Gender Identity Disorder ini dan kesimpulan yang menarik antara ketiganya (Dr. Syamirul , Dr.Murizan dan Dr. Rozanizam). Walaubagaimanapun, pada tulisan kali ini saya ingin membawa pembaca dari sudut yang berbeza , yakni falsafah, tentang siapakah diri kita. Apakah itu manusia? Apakah yang menjadikan diri kita ini “manusia”, atau dalam erti kata yang lain, apakah subjek manusia itu boleh dibincang diluar kerangka gender “lelaki”, “perempuan” atau “transgender”? Kisah Herculin Barbin Sebelum saya meneruskan perbincangan, saya ingin menceritakan mengenai seorang Intersex (ataupun Khunsa/hermaprodit ,seorang yang alat kelaminnya sukar menentukan jantina kebiasaan lelaki atau perempuan. Selalunya mereka mempunyai dua alat kelamin) yang bernama Herculin Barbin ataupun nama lain beliau, Alexina. Beliau mempunyai penis yang kecil, klitoris yang besar dalam vagina yang kecil dalam masa yang sama mempunyai testikel dan bertubuh tegap seperti lelaki. Walaubagaimanapun beliau dibesarkan sebagai perempuan dan bercinta dengan seorang guru bernama Sara. Kisah cinta mereka menjadi kontroversi dan dihukum pihak sekolah kerana perbuatan mencintai sesama perempuan. Setelah mengakui dosanya di hadapan pendeta, Jean-Francois-Anne Landriot di La Rochelle, beliau dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat pakar, Dr Chestnet pada tahun 1860. Walaupun keputusan klinikal mengesahkan ketidakseimbangan alat kelamin dan ciri-ciri tipikal yang mendefinisikan lelaki atau perempuan, mahkamah tetap membuat keputusan menentukan bahawa Alexina adalah seorang lelaki dan mesti berpakaian seperti lelaki walaupun selama ini beliau dibesarkan sebagai perempuan dan mencintai perempuan yang lain tanpa diberi pilihan menentukan jantinanya. Peristiwa ini menyebabkan Alexina berpindah ke Paris bersama kekasihnya dan beliau mengalami tekanan hidup yang melampau dan suatu penderitaan yang menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk membunuh diri. Alexina sering kali menyalahkan keadaan alat kelamin beliau yang menyebabkan penderitaan hidup beliau. Kisah ini sangat tepat untuk kita bawa dalam perbincangan selanjutnya. Jika kita renungkan, kompleksiti masalah Alexina berkait rapat dengan kecelaruan seks, gender dan seksualiti. Hakikat bahawa beliau secara biologis adalah seorang interseks/hermaprodit merupakan masalah dimensi pertama (masalah seks), kemudian beliau dibesarkan sebagai perempuan merupakan masalah dimensi kedua yakni masalah gender yang tidak dapat disandarkan kepada seks, dan masalah dimensi terakhir ialah masalah seksualiti/orientasi seks beliau kepada berlainan jantina yang juga suatu perasaan yang tidak dapat disandarkan pada seks dan gendernya. Dalam erti kata lain, Alexina menderita dalam hidupnya kerana kecelaruan ketiga-tiga ruang ini yang ditetapkan oleh konstruk sosial dan penghukuman oleh masyarakat lebih-lebih lagi melalui institusi undang-undang. Ini hanyalah suatu contoh dari banyak lagi kes. Namun, cukuplah sebagai pengenalan mengapakah masalah gender, seks dan seksualiti ini harus dirungkai semula dari persepsi lazim kita tentang manusia berjantina. Gender, Seks dan Seksualiti Manusia dan gender tidak dapat dipisahkan. Keseluruhan aspek hidup yang dibina hari ini sama ada dari segi politik, ekonomi sosial akan membincangkan mengenai manusia bergender. Manusia tanpa gender merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima. Semestinya, terdapat perbezaan antara ketiganya. Gender merupakan sebuah konstruk atau pembentukan sosial mengenai bagaimana sebuah gender itu sepatutnya berpakaian, peranannnya dan sebagainya, seks pula berdasarkan identiti gender seseorang berdasarkan biologinya yakni, organ kemaluannya dan seksualiti pula merupakan orientasi seksual terhadap pasangan sejenis mahupun berlainan jenis. Selalunya di dalam pemahaman kita, hanya ada gender dan seks binari, lelaki dan