“Perlantikan Hakim Syarie wanita bukanlah dalam keadaan yang mendesak”
Adakah kesimpulan ini sahih? Wanita sebagai hakim Apabila ulama-ulama fiqh membahaskan tentang pelantikan orang perempuan sebagai hakim, kekhilafan yang biasanya timbul adalah seperti berikut; Pendapat pertama : Perempuan tidak harus menjadi hakim secara mutlak. Antara ulama yang mengatakan begitu adalah imam Dasuqi dari mazhab Maliki. Beliau menyatakan; “Ahli Kehakiman mesti adil, iaitu kelayakkannya adalah keadilan ……. Lelaki secara pasti, bukan perempuan tidak khunsa.” Imam al-Nawawi dari mazhab syafie menyatakan; “Disyaratkan padanya akan perkara yang disyaratkan pada hakim, dan penambahannya sepertimana dia berkata (syarat pemerintah, hendaklah ia adalah orang Islam), untuk meraikan kemaslahatan islam dan ahlinya …… mesti lelaki, kerana lemahnya akal perempuan, dan perempuan tidak dapat bercampur dengan orang lelaki. Dan telah saheh hadis yang menyatakan (tidak akan Berjaya sesuatu kaum yang mereka melantik perempuan sebagai orang yang urus urusan mereka.” Al-Iddah Syarh al-Umdah pula menyatakan, “Keadaan (hakim) itu mesti lelaki. Maka berhimpun lelaki dan baligh, kerana kanak-kanak tidak ada perkataan baginya (tidak diambil kira) dan perempuan pula kekurangan akal dan sedikit pandangan, ia bukan berkelayakan ketika kehadiran para lelaki dan pertemuan pihak yang bercanggah.” Berdasarkan pendapat ketiga-tiga aliran mazhab ini, jelas kelihatan bahawa mereka berpendapat bahawa pelantikan perempuan sebagai hakim adalah tidak harus, malahan keputusan yang mereka (hakim wanita) buat juga tidak sah. Tetapi ada juga khilaf yang berlainan. Pendapat kedua : Harus secara mutlak bagi orang perempuan menjadi hakim. Ibn Hazm menyatakan;, “Harus bahawa perempuan menjadi hakim – Ia juga adalah pendapat Abu Hanifah – Sesungguhnya diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab bahawa beliau melantik perempuan dari kaumnya untuk mengurus pasar. Ada pihak menyatakan bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Kaum itu tidak akan berjaya yang menyandarkan urusan mereka kepada perempuan”. Kami (Ibn Hazm) berkata, “Nabi Muhammad SAW berkata begitu pada urusan umum, iaitu dalam urusan khilafah.” Pendapat ketiga : Dibenarkan perempuan menjadi hakim dalam semua perkara kecuali perkara yang berkaitan dengan darah dan hudud. Al-Imam al-Kasani dari mazhab Hanafi berkata; “Adapun Lelaki, bukan syarat untuk diikut secara umum, kerana perempuan adalah dari kalangan ahli penyaksian secara umumnya kecuali dia tidak boleh berhukum dalam perkara hudud dan Qisas, kerana tidak berlaku penyaksian pada perempuan dalam perkara ini (hudud dan Qisas) sedangkan keahlian hakim berlegar pada keahlian penyaksian.” Hujah pihak melarang Setiap pihak punyai dalil dan penghujahan masing-masing. Larangan orang perempuan menjadi hakim berasaskan beberapa nas, antaranya firman Allah yang mengatakan bahawa “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan” (Surah al-Nisa’ (4), ayat 34) Dalam firman Allah ini, dipamerkan bahawa orang perempuan tidak boleh dilantik menjadi hakim kerana lelaki dinyatakan sebagai pemimpin dan pengawal terhadap orang perempuan. Ada juga yang menafsir ayat berikut dengan tanggapan tambahan bahawa kononya sifat perempuan lebih banyak mengikut emosi berbanding rasionaliti dalam sebarang tindakan dan keputusan mereka. Contohnya, menurut al-Imam al-Qurtubi; “Ada yang mengatakan, lelaki itu punyai kelebihan dari sudut kekuatan jiwa dan tabiat, yang ia tiada pada orang perempuan, kerana tabiat bagi lelaki adalah panas dan kering, lalu padanya terdapat kekuatan dan kekerasan. Tabiat perempuan, dikuasai oleh kebasahan dan kesejukan, ia membawa makna kelembutan dan