Jangan marah bila orang bukan Islam kata orang Islam suka kekerasan Orang Islam marah bila orang Barat kata Islam agama ganas, barbaric dan mendiskriminasi perempuan. “Mana ada… bohong dan fitnah tu!” katanya… Tapi hari ini, Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia yang mendakwa mewakili umat Islam di Malaysia mahu upah orang untuk tampar Ahli Parlimen Teresa Kok. Hari ini, ramai orang Islam di Malaysia membela perbuatan kakitangan Malaysia di Sweden yang pukul anaknya atas dasar agama dan budaya. Bila kita lihat di youtube ahli-ahli Majlis Jemaah NGO Islam melumur darah ayam dan menginjak-injak poster Teresa, tentu kita malu dengan perbuatan tidak bertamaddun itu. Kita malu dan mengatakan itu bukanlah ajaran Islam. Maka dalam kes di Sweden ini, cuba anda bayangkan apakah agaknya persepsi orang Barat apabila orang Islam dan kerajaan Malaysia mengatakan (kalau nak tambah special effect lagi, bolehlah anda tutup mata sebentar dan bayangkan orang-orang Islam Malaysia di Sweden sedang demo memegang sepanduk-sepanduk yang berbunyi): “Kami pukul anak-anak kami bila mereka tidak sembahyang. Ini ajaran agama kami dan memang budaya kami!” Bayangkan pula sekiranya yang dipukul itu bukanlah anaknya akan tetapi isterinya, (walaupun pukulannya tidak mencederakan), maka apakah orang Islam dan kerajaan Malaysia akan dengan bangga mengatakan “maaf, and harus faham bahawa ajaran agama kami mengatakan isteri yang tidak patuh pada suami boleh dipukul!” Lalu, bolehkah kita salahkan orang bukan Islam kalau mereka punya persespi orang Islam ni sukakan kekerasan? Akta keganasan rumahtangga Walaupun terdapat penentangan dari sesetengah orang Islam, namun atas desakan NGO-NGO wanita, akhirnya pada 1994 kerajaan Malaysia menggubal juga Akta Keganasan Rumahtangga. Kini, semua wanita dan masyarakat Islam di Malaysia, termasuklah yang dulu menentangnya, mendapat perlindungan dengan adanya Akta Keganasan Rumahtangga. Sebelum adanya akta itu, isteri yang dipukul suami dianggap hal peribadi dan hal urusan dalaman keluarga yang mana orang atau pihak lain tidak boleh masuk campur. Kini, jika mana-mana ahli keluarga, terutamanya isteri yang dipukul atau didera, boleh membuat laporan pada polis dan berhak mendapat perlindungan negara. Anak-anak juga sebahagian dari ahli rumahtangga, maka jika mereka didera, mereka juga berhak mendapat perlindungan. Memandangkan kanak-kanak lebih lemah atau ‘vulnerable’, maka negara telah mengambil langkah perlindungan yang lebih bagi mereka, iaitu dengan menggubal Akta Perlindungan Kanak-kanak. Kerajaan Sweden pula ialah negara yang paling terkehadapan dan sangat serius dalam memastikan perlindungan terhadap kanak-kanak. Pada tahun 1970an, Sweden telah menggubal undang-undang yang melarang ibubapa atau sesiapa pun untuk memukul atau menggunakan sebarang kekerasan fizikal ataupun memalukan kanak-kanak. Orang Islam Di Negara Bukan Islam Apabila orang luar negara datang ke Malaysia, apakah anda setuju jika mereka mengatakan mereka tidak perlu patuh pada undang-undang negara ini? Jika anda tidak bersetuju, maka anda juga harus tidak bersetuju bila ada pegawai tinggi Malaysia yang ditugaskan di luar negara mengatakan mereka tidak perlu akur dengan undang-undang di negara tempat dia ditugaskan. Prof. Tariq Ramadan sudah banyak membicarakan bagaimana umat Islam yang hidup di negara Barat harus mencari titik pertemuan konstruktif dengan budaya dan undang-undang di Barat. Seorang ulama yang kini di Arab Saudi, Syeikh Abdullah bin Bayyah, juga telah mengingatkan orang Islam bahawa apabila mereka berada di negara bukan