Projek Dialog

Gerakan Mahasiswa: Dari Sebelum Jinjang, Hinggalah Ke Sungai Buloh

Pendahuluan Tidak banyak buku yang merakam secara terperinci mengenai gerakan kemahasiswaan di negara ini. Antara lain, kajian lepas atau buku yang dapat dinyatakan di sini adalah Mahasiswa Menggugat oleh Muhammad Abu Bakar (1973) dan  Politik Kampus: Di Sebalik Tabir tulisan Mohd Shuhaimi al-Maniri (1995) yang lebih menyorot kedudukan Persatuan Mahasiwa Islam ketika era 1970an dan 1980an. Kajian akademik mengenai perjuangan siswa pula antara lain dikerjakan oleh Mohamad Ridhwan Alias (2003) untuk Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera Universiti Malaya.  Kajian ini bagaimanapun hanyalah bertaraf sebuah latihan ilmiah. Terdapat juga tulisan Zainah Anwar (1990) mengenai gerakan mahasiswa tetapi tidak begitu diperhatikan. Dalam banyak universiti di Malaysia, siswa Universiti Malaya pernah menempatkan diri mereka sebagai kuasa pendesak yang besar dan berkesan sepanjang era 1960an iaitu menerusi Kelab Sosialis UM. Seterusnya, dalam era 1980an siswa Universiti Malaya mengharung dekad tersebut menerusi Persatuan Mahasiswa Islam. Kecenderungan dan tingkah laku politik gerakan siswa sangat menarik diberi penumpuan memandangkan sejak akhir-akhir ini tokoh mahasiswa kembali menjadi sebutan awam. Untuk melihat political behavior mereka, pendekatan Karl Wolfgang Deutsch (1964) seperti yang disarankan dalam The Nerves of Government dapat dijadikan sebuah kerangka ilmiah atau theoretical framework. Walaubagaimanapun, apakah yang dimaksudkan dengan political behavior itu? Terdapat tiga sumber atau pengaruh yang membentuk dan menggubah orientasi politik seseorang siswa tersebut. Ketiga-tiga pengaruh ini selalunya akan meninggalkan kesan mendalam dan berpanjangan. Pertamanya, pengaruh paling utuh adalah berasal dari leluhur atau keluarga. Adalah lazim, seseorang ibu bapa menurun atau mewariskan nilai-nilai dan kepercayaan mereka kepada anak-anak, ideological values ini akan dipupuk secara sedar atau tanpa sedar. Kedua, memandangkan kelompok yang dibincangkan ini adalah siswa atau pelajar, pengaruh kedua yang paling melekat di benak mereka adalah cikgu, pensyarah atau adiguru, dalam erti kata lain ‘educational authority figures’ akan meninggalkan ‘belang’ pada pelajar-pelajarnya kerana pendidik menyalurkan persepsi, pandangan dan nilai yang ada dalam diri mereka menerusi pengajaran. Berbanding pengaruh ibu bapa yang diberi secara tidak langsung, peranan guru adalah amat langsung dan memberi impak yang kuat. Namun begitu, peranan ibu bapa dan guru ini sama sekali tidak dapat menyaingi peranan atau sumber ketiga yang jauh lebih besar dan paling berpengaruh. Sumber ketiga yang dimaksudkan adalah kelompok sebaya dan berkongsi status, atau istilah tepat dalam bahasa Inggeris, ‘peers’. Kelompok rakan satu generasi ini adalah set teman-teman yang menjadi rujuk silang buat pelajar-pelajar ini dan mereka berkongsi ilmu pengetahuan, tingkah laku, dan orientasi. Sosialisasi yang semakin mudah khususnya menerusi media sosial seperti Facebook, dan Twitter membolehkan anak muda bertukar idea, harapan, impian dan wawasan. Apa yang menjadikan pengaruh peers ini berkekalan dalam menggubah fikiran anak muda adalah kerana media sosial tidak lagi memerlukan pergaulan sosial secara fizikal, tetapi memadai dengan satu gajet android di telapak tangan . Deutsch sejak era 1960an lagi telah menggambarkan pengaruh siber yang besar ini, di mana menurut beliau ‘communications theory’ dan ‘cybernetics’ akan mencorakkan cara berfikir dan tingkah laku politik generasi mendatang. Pendapat Deutsch dalam era 1960an tersebut telah pun meramalkan sebuah dunia politik berasas komputer. Idea-idea beliau kurang dikenali sarjana sains politik memandangkan beliau menulis di dalam bahasa Jerman. Hanya sejak akhir-akhir ini tulisan Deutsch disambut, setelah lebih banyak kajian dan karya beliau diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Sebahagian besar kerangka ilmiah Karl Wolfgang Deutsch ini telah pun dibincangkan dalam makalah ‘Terlepas Dari Sumpahan Listen Listen Listen’ bertarikh 15 Januari 2013 di laman ini. Sebagai satu ingatan ulang, aspek paling dominan yang dibincangkan oleh Deutsch dalam bukunya adalah apa yang beliau namai sebagai ‘feedback’ dan ‘equilibrium’. Dalam hal ini ‘feedback’ adalah jaringan komunikasi yang mencetus dan menggerakkan perubahan tabiat hasil dari berlakunya pertukaran informasi yang banyak sesama peers; ‘…that produces action in response to an input of information, and includes the results of its own action in the new information by which it modifies its subsequent behavior (Karl Wolfgang Deutsch, 1964: 88)’. Ini bermakna ‘feedback’ adalah sejenis ‘output’, atau hasilan yang kembali kepada sistem sebagai ‘input’. ‘Equilibrium’ pula adalah kembali kepada keadaan asal ketika ia dikecahkan; ‘return to a particular state which was disturbed.’ Deutsch menekankan yang ‘feedback’ ini dapat dianalisa dengan formula ‘lag and gain’. Menurut sarjana Jerman ini analisa ‘lag and gain’ ini diperhatikan pada tempoh masa yang membolehkan satu-satu ‘feedback’ negatif itu bergetar dalam masyarakat sehingga ia akhirnya kembali kepada posisi asal dalam bentuk yang telah menjalani pembaikan, pemulihan atau pemutihan sehingga diterima sebagai satu hasil atau satu ‘gain’ yang positif; ‘lag is the time that elapses between the moment a negative feedback system reaches a certain distance from its goal and the moment it completes corrective action corresponding to that distance. Gain means the extent of the corrective action taken.’ Sama seperti insiden awal 2013 lalu, iaitu antara tokoh Suara Wanita 1 Malaysia bernama Sharifah Zohra Jabeen dan cik Bawani KS, seorang siswa Universiti Utara Malaysia; insiden yang melibatkan tokoh siswa Adam Adli dan Safwan Anang selepas Pilihanraya Umum ke-13 merupakan contoh kes ‘lag and gain’ yang paling menarik sejak era 1960an. Kedua-duanya menunjukkan bagaimana peers menjadi pengaruh politik yang berkesan dalam kalangan siswa, kemudian menjadi hasil atau laba yang bermanfaat untuk oposisi (parti-parti pembangkang). Apa yang jelas dari kedua-dua insiden ialah pihak status quo kehilangan pengaruh, ketumpulan idea dan kreativiti untuk berdepan dengan mahasiswa malah mengalami kerugian politik yang berganda. Mahasiswa meraih markah dengan penuh bergaya berbanding status quo. Bagaimanakah mahasiswa dapat memberi skor penuh dan menyebabkan pihak berkuasa tidak meraih apa-apa markah dalam tempoh waktu yang dekat? Apakah episod sejarah dari era 1960an dan era 1980 yang dapat ditinjau kembali