kelemahan, lalu Allah menjadikan bagi mereka hak berkuasa terhadap perempuan dengan sebab itu.” Mereka juga berhujah dengan merujuk kepada hadis bahawa Nabi Muhammad saw ada bersabda; “Selama-lamanya sesuatu kaum tidak akan berjaya jika urusan mereka diserahkan kepada perempuan.” Hakikat penghakiman adalah tercapainya keamanan yang merupakan kejayaan. Dalam hadis ini pula, Nabi Muhammad SAW mempamerkan bahawa perempuan tidak boleh mengurus urusan orang ramai, dan sudah pasti ialah kehakiman antara urusan orang ramai itu. Mereka turut berhujah bahawa melantik perempuan sebagai imam solat pun sudah dilarang, inikan pula dalam urusan kehakiman yang kesan baik dan buruknya lebih besar berbanding solat. Mereka juga sering merujuk kepada zaman wahyu dan salaf soleh, di mana didapati bahawa tiada terdapat satu kejadian pun bahawa perempuan dilantik menjadi hakim. Ini merupakan bukti mereka bahawa perempuan tidak boleh menjadi hakim. Tambahan lagi, mereka juga menyatakan bahawa perempuan tidak boleh menjadi hakim kerana terdapat dalam hadis bahawa Nabi Muhammad SAW menyatakan tentang orang perempuan yang punyai kelemahan akal dan kelemahan agama. Ekoran itu, Nabi SAW menyatakan bahawa kesaksian orang perempuan seumpama setengah dari kesaksian lelaki. Sabda Nabi saw; “Wahai para perempuan, bersedekahlah, kerana sesungguhnya aku melihat kebanyakan kamu adalah ahli neraka”. Pihak perempuan bertanya, “Dengan sebab apa wahai Rasulullah? “. Berkata nabi, “Mereka banyak melaknat dan ingkari keluarga. Aku tidak lihat kalangan yang kurang akal dan agama”. Kami (perempuan) berkata, “apakah kekurangan agama dan akal kami wahai Rasulullah?”. Jawab Nabi, “bukankah kesaksian perempuan itu menyamai setengah kesaksian lelaki?”. Mereka menjawab, “benar”. Berkata lagi, “itu merupakan kekurangan agamanya. Bukankah apabila perempuan kedatangan haid, dia tidak boleh solat dan puasa?”. Jawab mereka, “benar”. Berkata Nabi, “itu merupakan kekurangan agamanya”. Hujah pihak yang membenarkan Pihak yang membenarkan juga mendatangkan hujah – hujah mereka. Antaranya mereka kembali kepada kaedah asal, bahawa sesuatu itu adalah harus selama tiada nas yang melarang. Dan apa yang jelas ialah tiada nas yang melarang perempuan menjadi hakim. Walaupun ada hadis yang mengatakan sesuatu kaum tidak berjaya jika dilantik perempuan sebagai orang yang mengurus urusan mereka, hadis ini hanya merujuk kepada kepimpinan utama seperti khalifah yang tidak relevan pada zaman sekarang lagi. Hujah ini dijawab dengan mengatakan bahawa tegahan perempuan menjadi hakim adalah merujuk kepada kelemahan akal ekoran penguasaan emosi mereka. Tambahan pula ada kesukaran perempuan untuk berhadapan dengan urusan orang bawahan yang pelbagai ketika mentadbir kerajaan. Masalah-masalah tersebut adalah masalah yang juga akan dihadapi oleh perempuan yang menjadi hakim. Ekoran itu, secara mendasarnya wujud juga nas yang melarang dari orang perempuan menjadi hakim secara tidak langsung. Wacana tambahan dan balasan hujah-hujah Pihak yang mengizinkan perempuan menjadi hakim ini membalas hujah itu dengan merujuk kepada keizinan syarak merujuk fatwa kepada perempuan. Itu pula dijawab dengan hujah bahawa di sana wujud perbezaan antara fatwa dan kehakiman. Ini kerana, sesuatu yang dikeluarkan diberikan pilihan antara menerima atau menolak, sedangkan hukuman yang diputuskan oleh hakim tiada pilihan untuk menolak. Dipihak yang mengatakan bahawa perempuan boleh menjadi hakim dalam semua perkara kecuali hudud dan qisas pula berhujah dengan alasan bahawa perempuan diterima penyaksiannya pada semua perkara kecuali hudud dan qisas. Keizinan bagi menjadi saksi adalah keizinan juga menjadi hakim. Hujah ini dijawab dengan menyatakan bahawa