Archbishop Sebastia Theodosis. Gambar: Nadezhda Kevorkova[/caption]
Terjemahan makalah “We Palestinian Christians say Allahu Akbar”, terbitan RT pada 30 Januari 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal.
Satu-satunya biskop Kristian Ortodoks Palestin yang bercakap mengenai penderitaan Kristian di Palestin, perpaduan mereka dengan Muslim dalam memperjuangkan Palestin, tentang syahid Kristian Ortodoks, dan Ukraine.
Ketua Biskop Sebastia Theodosios (Atallah Hanna), 49, merupakan satu-satunya ketua biskop Kristian Ortodoks dari Palestin yang ditempatkan di Jerusalem dan di Tanah Suci, sementara semua biskop lain dari Patriarki Jerusalem adalah warga Yunani.
Pihak berkuasa Israel telah menahan beliau beberapa kali, atau menghalangnya di sempadan, dan mengambil pasportnya.
Antara semua paderi Jerusalem beliaulah satu-satunya yang tidak berkeistimewaan melalui pintu VIP di lapangan terbang – kerana kewarganegaraanya.
“Bagi pihak berkuasa Israel, saya bukan seorang biskop, tetapi warga Palestin,” jelas beliau.
Apabila bercakap di telefon beliau banyak menggunakan perkataan yang biasanya didengari dari seorang Muslim: “Alhamdulillah, Insya’Allah, Masha’Allah”.
Beliau berbicara dalam Bahasa Arab, dan bahasa Arab untuk ‘tuhan’ ialah Allah, sama ada anda Kristian atau Muslim.
Yang Mulia, bagaimana rasanya sebagai seorang biskop Palestin di Tanah Suci?
Pertama sekali, saya ingin mengesahkan bahawa saya satu-satunya biskop Palestin di Patriarki Ortodoks Jerusalem.
Seorang biskop sedang berkhidmat di bandar Irbid di utara Jordan; dan di sana terdapat juga beberapa paderi Palestin.
Saya berbangga menjadi sebahagian daripada institusi agama yang berusia lebih 2,000 tahun ini.
Gereja saya telah melindungi kewujudan Kristian di Tanah Suci serta barangan suci yang berkaitan kehidupan Kristus dan sejarah Gereja Kristian.
Saya berbangga dengan agama dan kewarganegaraan saya, saya berbangga menjadi anak watan tanahair ini.
Saya warga Palestin, dan saya tergolong dalam kelompok agama yang berjuang demi kebebasan dan martabat untuk impian dan hak kenegaraan mereka.
Saya menyokong Palestin dan berkongsi perjuangan dan isu-isu mereka. Kami Kristian Ortodoks Palestin tidak terpisah daripada kesusahan mereka.
Isu Palestin merupakan masalah yang membimbangkan kita semua, Kristian dan Islam. Ia adalah masalah setiap intelek bebas yang menginginkan keadilan dan kebebasan di dunia ini.
Kami Kristian Palestin menderita bersama-sama seluruh rakyat Palestin kerana penjajahan dan kesusahan ekonomi kita.
Muslim dan Kristian sama-sama menderita, tiada perbezaan penderitaan antara kita. Kita semua hidup dalam keadaan rumit yang sama, menghadapi masalah yang sama.
Sebagai gereja dan individu kami membela rakyat ini, dan kami berharap suatu hari nanti rakyat Palestin akan meraih kebebasan dan martabat mereka.
Mereka yang melawat Tanah Suci berpeluang melihat betapa sukarnya keadaan rakyat Palestin. Apa pesanan anda kepada mereka yang ingin lebih memahami masalah Palestin?
Israel melayan rakyat Palestin dengan cara yang tak mampu diterima atau diredhai, pertama sekali kerana Israel menganggap Palestin sebagai warga asing, seolah-olah kami pendatang di tempat sendiri.
Rakyat Palestin tidak asing kepada Jerusalem ataupun tanah air keseluruhannya. Israel adalah kuasa penjajahan yang melayan kami sebagai penziarah atau penduduk sementara.
Namun kami adalah orang asal negara ini. Kami bukan pendatang, kami sentiasa di sini. Sebaliknya, Israel yang muncul secara tiba-tiba.
Mereka melayan kami seperti kami berhijrah ke sini dari tempat lain, seolah-olah kami dengan tidak sengaja baru sahaja sesat ke negara ini. Namun kami adalah pemilik sah tanah ini.
Kami bukan menceroboh ke Israel. Israel yang menceroboh hidup kami pada tahun 1948, dan pada 1967 ia menjajah Jerusalem Timur.
