Adakah umat Muslim memerlukan Santa Claus? Menerusi makalah ini, kita akan meninjau satu cabaran yang datang setiap tahun dalam apa-apa tradisi hari kebesaran dan perayaan agama-agama termasuk Islam, khasnya sekarang iaitu bulan Ramadan. Jenama-jenama dan kemasyhuran menjadi ganti berbanding rahsia dan kelebihan Ramadan yang wajar dikejar. Promosi Hari Raya di sesetengah pasaraya berlangsung beberapa bulan sebelum datangnya Ramadan, begitu juga media elektronik dan media cetak yang berperanan besar dalam mencorak perhatian penonton dan pembaca. Lebih jauh lagi, kita melihat perkara-perkara tertentu dikaitkan langsung dengan keagamaan demi melariskan lagi barang-barang perniagaan; seperti pakaian keAraban dan sebagainya. Kalau ia sudah biasa berlangsung pada bulan-bulan lain, ia berlangsung lebih hangat pada bulan Ramadan dan sebelumnya. Justeru suatu yang sentiasa berlaku, rahsia Tuhan yang menyebut keutamaan malam al-Qadar menjadi suatu yang tidak diendah sebilangan manusia, kerana malam-malam akhir pada bulan Ramadan menjadi tumpuan para peniaga untuk menghabiskan barang-barang jualan mereka. Oleh itu, tempat-tempat ibadat menjadi amat berkurang berbanding pada hari-hari awal, dan pasar-pasar pula menjadi tempat segelintir Muslim “beribadah”. Jika Santa Klaus yang “suci” dalam agama Kristian pun menjadi mangsa konsumerisme, kadang-kadang perkara sama berlaku dikalangan Muslim: biasa didengar bagaimana sesetengah pusat ibadat yang teruja amat mahu mendapatkan khidmat Imam solat terawih dari luar negara, hingga sanggup menanggung kos-kos yang tinggi, walhal duit tersebut boleh digunakan untuk manfaat ahli kariah yang memerlukan. Majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel-hotel lebih mencemaskan kita, betapa di celah-celah tangisan segelintir pihak yang tidak cukup wang untuk membeli sesuap nasi, kita dihidangkan dengan pelbagai berita pembaziran pada majlis berbuka puasa, amat paradoks! Malah makanan yang tidak dapat dihabiskan, yang lazimnya bertimbun di buffet-buffet tersebut akan dibuang sahaja, atas alasan hak milik peribadi pemilik hotel. Bukan suatu yang rahsia, sebahagian pihak terjebak dengan hutang keliling pinggang hanya kerana “tidak mahu kalah” semasa hari raya, iaitu setelah sebulan perjalanan spiritual yang seperti tiada apa-apa. Mesej berjimat cermat, membantu orang memerlukan, kesamarataan manusia, persaudaraan kemanusiaan dan mesej utama ketakwaan (yang mana menurut Islam; ketakwaan itu ringkasnya ialah “menjaga hubungan dengan Tuhan dan memperbaiki kualiti hubungan dengan manusia dan kehidupan”) terabai begitu sahaja. Ramadan: Renung diri atau jual beli? Beberapa perenggan di atas merupakan secebis kecil kisah makna beragama dicabut secara rakus oleh konsumerisme, hingga akhirnya praktis-praktis keagamaan menjadi suatu adat yang lebih menguntungkan kaum pemodal, bukannya latihan dan pengalaman spiritual yang membina dan mendisiplinkan manusia, lantas menyelamatkan kemanusiaan. Suatu yang jelas dilihat praktis-praktis keagamaan dalam Islam ialah ia sentiasa akan dikaitkan dengan orang yang miskin dan memerlukan, demikian juga dengan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Namun menyedihkan, ia diragut oleh konsumerisme dengan begitu ganas. Galakan supaya memberi makan berbuka puasa kepada orang miskin dan memerlukan tidak diendahkan, kerana wang digunakan untuk dibazirkan pada tempat yang tak sepatutnya. Akibat ragutan itu, ia menjadikan Ramadan bukan lagi bulan untuk menghayati kelaparan dan kesusahan, tetapi bulan untuk lebih berbelanja berbanding bulan-bulan lain. Ramadan yang mengajar tentang kesamarataan manusia akhirnya mencipta jurang yang lebih besar antara kelas-kelas sosial. Sebahagian pemimpin politik turut terjebak dalam budaya ini, majlis rumah terbuka selepas berakhirnya Ramadan seperti pertandingan “majlis siapa lebih mewah”, kesederhanaan tidak menjadi keutamaan. Berhubung mereka (para politikus), sekalipun atas nama “berbuka puasa” dan apa-apa upacara keagamaan, persoalan berapa dan dari mana belanja dikeluarkan perlu sentiasa ditanya. Kembali kepada makna agama Isu-isu berkaitan kehampaan makna dalam beragama dan spiritual menjadi antara perbahasan yang tidak berkesudahan, cabaran arus deras konsumerisme mengeruhkan lagi keadaan. Karen Armstrong sesudah mengulas panjang lebar tentang sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku terkenalnya History of God mengakhiri buku tersebut dengan dua topik menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu The Death of God dan Has God a Future?. Ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar punya erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri? Sama ada kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil perhatian: “Human beings cannot endure emptiness and desolation; they will fill the vacuum by creating a new focus of meaning. The idols of fundamentalism are not good substitutes for God; if we are to create a vibrant new faith for the twenty-first century, we should, perhaps, ponder the history of God for some lessons and warnings.” Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu refleksi dalam tradisi beragama khasnya dalam kalangan umat Muslim. Meminjam semangat kata-kata Armstrong, jika kita persoalan makna, tujuan dan rahsia terabai serius dalam faham kita tentang Ramadan, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal pengsyariatan Ramadan dan amalan berpuasa. Oleh itu, mengajak kepada melihat kembali apa makna yang mahu dicapai menerusi Ramadan ialah satu usaha mengelak kehampaan makna berlangsung serius, selain menolak akhirnya hal-hal keagamaan menjadi bahan paling laku untuk diniagakan. Teladan daripada Ibn Tufail Jauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal 1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya, Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy dan Asal. Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masharakat yang sudah hampa dari makna beragama. Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang diperoleh sepanjang berada di pulau. Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy melihat dengan matanya sendiri, masharakat yang lebih maju darinya ditimpa kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan erti beragama. Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar yang mereka mampu, tanpa melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya. Hayy tidak mampu mengajak mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semua ke pulau tersebut, meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi. Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan makna dalam beragama. Kalau demikianlah pandangan Ibn Tufail pada zamannya, maka lebih-lebih lagi pada zaman di mana perindustrian merupakan segala-galanya. Itulah antara perkara yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan dan praktis beragama, salah satunya Ramadan dan puasa. Ramadan dan puasa hanya contoh kecil, ia hakikatnya sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara keseluruhannya. Menuntut kembali makna Ramadan dan beragama ialah satu kemestian, dan tanggungjawab. Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan; bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan sejauh mana manusia membantu orang yang memerlukan. Berhenti dari hal-hal kebiasaan, berhenti dan berfikir kembali makna dan erti Ramadan.
]]>