dalam hal ini? Impak Public Corner dan Kelab Sosialis Sebahagian besar sejarawan memperakukan bahawa gerakan kemahasiswaan telah memain peranan penting dalam sejarah politik negara khususnya pada tahun-tahun 1966 dan 1967 (Hassan Karim dan Siti Nor Hamid, 1984). Pada 27 Mei 1966, gerakan siswa yang tidak tersusun sebelumnya telah menjadi satu impak politik yang bertaring apabila sebuah sudut pidato diperkenalkan di Universiti Malaya. Penjelasan paling baik untuk public corner ini adalah ia merupakan medan luahan perasaan; satu ‘tool of expression’ yang berjaya menghimpunkan ‘peers’ atau kawan-kawan sebaya dalam kalangan pelajar Universiti Malaya pada waktu itu. Di sudut pidato ini mahasiswa berbincang mengenai pelbagai isu semasa dekad tersebut. Ketika era 1960an, semakin ramai siswa dari pedalaman Malaysia berjaya menempatkan diri di menara gading seperti Universiti Malaya. Justeru, siswa ini berasal dari keluarga miskin dan memiliki jati diri atau ‘identical ethnic characteristic’ yang kuat. Isu seperti fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan, perbezaan kelas dan jurang ekonomi yang besar antara masyarakat bandar dan kampung, ketidakselesaan terhadap polisi-polisi pentadbiran Tunku Abdul Rahman misalnya didebatkan dengan meriah. Isu-isu ini dipanjangkan menerusi kawan-kawan sebaya dan segenerasi dan menjadi getar respon tanpa sekatan yang kuat atau satu bentuk feedback yang bertenaga. Era tersebut juga ditandai oleh gerakan sosialisme yang bergaya dan ‘fashionable’ di mana ia dipinjam langsung dari Amerika Latin dan Eropah. Nama seperti Che Guevera dan Fidel Castro menjadi idola. Tulisan Jean Paul Sarte, dan Albert Camus, antara lain disebut dan dibincangkan. Falsafah eksistensialis dibincang dan dikupas. Kelab Sosialis UM menganjurkan aktiviti-aktiviti ‘anti-establishment’. Tingkah laku kiri dengan falsafah Barat sebagai lapik ini menjadi ideologi tunjang gerakan mahasiswa selama satu dekad kemudiannya (Muhammad Abu Bakar, 1973). Juga, Kelab Sosialis UM juga sering menganjurkan perhimpunan dan tunjuk perasaan. Sebuah lagi organisasi yang terkenal dan berpengaruh adalah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya Untuk mengatakan hanya sosialisme sahaja memainkan peranan penting ketika era 1960an dan 1970an tidaklah sepenuhnya benar. Malah, nasionalisme turut mendapat tempat. Kehadiran ramai pelajar Melayu dari pedalaman dengan identiti kampung yang kuat telah mengikat sejumlah siswa, dalam konteks ini peers dengan kuat. Jatidiri kampung ini merujuk secara langsung kepada pengaruh ibu-bapa mereka. Istilah ‘kampung’ juga, walau tidak selalu, merupakan satu terma sosial untuk menjelaskan nilai tradisional dan ortodoks. Siswa dari kampung kebiasaannya berbangga dengan dasar fundamental Islam dan ia tidak semesti bermaksud mereka adalah ‘ultra-nationalistic’. Mereka membezakan setiap tindak-tanduk mereka sebagai ‘nationalistic’ atau ‘patriotic’. Sehubungan dengan itu, siswa dari kelompok ini cenderung mempertahan bahasa dan budaya Melayu dan seterusnya agama Islam. Sebagai contoh, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya atau PBMUM berperanan dalam mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pada 29 dan 30 Oktober 1966,  PBMUM menganjurkan sebuah seminar bahasa Melayu dan mendesak kerajaan supaya lebih serius dalam mengimplementasikan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional. Selain itu pada September 1967 mereka menganjurkan pula simposium untuk melihat masalah masyarakat pedalaman. Resolusi simposium tersebut adalah menghantar mesej yang jelas bahawa kawasan pedalaman telah tertinggal dari arus pembangunan dan tidak menikmati kek ekonomi yang wajar. Siswa menjadi juara kaum tani dan buruh. Pada Oktober 1967, PBMUM turun ke jalanraya untuk menunjukkan sokongan kepada Hamid Tuah (tokoh tani yang ditahan pihak berkuasa kerana meneroka tanah di Selangor). Oleh kerana isu kaum bawahan ini turut dikongsi oleh Kelab Sosialis, serta merta Kelab Sosialis dan PBMUM bergabung tenaga untuk menjadi jurucakap kaum murbawan. Pada tahun 1973 apabila PBMUM beroleh ketua mereka yang baharu; iaitu Anwar Ibrahim, PBMUM menjadi ‘strong pressure group’ yang mencabar ‘establishment’. Demonstrasi Baling Pada tahun 1974, dua faham yang berbeza dalam kalangan siswa iaitu sosialisme dan nasionalisme dirapatkan untuk menempa satu matlamat. Kelab Sosialis yang lebih kiri dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya yang lebih kanan mencapai satu kefahaman. Kedua-duanya bergerak untuk menganjurkan tunjuk-tunjuk perasaan yang besar, perhimpunan demi perhimpunan dengan jumlah kehadiran yang luar biasa untuk mendesak penyelesaian bagi masalah tani. Demonstrasi di Tasik Utara dan Baling pada tahun 1974 dianjurkan untuk membela nasib kaum tani yang kebuluran. Pihak berkuasa hilang sabar lalu melakukan penangkapan besar-besaran, antara ‘crack down’ yang paling besar terhadap gerakan mahasiswa di mana lebih 1000 pelajar dari pelbagai universiti khususnya Universiti Malaya telah ditahan. Mereka antara lain adalah Anwar Ibrahim. Terdapat juga pemimpin pelajar yang bolos ke luar negara seperti Hishamudin Rais (Mohd Shuhaimi al-Maniri, 1995: 26-28).  Pihak pemerintah melihat aksi siswa ini memberi keuntungan kepada pembangkang  dan terdorong untuk mencegah penularan fenomena bantahan ini secara meluas: “Kerajaan menyedari penglibatan pelajar dalam demonstrasi boleh membahayakan masyarakat selain kedudukannya sendiri. Ia mencampakkan pelajar-pelajar secara langsung dalam proses politik sama dengan parti-parti pembangkang (Wan Mohd Mahyiddin 1996: 148).” Aksi besar di Baling ini membuatkan pemerintah berasa perlu mengawal gerakan siswa dan menumpulkan sisi tajam gerakan ini. Sebelum dari itu pihak pemerintah telah pun menggubal undang-undang untuk mengehadkan aktiviti siswa dalam tahun 1971. Kerajaan Barisan Nasional bertindak lebih keras dan mengetatkan lagi bahagian lompong undang-undang tersebut dengan ‘amendment’ atau pindaan pada tahun 1975 (iaitu selepas peristiwa di Tasik Utara dan Baling). Hasrat kerajaan adalah jelas, iaitu untuk ‘memandulkan’ gerakan mahasiswa dengan menganjurkan penubuhan sebuah entiti dalam kampus – Badan Hal Ehwal Pelajar. Peranan badan ini adalah untuk memerhati, mengawal dan mengurus selia pelajar. Pelajar-pelajar serta merta terhempuk dengan undang-undang draconian yang dikenali sebagai Akta Universiti dan Kolej Universiti. Menurut Wan Mohd Mahyiddin (1996), akta ini bertujuan untuk menyekat aktivisme mahasiswa; ‘pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada awal tahun 1971 adalah langkah yang bertujuan meredakan kegiatan-kegiatan politik seperti ini di kalangan pelajar.’ Badan Hal Ehwal Pelajar Pada 20 September 1974, kerajaan telah berhasil mengambil alih seluruh kampus di Malaysia dan menubuhkan Majlis Tertinggi Sementara untuk mentadbir Universiti Malaya. Tidak lama kemudian kerajaan menubuhkan pula Majlis Tertinggi Nasional dengan memulangkan kuasa kepada Naib Canselor Universiti Malaya (Mohd Shuhaimi al-Maniri, 1995: 28). Seperti yang dinyata sebelum, Akta Universiti dan Kolej Universiti diperkenalkan mulanya pada 17 Mac 1971 dan mula dikuatkuasakan pada 30 April 1971 untuk meredakan siswa. Namun begitu ia kelihatan gagal mencapai tujuannya. ‘Penambahbaikan’ dilakukan pada tahun 1975 dengan memasukkan klausa-klausa yang mengehad dan membataskan hak-hak asasi siswa.  Klausa 15, 16, 48, 49 dan 51 secara langsung menyekat kebebasan mahasiswa. Sebagai contoh klausa 15 menjelaskan pelajar tidak dibenarkan untuk menjadi ‘ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, yang bukannya suatu parti politik, yang ditetapkan oleh Lembaga sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu; atau terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus’ (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971). Klausa 16 pula memberi hak penuh kepada kabinet untuk melantik atau memecat mana-mana Naib Canselor atau Timbalan Naib Canselor sesebuah universiti. Badan Hal Ehwal Pelajar ditubuhkan di bawah akta ini. Kesannya, selepas 1975, pertubuhan siswa yang berhasrat menganjurkan simposium sastera dan mengutip wang derma untuk mangsa bencana alam perlu mendapatkan keizinan  Badan Hal Ehwal Pelajar ini terlebih dahulu. Badan ini diletakkan di bawah Timbalan Naib Canselor sementara Naib Canselor pula perlu menjawab kepada kabinet. Birokrasi yang berlaku akibat dari penggubalan dan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ini menyebabkan gerakan mahasiswa terkongkong. Satu contoh dapat diberikan bagaimana Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ini mengekang kemaraan siswa. Pada tahun 1997 dalam insiden Institut Berakan di Trengganu, kerajaan Barisan Nasional telah mengambil keputusan untuk merobohkan bangunan institut yang dikatakan berada di bawah payung pengaruh parti pembangkang. Pelajar-pelajar dari UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), UPM (Universiti Pertanian Malaysia) and UTM (Universiti Teknologi Malaysia) telah menunjukkan solidariti dan menunjuk perasaan membantah tindakan tersebut. Protes siswa tersebut mengakibatkan pelucutan status siswa mereka oleh Badan Hal Ehwal Pelajar (Mohd Shuhaimi al-Maniri, 1995: 35). Sesebuah undang-undang draconian yang mengekang bukan sahaja berfungsi untuk mengawal dan menyelia masyarakat tetapi juga digubah untuk menunjukkan bahawa kuasa pemerintah sentiasa ada untuk menakut memomok dan mengecutkan kelompok yang disasarkan (Michel Foucault, 1979). Hal Ehwal Pelajar adalah satu badan yang berperanan untuk tujuan ini. Adalah jelas pemerintah mengambil langkah segera mengekang aktivisme siswa, sebagai satu  feedback dengan mensudutkan mereka di satu penjuru. Kerangka Deutsch yang disebut lebih awal menunjukkan era ini sebagai era ‘lag’. Para siswa yang dibungkam menjadi selesa dan terabai dalam melihat isu-isu semasa khususnya isu politik yang amat dekat dengan kehidupan akademik mereka.  Deutsch juga mencadangkan dalam kerangkanya bahawa ‘lag’ akan berakhir dengan ‘corrective action’ dari organisasi atau figur tertentu. Proses ‘lag and gain’ ini memasuki fasa seterusnya iaitu fasa kebangkitan Islam yang diterjemahkan menerusi aktivisme Persatuan Mahasiswa Islam. Persatuan Mahasiswa Islam Gerakan mahasiswa Islam yang paling dominan dalam sejarah kemahasiswaan adalah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang diasaskan oleh sarjana besar negara Profesor Dr Syed Naquib al Attas ketika sesi akademik 56/57. Ketika era 1980an, ahli-ahli gerakan ini dapat dikenalpasti menerusi kod pakaian mereka. Mahasiswi kelazimannya mengenakan tudung labuh dan berjubah panjang, selalunya dengan warna gelap. Sementara mahasiswa mengenakan kemeja atau kurung lelaki dan lazimnya memakai kopiah atau serban. Walaubagaimanapun kod pakaian ini adalah perkara kedua. Hal yang jelas adalah idea gerakan ini berbeza dari idea gerakan terdahulu (Mohd Shuhaimi al-Maniri, 1995: 46). Gerakan mahasiswa sebelumnya tercerahkan oleh Che Guevera, akan tetapi gerakan mahasiswa Islam pada waktu 1980an itu tercerahkan oleh Imam Khomeini (Ahmad Lutfi Othman, 1993). Terdapat banyak kriteria yang dapat menjelaskan perihal gerakan mahasiswa Islam ini, namun dua ciri berikut menjadi perbezaan yang jelas dalam menunjukkan perbezaan antara dua gerakan siswa, iaitu pada era 1960-70an dan 1980an. Ciri yang dimaksudkan adalah: i.                 Perihal Akhlak dan Adab Gerakan mahasiswa Islam mempercayai implementasi akhlak dan adab dapat menyelamatkan masyarakat dari kebobrokan dunia moden. Selain itu, gerakan mahasiswa Islam yakin untuk menjadikan ini satu kenyataan, dan mereka sedang melakukan jihad. Dalam menegaskan akhlak dan adab, gerakan mahasiswa Islam menolak gaya hidup Barat. Aktiviti konsert rock dan jazz di kampus misalnya dianggap tidak nasionalistik dan tidak memenuhi aspirasi Islam. Justeru nasyid diberi laluan untuk menggantikannya. Selain itu, gerakan mahasiswa Islam mencemuh budaya berpasangan dan menentang gaya hidup hedonistik. Dalam masa yang sama solidariti sesama Muslim menjadi sangat penting dan penderitaan rakyat Palestina, perlawanan kaum Moro dan Patani terhadap penguasa menjadi antara agenda penting gerakan ini. ii.               Kembali Kepada Fundamental. Tolak Sekularisme. Penjajahan Barat yang berlangsung lama di alam Melayu sejak 1511 dilihat sebagai satu usaha musuh Islam (baca: Barat) untuk memisahkan kehidupan kaum Melayu dari identiti etnik dan tradisi mereka. Bahana paling besar penjajahan Barat menurut mereka adalah pemisahan agama dari ruang kehidupan. Ini harus dirapikan kerana Islam sepatutnya diterima secara menyeluruh dan menjadi cara hidup. Keperluan, desakan dan permintaan terhadap gaya hidup Islami menjadi sangat menonjol di dalam kampus. Oleh kerana itu kelas-kelas bahasa Arab dihurungi. Dalam konteks peers yang menjadi kerangka ilmiah, kumpulan usrah di surau untuk mendiskusi persoalan semasa berkait Islam menjadi fenomena. Gejala ini dipupuk dengan budaya membaca karya-karya pengarang dari Timur Tengah seperti Fathi Yakan, Hassan al Banna, Syed Qutb, Abu Ala-al Maududi, Said Ramadhan al Buti, Zainab al-Ghazali, Abdul Qadir Audah dan sebagainya. Wajah Hassan al Banna, Syed Qutb dan Imam Khomeini menghiasi dinding dan laci pakaian pelajar-pelajar ini. Mereka turut menghadiri tamrin atau kursus jangka pendek untuk mempersiapkan mereka berjuang, hidup dan mati atas nama Islam. Slogan ‘Allah Matlamat Kami, Syahid Cita-cita Kami’ dan teriak ‘Takbir’ menjadi lazim. Kumpulan siswa ini melihat diri mereka sebagai fundamentalis, merujuk Al-Quran dan al-hadis dan bukannya ekstrimis. Wajah kampus Universiti Malaya berubah sama sekali. Harus diingatkan gerakan kemahasiswaan Islam ini tidak muncul dari vakum tetapi mendapat letusan dan ledakan besar dari dua faktor; luaran dan dalaman i.                 