Beliau menegaskan Malaysia mempunyai etnik-etnik yang berbeza merangkumi Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, justeru, aspek pemikiran dan budaya rakyat negara ini harus diambil kira. Selama beberapa dekad kumpulan relativis budaya telah dan akan terus menggunakan hujah, yang sama digunakan oleh Nancy di atas untuk membolehkan penganiayaan hak asasi manusia terus berjalan. Mereka berselindung di sebalik, budaya ketimuran dan agama untuk terus melanggar hak asasi minoriti dan warga awam. Ia berlaku di Myanmar sebagai contoh. Anda fikir mengapa kaum Rohingya diusir dan dibunuh? Kerana Myanmar ada acuan hak asasi manusia mereka yang sendiri. Mereka memanggilnya ‘acuan Myanmar’. Itu sahaja. Anda fikir mengapa penghuni Gaza dibunuh dan dibom sesuka hati? Kerana regim Zionis ada acuan hak asasi manusia mereka yang sendiri. Mungkin mereka memanggilnya ‘acuan Yahudi’. Ya, jika tidak dibiarkan melarat, kita akan ada puluh, ratus, ribu malah juta set hak asasi manusia. Begitukah Nancy? Apa itu hak? Pertamanya Nancy, hak asasi manusia dalam dua kata adalah ‘Maruah’ dan ‘Hormat’. Justeru, mereka yang mempertahankan hak asasi manusia adalah mereka yang berhasrat untuk mempertahankan maruah, dan menghormati diri dan orang lain. Ini termasuklah anda sendiri. Keduanya Nancy, kerangka hak asasi manusia Barat yang digubal oleh United Nations pada tahun 1948 ingin mempertahankan nasib dan kedudukan “semua” manusia. Itu adalah persoalan pertamanya, iaitu hak asasi “semua”, ya “semua” manusia. Justeru, kerangka ini menjadikan taraf manusia itu di kedudukan pertama. Sementara perihal agama, warna kulit, gender, atau kecenderungan seksual sebagai hal kedua. Jika kita meletakkan Islam sebagai kedudukan pertama di Malaysia, mengatasi “manusia”, maka janganlah merungut jika Buddha diletakkan sebagai kedudukan pertama di Myanmar, mengatasi “manusia”. Kerana jelas, orang Rohingya tidak dianggap sebagai manusia pun di Myanmar. Jika Nancy memahami ini, beliau akan dapat membezakan seorang manusia sebagai ‘person’ atau pelaku dengan ‘behaviour’ atau tingkah laku. Ketiganya, Nancy, hak asasi manusia bukanlah untuk mempromosi persamaan. Anda tidak harus tersilap tentang itu. Bahkan hak asasi manusia bertujuan untuk mengiktiraf dan melindungi tiap perbezaan antara kita semua. Justeru Nancy, hak asasi manusia adalah persamaan dalam bentuk layanan atau ‘uniformity in treatment or status’ oleh mereka yang berada dalam satu kedudukan yang boleh mempengaruhi atau memberi kesan kepada mereka yang lain. Dalam negara demokrasi, kerajaan bertanggungjawab memberikan hak-hak ini kepada kaum minoriti. Jika tunjang ini pun gagal diberikan, maka Nancy, yang ada bukanlah demokrasi tetapi fasisme. Tahukah Nancy mengapakah hak kesetaraan perlu diperjuang, direbut, diperolehi, dituntut oleh mereka yang tidak bernasib baik daripada yang bernasib baik atau ‘the right to equality often must be coerced from the advantaged by the disadvantaged’ ini ya? Nancy mesti berfikir dengan keras. Pandangan Cultural Relativists seperti Nancy dan penggubal lain dalam pasukan National Human Rights Action Plan (NHRAP) mengenai hak asasi manusia secara am merupakan salah satu ganjalan yang menyulitkan keamanan di seluruh dunia ini tercapai. Mereka menggunakan alasan agama. Dalam hal ini, Islam adalah agama yang mesti diberi perhatian khusus. Kumpulan Islamis seperti Sham Rahayu, dan Nancy, akan sering menghujahkan Islam mempunyai kerangka hak asasi manusia yang berbeza dan lebih istimewa. Hujah ini tentunya sudah agak lapuk Nancy. Tidak Nancy. Anda ketinggalan. Benar, sebagai satu alternatif kepada UDHR 1948, negara-negara Islam telah menggubal Deklarasi Cairo Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam 1990. Deklarasi Cairo ini adalah rentetan dari Report of the Meeting of the Committee of Legal Experts yang diadakan di Tehran, Republik Islam Iran pada 26 sehingga 28 Disember 1989. Dalam erti kata lain Nancy, mesyuarat peringkat rendah OIC untuk Deklarasi Cairo tersebut bermula dan digerakkan oleh Iran, sebuah negara yang mazhab rasminya Syiah. Adakah Nancy dan NHRAP kini bersedia menerima Syiah sebagai salah satu mazhab yang diiktiraf di negara ini, seperti mana yang dilakukan oleh OIC dalam Islamabad Declaration 2006 dan ditandatangani oleh Malaysia itu? Inikah hak asasi manusia ala Malaysia yang dimaksudkan olehmu Nancy? Apa beza acuan Malaysia dan acuan Israel jika begitu? Okay, marah? Kita turunkan sedikit tahapnya, apakah beza acuan Malaysia dan acuan Myanmar jika demikian? Nancy, berhak mengetahui bahawa ketika Universal Declaration of Human Rights