Projek Dialog

Reviu: Agama dan Kapitalisme – Budaya Konsumerisme di Bulan Ramadhan

Sesi forum bermula dengan persoalan dari moderator iaitu saudari Maryam Lee. Beliau meminta setiap panelis untuk menjelaskan apakah itu budaya konsumerisme dan apakah perbezaan konsumerisme yang ketara wujud pada bulan Ramadhan. Saudari Sharifah memulakan pembentangan dengan mengutarakan satu persoalan utama iaitu: “Haruskah kemenangan Ramadhan itu menjadi kemenangan para kapitalis lagi?”. Beliau kemudian menerangkan bahawa di dalam sistem kapitalisme, masa-masa seperti Ramadhan digunakan sebagai salah satu mekanisme untuk menjual secara aktif. Dalam ruang pasar-beli, ianya dirancakkan melalui penekanan budaya konsumerisme. Ianya sama seperti perayaan yang lain, selain daripada agama, ia turut dijadikan sebagai budaya. Kita terus dipropagandakan dengan idea-idea ataupun ilusi bahawa apabila perayaan semakin dekat, dibudayakan seluruh masyarakat untuk terus membeli sesuatu hal yang baru. Ini terbukti melalui peningkatan iklan yang wujud di mana-mana iaitu trend yang sama dan cara yang sama. Para pemodal menggunakan pendekatan yang sama dan mempunyai tujuan yang berulang: untuk menjual dan mengaut keuntungan. Mereka menggunakan idea ‘kemenangan’ puasa itu dengan budaya pembelian sebagai simbol utama. Sharifah menggunakan contoh dokumentari yang dihasilkan pada 2007 oleh Morgan Spurlock dan diarah oleh Rob VanAlkernade yang bertajuk ‘What Would Jesus Buy?’, sebuah dokumentari yang mengkritik sifat konsumerisme di kalangan masyarakat Amerika sehingga sanggupnya mereka berhutang di dalam jumlah yang besar. Kemudian moderator menyambung penjelasan Sharifah dengan menyentuh tentang taktik pihak pengeluar yang secara konsisten berusaha untuk mengeluarkan pelbagai bentuk iklan dan terus memberi ilusi bahawa para pembeli perlu membeli produk-produk yang dikeluarkan oleh mereka. Berkaitan dengan kenyataan di atas, soalan kemudiannya ditujukan kepada Ustaz Rashidi dengan menanyakan apakah wujudnya tradisi kritikan yang jelas terhadap para kapitalis untuk tidak mengeluarkan barang-barang yang berlebihan yang seringkali mengakibatkan pembaziran dan kerosakan alam yang melampau? Saudara Ustaz Rashidi menjelaskan bahawa sekitar 5/6 tahun kebelakangan ini, apa yang berlaku adalah agama ini telah dijadikan sebagai bahan komoditi. Hari ini agamawan merupakan karier yang lumayan. Sebagai contoh, bayaran seorang penceramah agamawan yang terkenal mencecah sebanyak 10k bagi sesi ceramah selama setengah jam sahaja. Langsung beliau mengutarakan persoalan mengenai kurangnya kritikan terhadap para pemodal dan menjelaskan bahawa ada sebahagian daripada para agamawan sudah terjebak dalam kancah kemabukan sebegini rupa. Golongan pemodal menjadikan apa sahaja yang menguntungkan di dunia ini. Hari ini yang paling untung adalah perniagaan yang berkaitan dengan agama. Secara tidak langsung, kerjasama di antara kedua-dua golongan ini memberi tanggapan bahawa golongan agamawan secara umumnya tidak mampu memberi kritikan yang jelas. Walaupun begitu, ada juga tradisi di kalangan agamawan yang dapat kita katakan berada di dalam minoriti yang turut mengambil pendirian yang jelas dengan mengkritik golongan pemodal. Mereka ini cenderung terhadap teori teologi pembebasan. Maryam Lee kemudiannya meneruskan persoalan, apakah yang menjadikan budaya konsumerisme sebagai tidak ideal? Sedangkan budaya konsumerisme hanya dikaitkan dengan tindakan menjual beli? Sharifah menjelaskan bahawa yang salahnya adalah hal yang tidak kita perlukan. Kita disogokkan dengan idea palsu oleh keberkesanan pasaran syarikat-syarikat besar. Simbol-simbol (kecantikan produk yang dipakai oleh selebriti sebagai contoh) ini menjadi satu bentuk ‘kesedaran palsu’; dan ini adalah elemen yang terpenting di dalam kapitalisme. Dan secara umumnya jika kita memahami struktur sosial kapitalisme sebagai dua benda yang berkaitan: landasan asas (kaedah pengeluaran sesuatu masyarakat) dan super-struktur (budaya, bahasa, agama dll)  itu membawa maksud bahawa sistem ekonomi yang pada asasnya berteraskan penjanaan keuntungan akan membentuk seperti apa yang diinginkan oleh mereka iaitu para kapitalis. Sesi diteruskan dengan soalan yang ditujukan kepada saudara Ustaz Rashidi, mengenai buku yang ditulis oleh Max Weber yang bertajuk ‘The Protestant Ethic and the Spirit of Capitalism’ di mana beliau menggambarkan bagaimana etika untuk pengumpulan kekayaan dan keterlibatan masyarakat Protestan di dalam perniagaan dilihat sebagai merupakan suatu hal yang murni dan bagaimana ianya secara tidak langsung bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi kapitalisme sewaktu itu. Bagaimanakah hal ini dikaitkan dengan agama Islam dan konteks Melayu-Muslim yang wujud pada waktu ini? Dengan menjelaskan dua perkara, beliau menjawab bahawa pertama sekali, masalah ini adalah masalah kita sendiri selaku individu. Kita perlu mengakui bahawa manusia bersikap sebegitu rupa. Sebahagian daripada konteks Islam adalah penekanan bahawa ia berdasarkan suatu ekonomi yang berakhlak. Ianya tidak dilihat dalam lensa keuntungan diri semata-mata tetapi difahami dalam konteks secara keseluruhan. Keduanya mengenai sistem itu sendiri, ia merupakan sistem yang membelenggu masyarakat. Kita hidup di dalam sistem ekonomi yang tidak bersifat manusiawi dan berakhlak. Jadi secara umumnya saudara Rashidi mengambil hujah bahawa budaya ini, jika ditelusuri secara komprehensif pasti akan berbalik kepada keupayaan individu itu sendiri untuk menolak budaya tersebut. Walaupun begitu, sistem yang wujud juga memainkan peranan sedikit sebanyak di dalam pengukuhan budaya tersebut. Kemudian saudari Sharifah tidak bersetuju dengan pandangan beliau di-mana permasalahannya, selain daripada sistem itu sendiri, tertumpu kepada golongan si pembeli. Saudara Rashidi berhujah bahawa budaya konsumerisme ini, pada akhir kesimpulan tetap bergantung kepada permintaan itu sendiri. Tidak ada permintaan yang melampau, maka tidak adalah pengeluaran sesuatu produk tersebut. Tetapi saudari Sharifah berhujah bahawa ianya merupakan lumrah kapitalisme itu sendiri untuk terus memasarkan produknya dengan pelbagai cara. Lalu dia menggunakan konsep ‘masyarakat tontonan’ di mana sebahagian besar masyarakat hidup dengan menatap televisyen secara terus menerus dan dihidangkan suatu pemahaman bahawa konsumerisme itu adalah lumrah dan iklan dipaparkan secara konsisten setiap hari di antara setiap program-program televisyen. Maka masyarakat secara tidak langsung telah ditanamkan dengan pemahaman ataupun kesedaran palsu mengenai budaya pembelian itu sendiri. Jadi ianya tidak hanya bergantung kepada pembeli itu sendiri, tetapi turut berkait rapat dengan pengeluar produk iaitu para pemodal yang secara sedarnya terus menerus menyogok masyarakat dengan pendekatan yang halus. Jadi berbeza dengan saudara Rashidi, Sharifah berhujah bahawa para pemodal dan juga pengeluar produk juga memainkan peranan yang penting iaitu dari segi kualiti produk itu sendiri. Sedikit sebanyak, dia mengatakan bahawa produk yang disediakan itu turut membenarkan para pengguna untuk terus membeli. Beliau memberi contoh di mana sesebuah syarikat kereta ataupun produk rumah tidak akan mengeluarkan suatu alat teknologi yang benar-benar tahan lama kerana ianya tidak akan dapat menghasilkan keuntungan bagi mereka. Sebaliknya, sebuah teknologi yang perlu diganti selang beberapa tahun dijual di dalam skala besar. Setelah itu, Rashidi mulai membezakan agama yang dipergunakan oleh golongan yang berbeza. Beliau menggunakan Antonio Gramsci sebagai rujukan di mana dia menjelaskan bagaimana agama itu sendiri, jika ianya digunakan oleh para kelas penguasa ia akan menjadikan masyarakat leka dan berbeza dengan agama yang dijadikan sebagai senjata bagi masyarakat yang tertindas. Walaubagaimanapun, beliau turut mengakui bahawa golongan yang tertindas, apabila berada di dalam keadaan yang teruk dan ekonomi yang tidak stabil, pastinya turut terlibat di dalam kerangka pemikiran dan aspirasi untuk mencari ke arah keuntungan. Tetapi itu tidak menolak bahawa di dalam ceramah-ceramah yang wujud di kalangan agamawan di sini, kurangnya kritikan yang jelas terhadap golongan pemodal dan bagaimana budaya konsumerisme itu memainkan peranan yang besar. Forum yang berlangsung dengan jayanya pada malam 15hb Jun yang lepas memberi peluang bagi para hadirin dan para panelis untuk terus membicarakan mengenai budaya konsumerisme ini dan hubung kaitannya dengan sistem kapitalisme secara menyeluruh. Di satu pihak merasakan bahawa pada hujungnya, kesemua ini berbalik kepada kebolehan individu dan kekuatan mereka untuk mengawal budaya ini dan di pihak yang lain pula, berhujah bahawa budaya ini merupakan suatu produk struktur sosial yang mengukuhkan lagi konsumerisme yang berlebihan. Seperti mana-mana forum yang lain, ianya bertujuan untuk membenarkan budaya dialog seperti ini agar jalan penyelesaian ataupun program-program yang kukuh dapat dijalankan pada masa yang akan datang. Pihak Projek Dialog berharap agar persoalan seperti ini dapat terus dibicarakan dengan objektif bahawa permasalahan ini dapat difahami dengan lebih jelas.  ]]>

Share your thoughts!

More Articles