Hudud: Kerisauan seorang Kristian

  Perbandingan daripada perspektif Kristian Dalam menyiapkan makalah ini, saya juga berbincang dalam satu sesi pengkajian ‘Alkitab’ bersama rakan-rakan siswa dalam komuniti Persatuan Pelajar Katolik Shah Alam mengenai isu ini. Petikan yang kami kaji adalah Injil Matius bab 18 ayat 6 hingga ayat 9. Di sana kami menganalisa bahawa Yesus Kristus sendiri memberi peringatan keras yang kelihatan sama dengan konsep hudud iaitu membuang sebahagian anggota badan bagi menghindari orang lain daripada melakukan dosa. Namun, adakah Yesus bermaksud sedemikian? Yesus menggunakan perumpamaan dalam mengajar bahawa punca dosa mahupun jenayah adalah kerosakan moral dan penyesatan diri. Ia adalah perkara yang wajar ditangani oleh setiap individu bagi menghindarkan diri daripada menyebabkan kerosakan pada diri dan masyarakat. Yesus tidak mengajar umatnya untuk menghukum manusia lain sewenang-wenangnya mengikut hutang ‘nyawa bayar nyawa’ tetapi berpegang teguh pada nilai keadilan, belas kasihan dan pengampunan. Dan semasa berhujah ada rakan saya mengutarakan petikan daripada Injil Yohanes bab 8 ayat 1 hingga ayat 11. Ia tentang bagaimana Yesus enggan menghukum wanita berzina supaya direjam sampai mati setelah diasak oleh guru Taurat Yahudi. Beliau memberi kenyataan balas sedemikian; “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia” (Yohanes 8:7). Di sini saya lihat, urusan menghukum adalah lebih layak ditentukan sebagai urusan Tuhan dan ianya akan diselesaikan sendiri di akhirat kelak melalui syurga dan neraka. Gereja Katolik yang terkenal dengan hukuman Pasitan (Inqusition) sejak kurun ke-12 hingga ke kurun ke-16 turut menyaksikan penyalahgunaan hukuman penalti yang kejam seperti pancung, bakar hidup-hidup dan rejam sampai mati. Namun setelah berlakunya renungan sejarah secara serius Gereja pun insaf dengan meletakkan peluang kepada pertaubatan individu dan martabat nyawa manusia setelah terhapusnya Pasitan ini. Namun, ianya bukan bererti, tiada hukuman kepada penjenayah di muka bumi ini bagi menjamin keselamatan awam. Berikut adalah saranan Gereja Katolik dalam menangani jenayah: “Dalam usaha untuk melindungi kepentingan bersama, pihak berkuasa awam yang sah mesti menjalankan hak dan kewajipan untuk mengenakan hukuman mengikut keseriusan jenayah yang dilakukan. Hukuman tidak berkhidmat semata-mata bagi tujuan mempertahankan ketenteraman awam dan menjamin keselamatan individu; ia juga menjadi alat untuk pembetulan pesalah jenayah itu, pembetulan yang juga mengambil kira pada nilai moral penebus dosa apabila pihak yang bersalah secara sukarela menerima hukumannya. Tindakan pemerintah untuk menetapkan tanggungjawab atas kejahatan yang juga adalah tertakluk pada peribadi insaniah harus diiringi dengan kewajiban untuk mencari kebenaran tanpa syarat dan harus dijalankan atas dasar penghormatan pada martabat dan hak peribadi manusia. Hak seorang tertuduh harus juga dilindungi seperti hak seorang bebas. Prinsip hukum yang berlaku umum harus selalu ditaati yakni hukuman baru dijatuhkan setelah kesalahan tertuduh dibuktikan. Sesungguhnya masyarakat moden mempunyai usaha untuk secara efektif meniadakan tindak kejahatan jenayah dengan melumpuhkan para penjahat, sehingga tidak merugikan masyarakat lagi, tanpa menutup peluang bagi mereka untuk memperbaiki diri. Cara-cara damai dan tanpa pertumpahan darah (hukuman mati) lebih diutamakan kerana cara-cara itu lebih menjawab syarat-syarat konkrit bagi kesejahteraan umum dan lebih sesuai dengan martabat manusia.” (Kompendium Ajaran Sosial Gereja, no. 402-405) Kesimpulan Tidak cukup dwi-standardkah undang-undang syariah serta undang-undang jenayah sivil sedia ada? Tidak membantukah undang-undang jenayah sivil yang kita ada sekarang? Mengapa perlu hudud di negara yang hanya mempunyai majoriti 60.4% penduduk Muslim? Sudahkah dapat persetujuan semua umat Muslim di negara ini tentang perlaksanaannya? Bagaimana penerimaan yang bukan Muslim? Bagaimana hukuman hendak dijalankan? Apakah ijtihad serta rujukan yang perlu diambil dan dirujuk? Model negera Islam yang mengamalkan undang-undang Hudud manakah yang terbaik untuk dijadikan contoh? Apakah jaminan bahawa undang-undang ‘Tuhan’ ini berjaya mengurangkan jenayah? Sekirannya kesemua persoalan di atas tidak berhasil dijawab, saya mengandaikan undang-undang ini berkemungkinan akan gagal dan menjadi tidak wajar dilaksanakan sama ada di Kelantan mahupun ke atas seluruh Malaysia. Keyakinan umat bukan Islam adalah kunci utama penerimaan undang-undang Hudud di negara ini serta dalam mengekalkan keharmonian dalam negara.         unnamed

]]>