Luaran: Kebangkitan Sejagat Islam dan Revolusi Islam Iran Pada pertengahan tahun 1970an, kebangkitan Islam sedang melanda seluruh dunia. Penindasan terhadap kaum Muslimin di seluruh dunia mulai diberi perhatian besar. Teknologi telah membantu menyebarkan penindasan yang dialami komuniti Palestina. Penaklukan  Afghanistan oleh USSR, dan krisis minyak di Timur Tengah memberi impak kepada seisi dunia Islam. Malaysia tidak terkecuali. Apabila Ayatullah Khomeini berhasil menumbangkan Shah Iran pada tahun 1979, ia dilihat sebagai keberhasilan Islam menjatuhkan kuasa besar dan memimpin. Bahawa seorang ulama, atau Islamis boleh melakukan sesuatu yang tidak terfikirkan iaitu menumbangkan tirani. Seluruh dunia Islam mendapat kejutan besar. Poster di fail siswa beralih dari Fidel Castro dan Che Guevera pada tahun 1960an dan 1970an kini digantikan dengan poster yang menampilkan sosok Imam Khomeini. ii.               Dalaman: Parti Islam Semalaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia Kemunculan gerakan siswa Islam di kampus dapat dikaitkan dengan beberapa gerakan Islam di luar kampus. Antara lain mahasiswa Islam akan mengasosiasikan diri mereka dengan Jamaah Tabligh, Darul Arqam (kini diharamkan), Jamaah Islah Malaysia dan yang lebih berpengaruh adalah Parti Islam Semalaysia (PAS), sebuah parti pembangkang yang menggunakan Islam sebagai retorik bersama-sama dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang mana sebahagian besar anggotanya adalah intelektual Islam. Harus dinyatakan, pada awal 1970an,  PAS dan ABIM dilihat sebagai satu entiti. ABIM dilihat sebagai proksi PAS. Kedua-duanya memiliki inspirasi yang sama iaitu melihat Islam diberi peranan kunci dalam pentadbiran kerajaan. PAS menentang UMNO (yang dilihat sebagai representasi idea sekularisme) di medan politik sementara ABIM menjadi wadah merekrut ahli baharu dan pemimpin muda PAS.  Akan tetapi apabila Anwar Ibrahim (salah seorang pimpinan ABIM) memilih untuk menyertai UMNO dan bukannya PAS dalam tahun 1983, gerakan mahasiswa Islam berpecah menjadi dua kumpulan. Anwar Ibrahim menjelaskan, beliau menyertai UMNO untuk membawa idea atau inti Islam menerusi jalan dalam dan bukannya jalan luar seperti yang diyakini oleh PAS, dipetik: I have not resigned my principles in entering politics through UMNO. I didn’t discuss any specific term before joining…we discussed general principles. My views on the Societies Act and the ISA are still there. I have always had a good personal relationship with Datuk Seri Dr. Mahathir. He has been open to harsh criticism from me, even when it was crudely expressed. ABIM leaders have accepted my decision that I should become active in politics for the sake of national unity and continue my struggle for Islam (Anwar Ibrahim, 1982). Terdapat sebahagian aktivis Islam yang berasa kecewa dan dikhianati oleh Anwar ketika itu. Iklim politik kampus turut dipengaruhi oleh perubahan politik di luarnya. Serta merta gerakan siswa Islam menjadi dua kem (Ahmad Lutfi Othman, 1993: 2). Kem pertama mendokong Anwar Ibrahim, justeru ‘dijinakkan secara politiknya’ oleh establishment. Sementara kem kedua, tetap membawa wadah dan hasrat yang sama seperti PAS dan memilih jalan konfrontasi atau anti establishment. Ketika tempoh ‘lag’ ini aktivisme pelajar tidak dilumpuhkan sepenuhnya. Malah gerakan siswa mengalami ‘self corrective operation’ atau tempoh muhasabah yang panjang. Insiden seperti protes terhadap perobohan Institut Berakan sebagai contoh menunjukkan masih ada respon atau feedback daripada kalangan anak muda, atau lebih tepat siswa. Melihat kembali terminologi Deutsch, feedback adalah satu usaha mencari penyelesaian; atau goal-seeking. Menurut Karl Wolfgang Deutsch (1964: 97) ‘goal seeking feedback’ ini adalah satu bentuk pemprosesan data luar di mana saluran-saluran yang ada masih tidak berubah; “the feedback of new external data into a net whose operating channels remain unchanged.” Ini bermakna, gerakan siswa masih mengalami penyesuaian dan penyelerasan oleh tekanan yang diterima dari pihak berkuasa dalam bentuk akta. Tempoh ‘lag’ yang lama ini mengalami fasa kedua yang penting. Pada tahun 2010, sekumpulan pelajar memasuki wilayah baharu iaitu apa yang dinamakan sebagai ‘learning feedback territory’. Di wilayah ini, pelajar mulai mempertikaikan saluran yang ada. Dalam konteks ini gerakan siswa mulai merasa tidak selesa dengan kepungan dan meyakini bahawa saluran operasi yang ada selama ini telah gagal dan tidak lagi boleh berfungsi. Deutsch menamakan ‘learning feedback’ ini sebagai pemprosesan data luar di mana saluran-saluran yang ada sudah menjadi matang dan inginkan perubahan; “the feedback of external data for the changing of these operating channels themselves” (Karl Wolfgang Deutsch, 1964: 98). Tindak balas atau ‘feedback’ fasa kedua ini selalunya berupa spontan, seperti gejala gunung berapi pendam yang mana simptomnya jarang diperhatikan lebih awal. Kumpulan yang memecah tembok kebuntuan ini adalah kumpulan UKM4. Bukan Musim Bunga, Tetapi Hujan Monsoon Seperti yang diperlihatkan di atas, gerakan siswa, baik kiri atau kanan mengalami kekangan yang luar biasa sejak pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada tahun 1975. Ruang demokratik menjadi  kecil dan melemaskan pelajar. Undang-undang draconian yang lain turut mengerasi siswa. Sebagai contoh, dokumen PMIUM 2000/2001 ada menyebut Presiden PMIUM Muhammad Fuad Mohd Ikhwan pernah dikenakan tahanan Internal Security Act (ISA) untuk satu tempoh singkat. Di Malaysia, seperti yang diketahui, undang-undang ISA membolehkan pihak berkuasa menahan seseorang tanpa bicara untuk satu tempoh. Apakah yang menatijahkan kemunculan UKM4 pada tahun 2010? Adakah faktor luaran sekali lagi memain peranan iaitu Arab Spring seperti yang berlaku pada awal 1980an terhadap gerakan mahasiswa Islam? Atau faktor teknologi seperti Facebook, sejenis pangkalan kawan-kawan sebaya atau peers yang tidak dapat dirungkai dan dikawal oleh pihak