Kami berada di sini sekian lamanya sebelum Israel. Apabila Israel muncul di sini, nenek moyang kami telah menghuni kawasan ini berabad lamanya.
Inilah sebabnya kami tidak mampu menerima layanan Israel terhadap kami seperti orang asing di tanah air sendiri.
Saya secara jujur akan mengatakannya sekali lagi: Kristian dan Muslim kedua-duanya mengalami penderitaan yang sama daripada Israel.
[caption id="attachment_4926" align="aligncenter" width="588"] Kristian Ortodoks di Sungai Jordan untuk menyambut pesta Epiphany di mana Yesus dibaptiskan oleh John the Baptist.
Gambar: REUTERS/Mohamad Torokman[/caption]
Adakah ianya sama sukar bagi warga Palestin beragama Kristian dari Tebing Barat untuk melawat Jerusalem, seperti ianya sukar buat seorang Muslim?
Mereka takkan bertanya sama ada seseorang yang tiba dari Beit Jala atau Ramallah ke Jerusalem adalah seorang Kristian atau Muslim.
Mereka hanya akan bertanya, “Adakah kamu mempunyai permit untuk memasuki Jerusalem atau tidak?”
Pas yang membenarkan seorang warga Palestin memasuki Jerusalem diluluskan oleh Israel. Tiada siapa yang boleh memasukinya tanpa ia.
Dalam melaksanakan dasar perkaumannya terhadap rakyat Palestin, Israel mengabaikan perbezaan agama. Kami semua disasarkan sama sahaja.
Ia semua bergantung kepada pas, sama ada anda seorang Kristian atau Muslim.
Kami semua adalah sasaran mereka.
Selain itu, Israel menguasai banyak harta Gereja Kristian Ortodoks dan mengganggu hal ehwal dalaman Gereja.
Mereka memberi tekanan kepada orang-orang Kristian Palestin dengan pelbagai cara untuk cuba memaksa mereka meninggalkan tanah air.
Punca penderitaan kedua-dua Kristian dan Muslim di Tanah Suci ini hanyalah satu.
Serangan baru-baru ini terhadap majalah satira Perancis telah mencetuskan gerakan perarakan anti-Islam di Eropah. Netanyahu berada di hadapan barisan salah satu perarakan tersebut. Apakah tanggapan kamu terhadap ini?
Kami mengutuk serangan di Paris yang dilakukan oleh orang-orang yang kononnya mewakili suatu agama.
Namun mereka tidak mewakili mana-mana agama – mereka adalah pembunuh.
Serangan ini dilakukan oleh orang-orang yang mendakwa mereka beriman, namun mereka pastinya tidak mewakili Islam dan tidak mampu bertindak atas nama Islam, sebaliknya mereka hanya merosakkan imej Islam dengan apa yang dilakukan.
Pada masa yang sama, kami mengutuk operasi keganasan di Syria dan Iraq sama seperti kami mengutuk serangan pengganas di Paris.
Mereka yang melakukan keganasan di Paris dan di tempat lain, tergolong dalam kumpulan sama seperti pengganas di Syria dan Iraq yang menyerang tempat suci, merosakkan gereja dan menculik pemimpin agama.
Mereka menyerang wanita dan kanak-kanak di Syria, Lubnan dan Iraq.
Kami menjadi saksi keganasan di Tripoli, Lubnan beberapa hari yang lalu yang mengorbankan berpuluh-puluh orang yang tidak bersalah di kafe.
Kami mengutuk keganasan di Paris dan kami juga sama mengutuk mana-mana serangan seperti itu di dunia. Kami menentang sekeras-kerasnya sebarang kaitan antara serangan tersebut dengan Islam.
Kami sekarang membuat persediaan untuk persidangan antarabangsa yang akan disertai tokoh-tokoh agama – Kristian, Muslim dan Yahudi – dari pelbagai negara.
Kami ingin menegaskan bahawa kami, sebagai wakil ketiga-tiga agama monoteistik ini, sebulat suara menentang keganasan dan ketaksuban yang dilakukan atas slogan agama.
Persidangan tersebut barangkali diadakan di Amman, Jordan.
Pada pemikiran Barat, kalimah Allahu Akbar kedengaran seperti ancaman. Apakah tanggapan Kristian di Tanah Suci mengenainya?
Kami Kristian juga mengatakan Allahu Akbar. Ini ungkapan pemahaman kita bahawa Sang Pencipta adalah Maha Besar. Kita tidak mahu kata-kata ini dikaitkan dengan keganasan dan jenayah.
Kami menolak sebarang kaitan antara perkataan-perkataan tersebut dengan pembunuhan.
Kita menentang penggunaan ungkapan tersebut dalam konteks sebegini. Mereka yang berbuat demikian, hanya menghina agama dan nilai-nilai agama kita.
