Projek Dialog

Tergadaikah maruah akhbar Tamil?

Oleh: Uthaya Sankar SB

(Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya)

[caption id="attachment_1380" align="alignleft" width="150"]Nam Naadu (17 Januari 2013) mempersoalkan tujuan Himpunan Kebangkitan Rakyat. Nam Naadu (17 Januari 2013) mempersoalkan tujuan Himpunan Kebangkitan Rakyat.[/caption] Pembaca akhbar-akhbar Bahasa Tamil di Malaysia pasti sudah sedar bahawa sejak lebih dua minggu lalu, hampir tiada berita “positif” berkaitan Pakatan Rakyat (PR) disiarkan. Lima akhbar harian Bahasa Tamil yang terdapat dalam pasaran adalah TamilNesan, MalaysiaNanban, MakkalOsai, ThinaKural dan NamNaadu. Saya bukan penyokong mana-mana parti politik, tetapi sebagai seorang pengamal media yang memantau akhbar-akhbar Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin, saya mendapati apa yang berlaku dalam kesemua lima akhbar Tamil berkenaan “secara tiba-tiba” mengundang pelbagai pertanyaan. Pada 19 Januari 2013, saya meminta rakan-rakan meneka punca perubahan drastik ini berlaku. Apabila “meneka”, pastilah ada tekaan yang betul dan ada tekaan yang salah. Sebab itulah juga rakan-rakan saya di Facebook memulakan tekaan mereka dengan kata-kata “Mungkinkah …” sebagai bukti bahawa tiada sebarang tuduhan dilemparkan terhadap sesiapa. “Mungkinkah pemerintah menjadikan akhbar Bahasa Tamil sebagai sumber yang sesuai untuk menyebarkan dakyah politik, memandangkan UtusanMalaysia semakin merudum sambutan daripada kalangan pembaca?” tanya RanaenEng. Bukanlah suatu rahsia bahawa akhbar UtusanMalaysia dan MingguanMalaysia sudah secara terang-terangan dikatakan serta disifatkan masyarakat sebagai “lidah rasmi UMNO”. Sebab itulah juga apabila menulis makalah dan analisis, saya suka memetik sumber dari UtusanMalaysia, BeritaHarian dan Bernama kerana pasti penyokong Barisan Nasional (BN) tidak akan mempertikaikan “kesahihan” petikan itu. “Mungkinkah musim propaganda melalui akhbar sudah disemarakkan secara agresif; kerana akhbar-akhbar ini (Tamil) sememangnya membawa propaganda pada setiap masa?” Demikian pertanyaan yang timbul dalam fikiran NizhaPeriaswamy dari Shah Alam. ShahrizalAzwanSamsudin pula yakin bahawa kerajaan (BN) sedang menumpukan perang saraf kepada kaum India. Katanya, “Mungkin kerana ‘bacaan’ mereka (BN) bahawa sokongan kaum India makin berkurangan kepada kerajaan (BN). Mungkinkah kerajaan (BN) berfikir bahawa kaum India yang sudah berpaling lebih mudah ditarik untuk menyokong BN semula berbanding kaum Cina dan Melayu?” Tekaan serta pertanyaan yang dikemukakan oleh mereka memang wajar difikirkan secara teliti. Pada tahun 2005-2008, saya menjadi pengulas akhbar-akhbar Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin menerusi segmen “Akhbar Hari Ini” di TV1 (RTM). Saya juga perunding media kepada beberapa individu/kumpulan. Maka, saya mendapati pertanyaan yang dikemukakan rakan-rakan tadi amat wajar serta tidak boleh dilihat sebagai menghina sesiapa. [caption id="attachment_1379" align="alignright" width="150"]“Letakkan keyakinan; banyak kami akan buat” (Thina Kural, 14 Januari 2013) berserta sisipan khas 16 halaman bertajuk “PM Rakyat yang menepati janji”. “Letakkan keyakinan; banyak kami akan buat” (Thina Kural, 14 Januari 2013) berserta sisipan khas 16 halaman bertajuk “PM Rakyat yang menepati janji”.[/caption] Pada penelitian saya, akhbar ThinaKural sebelum ini sangat lantang bersuara serta menyiarkan analisis mengenai peratusan pekerja sektor awam mengikut kaum. Tuntutan dasar adalah supaya pengambilan pekerja kaum India ditingkatkan. Bagaimanapun, kelantangan bersuara itu kini sudah hilang. Suatu lagi perkara yang saya perhatian adalah bahawa rata-rata akhbar Tamil sejak lebih dua minggu lalu sangat berminat menyiarkan berita-berita yang memuji-muji dan memuja-muja pihak tertentu. Para pembaca makalah ini pasti dapat meneka siapakah “pihak tertentu” yang dimaksudkan. Etika