bandingan penyaksian diqiaskan dengan kehakiman adalah qias yang tidak seharusnya berlaku kerana larangan perempuan dilarang menjadi pemimpin itu sememangnya wujud dalam nas secara jelas. Dari penghujahan semua pihak ini, nyata bahawa pihak jumhur Ulama yang mengatakan larangan perempuan menjadi hakim lebih kuat. Keadaan Malaysia Apabila kita lihat bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh seseorang hakim tertakluk kepada faktor-faktor dirinya sendiri, jadi tidak hairanlah ada pendapat yang melarang perempuan menjadi hakim. Namun itu berbeza dengan keadaan di mana seseorang hakim itu tidak membuat keputusan secara bersendirian, contohnya di dalam konteks sesuatu majlis kehakiman yang terdiri beberapa orang hakim-hakim yang lain. Dalam konteks ini mereka tidak akan membuat sesuatu keputusan kes kecuali akan dibincangkan dalam majlis tersebut. Jadi larangan terhadap perempuan menjadi hakim adalah tidak tepat, kerana kebimbangan dan kerosakan yang terjadi jika perempuan menjadi hakim tidak akan berlaku. Dengan itu, dengan mengambil kira bentuk dan kaedah membuat keputusan kehakiman, perempuan tidak patut dilarang dari menjadi hakim. Kupasan Al-Qaradawi tentang hakim wanita Yusuf Al-Qaradawi ialah antara ulama kontemporari yang menyatakan keizinan perempuan menjadi hakim. Beliau juga menyatakan fatwa beliau selaras dengan beberapa fatwa di kalangan ulama yang lain, seperti syaikh Muhammad Al-Ghazali dan Ibn Hazm. Beliau berhujah bahawa tiada nas yang qatie dilalah terhadap larangan tersebut. Menurut beliau, jika wujud pendalilan secara qatie terhadap larangan itu, sudah pasti aliran zahiri seperti Ibn Hazm menyatakan larangan tersebut. Beliau juga menjawab larangan yang merujuk kepada hadis bahawa Nabi saw ada bersabda, “Tidak akan berjaya sesuatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada perempuan”. Dihujah oleh Al-Qaradawi bahawa hadis ini tidak boleh dilaksanakan secara mutlak, kerana terdapat ayat Al-Quran yang mempamerkan kejayaan sesuatu kaum yang diperintah oleh perempuan seperti kisah yang berkait dengan seorang perempuan di era Nabi Sulaiman yang menguasai sebuah kerajaan di zaman itu. Firman Allah; “Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut); * ” `Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah). ‘ * “Raja perempuan itu berkata lagi: “Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya”.* “Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan” “Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.” * “Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita” * “Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah)” * “Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.” (Surah al-Naml, ayat 30-37) Bagi menjawab hujah yang mengatakan perempuan kekurangan akal pula, Al-Qaradawi menyatakan bahawa kisah raja perempuan menerusi surah al-Naml, ayat 30 sampai 37 bercanggah dengan pendapat tersebut. Jika perempuan kekurangan akal, bagaimana dia boleh mentadbir dengan baik? Malahan dalam hadis, terdapat kisah Ummu Salamah dalam sejarah Sulh al-Hudaibiyyah yang memberikan pandangan bernas kepada Nabi Muhammad saw untuk selesaikan kekusutan baginda SAW. Bagi menjawab pula dakwaan bahawa larangan itu tertakluk kepada perempuan yang saksi mereka seramai dua orang menyamai dengan seorang saksi lelaki, Al-Qaradawi menyatakan bahawa ketidak selarasan itu bukan hujah untuk melarang perempuan menjadi hakim, kerana maksud sebenar di sebalik ketetapan itu adalah kerana kesaksian dalam penghakiman memerlukan keyakinan yang jitu. Apa yang nyata dari pandangan Al-Qaradawi ialah perempuan boleh menjadi hakim. Wallahu A’lam. (Sila email projekdialog@yahoo.com untuk rujukan dan bibliografi lanjut) ]]>