perempuan, yakni ditentukan melalui organ biologinya dan diletakkan oleh masyarakat tentang peranan gender masing-masing dan dianggap orientasi seksual semestinya kepada yang berlainan jantina. Akan tetapi persoalan tentang gender, seks dan seksualiti ini lebih kompleks dari itu. Judith Butler seorang intelektual Jerman, memberikan kita sedikit pandangan yang menarik mengenai hal ini khususnya berkisar tentang topik kita kali ini dalam karyanya Gender Trouble (1990). Bagi Butler, gender malah seks adalah sebuah pertunjukan atau peragaan [istilah Inggerisnya adalah performance]. Ianya bukan suatu essence atau lumrah hakiki manusia, yakni seperti yang kita sering fahami manusia itu diciptakan ada lelaki dan perempuan. Bagi Butler, tidak ada gender, seks dan seksualiti yang azali, yakni suatu sifat yang ada diluar konstruk sosial. Ketiga-tiganya adalah pertunjukan di dalam ruang awam di mana kesuruhan sistem masyarakat dan wacana kehidupan penonton dan jurinya. Pendapat Butler melangkaui wacana feminism dalam erti kata mengkritik “stable point of reference” yang diandaikan oleh feminism. Tiada nilai, realiti atau perwatakan jantiina yang ideal, kekal tidak berubah. Bagi memudahkan perbincangan, Butler mudahnya mengkritik andaian bahawa gender adalah akibat atau manifestasi dari identiti seks, sebagai contoh, jika seseorang punya penis, maka gendernya mesti lelaki. Mengikut logik itu, jika dia mempunyai vagina pula maka gendernya mesti perempuan. Butler bukan sahaja menolak “reference” gender daripada seks bahkan menolak terus “reference” seksualiti daripada gender yakni, jika gendernya lelaki maka mesti menyukai perempuan, dan jika gender perempuan maka mesti menyukai lelaki. Implikasi Gender Trouble Penolakan terhadap “stable point of reference” ini mudahnya ialah menolak manusia yang dieertikan dengan “essence” gender,seks dan seksualiti diluar sejarah dan konstruk sosial. Dengan menumbangkan ilusi “stable point of reference” in juga , Butler mengajak kita berfikir bahawa penindasan terhadap lelaki atau perempuan khususnya lebih dari persoalan gender, bahkan penindasan seringkali terjadi secara berlapis-lapis (bersangkutan status sosial, warna kulit dan sebagainya). Sebagai contoh, perempuan juga boleh ditindas dari sudut seksualitinya, yakni seorang perempuan yang tidak boleh mengandung dianggap bukan perempuan sejati (kerana hubugan seks sering kali difahami dengan tujuan prokreasi (yakni untuk mendapatkan anak sedangkan seks juga boleh jadi semata-mata untuk rekreasi (yakni sekadar kenikmatan).
Disinilah menurut Butler, wacana feminism juga tidak bisa memahami kompleksiti “trangender” jika masih berpegang kepada “stable point of reference” yang dibincangkan tadi. Gender, Seks dan Seksualiti dari pandangan Islam Menurut Syeikh Imran (bukan nama sebenar), perbahasan fiqh mengenai ketiga-tiga isu ni sangat terbatas dan memerlukan penilaian yang rapi dan perlu dibuka semula bagi menjemput interpretasi-interpretasi baru yang lebih progresif dalam menangani permasalahan ini kerana ia berkenaan hal-ehwal kemanusiaan yang sangat ditekankan Islam. Islam menekankan 6 prinsip utama ; 1)Al-Ilahiyaah (Tuhan Yang satu), 2)Al-Insaniyah (Kemuliaan Manusia), 3)Al-Hurriyah (kebebasan pilihan), 4)Al-Musawa wal- Adalah (kesetaraan dan keadilan), 5)Ar-Rahmah (kasih sayang), 6)Al-Jihad (perjuangan dan kepedulian). Allah berfirman : “Mengapa kamu tidak ikut berjuang di jalan Allah dan (membela) orang yang tertindas, laki-laki, perempuan dan anak-anak yang berkata “Tuhan kami! Keluarkan kami dari kota ini yang penduduknya berbuat zalim”(QS. Al-Nisâ’ [4]: 75)” Jadi Syeikh Imran menjelaskan bahawa fiqh adalah karya manusia yang bersifat relatif dan seiring dengan perkembangan zaman dan keadaan. Fiqh pula dibentuk melalui pemahaman ulama terhadap teks dan realiti yang terbatas di pandangan mujtahid-mujtahid pada zaman dan keadaan tertentu.