berkuasa? Adakah ini membuktikan ramalan Deutsch dalam The Nerves of Government sedang menjadi nyata? Gagasan ‘political behavior’ atau tingkah laku politik mendapat keberkesanan baharu menjelang tahun 2010. Sekali lagi peers atau rakan segenerasi dan sebaya menunjal siswa dari lubang untuk menjelmakan kebebasan siswa atau ‘student freedom’ di permukaan. Clay Shirky (2011: 28) dalam sebuah tulisannya di Foreign Affairs menyatakan lanskap politik dan hubungan antara aktor-aktor politik melibatkan masyarakat sivil, parti-parti politik dan pemerintah telah berubah selama-lamanya sejak era 1990an: “Since the rise of the internet in the early 1990s, the world’s net-worked population has grown from the low millions to the low billions. Over the same period, social media have become a fact of life for civil society worldwide, involving many actors – regular citizens, activists, nongovernmental organizations, telecommunications firms, software providers, governments.” Semasa pilihanraya kecil Hulu Selangor dalam tahun 2010, empat pelajar Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia telah berada di kawasan parlimen tersebut untuk menyudahkan tugasan subjek ‘Analisis Pilihanraya’ (Election Analysis). Mereka telah ditahan pihak berkuasa kerana berada di lokasi kempen; ‘attending political scene’. Keempat-empat pelajar ini mempertahankan diri bahawa adalah hak mereka untuk berada di situ bagi menyelesaikan kerja lapangan mereka secara akademik. Media kemudian menggelar mereka ‘UKM4’. Azlin, Ismail, King Chai dan Hilman kemudian menolak untuk dibicarakan oleh jawatankuasa disiplin universiti kerana menyifatkan ia sebagai tidak adil. Keberanian mereka berempat meraih momentum secara perlahan tetapi signifikan. Mereka malah mencabar Akta Universiti dan Kolej Universiti di mahkamah. Hilman, yang tampak sebagai ketua kepada kumpulan ‘UKM4’ ini telah memulai kempen kebebasan untuk siswa;  ‘student freedom movement’, untuk menolak dan ‘mensampahsarapkan’ Akta Universiti dan Kolej Universiti. Akta ini dilihat sebagai menindas, melumpuhkan anak muda tempatan, memotong potensi dan bakat mereka sehingga menyukarkan mereka menyuarakan hasrat dan sensitiviti terhadap isu-isu global seperti konflik Palestina dan Israel. Pandangan mereka tersebut dipetik di sini untuk menguatkan poin di atas: Also note that the UUCA also says that we cannot support our local political parties, but also international parties. This means that students cannot join yesterday’s anti-Israel demonstrations because it would supporting Hamas and Hamas is a political party. “The UUCA is an oppressive act. It limits students — from what we think, what we are allowed to say, down to our movement as proven in our case. Students cannot be expected to just bury their faces in books — if I don’t go into society, how will I join society? We want to show people that unfair and oppressive laws and acts like the UUCA can be challenged. The voting age in the country is 21 years. We are all registered voters. So if we cannot be seen ‘to show sympathy or support to any political party’, how to vote? We can’t vote based on how handsome a candidate looks – we have to know what he stands for, what his party stands for and will do for society. Looking at the restrictions in UUCA, they don’t give students the freedom to make decisions. These students will go on to be our future leaders. Effectively we will have leaders that have never made decisions and will only be learning how to do so once they are leaders. That is the reason for the poor quality of graduates nowadays that everyone is complaining about. If you are to be the future leader, you must have maturity and that comes in part from experience. For example, if you are a political science undergraduate and you have never been to a by-election, what’s the point?”  (UKM4, 2010). Perjuangan UKM4 berhasil apabila Mahkamah Rayuan memutuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti sebagai tidak menurut perlembagaan dan mencabul hak asasi manusia; ‘unconstitutional and contradict basic human rights’. Mahkamah memutuskan bahawa seksyen 15(5)(a) akta tersebut sebagai tidak mematuhi perlembagaan dan mencabul hak bersuara. Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus menyatakan pelajar universiti seharusnya diberi ruang dan disemai sebagai pemikir, reformis dan bukannya robot (The Sun, 2011). Letusan berani UKM4 tersebut disambut oleh Solidariti Mahasiswa (SMM), sebuah lagi jaringan peers yang berpangkalan di Facebook. Ketika siswa UKM4 lulus menjadi graduan cemerlang, para junior mereka sedang meniti jejak langkah mereka dengan kaedah yang lebih provokatif. Adam Adli Pada 17 Disember 2011, kira-kira seratus aktivis siswa telah berarak ke Putra World Trade Centre (PWTC) untuk menyerahkan memorandum yang dinamai ‘kebebasan akademik’ kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Ketika protes berlangsung, Adam Adli Abdul Halim, berusia 22 tahun, siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah menurunkan bendera Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak buat satu tempoh yang singkat. Aksi simbolik beliau mendapat kritikan meluas. Akan tetapi kritikan awam tersebut ternyata berlawanan dengan lebih 30,000 peers, atau rakan segenerasi yang mendokong beliau menerusi kempen Facebook, ‘We Are All Adam Adli’. Ia mengambil pendekatan yang sama digunakan oleh Wael Ghonim ketika melancarkan kempen Facebook ‘We Are All Khaled Said’ untuk menyokong Khaled Said yang meninggal dunia kerana dikeronyok polis Mesir. Kempen Ghonim menerusi Facebook itu mencetuskan apa yang dinamai hari ini sebagai ‘Egpyt’s Revolution’ sehingga membawa kepada kejatuhan regim Hosni Mubarak setelah berkuasa selama lebih dua dekad. Jawatankuasa Disiplin Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendakwa Adam bertanggungjawab mencemar nama baik UPSI dan menjejaskan kestabilan awam. Adam menolak untuk merayu dan memilih mahkamah sivil.  