daripada sentimen keagamaan dan perbuatan memetik teks-teks klasik politik tanpa meraikan realiti semasa, selagi itulah kita akan terus terjerumus dalam gua kejahilan dan kemunduran karena kita akan gagal memberi fokus terhadap projek pembaikian dan perobahan dalam pemikiran kontemporari politik Islam.   Makalah ini bersambung ke makalah bertajuk Ke Arah Pencapaian Islah Muslim         unnamed      

]]>