Sesi ini bermula dengan saudara Imran Taib yang menerangkan mengenai asal-usul kejahatan dan kewujudan Iblis melalui wacana Islam. Kemunculannya terkait rapat dengan terjadinya manusia dan juga apabila manusia itu diciptakan maka terjadilah sebuah insiden di mana Iblis itu dijadikan seteru manusia, apabila ia tidak ingin menurut perintah Tuhan untuk sujud kepada Adam. Lalu beliau menyentuh persoalan kepada konsep Iblis itu sendiri, di mana dia merasakan bahawa proses memahami konsep Iblis sebagai suatu makhluk adalah suatu hal yang bermasalah kerana ini menjadikan Iblis sebagai sesuatu hal yang benar-benar menakutkan dan secara tidak langsung, membawa maksud bahawa kita tidak mempunyai daya yang kuat untuk melawan unsur kejahatan itu sendiri. Kedua, masyarakat Melayu tidak melalui suatu proses untuk memikirkan mengenai kewujudan Iblis dan akibatnya, kita kurang mempelajari beberapa hal yang penting daripada Iblis itu sendiri. Sebagai contoh, Iblis mempunyai Tauhid yang paling sempurna. Ia merupakan perlambangan monoteisme yang sangat ketat dan sangat suci. Malah, tugas untuk menyesatkan umat manusia dijalankan dengan penuh konsisten dan tanpa gagal setelah mendapat izin dari Tuhan. Di dalam wacana kesufian, terdapatnya persoalan Iblis seperti ini. Ketiga, persoalan kenapa dia dijadikan seteru kepada manusia? Ianya disebabkan sifat takburnya dan ini membawa maksud bahawa dia lebih bersifat egois dan bertuhankan dirinya sendiri. Jadi adanya keterkaitan sikap rendah diri ataupun kesetaraan dengan kewujudan manusia. Tetapi apa yang berlaku sekarang di dalam masyarakat biasa, kita lebih terobsesi dengan konsep syaitan dan kejahatan sehingga kurangnya fokus mengenai cinta terhadap Ilahi. Saudara Imran Taib kemudiannya memberi rujukan kepada Muhammad Iqbal, seorang reformis agama yang terkenal dan beliau ada menulis puisi bagaimana pada suatu masa nanti, Iblis akhirnya akan tunduk kepada Adam. Perseteruan di antara Adam dan Iblis membuktikan wujudnya kebebasan pilihan dan manusia akan terus berusaha menyempurnakan diri mereka. Setelah itu, tiba giliran saudara Howe Foo memberikan perspektifnya mengenai gerakan organisasi Satanisme selaku fenomena kontra sosial yang wujud sebagai lambang perlawanan terhadap kongkongan kelompok agama. Satanisme merupakan ajaran yang mengutamakan turutan hati dan menjauhkan diri daripada menahan diri. Ianya diwujudkan dan dikodkan oleh Anton Lavey dan dibentuk sewaktu dia menyedari bahawa manusia hidup berdasarkan keinginan mereka dan agak sukar untuk mengikut sesuatu ajaran secara konsisten. Secara teknikalnya organisasi Satanisme merupakan salah satu gerakan Ateisme, berteraskan ketidakpercayaan kepada Tuhan dan menyanggah tujuh bentuk dosa yang telah dikodkan oleh agama Kristian, berhujah bahawa ianya merupakan aspek penting bagi manusia itu sendiri. Penggunaan terma syaitan itu dilihat sebagai hanyalah simbol iaitu membawa maksud seteru. Sesi diteruskan dengan saudari Boo Su-Lyn menerangkan mengenai konsep setan ataupun kejahatan menurut Ateisme. Setelah menjelaskan sedikit sebanyak mengenai perjalanan hidupnya ke arah ateisme, beliau kemudiannya memberi pendapat bahawa konsep syaitan diguna pakai hanya sebagai justifikasi bagi seseorang untuk melakukan kejahatan dan menekankan bahawa ianya merupakan pilihan individu dan tidak lebih daripada itu. Saudara Eddin Khoo kemudiannya menjelaskan bahawa persoalan seperti konsep kejahatan seringkali diperbualkan di landasan yang menjelikkan dan memberi contoh bahawa ianya hanya berlegar di ruang media sosial. Ianya merupakan persoalan yang signifikan bagi zaman ini tetapi jarang benar ianya dibicarakan di tahap intelektual. Melalui Hinduisme, konsep setan secara falsafahnya diposisikan sebagai kontra-hujah kepada konsep Tuhan. Di dalam Hinduisme, pada waktu ini manusia sedang menghidupi Kali Yoga, iaitu zaman yang penuh hipokrasi, kekacauan dan penuh buta. Manusia digerakkan oleh kerosakan mereka sendiri yang menjurus ke arah kehancuran. Hampir diakui oleh kesemua agama yang wujud, salah satu tanda kiamat adalah apabila kebenaran itu diputar belitkan; ‘Lidah Tuhan dicuri oleh