kewartawanan, objektiviti berita “Adakah akhbar Tamil menyiarkan berita tentang Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di muka depan atau tidak pada Ahad lalu (13 Januari 2013)? Berapakah jumlah khalayak yang dilaporkan berhimpun? Jika jawapan bagi soalan pertama adalah ‘Tidak’ dan yang kedua pula ‘45,000 orang’ maka kita sudah boleh meneka dengan mudah punca perubahan drastik yang saudara maksudkan,” kata KarlAnwar dalam komennya. Seorang lagi rakan, ElangovanAnnamalai mengakui bahawa topik sama juga belakangan ini dibincangkannya bersama rakan-rakan. Beliau berharap agar pihak terbabit segera menyedari kesilapan mereka dan “jangan biarkan rakyat benci anda selama-lamanya”. Kalau diperhatikan, rata-rata akhbar Tamil pada 13 Januari 2013 tidak menyiarkan berita mengenai kejayaan HKR pada hari sebelumnya. Hal sama juga dilakukan majoriti akhbar Bahasa Malaysia dan Inggeris. Hanya SinarHarian menyiarkan berita yang seimbang dan objektif mengenai HKR. Maka, tidak hairanlah bahawa kebanyakan masyarakat memilih untuk membeli akhbar-akhbar Mandarin pada hari Ahad berkenaan. Walaupun tidak tahu Bahasa Mandarin, sekurang-kurangnya mereka puas hati melihat foto masyarakat pelbagai kaum yang menyertai HKR; memiliki/memegang akhbar yang bersikap objektif serta tidak menjadi “baruah” dan “juak-juak” kepada pihak berkepentingan. [caption id="attachment_1381" align="alignleft" width="150"]“Jangan tukar Kerajaan Pusat, tukar Kerajaan Selangor” kata Najib di Malaysia Nanban (14 Januari 2013). “Jangan tukar Kerajaan Pusat, tukar Kerajaan Selangor” kata Najib di Malaysia Nanban (14 Januari 2013).[/caption] Rata-rata akhbar Tamil pada 13 Januari lalu melaporkan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur bahawa HKR melanggar beberapa syarat yang ditetapkan. Dan tentu sahaja satu-satunya ruangan yang kekal di semua akhbar Tamil adalah ruangan/sisipan khas berkaitan filem, hiburan dan foto pelakon India yang mendedahkan tubuh. Dalam pertemuan saya bersama beberapa pembaca tegar akhbar Tamil, mereka meluahkan rasa meluat melihat perkembangan dalam akhbar-akhbar berkenaan sejak awal bulan ini. Selama ini mereka membeli/membaca beberapa akhbar Tamil sekali gus untuk mendapatkan berita yang “seimbang” dari pelbagai sudut. Bagaimanapun, kata mereka, akhbar-akhbar berkenaan kesemuanya kini sudah menjadi umpama “lidah rasmi BN”. “Akhbar-akhbar Tamil harus sedar bahawa masyarakat India, terutama golongan muda, akan muak sekiranya kebanyakan berita memihak kepada satu pihak sahaja. Walaupun generasi muda mampu mendapatkan berita terkini menerusi media alternatif, media sosial (Facebook, Twitter) dan sebagainya, mereka masih membeli akhbar Tamil demi memberi sokongan dan galakan kepada penerbit/wartawan Tamil. Akhbar Tamil mungkin akan kehilangan pembaca muda sekiranya berterusan memaparkan berita yang berat sebelah!” Demikian pandangan ikhlas TamilSelvanThirumalai yang juga Pengerusi PIBG SJKT Serdang. Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa sentimen dan kecintaan terhadap Bahasa Tamil merupakan antara sebab utama akhbar Tamil terus hidup di negara tercinta ini. Kalaulah sekadar mahu mendapatkan berita terkini, masyarakat India yang menguasai sekurang-kurangnya dua lagi bahasa selain bahasa ibunda boleh mendapatkan berita dari pelbagai sumber lain. Maka, pada penelitian saya, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kelima-lima akhbar harian Tamil bagaikan sedang “bermain dengan api” serta mempertaruhkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan akhbar itu memelihara bahasa ibunda; selain menyiarkan berita yang seimbang. Saya sangat-sangat berharap bahawa saya tersilap dalam membuat tekaan ini tetapi hasil pemantauan dan penelitian secara khusus terhadap akhbar-akhbar berkenaan, didapati bahawa penerbit terbabit memang bagaikan sudah memilih untuk menjadi “lidah rasmi” pihak tertentu. Nasib akhbar Tamil selepas