Islam, mereka harus akur dengan undang-undang dan peraturan di negara itu. Beliau memberi contoh “apabila saya datang ke negara ini (Amerika), saya telah menandatangani sesuatu. Semasa menerima visa dan menandatanganinya, suatu kontrak hukum (undang-undang) atau ‘a legally binding contract’ telah berlaku yang berbentuk sulh. Ia adalah persetujuan atau perjanjian bahawa apabila saya ada di negara ini, saya akur untuk menghormati undang-undangnya dan akan akur pada sebarang sekatan (restrictions) seperti yang termaktub di visa ini. Ini adalah perjanjian kontrak yang mengikat secara hukum (undang-undang). Tanggungjawab kakitangan kerajaan yang bertugas di luar negara Dalam kes ini, yang melanggar undang-undang bukanlah seorang Malaysia yang sedang melancong di Sweden, yang tidak tahu sangat tentang budaya dan undang-undang Sweden. Yang melakukan kesalahan itu ialah Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden. Apakah kerajaan Malaysia tidak beri kursus pada setiap kakitangan kerajaan yang ditugaskan ke luar negara tentang tatacara dan undang-undang negara itu, terutamanya yang berbeza dengan Malaysia? Jika ada kakitangan kerajaan yang tidak bersetuju pada undang-undang negara tempat dia harus berkhidmat, maka tidak seharusnya dia dihantar ke negara itu. Apatah lagi apabila jawatannya ialah Pengarah Pelancongan yang ingin menarik orang Sweden datang ke Malaysia. Tanggungjawab kerajaan Malaysia Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin, tentulah ia harus ambil berat terhadap apa jua yang berlaku ke atas warganegaranya walau mereka berada di luar negara. Sememang wajarlah kerajaan Malaysia mengambil tahu kedudukan perkara mengenai Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Nurshal yang ditahan reman, serta mengambil berat terhadap keadaan anak-anak mereka yang ditempatkan bersama keluarga angkat sementara. Pastinya kerajaan Sweden perlu dipersoalkan tentang tempoh tahanan reman yang lama. Hak asasi orang terdakwa juga perlu dipertahankan. Pastinya juga keselesaan anak-anak mereka yang telah terpisah dari ibubapa mereka harus diambil berat. Namun, apakah perlu kerajaan Malaysia membuang wang rakyat dengan menghantar pegawai dan menteri dari Malaysia untuk pergi ke Sweden? Bukankah kita sudah ada duta dan kedutaan di sana yang sememangnya menjadi tugas mereka untuk menangani kes-kes yang melibatkan rakyat Malaysia? Lagi pun, bukankah sebaik-baiknya sebarang urusan hanya melalui saluran kedutaan? Apakah ia melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara yang genting sehingga duta kita tidak mampu lagi menguruskannya? Selain bertanggungjawab terhadap keluarga Azizul Raheem, kerajaan Malaysia juga punya tanggungawab terhadap Malaysia secara keseluruhannya. Kerajaan Malaysia harus tegas berpendirian bahawa sebarang bentuk kekerasan fizikal terhadap ahli keluarga tidak boleh diterima. Apatah lagi jika kerajaan komited dengan wawasan untuk menjadi negara maju dengan tamaddun dan peradaban yang dihormati dunia. Keluarga ideal menurut Islam Bagi masyarakat Islam pula, mengapa pukul isteri dan pukul anak mahu dijadikan simbol Islam yang dibanggakan. Bukankah sunnah Rasulullah saw sendiri tidak pernah pukul wanita ataupun kanak-kanak? Bukankah wawasan Islam dan al-Qur’an ialah terhadap pembentukan keluarga yang mawaddah warahmah, iaitu yang berkasih sayang, serta mengutamakan pedekatan perbincangan dalam menyelesaikan masalah? Bukankah pendekatan psikologi dan perbincangan antara ahli keluarga sama ada antara suami isteri atau antara ibubapa dan anak-anak jauh lebih baik, harmoni dan efektif?
]]>