Syaitan’ iaitu kebenaran dipergunakan oleh golongan munafik. Beliau meneruskan bahawa syaitan digerakkan oleh gerak hati dan bukannya pertimbangan yang jelas. Menarik ditekankan di sini mengenai pemahaman bahawa Syaitan merupakan seorang puritan, iaitu seseorang yang benar-benar suci dan berbeza dengan pemahaman konsep syaitan yang difahami iaitu suka bergelumang di dalam kelazatan hawa nafsu dan sebagainya. Kenyataan ini disamakan dengan apa yang diterangkan oleh saudara Imran Taib pada awal sesi. Eddin Khoo menggunakan rujukan lukisan paparan imej Syaitan yang lama, di mana Syaitan sedang khusyuk membaca kitab-kitab agama dan dikelilingnya sedang berlangsung aksi kegiatan-kegiatan yang tidak berakhlak. Ini membuktikan bahawa Syaitan sentiasa cuba untuk memahami dan menghafal ayat-ayat agama sehingga manusia tidak sedar bahawa syaitanlah yang sedang memanipulasi agama untuk menyesatkan manusia itu sendiri. Pada dasarnya ini merupakan persoalan mengenai pergelutan kuasa iaitu kuasa untuk mengawal gerak hati manusia. Bagi beliau, persoalan seperti konsep kejahatan/kebaikan tidak akan membawa apa-apa perubahan yang signifikan selagi ianya diperbualkan di dalam bentuk antropomorfisme. Ia menjadi manusia mudah keliru sehingga kita tidak mampu memahami suatu hal yang universal, sebaliknya menekankan aspek yang partikular dan seringkali tidak penting sifatnya. Di dalam perspektif Hinduisme, beliau selaku seorang penganut Kali, mengatakan bahawa ianya akan menjadi masalah jika tidak difahami melalui kaedah falsafah, kerana tidak langsung akan menjurus kepada versi pemujaan yang paganistik. Kerana bagi setiap agama, penting untuk mengetahui kenapa ritual sebegitu rupa dilaksanakan dan secara umumnya, ritual merupakan cara bagi mendisiplinkan roh setiap manusia. Kemudian pada akhir sesi, tiba giliran Reverend Hermen menjelaskan topik ini melalui kaca mata seorang Kristian. Dalam konteks Kristianiti, ianya berdasarkan wacana keduaan iaitu jahat-baik ataupun tuhan-syaitan. Jadi masyarakat secara umumnya cenderung membudayakan pengkafiran sesama manusia, berbeza dengan konsep kesatuan yang wujud di dalam wacana Hinduisme, yang melihat kejahatan dan kebaikan itu sebagai satu. Jadi ianya merupakan suatu permasalahan di mana persoalan keagamaan merupakan suatu persaingan, di mana sesiapa yang dilihat sebagai mencabar kedaulatan sesuatu agama itu dilihat sebagai jahat. Lalu persoalan yang perlu dibicarakan pada waktu ini adalah samada pengistilahan yang sedang wujud pada wacana zaman ini bersesuaian dengan pemikiran manusia di dalam kerangka dunia moden. Secara umumnya, hampir kesemua panelis mengutarakan persoalan kejahatan ataupun kewujudan Syaitan ataupun Iblis, bukan sebagai suatu makhluk tetapi lebih kepada suatu konsep yang perlu terus dipersoalkan. Maka pemahaman seperti ini memberi peluang untuk masyarakat berusaha untuk memahami hal ini dengan lebih mendalam dan meningkatkan wacana di kalangan masyarakat ke tahap yang lebih objektif. Permasalahan menjadikan iblis sebagai sesuatu sosok menyebabkan usaha ataupun proses bagi kita untuk mengenal pasti ciri-ciri kejahatan itu terbatas kepada individu ataupun manusia itu sendiri. Ini barangkali berlaku disebabkan berlangsung proses memanusiakan syaitan yang telah dipopularkan melalui pelbagai bentuk media ataupun tradisi yang berlangsung selama beratus-ratus tahun. Begitu juga dengan persoalan kejahatan melalui dua kerangka yang berbeza, samada kejahatan yang dibimbing oleh syaitan itu terasing daripada segala bentuk kebaikan, ataupun ianya merupakan sebahagian daripada lumrah hidup, suatu kesatuan diantara hal yang baik dan jahat. Jika persoalan kejahatan ataupun kewujudan konsep syaitan itu dapat diperbualkan dan dibincangkan secara objektif, maka secara tidak persoalan mengenai keadilan dan kebaikan juga dapat dibicarakan melalui pendekatan yang sama. Oleh itu, pihak kami berharap agar manusia secara umumnya akan terus memperhalusi melalui proses berdialog dan pertukaran pendapat mengenai hal sebegini, agar sesuatu masyarakat yang adil dan sentiasa berusaha menentang segala bentuk kejahatan dapat diperkasakan. ]]>