PRU-13 Soalnya, tidak takutkah mereka memikirkan kemungkinan kehilangan pembaca yang memang pun tidak ramai? Saya tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa masyarakat India menyokong PR dan menyampah membaca berita-berita yang memuji-muji dan memuja-muja BN. Sebaliknya, mana-mana manusia yang rasional (kata kunci: manusia & rasional) pasti akan menjadi meluat dan termuntah-muntah apabila sesebuah akhbar melakukan puji-pujian dan puja-pujaan secara berlebih-lebihnya. Apatah lagi apabila sesebuah akhbar didapati tiba-tiba sahaja berubah 180 darjah dalam hal ini. Suatu teori mudah adalah kemungkinan (kata kunci: teori & kemungkinan) penerbit terbabit tidak perlu risau memikirkan soal jualan akhbar merudum sepanjang tempoh Januari-Mac 2013. Secara praktikal, seorang penerbit tidak perlu risau jika kos penerbitan dan keuntungan (hasil jualan) sudah ditanggung pihak tertentu sebelum akhbar itu terbit. Sekadar contoh – ingat: contoh sahaja – katakanlah ada pihak tertentu yang tampil memberikan sumbangan atau suntikan modal ikhlas sebanyak RM1 juta bagi sebuah akhbar Tamil. Katakanlah, syarat yang diletakkan adalah bahawa sifar (0%) berita positif mengenai PR boleh disiarkan. Katakan – katakan sahaja – setiap akhbar berkenaan menerima sumbangan ikhlas RM0.3 juta sebulan untuk menampung kos dan kerugian yang terpaksa ditanggung kerana saban hari hanya menyiarkan berita-berita yang mampu membuatkan pembaca meluat dan termuntah (kecuali ruangan tetap melibatkan artis-artis berpakaian seksi, tentunya). [caption id="attachment_1382" align="alignright" width="150"]Tamil Nesan (13 Januari 2013): “Anwar gagal kumpul sejuta orang”. Tamil Nesan (13 Januari 2013): “Anwar gagal kumpul sejuta orang”.[/caption] Tentu sahaja saya tidak menuduh mana-mana akhbar Tamil menerima sumbangan (suntikan modal) seperti itu. Tidak sama sekali! Sebaliknya, semua ini hanyalah teori, analisis dan andaian dengan mengambil kira keperluan (wang) bagi sebuah akhbar harian Tamil untuk terus bernyawa di negara ini. Katakanlah saya pemilik sebuah akhbar Tamil. Katakanlah saya menerima “sumbangan” RM1 juta daripada pihak tertentu dan saya akur untuk menyiarkan hanya berita-berita yang berat sebelah. Saya tidak perlu risau selama tiga atau empat bulan kerana duit masuk setiap bulan daripada penyumbang yang baik hati itu. Ini belum mengambil kira pendapatan daripada iklan. Akan tetapi, apa akan berlaku selepas tempoh itu; selepas PRU-13? Apakah saya selaku penerbit akhbar Tamil yang sudah menggadaikan maruah, bahasa, etika dan integriti akan terus menerima sumbangan lumayan daripada pihak tertentu yang murah hati itu? Bagaimana pula dengan khalayak pembaca (kaum India) yang sudah meluat dan termuntah-muntah selama hampir empat bulan (Januari-April 2013) membaca sampah-sarap serta puji-pujian dan pujaan-pujaan berat sebelah yang saya siarkan atas nama “berita” selama ini? Pasti sahaja mereka akan berhenti membaca akhbar saya dan memilih sumber alternatif. Jangan lupa bahawa portal berita di ruang siber juga terdapat dalam Bahasa Tamil dan boleh diakses dengan mudah untuk mendapatkan berita-berita yang seimbang, objektif, beretika dan membuka minda. Sebagai penerbit akhbar Tamil, saya (contohnya) ada dua pilihan: sama ada menjadi penerbit akhbar yang bermaruah dan beretika, atau menjadi “baruah tidak bermaruah”. Sebagai masyarakat yang mahu terus memastikan Bahasa Tamil mekar di Malaysia mengikut peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, pembaca juga ada dua pilihan apabila terpaksa berdepan dengan mana-mana akhbar Tamil yang sudah “dibeli” pihak tertentu. Mereka boleh sama ada terus memberi sokongan kepada akhbar-akhbar tidak bermaruah demi niat murni memartabatkan bahasa ibunda; atau memilih alternatif lain bagi terus memartabatkan bahasa ibunda dengan cara yang bermaruah. Takkan Bahasa Tamil hilang di Malaysia!   ]]>

Share your thoughts!

More Articles