Projek Dialog

Cerita kecil tentang agama Hindu

Oleh: Uthaya Sankar SB Agama Hindu diakui sebagai agama tertua di dunia; serta mempunyai jumlah pengikut ketiga tertinggi selepas agama Kristian dan Islam. Ajaran yang terkandung di dalamnya amat kompleks dan sering kali menjadi mangsa salah tafsir. Hal ini tidak menghairankan kerana tidak ada suatu “syarat” yang jitu dalam ajaran agama yang bersifat universal ini. Pasti sahaja apabila saya memperkatakan mengenai agama Hindu, akan ada pihak (pemantau) yang segera menyebarkan berita bahawa saya sedang “menyebarkan agama Hindu”. Sesungguhnya ada perbezaan yang amat nyata antara menyebarkan agama Hindu dan memperkatakan mengenai agama itu dalam sebuah sesi dialog secara sihat dan positif. Sejak dahulu, sering kali rakan-rakan dan kenalan pelbagai kaum dan agama bertanya kepada saya mengenai budaya India dan agama Hindu yang amat kompleks dan sedikit mengelirukan. Terdapat enam mazhab utama, empat veda, ribuan berhala, amalan, ritual keagamaan, dewa-dewi dan pelbagai perkara berkaitan yang tidak mustahil menimbulkan kekeliruan. Dalam konteks negara kita, hakikat yang tidak pernah dinafikan adalah bahawa Islam adalah agama rasmi. Pada masa sama, agama-agama lain masih diamalkan dengan bebas mengikut jaminan Perlembagaan Persekutuan. Maka, rakyat Malaysia hidup secara harmoni di tengah-tengah kepelbagaian agama, budaya, adat dan kepercayaan. Menyedari hakikat ini, tidaklah menghairankan apabila ada individu bukan beragama Hindu – malah penganut agama Hindu juga – yang sering tertanya-tanya mengenai pelbagai perkara berhubung agama yang bermula di Lembah Indus, lebih 5,000 tahun dahulu. Apabila pertanyaan diajukan kepada saya oleh rakan-rakan dan kenalan yang memang ingin tahu, maka saya akan berusaha untuk memberikan penjelasan serba ringkas bagi merungkaikan kecelaruan. Saya berusaha menyampaikan kisah berusia lebih 5,000 tahun ini dengan cara paling mudah supaya boleh difahami dengan mudah juga. Tentu sahaja perkongsian maklumat dan pengetahuan mengenai agama Hindu yang saya lakukan adalah atas dasar berkongsi ilmu dan maklumat dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Tidak ada sebarang niat “menyebarkan agama Hindu” kepada sesiapa kerana ajaran agama Hindu tidak pernah berusaha memujuk sesiapa “masuk Hindu”. Siapakah pengasas agama Hindu? Soalan paling asas yang biasa ditanya kepada saya adalah mengenai siapakah pengasas agama Hindu. Apabila kita bercakap mengenai agama Kristian, Islam dan Sikh misalnya ada “pengasas” – walaupun istilah “pengasas” mungkin kurang tepat. Bagi agama Hindu pula, tiada pengasas. Tidak ada juga “wahyu” yang diterima oleh “pengasas” daripada Tuhan. Sebaliknya, agama Hindu adalah lebih kepada usaha manusia “mencari” dan “menemui” Tuhan dalam hidup. Malah, istilah “Hindu” itu sendiri adalah istilah yang diberikan oleh orang luar kepada amalan spiritual yang menjadi sebahagian daripada budaya, falsafah dan cara hidup penduduk di Lembah Sindhu (Sungai Indus) sejak lebih 5,000 tahun dahulu. Saya akan berusaha memberikan gambaran paling mudah bagaimana agama Hindu bermula. Agama Hindu sangat kaya dengan mitos, purana dan pelbagai kisah yang terus berkembang dari generasi ke generasi. Maka, kisah yang saya sampaikan ini adalah ringkasan paling umum bagi membantu orang ramai memahami bagaimana agama Hindu bermula. Bayangkan bahawa kita sedang hidup di Lembah Sindhu, Benua Kecil India pada sekitar tahun 3000 Sebelum Masehi. Konsep “agama” belum wujud. Kita adalah petani. Kita adalah pemungut hasil buah-buahan. Kita adalah nelayan. Kita lahir, membesar, berkahwin, beranak, menjadi tua dan akhirnya meninggal dunia. Kita melihat siang dan malam. Kita melihat angkasa yang luas terbentang tanpa sempadan. Pada suatu hari, seorang anak – mungkin anak kita – bertanya, “Bagaimana semua ini terjadi?” Lalu kita sendiri mula berfikir secara serius: Bagaimana semua ini terjadi? Bagaimana benih tumbuh menjadi pokok yang membuahkan hasil untuk kita makan? Bagaimana ada hidupan di laut, darat dan langit? Kita perlu ingat bahawa dalam contoh yang saya berikan ini, kita sedang hidup lebih 5,000 tahun dahulu. Belum ada agama lain yang diketahui dan diamalkan di Benua Kecil India. Mungkin sahaja tidak ada kesedaran tentang Adam dan Hawa/Eve pada waktu itu. Tuhan tinggal di Himalaya Maka, secara sendiri, kita yang menjadi penduduk di Lembah Sindhu mula sedar bahawa pasti – ya, pasti! – ada suatu kuasa yang amat berkuasa dalam menentukan segala “keajaiban” yang berlaku: siang dan malam, kelahiran dan kematian, laut, darat dan langit, dan sebagainya. Timbul kesedaran dalam diri bahawa manusia – kita – tidak