Sumber alam Agama asal ataupun dipanggil sebagai “Pagan” merupakan agama yang menyeluruh dan berhubung rapat dengan sumber alam dan bumi. Antara elemen-elemen sumber alam adalah seperti tanah, sungai, pokok, batu dan haiwan dimana ianya menjadi nadi utama kepada pengamal agama asal. Sumber alam menjadi teras kehidupan kepada bumi dimana tanah, sungai, pokok, batu dan haiwan mempunyai semangat kehidupan yang sama seperti manusia. Sumber alam juga mempunyai bahasanya sendiri dimana pengamal agama asal dapat memahami bahasa alam walapun bahasa tersebut tidak di ucapkan di dalam perkataan sepertimana bahasa yang digunakan oleh manusia. Pengamal agama asal sangat mempercayai bahawa sumber alam mempunyai satu tenaga kosmik yang sangat berkuasa dan menyeluruh di bumi. Manusia tidak akan hidup tanpa sumber alam tetapi sumber alam akan kekal selama-lamanya walaupun tanpa manusia. Perkongsian Perkongsian ini menyebabkan pengamal agama asal sangat menghormati batu, pokok, sungai dan tanah dengan melakukan upacara-upacara tradisi sebagai tanda terima kasih kepada alam kerana memberikan kehidupan kepada mereka. Pengamal agama asal biasanya mendiami kawasan pergunungan, hutan dan sungai kerana ianya dekat dengan sumber alam dan Ini merupakan gambaran asas tentang apakah itu agama asal. Semangat pelindung Secara khususnya saya di sini akan menyentuh kepada pengamalan agama asal dari perspektif agama asal suku kaum Dusun Tindal yang terletak di kawasan Kota Belud. Ini kerana latar belakang keluarga saya yang masih mengamalkan agama asal ini. Pengamal agama asal suku kaum Dusun Tindal sangat dekat dengan sumber alam terutamanya hutan, sungai, haiwan dan pokok. Mereka mempercayai bahawa pokok mempunyai roh dan semangat dan boleh berkomunikasi dengan manusia. Sebagai satu contoh sudut pandang alam ini, kita boleh mempertimbangkan satu cerita daripada nenek saya, di mana ketika perang Jepun, penduduk kampung tidak dibenarkan keluar bersendirian untuk ke sungai ataupun memburu haiwan. Akan tetapi nenek saya mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Buko (bukan nama sebenar) telah memberanikan diri ke sungai seorang diri. Sungai yang menjadi tempat permainannya mempunyai sebuah pokok yang sangat besar. Seperti biasa, Buko akan bermain-main dengan pokok tersebut dan tetapi mengikut ceritanya Buko sangat terperanjat apabila melihat batang pokok tersebut mengeluarkan mata, hidung dan mulut dan membentuk muka manusia. Berdasarkan naratif ini, pokok tersebut memarahi Buko kerana keluar bermain dalam keadaan yang bahaya dan menyuruh Buko untuk pulang ke rumah. Pokok besar tersebut telah memberikan perlindungan kepada Buko dan ini menunjukkan roh alam sangat nyata pada masa tersebut. Ini menunjukkan interaksi diantara alam dengan manusia sangat rapat dan mereka boleh memahami antara satu sama lain. Penyembuhan Selain itu, pengamal agama asal suku kaum Dusun Tindal juga mempercayai bahawa sumber alam memberikan penyembuhan penyakit tidak kira dari segi fizikal dan mental. Contohnya, nenek saya selalu menggunakan sejenis air yang dipanggil “wonod”. Wonod boleh didapati daripada akar batang pokok yang melilit di pokok-pokok besar. Air Wonod ini boleh menyembuh penyakit seperti deman dan sakit tekak. Pengamal agama asal ini juga mempunyai pengetahuan yang meluas tentang daun herba dalam perubatan tradisional. Kebiasaanya mereka akan menggunakan sejenis daun yang dipanggil “Totopis” dalam bahasa Dusun Tindal yang bermaksud daun berubat untuk mengubati penyakit bengkak di leher dan muka. Ini menunjukkan sumber alam mempunyai penyembuhan yang sangat tinggi dalam kehidupan manusia. Penyembahan Suku kaum Dusun Tindal juga menggamalkan beberapa jenis upacara tradisi di dalam penyembahan mereka. Upacara utama yang sering diamalkan adalah upacara “Tombilon” yang bermaksud upacara memanggil ataupun berkomunikasi dengan semangat alam yang dipanggil “Himbou”. Himbou bermaksud malaikat-malaikat di langit yang mempunyai tenaga penyembuhan dan penglihatan yang tinggi. Himbou juga memyembah semangat alam yang paling berkuasa iaitu “Kinorohingan” atau bermaksud “Tuhan”. Melalui Kinorohingan, Himbou mendapat kuasa yang luar biasa untuk membantu pengamal agama asal di dalam penyembahan mereka. Upacara “Tombilon” biasanya dilakukan untuk melihat kesakitan dalaman seseorang tidak kira dari segi fizikal dan mental dimana upacara ini membolehkan pengamal dapat melihat dunia lain melalui mimpi. Himbou mempunyai kehidupan seperti manusia tetapi tinggal di dunia yang berlainan dimana mereka mempunyai keluarga dan kawasan-kawasan perkampungan. Himbou juga mempunyai nama panggilan dan bahasa sendiri dimana hanya pelaku Tombilon memahaminya. Pemilikan bersama Selain daripada itu, Konsep “mitatabang” yang bermaksud pemilikan bersama juga sangat harmoni di kalangan pengamal agama asal kerana mereka percaya bahawa semangat alam juga mengamalkan konsep ini. Pada musim memburu, memungut hasil hutan dan menuai padi, mereka akan turun bersama-sama untuk melakukan kerja tanpa gaji dan hasil pungutan daripada tuaian dan buruan akan dikongsikan dengan semangat alam melalui satu upacara tanda kesyukuran. Mereka percaya bahawa semangat alam telah memberikan makanan kepada mereka melalui hasil tanaman dan tanah yang menjadi tempat penanaman. Oleh itu, Pengamal agama asal suku kaum ini sangat menghormati semangat tanah dengan meminta kebenaran daripada semangat tanah terlebih dahulu untuk membuka kawasan tersebut melalui penyembahan tradisi. Ini merupakan satu perhubungan kosmik yang sangat luar biasa di antara pengamal agama asal dengan semangat alam. Agama atau kepercayaan semata-mata? Pengamal-pengamal agama asal adalah golongan yang berumur dalam linkungan 50an, 60an, 70an dan 80an. Golongan yang dibawah 50an seolah-olah sudah tidak mengamalkan agama asal ini. Persoalan yang timbul ialah adakah agama asal merupakan satu agama ataupun hanya kepercayaan semata-mata? Persoalan ini akan direnungi dengan lebih mendalam dalam penulisan saya yang seterusnya.
]]>