Menurut Prof Muhammad Abid Al-Jabiri, seorang pakar dan intelektual terkemuka di Morocco, bahawa “peradaban Islam” yang kita warisi kini terlalu cenderung kepada “peradaban fiqh”. Jantina berdasarkan Quran Misalnya dalam persoalan seks (jantina biologi) dalam Quran Cuma ada pembahagian binary, yakni Cuma dua, lelaki dan perempuan. Manakala dalam persoalan gender pula, selalu diambil mudah dengan dikaitkan organ seksnya (alat kelaminnya). Sedangkan dalam perbahasan hadith juga ada terma yang disebut sebagai khunsa (yang mempunyai dua alat kelamin atau pun ciri-ciri tubuhnya yang tidak bersesuaian dengan gender yang dipaksa keatasnya oleh masyarakat). Dalam Quran (Sural Al-Haj:5) menunjukkan bahawa penciptaan manusia terjadi dalam dua keadaan yakni mukhallaqah (fitrah) dan qhair mukhallaqah (fitrah tetapi tidak sempurna / cacat). Ini memberi makna bahawa penciptaan manusia tidak selalunya seragam dengan binari lelaki dan perempuan berserta gender dan seksualitinya yang tipikal dan sempurna kerana banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan berlakunya kelainan seperti kecelaruan gender akibat alat kelamin dan orientasi seks. Orientasi seks manusia dalam al Qur’an ada dua yakni heteroseksual (QS;3:14) dan ghairu lil irbah minal rijal (QS;24:31) yakni seorang laki-laki yang tidak memiliki hasrat kepada perempuan dan gayanya juga seperti seorang perempuan. Orang ini disebut oleh nabi sebagai mukhannats jika berjenis kelamin laki dan mutarajjilat jika berjenis kelamin perempuan. Namun begitu perlu diingat pengkelasan gender (maknyah dan tomboi) ini juga tidak mengharuskan bahawa orientasi seksualnya mesti kepada sesama jenisnya, misalnya ada juga maknyah (bergender perempuan yang menyukai perempuan) dan juga tomboi (bergender lelaki tetapi menyukai juga lelaki). Menurut Ibn hajar,orang yang tidak memiliki hasrat seksual kepada lawan jenis nya ini terbagi menjadi dua ; minkhilqah (given) atau bi ghair khilqah (constructed). Isu-isu halus dalam penafsiran tentang seksualiti Menurut Syeikh Imran juga, perbahasan fiqh yang ada selalu terkeliru antara orientasi seks dan jenis hubungan seks. Misalnya berkenaan ayat-ayat yang mengharamkan homoseksual. Menurut beliau, ayat-ayat yang mengharamkan homoseksual adalah berpandukan perbuatan liwat (anal seks, seks penis ke ruang dubur) sedangkan liwat adalah perbuatan seks, bukannya orientasi seksual. Ini bermakna, seseorang tidak perlu menjadi homoseksual pun untuk melakukan liwat . Bahkan banyak para sahabat yang melakukan anal seks kepada istrinya baik muhajirin mau pun Ansor .Al thabari menyebutkan sebuah hadits tentang perilaku liwath oleh Umar R.A terhadap isterinya yang kemudian menjadi sebab turunya ayat Quran 2 :223. Hasyim al Bahrani dalam Tafsirnya “al burhan fi tafsiril qur’an” menyebutkan bahawa kisah liwath pada masa nabi Luth bukan suatu perbuatan homoseksual (orientasi seks) akan tetapi suatu bentuk hubungan seks yang bertujuan mengusir orang asing (suatu penindasan dan upaya dominasi) dari daerah mereka kerana menganggap kemiskinan mereka datangnya dari orang asing. Maka yang diharamkan Tuhan bukanlah orietasi seksual (homoseksual) akan tetapi perbuatan seks yang dilakukan dengan tujuan penindasan dan kezaliman. Ini selalu boleh kita perhatikan dalam kes-kes penjara di mana ahli penjara meliwat rakannya kerana keperluan seksualnya dan sebagai suatu bentuk penghinaan dan penindasan sedangkan dia bukanlah seorang homoseksual. Tujuan seksualiti juga selalunya difahami sebagai heteronomativi yakni dengan tujuan prokreasi dan reproduksi (seks dengan tujuan mendapatkan anak dan keturunan) sedangkan tujuan seks tidak semestinya untuk mendapatkan anak, dan hanya semata-mata tujuan rekreasi yakni seks dengan tujuan kenikmatan semata-mata. Misalnya terdapat homeseksual yang berhubungan seksual hanya demi kenikmatan bukan untuk mendapatkan anak. Ada juga hubungan seksual lelaki dan isteri dengan hanya tujuan rekreasi. ]]>