mampu melakukan semua itu secara sendirian. Pasti ada kuasa yang memungkinkannya. Kuasa itulah diberikan nama sebagai dewa. Dewa yang berkuasa melampaui segala kemampuan mana-mana manusia. Lalu, mungkin ada yang bertanya: Siapakah dewa itu? Bagaimana rupanya? Mana tempat tinggalnya? Segala pertanyaan dan persoalan yang sangat wajar sekiranya diajukan oleh penduduk di Lembah Sindhu pada sekitar tahun 3000 SM. Apatah lagi jika ditanya oleh kanak-kanak. Pada masa sekarang, masih menjadi amalan meletakkan segala tanggungjawab kepada “hantu” apabila berlaku sesuatu perkara negatif yang tidak dapat kita jelaskan. Maka, tidak menghairankan bahawa segala tanggungjawab diletakkan kepada “dewa” bagi menjelaskan segala perkara positif yang berlaku dalam hidup manusia di Lembah Sindhu, lebih 5,000 tahun dahulu. Bagi menjawab pertanyaan di mana tempat tinggal dewa, cara paling mudah untuk “mengelak” adalah dengan merujuk pada tempat paling jauh. Tempat paling “jauh” pada waktu itu di Lembah Sindhu mungkin sahaja Himalaya. Maka, diberitahu kepada kanak-kanak dan remaja bahawa “dewa” atau “Tuhan” yang memelihara kehidupan kita sebenarnya tinggal di Himalaya. Tuhan perhatikan manusia dari atas kayangan di puncak Himalaya. Konsep karma, dharma, kelahiran semula dan sebagainya diperkenalkan untuk menjawab pelbagai pertanyaan yang wujud. Memandangkan bahawa agama Hindu bermula dengan “pencarian” manusia yang menyedari kewujudan suatu kuasa positif maha hebat yang sukar dijelaskan, maka lama-kelamaan, “mitos” yang diwujudkan untuk menjawab pertanyaan kanak-kanak mula dikembangkan secara lebih tersusun. Lahirlah pelbagai purana dan mitos yang pada dasarnya menjelaskan kewujudan suatu kuasa maha besar (Dewata/Tuhan) yang tidak boleh dilihat. Pada sekitar 5,000 tahun dahulu, pasti telah ada penduduk di Lembah Sindhu yang bertanya, “Bagaimana rupa Tuhan itu?” Secara logik, dan saya pernah terbaca di entah mana, sekiranya seekor kuda diminta menggambarkan Tuhan, pasti kuda itu akan menggambarkan Tuhan dalam bentuk rupa kuda juga. Eka Aneka Begitulah, penduduk di Lembah Sindhu mula memberi gambaran mengenai Tuhan mengikut pemahaman dan interpretasi masing-masing. Tuhan digambarkan sebagai Dewa Shiva; dengan mengambil inspirasi daripada rupa Himalaya. Adakah Tuhan itu lelaki? Penduduk pada masa itu – lebih 5,000 tahun dahulu – cuba menjelaskan bahawa Tuhan berlaku adil kepada lelaki dan wanita. Maka dizahirkan Dewi Parvathi sebagai pasangan kepada Dewa Shiva. Pemikiran penduduk semakin berkembang dan mereka mula bertanya dan tertanya-tanya: Adakah ada dua Tuhan iaitu Dewa Shiva dan Dewi Parvathi? Lalu dijelaskan oleh orang-orang tua, pemikir dan pujangga bahawa Dewa Shiva dan Dewi Parvathi (atau Shakti) adalah satu. Muncul konsep “eka” atau apa yang kita sering sebut sebagai “esa” atau “tunggal”. Muncul konsep “ekan anekan” – Tuhan yang eka tetapi dikenali dalam aneka bentuk. Penduduk di Lembah Sindhu yang menyedari kewujudan Tuhan terus berusaha mencari jalan untuk “mendekati”-Nya. Masing-masing dengan caranya. Masing-masing dengan gayanya. Sebab itulah dalam agama Hindu – sehingga kini – tidak ada satu cara/jalan yang khusus/mutlak untuk “menemui” Tuhan. Dalam ajaran Hindu, semua jalan adalah jalan menuju Tuhan. Memandangkan penduduk di Lembah Sindhu sejak dahulu mempunyai bakat melukis dan membuat patung, maka pemahaman mereka terhadap konsep ketuhanan, dewa-dewi serta kisah-kisah dalam purana, mitos dan veda disajikan dalam bentuk lukisan dan berhala. Tuhan dizahirkan dalam bentuk Shiva, Brahma, Vishnu, Saraswathi, Lakshmi, Parvathi, Kali, Ganesha, Murugan, Krishna dan ribuan “rupa” mengikut tahap pemahaman manusia pada waktu itu. Para pemikir dan ahli falsafah pula mula mengumpulkan segala maklumat berhubung usaha “manusia mencari Tuhan” untuk dijadikan kitab, sruti, smriti, sutra, shastra, veda, purana, itihasa dan sebagainya untuk dijadikan panduan yang lebih sistematik. Namun, apa yang kita kenali sebagai agama Hindu masih amat kompleks dan kadang-kadang mengelirukan bagi sesiapa yang melihatnya dengan penuh prasangka. Perasaan prasangka itulah yang menjadi penghalang dalam kalangan kita untuk saling mengenali, memahami, mengetahui, menghormati dan menerima perbezaan kaum, agama, etnik, budaya dan adat yang wujud sejak dahulu. Semoga perkongsian kecil ini membuka denai ke arah perbincangan yang lebih mendalam secara terbuka tanpa menganggapnya sebagai usaha menyebarkan agama Hindu.  

]]>

Share your thoughts!

More Articles

The Myth of the Drunk Minority

by Yvonne Tan   The “Bangsar brawl” which happened around 1 am on 13th March 2021 opened up a can of worms. The graphic videos