Mereka yang menggunakan kata-kata ini ketika melakukan perkara yang tidak beragama, tiada kerohanian, dan tidak bertamadun hanya merosakkan agama.
Allahu Akbar adalah ungkapan keimanan kita.
Seseorang tidak boleh menggunakan kata-kata tersebut untuk tujuan yang bukan keagamaan demi membenarkan keganasan.
Adakah ungkapan Allahu Akbar disebut di dalam gereja?
Sudah tentu.
Bagi kami, Allah bukanlah istilah Islamik. Ia perkataan Arab yang merujuk kepada Sang Pencipta yang membina dunia kita ini.
Jadi apabila dikatakan Allah di dalam doa-doa kami, yang dimaksudkan adalah Pencipta dunia ini.
Doa dan seruan kami dalam upacara keagamaan Kristian Ortodoks mengunakan perkataan ini.
Kami katakan, pujian kepada Allah untuk setiap masa. Kita banyak menyebut Allah dalam liturgi kami. Ianya salah untuk memikirkan bahawa kalimah Allah hanya digunakan oleh orang Islam.
Kami umat Kristian Arab menyebut Allah dalam bahasa kami sebagai cara untuk mengenalpasti dan menyeru Pencipta dalam doa-doa kami.
[caption id="attachment_4927" align="aligncenter" width="548"] Misa Krismas di Gereja Natal – Bethlehem, di Tebing Barat. Gambar: REUTERS/Ammar Awad[/caption]
Adakah ini semua tentang Kristus? Adakah beliau yang mencetuskan perpecahan agama di Tanah Suci? Kristian dan Muslim mengiktiraf bahawa Yesus Kristus dilahirkan, dan mereka sedang menunggu kedatangannya yang kedua, dan hari akhirat. Namun Yahudi menafikan ini, dan menantikan Penyelamat mereka.
Umat Kristian mempercayai bahawa Yesus telah datang.
Baru-baru ini kami menyambut Krismas sebagai peringatan bahawa Yesus telah tiba ke dunia ini, bahawa dia dilahirkan di Bethlehem, dan memulakan perjalanannya di Tanah Suci ini demi keseluruhan umat manusia, dan menyelamatkan dunia.
Jadi bagi kami, Yesus telah datang.
Yahudi mempercayai bahawa dia belum tiba, dan menantikan kedatangannya. Inilah perselisihan utama di antara orang Yahudi dengan kami. Kami mempercayai bahawa Yesus telah datang, namun mereka tidak.
Pun begitu, kami tidak berperang dengan orang Yahudi. Kami tidak melakukan keganasan terhadap orang Yahudi atau sesiapapun di dunia ini, walaupun berbeza dalam kepercayaan kita.
Kami berdoa untuk mereka yang tidak bersetuju dengan kami.
Apabila Yesus datang ke dunia ini beliau tidak mengarahkan kami untuk membenci, mengabaikan, atau berperang antara satu sama lain; beliau tidak menyuruh kami untuk membunuh yang ini atau yang itu.
Beliau memberikan satu arahan mudah: iaitu saling mengasihi. Apabila Yesus memerintahkan kami untuk saling mengasihi, kasih sayang ini tidak terbatas kepada bagaimana seseorang itu, atau apa yang dia lakukan.
Jika kita benar-benar Kristian, maka ia beban hutang kita untuk mengasihi semua orang, dan melayani mereka dengan positif, dan kasih sayang.
Apabila kita melihat seseorang yang berdosa, hilang, dan jauh dari Allah dan keimanan, seseorang yang melakukan kesalahan, maka ia tanggungjawab kita untuk berdoa untuknya walaupun dia mungkin berbeza dari kita dan agama kita.
Apabila kita berbeza pendapat tentang agama, kita berdoa agar Allah memberi petunjuk kepada mereka ke jalan yang benar.
Kebencian, kemarahan, dan tuduhan bahawa kepercayaan seseorang itu salah bukanlah etika kita sebagai umat Kristian.
Ini adalah perbezaan utama antara agama Yahudi dengan kami. Agama Yahudi yang wujud sebelum Kristus adalah agama bagi orang yang menunggu kedatangan Yesus.
Ramai orang Yahudi yang mengikutinya, namun masih ada yang tidak mempercayainya, dan menolaknya.
Kita tahu bahawa Yesus telah dianiaya, dan begitu juga umat Kristian terawal. Sebagai contoh, Raja Herod telah membunuh ribuan bayi di Bethlehem kerana mengesyaki Yesus di antara mereka.
Kitab Kisah Para Rasul, serta tradisi suci, menceritakan banyak kisah penganiayaan Kristian terawal.