dikemukakan pada tahun 1948, salah sebuah negara umat Islam yang sudah menyertai United Nations dan tidak membantah deklarasi tersebut adalah Arab Saudi. Adakah Malaysia ingin menjadi lebih Islami berbanding Arab Saudi? Selain Deklarasi Cairo Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam 1990, kelompok Cultural Relativists seperti Nancy dan juak-juaknya turut cuba membentuk acuan hak asasi manusia tersendiri yang bersifat oriental (dengan mengambil kira Universal Declaration of Human Rights adalah mengikut acuan Barat). Sebagai contoh, negara-negara ASEAN berusaha memiliki deklarasi hak asasi manusia yang tersendiri. Dalam tahun 2012, negara-negara ASEAN memilih untuk mempunyai dan menandatangani satu deklarasi yang dinamai ASEAN Declaration of Human Rights (selepas ini ASEAN Declaration). Malaysia tatkala itu diwakili oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Nancy, United Nations telah mengkritik ASEAN Declaration tersebut sebagai mengandungi kekaburan dengan terma-terma seperti ‘legitimate restrictions’, ‘morality’, atau ‘public order’ dan ‘national security’ yang terbuka kepada pelbagai penafsiran menurut selera masing-masing. Penafsiran menurut selera inilah yang berbahaya. Penafsiran menurut selera inilah yang akan dimanipulasi oleh regim pemerintah untuk mengehad bahkan mencabul hak asasi manusia. Itulah yang akan dilakukan oleh National Human Rights Action Plan (NHRAP) apabila kononnya acuan Malaysia akan digunakan untuk mendukung hak asasi manusia. Untuk makluman Nancy dan anggota NHRA, apa kerangka dan apa acuan hak asasi manusia sekalipun boleh digunakan, acuan Melayu, India, Cina, Kadazan, Bugis, Eropah, Islam, Buddha, Hindu, apa sahaja. Tiada siapa yang peduli; asalkan Nancy, asalkan ‘maruah’ dan ‘hormat’ dapat ditegakkan. Jika acuan Malaysia yang disarankan itu hanya untuk melindungi kaum elit, kapitalis dan yang berkepentingan maka mengapakah acuan Malaysia itu harus disokong dan diterima pakai oleh orang awam? Beri jawapan yang konkrit Nancy. Sekarang! Jika Nancy, dan ‘sekumpulan penyelidik’ ingin menggunakan ‘acuan timur’ dan ‘acuan agama’ hanya untuk menafi, membuli dan mengabaikan ‘maruah’ dan ‘hormat’ kaum minoriti, maka tujuan asas hak asasi manusia tidak akan dapat ditegakkan. Malah akan dicemuh dan ditolak mentah. Acuan inilah yang digunakan oleh Myanmar untuk menafikan hak Rohingya. Kalian tidak mengasihani nasib Rohingya? Beginilah Nancy, apa kata kita kembali semula ke kerangka hak asasi manusia 1948, Malaysia adalah anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bukan? Kami keliru, ya atau tidak? Adakah negara kita ini moderat atau tidak? Menurut kerangka hak asasi manusia yang digubal di Barat pada tahun 1948 itu, hak asasi manusia terbina berasaskan tiga tunjang moral iaitu kebebasan, persamaan dan maruah manusia; ‘human rights are undeniably based upon an appeal to three moral ideals; freedom, equality and human dignity’ (Andrew Fagan, 2011: 3). Oleh kerana definisi hak asasi manusia menurut kaca mata Barat itu memelihara dan mengiktiraf hak setiap individu iaitu kebebasan, persamaan dan maruahnya, maka ya, ia benar-benar diperlukan malah didambai oleh setiap individu yang waras. Apakah yang ditawarkan oleh kerangka hak asasi manusia Malaysia ini Nancy? Mestikah rakyat menerima kepalsuan dengan pakej baru ini lagi? Adakah ia sejenis lagi perhambaan supaya manusia dipasung kaum elitis, kapitalis dan mereka yang berkepentingan? Nancy, mesti berfikir dengan keras. Untuk itu Nancy mesti belajar berdialog. Dialog itu Nancy adalah apabila dua laluan dibuka, ia bermula dengan sifar dan bukan dengan satu kumpulan lain, kumpulan anda, Sham Rahayu dan lain-lain telah pun menskor markah pertama. Itu bukan dialog. Itu bukan keadilan. Dialog mestilah benar-benar meletakkan diri di meja rundingan dengan saksama dan kesetaraan. Nah lihat Nancy, itu sendiri sudah pelanggaran satu hak. Bagaimana kalian mahu melakukan ini? Apa kata kami mencadangkannya begini; apa kata kita padamkan acara perundingan National Human Rights Action Plan (NHRAP) bersama masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan 13 November 2014 yang lepas. Kita mulakan yang baru. Yang tidak bias, dan benar-benar ‘berunding’? Yang tidak ada ketetapan sebelum bermulanya dialog. Boleh Nancy? Bolehkah begitu? Nancy, mesti berfikir dengan keras.
]]>Desentralisasikan Sistem Pendidikan Malaysia
Oleh Wing Thye Woo, Universiti Sunway, Universiti California di Davis Untuk mara ke peringkat pembangunan seterusnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia harus diterajui oleh ilmu pengetahuan dan