Kembali kepada kerangka ilmiah Deutsch mengenai ‘feedback’ seperti yang dihurai dalam The Nerves of Government, aktivisme siswa kini bukan mengalami fasa mencabar tetapi sebaliknya fasa meraih imbuhan. Deutsch malah menamakan tipe feedback ini sebagai kesedaran, ‘consciousness’ yang mana dalam konteks ini, pelajar, mulai menganalisa data dalaman. Deutsch juga merujuk fasa ini sebagai ‘king of feedback’ di mana tindakbalas dalaman yang diperolehi dari sumber kedua merombak status quo. Dalam hal ini sumber kedua adalah sumber yang mendesak supaya berlaku perubahan sistem sementara sumber utama adalah maklumat yang diperolehi dari ‘tenaga dalam sistem’ yang dalam masa yang sama berinteraksi di luar sistem; ‘a collection of internal feedbacks of secondary messages. Secondary messages are messages about changes in the parts of the system. Primary messages are those which move through the system in consequence of its interaction with the outside world (Karl Wolfgang Deutsch, 1964). Adalah jelas Adam Adli, salah seorang tokoh Solidariti Mahasiswa telah beroleh manfaat dari peers menerusi pangkalan Facebook. Sebagai pusat atau headquarters kepada peers, Facebook juga berperanan sebagai maklumat utama; ‘first hand information’. Sebagai contoh kejayaan UKM4 melawan pihak berkuasa adalah sumber kedua, ia disalur menerusi Facebook. Rakan sebaya atau peers akan menggunakan Facebook untuk mengalirkan lebih banyak maklumat dan ia dilakukan secara cepat, pantas dan selama 24 jam selama 7 hari dan tanpa henti. Pada 21 Oktober 2011, Adam Adli dan rakan-rakannya menubuhkan Bebas untuk mendokong Professor Dr Abdul Aziz Bari, seorang profesor undang-undang di International Islamic University of Malaysia (IIUM) yang digantung tugas sehari sebelumnya. Aziz Bari adalah seorang ahli akademik yang lantang. Ketika protes di IIUM berlangsung, kedengaran laungan ‘Hidup hidup mahasiswa! Hancur kezaliman! Tekanan yang dialami oleh Adam Adli, mendorong peers untuk melakukan protes duduk bantah di hadapan kampus UPSI di Tanjung Malim pada ambang tahun baharu 2012. Protes tersebut berakhir dengan pergelutan dan Mohd Safwan Anang (siswa Universiti Malaya) tercedera. Pihak berkuasa menafikan sebarang keganasan berlaku dan kecederaan Mohd Safwan Anang adalah kerana pergelutan sesama sendiri. Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menafikan keganasan di pihak polis.  Pelajar-pelajar ini menerima dokongan dari kumpulan pembangkang. Sebagai contoh Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Hashim menyeru supaya masyarakat mendokong siswa dan memberikan semangat kepada gerakan tersebut; ‘For me, I feel proud and hope that the people would give their support and give them (the students) spirit to move forward. If not they will be crushed by the existing system… so we have to back them up’ (Haider Yutim, 2012). Ketika ‘sumber kedua’ terus menghantar mesej kepada peers, ‘sumber utama’ pula sedang membanjiri seluruh sistem dan ‘pembuluh darah kerajaan’. Listen Listen Listen! Gerakan siswa kembali menyemarak di hujung 2012, sekali lagi dengan bantuan peers. Kali ini nama Bawani KS menjadi masyhur secara mendadak. Satu klip video selama 24 minit yang tersebar secara meluas di laman sesawang dan laman sosial antara Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dan Bawani KS menjadi gejala dengan pantas. Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang dianggap mewakili status quo ekoran jawatannya sebagai pemimpin Suara Wanita 1 Malaysia telah ditempelak komuniti maya. Ini berikutan kegagalannya untuk membenarkan siswa Universiti Utara Malaysia, Bawani KS menyuarakan pendapat mengenai pendidikan percuma dalam satu acara universiti. Sergahan Sharifah Zohra, ‘Listen, Listen Listen’ telah menjadi senda di pangkalan peers iaitu Facebook dengan cepat. Penyebaran rakaman video tersebut juga menyedarkan masyarakat bahawa berlakunya indoktrinasi politik terhadap para siswa di universiti. Bawani KS, dengan segera menyambut kontroversi ini untuk mengutarakan hasrat siswa iaitu kebebasan bersuara, pendidikan percuma dan sikap neutral universiti dari pengaruh politik di luar; ‘perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah tiga perkara iaitu kebebasan bersuara mahasiswa, universiti yang bersih dari segala ancaman luar dan juga pendidikan percuma kepada rakyat, bukannya individu-individu yang terlibat dalam forum tersebut’ (KS Bawani, 2013). Meskipun isu tersebut reda dengan segera, tiga bulan kemudian selepas Malaysia dikejutkan dengan keputusan pilihanraya ke 13, gerakan mahasiwa mendapat kembali momentum besar. Kali ini, dengan ‘sumber kedua’ dan asakan ‘sumber primer’, feedback yang terhasil adalah cukup besar sehingga menatijahkan suatu fenomena yang tidak dapat dibendung. PRU 13: Adam Adli Lagi dan Mohd Safwan Anang Pilihanraya 5 Mei 2013 menyaksikan pertembungan sengit antara dua kumpulan politik iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Kumpulan pembangkang yang diketuai oleh ketua gerakan siswa dalam era 1970an, Anwar Ibrahim menguasai 89 kerusi parlimen dari jumlah besar 222 kerusi. Meskipun meraih lebih 51 peratus undi popular, sistem pilihanraya FPTP yang  diwarisi oleh Malaysia dari British tidak memungkinkan Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan. Sejak 5 Mei 2013, Pakatan Rakyat menganjurkan siri bantahan besar dan menuduh parti yang menguasai kerajaan bersekongkol dengan Suruhanjaya Pilihanraya untuk menipu pilihanraya yang lalu. Laporan Reuters menjelaskan bahawa terdapat jumlah besar rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya yang lalu. Kritikan, cemuhan, senda dan suara anti penguasa menjadi semakin kuat. Ekoran dari itu, Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia buat masa ini dalam keadaan tersepit antara dua pendekatan iaitu bersikap keras atau berlembut dengan ‘kekuatan’ pembangkang; ‘Every day Najib sees angry Malaysians on the Internet. It is not an easy thing to swallow,” said a senior government official who declined to be identified. “There are people in his cabinet asking for a crackdown and there are others asking for him to brandish his reformist side’ (Niluksi Koswanage, 2013). Pada 13 Mei 2013, badan bukan kerajaan Solidariti Anak Muda Malaysia dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), antara lain Adam Adli (siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris) telah menganjurkan sebuah acara iaitu ‘Rapat Rakyat 13 Mei: Hari Bangsa Malaysia — Selamatkan Demokrasi’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH). Adalah jelas perhimpunan tersebut untuk menolak keputusan pilihanraya 2013 di mana retorik untuk mengajak peserta ke acara tersebut antara lain menyatakan  ‘demokrasi dinafi’, ‘kemenangan rakyat dinafikan’, ‘kecurangan pilihanraya diatur’ dan ‘pilihanraya terkotor dalam sejarah’ (Solidariti Anak Muda Malaysia, 2013). Adam Adli adalah salah seorang dari panel yang berucap di acara tersebut. Ekoran dari ucapannya, pada 18 Mei 2013, aktivis mahasiswa tersebut telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Ilah Hafiz Aziz, 2013) dan ditahan di lokap di Jinjang. Penahanan Adam Adli di Jinjang serta merta mencetus kebangkitan peers di Facebook. Selain wujudnya akaun ‘We Are All Adam Adli’ dengan jumlah ‘likes’ melebihi 48 ribu, sebuah akaun bernama ‘Mama Wants Adam Home’ turut dilancarkan. Setiap malam sejak penahanan beliau sejumlah besar anak muda pelbagai kaum mulai berhimpun di luar lokap Jinjang untuk menyatakan solidariti. Penahanan Adam Adli serta merta meraih simpati awam. Syahredzan Johan (2013) menggambarkan suasana di Jinjang sepanjang penahanan Adam Adli sebagai sesuatu yang fenomenal di mana tembok perkauman terburai. Apatah lagi jumlah demonstran yang ramai di Jinjang tersebut adalah mereka yang beretnik Cina datang mempertahankan nasib seorang remaja beretnik Melayu; Syahredzan menulis: “Mereka yang percaya dengan retorik ‘pengkhianatan Cina’ ini sebenarnya sudah terputus dengan realiti akar umbi. Realitinya, ceramah-ceramah dan program-program anti-kerajaan mendapat sambutan warga Malaysia dari seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya yang berbangsa Cina. Realitinya, keputusan PRU ke-13 adalah tsunami bandar, tsunami kelas menengah dan tsunami orang muda, bukan tsunami Cina. Realitinya, semakin hebat tekanan yang dikenakan oleh pihak pemerintah, semakin utuh jalinan perpaduan. Realitinya Adam Adli bukan lagi seorang Melayu, tetapi seorang anak Malaysia yang diperlakukan dengan tidak adil. Dan apa yang berlaku di Jinjang selama minggu lepas adalah contoh terbaik realiti baru ini.” Pada 22 Mei 2013, satu kekecohan berlaku di mana polis telah menahan 18 orang yang hadir memegang lilin di luar balai polis Jinjang (Sin Chew, 2013). Kumpulan anak muda yang ditahan tersebut kemudian dibebaskan dan dirai sebagai wira dengan sorakan dan tepukan. Dalam konteks makalah ini, ternyata peers yang turun menyatakan solidariti buat Adam Adli di Jinjang tidak berasa khuatir dengan momokan pihak berkuasa. Malah feedback yang dicetuskan ternyata menepati ciri yang disebut oleh Karl Wolfgang Deutsch dalam The Nerves of Government iaitu desakan untuk berlakunya perubahan dalam sistem sedia ada. Pada 23 Mei, Mahkamah Seksyen membebaskan Adam Adli dari tahanan reman dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin (Nizam Zain, 2013). Rentetan dari insiden di atas tidak berakhir begitu sahaja. Pada 25 Mei, lebih 70 ribu orang awam berhimpun di padang hadapan Amcorp Mall, Petaling Jaya untuk memprotes keputusan pilihanraya ke 13. Acara tersebut adalah anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama 58 buah badan bukan kerajaan yang lain. Adam Adli tidak hadir dalam himpunan tersebut tetapi KS Bawani (siswa Universiti Utara Malaysia) yang menjadi masyhur kerana klip video ‘Listen Listen Listen’ dan Mohd Safwan Anang, mahasiswa Universiti Malaya yang cedera di malam tahun baharu 2012 telah hadir berucap. Di acara tersebut, Safwan telah mempersendakan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang sebelumnya menganjurkan rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya ke 13 supaya berhijrah ke luar negara; ‘Ada sesetengah orang tak faham bahasa, mereka kata jika orang yang tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya, boleh keluar dari Malaysia. Ini kenyataan bodoh, betul atau tidak?’ (Wartawan Malaysia Kini, 2013). Pada 28 Mei, Safwan Anang dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah ditahan bersama tiga aktivis Pakatan Rakyat iaitu Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, aktivis Asalkan bukan UMNO, Haris Ibrahim dan ahli PAS Tamrin Ghafar. Hari berikutnya, keempat mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Safwan Anang bagaimanapun enggan diikatjamin kerana menyifatkan tindakan dakwaan tersebut adalah bermotif politik. Beliau juga menyatakan tindakan menolak ikatjamin sebagai satu protes dan sebagai mesej jelas bahawa siswa benar-benar serius dalam ‘melawan penipuan’: “Penahanan dan dakwaan ini bermotifkan politik. Tindakan saya ini sebagai protes dan memberi signal penolakan terhadap salah guna kuasa untuk kepentingan hayat Umno-BN. Tindakan saya juga demi sayangkan negara dan ingin memulihkan demokrasi yang makin tenat. Ini juga mesej jelas kepada anak muda bahawa kita benar-benar serius perjuangkan hak kita. Saya di dalam tetapi saya yakin kalian di luar sana tetap akan terus bangkit berjuang lawan penipuan” (Staf Free Malaysia Today, 2013). Safwan kemudian telah dihantar ke penjara Sungai Buloh. Rakan segenerasi atau peers telah pun mencipta akaun Facebook ‘We Are All Safwan Anang’ dengan lebih 13 ribu ‘likes’. Seperti situasi yang berlaku sebelumnya di Jinjang, awam terutama anak muda telah menyatakan solidariti dan mulai berhimpun di luar penjara Sungai Buloh pada malam hari. Himpunan tersebut dimeriahi oleh ucapan, bacaan sajak dan lain-lain lagi. Sehingga makalah ini ditulis episod politik ini masih berterusan. Kesimpulan Bagaimanakah pihak pemerintah mahu mendapatkan skor dalam ‘perlawanan’nya dengan gerakan siswa? Seperti yang telah dijelaskan, generasi X-Y-Z hari ini tidak lagi bergantung kepada pengaruh ibu-bapa. Dalam hal ini sekiranya kecenderungan ibu bapa mereka adalah untuk memilih parti UMNO atau Barisan Nasional pada waktu terdahulu, kecenderungan ini tidak semestinya diekori oleh kaum muda mutakhir. Institusi pendidikan dan komponennya, antara lain, guru atau pendidik tidak lagi menjadi faktor penentu memandangkan kedudukannya sudah amat tercabar oleh kehadiran peers. Harus diingatkan sekali lagi, peers dalam erti kata hari ini bukan lagi kawan-kawan sebaya secara ‘wujud’ tetapi memadai dengan teman-teman segenerasi yang hanya berkenal di alam maya. Salah satu pangkalan maya yang sangat berkesan adalah Facebook. Terdapat dua pendekatan yang perlu dilakukan oleh pemerintah untuk melunakkan kebangkitan mahasiswa yang telah mendapat momentum oleh lag and gain dalam perjuangan mereka selama ini. Kekangan akta untuk mengepung siswa sudah tidak lagi berkesan memandangkan kebebasan bersuara mencapah ke ruang real dan ruang maya. Oleh kerana itu pemerintah mempunyai pilihan untuk menjadi lebih autoritarian, iaitu dengan mencabut kebebasan siswa. Ini dapat dilakukan dengan menutup pangkalan atau ibu pejabat mereka iaitu Facebook. Profesor Media Baharu dari Universiti New York, Clay Shirky (2011: 30) yang telah dirujuk pandangannya sebelum ini mengingatkan bahawa media sosial masih ditekan dan boleh terus ditekan oleh kerajaan-kerajaan yang memilih untuk tidak bersikap demokratik.; ‘…social media have become coordinating tools for nearly all of the worlds’s political movements, just as most of the world’s authoritarian governments (and, alarmingly, an increasing number of democratic ones) are trying to limit access to it.’ Walaubagaimanapun, rencana in itidak semudah yang disangkakan  kerana pengguna Facebook di Malaysia adalah besar. Malaysia mempunyai pengguna Facebook melebihi 12 juta orang. Selain itu, kajian menunjukkan generasi muda sekitar usia 18 hingga 24 tahun dan 25 hingga 34 tahun merupakan dua kategori umur paling ramai menggunakan Facebook di Malaysia. Pengguna lelaki mengatasi pengguna perempuan iaitu kira-kira 54 peratus.  Malaysia juga berada di kedudukan ke-17 antara 230 buah negara (Hayati Ibrahim, 2012). Kategori usia pengguna Facebook dengan jelas memberi indikasi bahawa masyarakat pelajar atau siswa merupakan pengguna Facebook terbanyak. Tentunya sukar untuk sebuah kerajaan yang menyangka diri demokratik mengekang hak asasi 12 juta rakyatnya. Pendekatan kedua untuk melunakkan gerakan siswa ialah dengan berdialog. Pendekatan ini memerlukan pemerintah mengorbankan sebahagian dari apa yang dipertahankan, namun dapat menjamin kelangsungan status-quo mereka untuk satu tempoh lagi. Dalam sejarah gerakan kemahasiswaan di Malaysia, kebangkitan pelajar pernah dijinakkan dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO (dibaca: status quo). Kejutan dari insiden itu telah mengakibatkan gerakan siswa berpecah dan mengalami tempoh ‘lag’ yang panjang. Akan tetapi pendekatan ini sukar dicapai memandangkan masyarakat siswa telah pun mengalami dan menempuh fasa ‘king of feedback’ seperti yang digariskan oleh Karl Wolfgang Deutsch. Dalam erti kata lain, golongan siswa telah menjadi terlalu kental, padat dan padu dengan dokongan peers yang cukup besar dan sukar digugat. Malah, mahasiswa telah melihat ‘gain’ amat hampir dengan mereka dan tiada keperluan untuk berkompromi lagi, ini misalnya dapat dilihat pada sikap Mohd Safwan Anang yang menolak tawaran ikat jamin dan memilih untuk ke Sungai Buloh kerana percaya dakwaan hasutan ke atas beliau adalah satu aksi politik. Justeru, kedua-dua pendekatan yang terbentang untuk status quo adalah jalan buntu. Berdasarkan pendekatan yang dikemukakan oleh Karl Wolfgang Deutsch dalam The Nerves of Government, status quo sudah tidak mempunyai pilihan lain. Sehingga makalah ini ditulis mahasiswa telah hampir mencapai skor penuh. Gerakan kemahasiswaan menanti detik menuai ‘gain’ yang mereka harapkan selama ini; iaitu kebebasan akademik, kebebasan untuk bersuara dan keupayaan untuk bersikap secara total. Sebagai seorang sosiologis, aksi selepas ini menarik untuk disaksikan dan ditelaah secara akademik. Buat masa ini, adalah jelas masyarakat siswa selaku gerakan sivil memilih dan bersikap untuk bersama oposisi atau gerakan pembangkang.   Rujukan Abu Bakar, M. 1973. Mahasiswa Menggugat. Pustaka Antara: Kuala Lumpur. Alias, MR. 2003/2004. Gerakan Pelajar di Universiti Malaya Pada Tahun 1970-1986: Isu dan Pendekatan. Latihan Ilmiah. Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya: Kuala Lumpur. Al-Maniri, MS. 1995. Politik Kampus: Di Sebalik Tabir. Pustaka Generasi Baru: Bangi. Anwar, Z. 1990. Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar. IBS Buku Sdn Berhad: Petaling Jaya. Aziz, I.H. 2013. Adam Adli ditahan di bawah Akta Hasutan. Utusan Malaysia. 18 Mei. http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130518/je_10/Adam-Adli-ditahan-di-bawah-Akta-Hasutan Deutsch, KW. 1964. The Nerves of Government: Models of Political Communication and Control. Free Press: New York. Foucault, M. 1979. Discipline and Punish: The Birth of the Prison. Terjemahan Sheridan, A. New York: Vintage Books. Ibrahim, A. Star. 30 Mac 1982. Ibrahim, H. 2012. 12 juta ‘main’ Facebook. Harian Metro. 4 Julai. Johan, S. 2013. Selamat datang ke Jinjang. Projek Dialog. 26 Mei. http://www.projekdialog.com/featured/selamat-datang-ke-jinjang/ Karim, H & Hamid, SN. 1984. Bersama Rakyat! Gerakan Mahasiswa 1967-1974. Pustaka Insan: Petaling Jaya. Koswanage, N. 2013. Bitter election aftermath undermines Malaysian PM Najib. Reuters. 26 Mei. http://www.reuters.com/article/2013/05/26/us-malaysia-politics-idUSBRE94P01120130526 KS Bawani. 2013. Jangan panaskan lagi isu ini. Sinar Harian. 22 Januari. http://www.sinarharian.com.my/nasional/ks-bawani-jangan-panaskan-lagi-isu-ini-1.124019 Mahyiddin, WM. 1996. Kepimpinan: Sorotan Pelbagai Aspek Bagi Meningkatkan Kualiti dan Pencapaian. Penerbit Fajar Bakti: Shah Alam. 148. Musa, M.F. 2013. Terlepas Dari Sumpahan Listen Listen Listen. Projek Dialog. 15 Januari. http://www.projekdialog.com/featured/terlepas-dari-sumpahan-listen-listen-listen/ Othman, A.L. 1993. ‘Gerakan Mahasiswa Islam: Sejarah dan Pengiktibaran’. Kertas kerja ‘Perhimpunan Mahasiswa Islam Peringkat Kebangsaan’. Anjuran Persatuan Ulama Malaysia dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia. Kompeks Tabung Haji Kelana Jaya. 25-26 Disember. Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang Malaysia. 2006. Akta Universiti Dan Kolej Universiti 1971. Muat Turun di http://www.kck.usm.my/murni/akta30pindaan2006.pdf Shirky, C. 2011. The Political Power of Social Media. Foreign Affairs. January-February: 28-41. Sin Chew. 2013. 18 people who hold vigil for Adam Adli in front of Jinjang police station arrested. My Sin Chew. 23 Mei. http://www.mysinchew.com/node/86727 Solidariti Anak Muda Malaysia. 2013. Warnakan 13 Mei dengan penyatuan rakyat, selamatkan demokrasi. The Malaysian Insider. 13 Mei. http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/warnakan-13-mei-dengan-penyatuan-rakyat-selamatkan-demokrasi-solidariti-anak-muda-malaysia Staf Free Malaysia Today. 2013. Safwan Anang enggan diikat jamin. Free Malaysia Today. 29 Mei. https://www.freemalaysiatoday.com/category/frontpage/2013/05/29/safwan-anang-enggan-diikat-jamin/ The Sun. UUCA Unconstitutional. 1 November 2011. UKM4. 2010. Fight for students freedom!. The Malaysian Insider. 16 Jun. http://www.themalaysianinsider.com/mobile/breakingviews/article/ukm-4-fight-for-students-freedom-part-3-lord-bobo-loyarburok.com/ Wartawan Malaysia Kini. 2013. Kerlipan ‘cahaya’ demokrasi menyinari Dataran PJ. Malaysia Kini. 25 Mei. http://www.malaysiakini.com/news/231191 Yutim, H. 2012. PSM Proud of Burgeoning Student Movements. Malaysian Digest. 3 Januari. http://www.malaysiandigest.com/features/38201-psm-proud-of-burgeoning-student-movements.html Zain, N. 2013. Adam Adli bebas dengan ikat jamin. Sinar Harian. 23 Mei. http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/adam-adli-bebas-dengan-ikat-jamin-1.163119

]]>

Share your thoughts!

More Articles

Tafsir untuk Perempuan

Oleh Faisal Tehrani TERDAPAT sebuah buku oleh Faqihuddin Abdul Kodir, seorang ulama Indonesia yang menurut saya sungguh menarik. Judulnya Qira’ah Mubadalah: Tafsir Progresif Untuk Keadilan