Namun begitu, kami melihat setiap orang yang tidak bersependapat dengan kami tentang agama sebagai saudara, manusia sesama kita.
Allah menciptakan kita semua, memberikan nyawa, maka ianya tanggungjawab kita untuk menyayangi setiap seorang, dan mendoakan mereka yang tersilap atau salah faham, supaya Allah membimbing mereka ke jalan yang benar.
Adakah itu sebabnya orang Kristian dan orang Islam ditindas?
Kami tidak membahagikan rakyat Palestin kepada Kristian dan Muslim, siapa yang alim dan siapa yang tidak, yang berhaluan kiri atau ahli parti yang mana. Kami tidak membahagikan manusia mengikut kepercayaan atau agama.
Untuk gerakan penentang ia tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau Kristian.
Walau apapun pandangan politik mereka, semua rakyat Palestin secara aktif menyokong bahawa mereka patut diberikan hak dan mampu mencapai impian mereka.
Ya, beberapa orang Kristian telah terbunuh sejak 1948 hingga ke hari ini. Beberapa orang Kristian telah dihalau keluar dari rumah-rumah mereka.
Beberapa perkampungan Kristian telah musnah, dan kini tiada satu pun rumah atau penghuni di sana, contohnya, Al Galil di Golan Heights.
Banyak gereja telah diserang di Jerusalem; terdapat beberapa percubaan untuk merampas harta dan tanah mereka.
Ada Kristian yang dipenjarakan di Israel – tidak seramai orang Muslim, tetapi ada.
Masyarakat Kristian umumnya lebih kecil, namun kami mempunyai para syahid sendiri yang terbunuh dan banduan yang menghabiskan bertahun-tahun lamanya di penjara.
Kristian menderita di bawah penjajahan Israel sama seperti orang Islam – penduduk Palestin keseluruhannya menderita di bawahnya. Mereka tidak membezakan antara kita.
Adakah terdapat sebarang aspek khas bagi umat Kristian yang tinggal di Tanah Suci?
Ini adalah salah satu contohnya, yang berkait dengan Gereja Ortodoks Rusia.
Gereja Besar Holy Trinity terletak di bahagian barat Jerusalem dan merupakan milik Gereja Ortodoks Rusia, namun selepas 1948 Israel mengambil kesempatan terhadap keadaan di Rusia untuk merampas beberapa bangunan di sekitar gereja besar tersebut, dan menggunakannya sebagai markas polis dan penjara yang mengamalkan penyeksaan.
Apabila seseorang mengatakan “moskobiya”, merujuk kepada sesuatu yang berhubung dengan Patriarki Moscow, iaitu sesuatu yang suci dan spiritual, perkara pertama yang akan terlintas di fikiran seorang Palestin yang hidup di Jerusalem adalah penyeksaan, polis, soal siasat dan penjara.
Di Nazareth, sebagai contoh, perkataan “moskobiya” dikaitkan khas dengan sebuah sekolah Rusia lama di mana pelajarnya adalah di kalangan warga elit Palestin, para saintis dan ahli politik.
Walaupun ianya telah ditutup selepas Revolusi 1917 di Rusia, kemasyhurannya masih hidup.
Jadi, ia hanyalah buat rakyat Palestin di Jerusalem.
Apakah pendapat warga Kristian Palestin, maksud saya Kristian Ortodoks terutamanya, tentang krisis di Ukraine?
Secara keseluruhannya, kami amat bimbang dengan perpisahan di Ukraine. Kami masih mempercayai semua umat Kristian Ukraine patut kekal di bawah naungan Gereja Ibu iaitu Patriarki Moscow.
Saya berharap krisis Ukraine mampu diselesaikan melalui dialog supaya kita dapat melihat perdamaian dan tamatnya keganasan serta pertumpahan darah.
Umat Kristian tidak memerlukan peperangan dan pembunuhan. Krisis politik perlu diselesaikan secara aman. Gereja mesti bekerja keras untuk memastikan bahawa jurang dirapatkan dan diatasi.
Gereja Ortodoks di Ukraine adalah kuat kerana kebanyakannya berkepercayaan Kristian Ortodoks.
Perpecahan mesti diperbetulkan. Kami benar-benar berharap bahawa segala usaha Patriarki Moscow dan Patriarki Constantinople dapat menyatukan semula Gereja Ukraine.
Saya percaya perpecahan tersebut mampu dipulihkan dan mereka yang mengasingkan diri dapat kembali semula. Namun untuk itu, kita perlu merendah diri, yakin dan bersemangat teguh.
Kami berdoa untuk Gereja Ortodoks di Ukraine.