Hakikat kepelbagaian seksualiti

Pengiktirafan seksualiti yang pelbagai Benarkah tidak pernah adanya pengiktirafan seksualiti yang pelbagai? Beberapa golongan orang asli Amerika (native American Indians) mengiktiraf 4 kategori jantina (gender), iaitu, tidak semestinya manusia wujud dengan begitu tertentu dan secara binari (dua hala) sahaja — iaitu hanya setakat sebagai orang lelaki dan orang perempuan. Contohnya, golongan Navajo mengiktiraf ada orang dua-roh (two-spirit) dan mereka diterima secara saksama dan kerana diterima, orang yang digelar dua-roh pernah memainkan peranan yang penting di dalam masyarakat tersebut. Kumpulan Chukchi dari Siberia pula mengiktiraf 9 kategori jantina. Isu jantina termasuk di dalam pemahaman istilah seksualiti, dan ada pengaruh atas aspek-aspek seksualiti yang lain, seperti daya tarikan seksual terhadap seseorang. Tetapi apakah pemahaman jantina di Malaysia? Walaupun, Perkara 8(2) di bawah Perlembagaan Malaysia melindungi penduduk Malaysia daripada diskriminasi jantina, golongan orang trans* (transgender) seperti golongan Mak Nyah di negara tersayang ini masih dipinggirkan. Lebih-lebih lagi, kalau dibaca dengan Perkara 8(1) yang menjanjikan kesaksamaan semua orang dan kesaksamaan perlindungan di bawah sistem perundangan negara (equality before the law and equal protection of the law). Malangnya, pemahaman jantina di Malaysia terlampau terpikat kepada pemahaman binari tanpa usaha untuk memahami dysphoria gender yang dikenalpasti oleh American Psychiatric Association (APA), sebuah badan yang mempunyai bilangan ahli psikiatri yang terbesar di dunia yang menentukan piawaian tertinggi untuk perkhidmatan psikiatri. Dysphoria gender adalah satu kenyataan. Ia memang dialami oleh sesetengah orang, di mana orang tersebut tidak selesa dengan seks biologinya dan peranan gender yang dipatutkan oleh masyarakat sekelilingnya. Sebab berlakunya dysphoria gender tidak sekadar isu psikologi dan tingkah laku sahaja, tetapi juga termasuk faktor-faktor biologi dan genetik. Ilmu dari bidang-bidang perubatan, biologi dan sosio-psikologi menunjukkan bahawa kita tidak dapat melarikan diri daripada kenyataan kepelbagaian dunia ini. Penindasan LGBT Golongan yang beridentiti LGBT tidak dipaksa menjadi LGBT. Mereka tidak memilih untuk menjadi LGBT. Tidak ada sesiapa yang begitu bodoh untuk memilih kehidupan yang dicaci, untuk memilih identiti yang tidak menikmati perlindungan di bawah undang-undang. Mereka tetap LGBT walaupun ditendang keluar rumah dan tidak lagi diiktiraf sebagai anak oleh ibubapa sendiri. Ibu seorang kawan trans saya pernah mengatakan kepadanya:  “kenapa kamu nak sangat menjadi seorang wanita? Hidup seorang wanita lebih susah daripada seseorang lelaki”. Emaknya yang berusia tahu betapa susahnya menjadi seorang wanita di dalam sesebuah negara di mana tidak ada kesaksamaan di antara lelaki dengan perempuan, di mana seorang wanita tidak diiktiraf sama nilai dengan seorang lelaki. Namun dia sanggup berkata begitu. Bayangkanlah kesusahan golongan LGBT yang berhadapan dengan penindasan setiap hari. Kepelbagaian tingkah laku seksual di alam haiwan Namun ramai lagi yang menyatakan bahawa golongan LGBT tidak “natural” dan bercanggah dengan fitrah manusia. Namun penemuan sains mencabar tanggapan tersebut. Contohnya: pada tahun 1999, hampir 1,500 jenis spesis dikenalpasti mengadakan perhubungan seks yang boleh dianggap dari lensa manusia sebagai homoseksual atau biseksual. Fenomena ini termasuk perhubungan seks yang tidak bertujuan untuk pembiakan. Pelbagai tingkah laku seksual di kalangan haiwan memaparkan tingkah laku seks satu kegiatan kehidupan yang biasa, dan tidak semestinya berlaku di antara jantan-betina sahaja. Perlu difahami di sini bahawa ada ahli akademik yang berhujah mengatakan bahawa tingkah laku seksual spesis haiwan sebegini tidak semestinya satu orientasi seksual kerana banyak yang belum dapat dikaji, terutamanya sebab mengapa spesis haiwan tersebut mengadakan perhubungan seks sebegitu, yang nampak pada permukaan sebagai tingak laku seksual yang tidak bertujuan untuk pembiakan. Saya berkecenderungan bersetuju dengan hujah sedemikian kerana orientasi seksual tidak sama dengan tingkah laku seks. Malah jika ramai yang sanggup menerima hujah tersebut, mengapa mereka tidak bersikap terbuka apabila manusia dikesan melakukan hubungan sejenis? Mereka menerima hubungan sejenis dalam alam sebagai satu fakta, tetapi mengecualikan manusia daripada fenomena yang sama tanpa hujah santifik. Ini hanya menunjukkan bias mereka, dan bukan hakikat tentang manusia. Hujah akal membezakan manusia daripada binatang Walaupun manusia ada akal, dia juga ada ego dan daya yang tersendiri untuk terus hidup. Daya hidup memastikan kemungkinan besar keutamaan akan diberi kepada dirinya sekiranya hidupnya terancam. Di sinilah lahirnya diskriminasi, pengutamaan diri, perasaan dengki dan sebagainya. Akal dan ego manusia jugalah yang memastikan timbul dan kekalnya perasaan benci-membenci terhadap mereka yang berbeza, tidak semestinya dari segi seksualiti sahaja, tetapi juga dari segi bangsa, agama, warna kulit, status sosial, dan lain-lain. Keterasingan akan tetap berlaku kerana isu kuasa, kerana isu kepentingan diri, dan boleh dikatakan kerana akal manusia yang sering menghukum dan menitikberatkan pembezaan. Saya pernah buat carian google yang menonjol kajian-kajian gambar-gambar dua ekor haiwan yang berbeza spesis yang dapat berkawan, walaupun pada kebiasaannya satu pemangsa dan satu mangsa. Ini menunjukkan fenomena yang cukup ganjil kalau disiasat hanya menggunakan logik manusia. Bagaimanakah fenomena ini boleh terjadi sekiranya manusia sahaja yang berakal? Adakah akal manusia begitu berfaedah, dan sekiranya berfaedah, berfaedah untuk siapa? Bagi saya, penyaksian fenomena di mana haiwan yang berbeza spesis dapat berkawan menunjukkan kepintaran dan belas kasihan tidak semestinya terbatas kepada saiz otak, dan jelasnya akal manusia tidak semestinya satu kelebihan yang begitu berfaedah di dalam menyempurnakan kemanusiaan kita.       unnamed

]]>