Projek Dialog

Memahami hujah “Jesus adalah Muslim”

multifaith – percaya pada kebaikan dalam semua agama – saya juga berusaha memahami kisah Jesus dari perspektif Islam, iaitu berdasarkan sumber Al-Quran. Secara asas, kita perlu faham bahawa sejak kecil, orang Melayu-Islam di Malaysia diperkenalkan kepada Al-Quran, Hadis dan Sunah. Kebanyakan daripada mereka tidak pernah berpeluang mengenali kandungan ajaran agama-agama lain. Maka, sikap empati (bukan simpati) perlu dimiliki untuk memahami mengapa orang Islam tidak dapat memahami – apatah lagi menerima – fakta-fakta mengenai Jesus dari sudut ajaran Kristian dan Bible. Perbincangan di sini tidak bertujuan mencari siapa yang betul dan siapa yang salah. Sebaliknya membuka peluang kepada orang ramai memahami mengapa orang Islam berpegang teguh pada kepercayaan bahawa Jesus sebenarnya beragama Islam, dan ajaran yang disampaikan oleh Baginda juga dakwah Islam. Dari sudut penelitian orang Islam, ada pelbagai dalil yang membuktikan hakikat Jesus sebenarnya beragama Islam. Umat Islam mempercayai serta mengaku Jesus sebagai nabi dan rasul. Baginda diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan wahyu kepada Bani Israel; sebagaimana boleh dirujuk dalam Surah Ali Imran (Ayat 48-49). Jesus adalah manusia biasa – bukan “anak Tuhan” atau “Son of God” – dan diakui orang Islam sebagai rasul ke-24. Ahmad Iqram Mohamad Noor dalam buku Misteri Bahtera Nabi Nuh (2014) menjelaskan bahawa terdapat 313 rasul dan setiap rasul wajib menyampaikan ajaran yang diwahyukan Allah kepada kaumnya. Dalam buku itu juga dinyatakan jumlah nabi yang diutuskan Allah adalah 124,000 orang. Seorang nabi menerima wahyu untuk diri sendiri dan tidak wajib menyampaikannya kepada orang lain. Mereka juga hanya mengikut syariat yang sudah dibawakan rasul-rasul terdahulu; bukannya membawa syariat baru daripada Allah. Menurut pandangan Islam iaitu agama tauhid yang terakhir, Jesus bukan setakat nabi tetapi seorang rasul. Jesus tidak pernah mengatakan Baginda anak Allah dan baginda juga tidak menyembah berhala. Jesus menyampaikan ajaran tauhid iaitu menyembah Tuhan yang esa (tunggal). Jesus tidak menyampaikan ajaran Kristian? “Jesus adalah seorang Muslim. Dia beriman kepada Allah. Dia mengesakan Allah. Ajaran yang disampaikan oleh beliau sama seperti ajaran yang disampaikan oleh Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Daud, Nabi Ishak, Nabi Ismail, Nabi Musa, dan nabi-nabi yang lain.” Demikian hujah Jaafar Siddiq @ Muhammad Jaya dari Indonesia dalam bukunya yang diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia dengan judul Jesus Adalah Muslim? (2013). Beliau juga menulis buku berjudul Ternyata Nabi Muhammad Saw Tidak Buta Huruf dan Ternyata Yesus Muslim. [caption id="attachment_4458" align="alignleft" width="300"]Kedua-dua buku ini turut menyentuh mengenai Jesus dan Kristian. Kedua-dua buku ini turut menyentuh mengenai Jesus dan Kristian.[/caption] Kalau Jesus beragama Islam, bagaimana dengan kepercayaan orang Kristian? Dari perspektif orang Islam, Jesus bukan orang Kristian atau Nasrani. Apa yang dikenali sebagai ajaran Kristian pada hari ini sebenarnya berasaskan ajaran yang diperkenalkan oleh Paul selepas kewafatan Jesus. Kisah Barnabas dan Saul (Paul) dalam Acts (11: 25-26) sering digunakan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa Jesus tidak menyampaikan ajaran Kristian. Sebaliknya Paul dan Barnabas (atau pengikut mereka berdua) yang menyampaikan ajaran Kristian. Jaafar Siddiq menerangkan bahawa dalam akidah Islam, Jesus bukan pembawa agama Kristian tetapi agama Nasrani. Ajaran Nasrani oleh Jesus tidak sama dengan ajaran Kristian yang dikembangkan oleh Paul dan pengikutnya selepas kewafatan Jesus. Dalam Bible sendiri, perkataan “Kristian” tidak digunakan. Jesus dan 12 anak murid Baginda tidak pernah mengiktiraf diri mereka sebagai orang Kristian atau penganut ajaran Kristian. Surah Maryam (Ayat 30) dan Surah An-Nisa (Ayat 172) dijadikan bukti untuk menunjukkan Jesus adalah hamba Allah dan nabi yang menyampaikan syariat Islam kepada Bani Israel. Kitab Zabur, Taurat, Bible dan Al-Quran diturunkan oleh Allah kepada nabi yang berbeza pada masa/zaman yang berbeza. Akan tetapi, syariat, hukum dan ajaran yang terkandung dalam wahyu kepada Nabi Daud, Nabi Musa, Jesus dan Rasulullah adalah sama. Memandangkan Jesus beriman kepada Allah dan menyampaikan ajaran tauhid, maka Baginda adalah seorang Muslim. Ajaran dalam kitab Taurat sepatutnya sama dengan Bible, dan ajaran dalam Bible sepatutnya sama dengan Al-Quran. Bible bukan bersumberkan Jesus! Pandangan yang disepakati orang Islam adalah bahawa sebagaimana Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan Nabi Musa berpegang pada ajaran tauhid serta merupakan penganut Islam kerana menyerah diri kepada Allah, maka begitulah juga dengan Jesus. “Dalam ajaran Islam, semua rasul adalah beragama Islam kerana mereka menyeru supaya mengesakan Tuhan yang satu iaitu Allah,” kata Jaafar Siddiq dalam bukunya. Kata-kata di atas perlu sentiasa diingat apabila berinteraksi dengan rakan-rakan Islam; apatah lagi jika berbahas mengenai perbezaan pandangan antara ajaran Islam dengan agama-agama lain. Orang Islam mengakui bahawa Taurat, Bible dan Al-Quran adalah daripada Allah. Ketiga-tiganya menyeru umat mengesakan Allah. Malah ada persamaan pada ibadat dalam ketiga-tiganya. Abu Sofeya dalam bukunya, Islam Menjawab 20 Hujah Mubaligh Kristian (2014), menyebut bahawa orientalis barat dan mubaligh Kristian “sedaya upaya mengkaji demi membuktikan Al-Quran bukan datang daripada Allah tetapi ia adalah ciptaan Nabi Muhammad.” “Ajaran yang disampaikan oleh Jesus sebenarnya sama seperti ajaran Yahudi dan Islam. Ajaran Kristian yang ada kini adalah ajaran yang sesat dan menyimpang daripada ajaran Isa Al-Masih atau Jesus. Ia juga menyimpang daripada apa yang diwahyukan oleh Allah,” Jaafar Siddiq menegaskan dalam bukunya. Surah At-Takwir (Ayat 25) menjadi bukti bahawa keseluruhan kandungan Al-Quran adalah firman dan wahyu daripada Allah. Kandungannya kekal seperti yang disampaikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad. Sementara itu, orang Islam percaya bahawa Bible yang ada sekarang bukan firman dan wahyu Allah. Umat Islam percaya Bible, khususnya Perjanjian Baru, yang ditulis oleh Matthew, Mark, Luke dan John serta diperakukan oleh gereja, bukan bersumberkan Jesus. Maknanya, kitab Injil yang diturunkan oleh Allah kepada Jesus tidak sama dengan Bible yang menjadi pegangan penganut Kristian sekarang. Malah, Jesus yang dikenali oleh orang Kristian menerusi Bible bukan Jesus sebenar (Nabi Isa) yang diutuskan oleh Allah. Penganut Kristian mula marah dan tersinggung “Para syaitan bersembunyi di sebalik nama agama-agama tauhid yang telah berjaya disesatkan iaitu agama Hindu, Buddha, Zoroasterinisme, Taoisme, Confucianisme, Yahudinisme, Kristianisme dan lain-lain istilah purba yang pada zaman moden ini telah sangat dikenalpasti oleh umat Islam sebagai agama-agama yang sesat.” PD 2JesusDemikian hujah Kamaludin Endol dalam bukunya, Gautama Buddha Seorang Nabi? (2014) sambil turut menyatakan “adanya campur tangan Iblis dan syaitan yang memperalatkan ahli-ahli agama purba bagi membuat rombakan di sana sini demi kepentingan peribadi mereka” serta “kitab Taurat dan Injil berada dalam kesesatan yang nyata”. Pelbagai hujah digunakan oleh umat Islam untuk membuktikan bahawa Jesus beragama Islam serta ajaran yang disampaikan oleh Baginda kepada Bani Israel sama seperti ajaran Islam. Berbeza dengan amalan orang Kristian sekarang yang menguburkan jenazah dengan pelbagai pakaian, jenazah Jesus dikafankan oleh Joseph menggunakan kain putih. Cara berwuduk, bersembahyang, berpuasa, bersedekah dan membayar zakat misalnya sama dalam Islam dan ajaran asal yang dibawakan Jesus. Segala amalan Nabi Musa, Jesus dan Nabi Muhammad dijadikan bukti untuk menunjukkan bahawa mereka adalah Muslim yang menyerah diri kepada Allah. Seperti yang sudah dinyatakan sejak awal, segala perbincangan dalam makalah ini adalah dari sudut pandangan orang Islam. Hujah-hujah di sini mungkin – malah pasti – disanggah orang Kristian. Buku Jesus Adalah Muslim? sudah pun mendapat kritikan sekelompok penganut Kristian dari Bintulu, Sarawak. Kumpulan Fiat Youth Bintulu dalam catatan blog bertarikh 15 Oktober 2013 menyatakan pendapat bahawa buku berkenaan tidak patut diterbitkan dan dijual di Malaysia kerana “menyinggung sentimen agama” dan “menghina penganut agama Kristian”. “Apabila individu tertentu merasakan dirinya hebat dan betul dan cuba untuk mengusahakan sesuatu agar memisahkan kelompok agama yang terbesar di dunia, dia sendiri sebenarnya kafir apatah lagi tindakannya boleh menyebabkan sesebuah negara bertelagah sesama sendiri kerana sentimen sensitif ini,” kata catatan di blog berkenaan. Perkongsian pandangan menerusi makalah pendek ini bertujuan membantu masyarakat pelbagai kaum dan agama meningkatkan sikap empati supaya mampu memahami pendirian, pegangan dan hujah rakan-rakan Islam dalam soal Kristian, Bible dan Jesus. Pada masa sama, dengan semangat meraikan perbezaan dan kepelbagaian, tentu sahaja dialog, perbahasan, polemik dan perkongsian pendapat secara intelektual dalam kalangan masyarakat amat dialu-alukan demi mencari kebenaran. unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles