10 perkara Muharam dan Asyura: Memahami penganut Syiah dan Dawoodi Bohra tempatan

1. Mengapakah penganut Syiah Imamiyyah dan Dawoodi Bohra berkabung di bulan Muharam, khusus pada sepuluh hari pertama bulan tersebut? Syiah Imamiyyah dan Dawoodi Bohra menerima Saidina Ali sebagai pemimpin politik dan spiritual mereka sesudah kewafatan Rasulullah saw. Mereka berpandangan peristiwa di Ghadir Khum yang mana Nabi Muhammad saw memilih Saidina Ali sebagai pengganti tidak dapat dipertikaikan lagi. Setelah Saidina Ali, kepimpinan itu berterusan kepada Saidina Hasan dan kemudiannya Saidina Husin, iaitu cucu Rasulullah. Justeru peristiwa pembunuhan Saidina Husin, keluarga dan sahabat-sahabatnya di padang pasir Karbala dianggap satu tragedi yang menyayat hati. Mereka percaya ia bukan sahaja satu insiden pembunuhan. Tetapi ia juga adalah satu ‘aggression’ politik yang terancang daripada musuh kem ahlul bait (keluarga Rasulullah saw) untuk menghapuskan ajaran Islam yang sejati. Islam sejati menurut mereka berpihak kepada kaum tertindas, orang miskin, kaum murbawan, wanita, dan menjaga hak-hak manusia lainnya. Oleh kerana itu, peristiwa ashura disambut dengan penuh simbolik, satu bentuk perkabungan sekaligus satu penyataan politik mempertahankan hak dan menentang penindasan serta penganiayaan. Mereka percaya, dengan mengenang kejadian ini, ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw, dan ahli keluarganya (dalam konteks ini Saidina Husin) akan diteruskan. 2. Apakah tradisi menyambut Muharam ini sesuatu yang baharu di negara kita? Tidak sama sekali. Misalnya penganut Dawoodi Bohra memperkenalkan ‘bohria’ satu persembahan perkabungan ketika era penjajahan Inggeris. Hari ini ‘bohria’ telah kehilangan fungsi asalnya. [caption id="attachment_4126" align="aligncenter" width="610"]Asal boria dari komuniti Bohra, di sini satu persembahan bohria yang diadakan di Mumbai, India. Asal boria dari komuniti Bohra, di sini satu persembahan bohria yang diadakan di Mumbai, India.[/caption] Sementara komuniti Syiah yang lain, membaca Hikayat Muhammad Hanafiyyah, Hikayat Hasan dan Husin, dan Nazam Ratap Fatimah ketika Muharam. Mereka juga menarikan dabus. Namun demikian, seperti mana perkembangan sastera tanahair, sastera klasik Islam ini ditinggalkan kerana pengaruh sastera moden. Setelah Revolusi Islam Iran, mereka lebih banyak meminjam latmiyyat (atau lagu-lagu sedih Parsi dan Hindi) dan menjadikan ia saduran dalam bahasa Melayu. Terdapat banyak bukti perkabungan Muharam di negara ini. Malahan, penganut Syiah direkodkan melakukan perkabungan di khayalak ramai, seperti mana yang pernah dilihat oleh tentera Jepun ketika musim Perang Dunia Kedua di negeri-negeri Selat, khususnya Singapura dan Pulau Pinang pada waktu itu. Oleh kerana sikap masyarakat terhadap mereka sangat tidak mesra kemudiannya, mereka kini memilih untuk melakukannya secara tertutup dan hanya mengundang ahli komuniti mereka. Saya telah menulis artikel akademik yang panjang darihal ini. 3. Apakah penganut Syiah di Malaysia melakukan qama zani (pukulan berdarah di badan) seperti yang diwar-warkan dan tersebar di internet? Penganut Dawoodi Bohra tidak melakukannya. Sementara itu, kebanyakan penganut Syiah Imamiyyah di Malaysia adalah pengikut Ayatullah Sayyid Ali Khamenei. Mereka memanggil Sayyid Ali Khamenei sebagai marja’. Dalam struktur Syiah, marja’ atau rujukan mempunyai autoriti fikah. Seperti mana masyarakat Sunni di Malaysia mengikut fatwa atau doktrin yang dikemukakan oleh Imam Syafie. Hanya, masyarakat Syiah percaya, mereka perlu merujuk kepada orang alim yang masih hidup dan kontemporari. Ulama tersebut, Ayatullah Ali Khamenei telah mengharamkan qama zani sejak lama dahulu. Jika ada penganut Syiah di negara ini yang melakukan qama zani, ada kemungkinan mereka bukanlah tergolong dalam dua kelompok ini, dan mungkin tergolong dalam kumpulan Syiah yang lebih kecil pecahannya. [caption id="attachment_4128" align="aligncenter" width="599"]Masyarakat Syiah di Malaysia tidak melakukan qama zani kerana terdapat fatwa dari marja' mereka yang melarang melakukannya Masyarakat Syiah di Malaysia tidak melakukan qama zani kerana terdapat fatwa dari marja’ mereka yang melarang melakukannya[/caption] 4. Jadi apakah yang mereka lakukan untuk menggantikan qama zani? Mereka tidak perlu melakukan apa-apa. Asyura adalah hari perkabungan. Mereka akan melakukan seperti mana orang sedang berkabung. Syiah di Turki telah memperkenalkan satu budaya yang murni iaitu menderma darah pada hari asyura. Pendekatan ini mulai dilakukan oleh penganut Syiah di Malaysia juga. Kebiasaannya mereka memukul dada dengan perlahan sebagai mengenang peristiwa menyedihkan tersebut. Di sesetengah tempat terdapat di negara ini, ketika memukul dada itu terdapat semacam satu gerakan yang menghampiri tarian dabus. Ini adalah budaya Syiah, dan tidak semua penganut Syiah melakukannya. 5. Mengapakah suka berpakaian hitam ketika bulan Muharam? Mazhab Syiah adalah sebuah mazhab yang banyak berkomunikasi dengan penganutnya dengan simbol. Sebagai mazhab yang sering ditindas, mereka menjadikan simbol atau lambang sebagai sesuatu yang penting dalam komunikasi mereka dengan masyarakat. Permainan warna adalah salah satu bahagian dari simbol yang dinyatakan. 6. Mengapakah penganut Syiah Imamiyyah dan Dawoodi Bohra menangis ketika perayaan ashura? Saya difahamkan, ‘acara menangis’ ini pertama kali dilakukan oleh Sayyidah Zainab, saudara perempuan Saidina Husin setelah berlakunya peristiwa Karbala. Beliau menangis sepanjang perjalanan dari Karbala ke Syria. Tangisan beliau selaku cucu Nabi Muhammad saw sangat mengharukan dan menukar menjadi gelombang kebangkitan atau bantahan yang besar. Penganut Syiah menganggap tangisan adalah suatu mesej politik. Ini misalnya dilakukan oleh Nabi Yaakub ekoran kehilangan anaknya, Nabi Yusuf. Sumber di dalam al-Quran adalah Allah SWT berfirman, terjemahannya: “Dan Yaakub berpaling dari mereka (anak-anaknya) seraya berkata: “Aduhai duka citaku terhadap Yusuf,’ dan kedua matanya menjadi putih (buta) kerana kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya (terhadap anak-anaknya). Mereka berkata: “Demi Allah, sentiasa kamu mengingat Yusuf, sehingga kamu menghidap penyakit yang berat atau termasuk orang yang binasa.” Yaakub menjawab: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya.” (Q. Yusuf: 84-86). Secara rasionalnya, satu kenangan yang menyedihkan seperti Karbala akan ditangisi. 7. Bagaimana kita boleh menghormati penganut Syiah ketika bulan Muharam? Ini adalah sesuatu yang unik pada saya. Mereka sedang berkabung. Bagaimana kita menghormati saudara kita yang sedang berkabung dan bersedih, begitulah sikap kita terhadap mereka. Sudah tiba masanya kita berdialog dengan mereka untuk memahami cara hidup mereka. 8. Apakah mereka bimbang diganggu oleh pihak berkuasa agama pada bulan Muharam? Saya fikir, mereka tentu khuatir; tetapi sudah lali. Nasib komuniti Syiah Imamiyyah dan Dawoodi Bohra dalam pengetahuan pejabat United Nation di Geneva, Switzerland. [caption id="attachment_4127" align="aligncenter" width="1024"]Pemimpin masyarakat Dawoodi Bohra sedunia menziarahi makam Saidina Husin di Karbala. Pemimpin masyarakat Dawoodi Bohra sedunia menziarahi makam Saidina Husin di Karbala.[/caption] Malaysia menerima teguran dari pejabat Special Rapporteur on freedom of religion or belief UN sebanyak dua kali tahun ini mengenai kes masyarakat Syiah. Akan tetapi, dengan keadaan ramainya orang Melayu menjadi militan dan berjuang di Timur Tengah, saya berpandangan, mereka lebih bimbangkan keselamatan diri, dan keluarga, serta masyarakat mereka dari ancaman musuh dalaman. Pihak berkuasa keselamatan dan pegawai jabatan agama sepatutnya melindungi mereka, kerana mereka adalah warga negara Malaysia yang berhak dan dijamin mendapat perlindungan. Untuk komuniti Syiah Bohra, mereka telah diiktiraf sebagai masyarakat Islam, bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pada tahun 1983. Mereka menerima pengiktirafan kedua dalam tahun 2000. Justeru tidak ada pertikaian mengenai kedudukan Bohra di sini. 9. Apakah buku yang boleh kita baca untuk memahami upacara perkabungan Muharam dan falsafahnya? Saya berpendapat buku Shi’ism:  A Religion of Protest, oleh Hamid Dabashi; Shiʻism: Doctrines, Thought, And Spirituality oleh Vali Nasr, Seyyed Hossein Nasr, Hamid Dabashi dan buku The Ashura Uprising oleh Imam Khomeini dapat memahamkan orang luar apa yang mereka sambut, atau kabungkan ketika Muharam. 10. Apakah langkah yang wajar untuk kita membela penganut Syiah di negara ini? Malaysia adalah anggota keselamatan Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, adalah wajar kita mencontohi langkah yang diambil oleh Indonesia di bawah  Menteri Agama, Lukman Hakim Saifuddin yang akan membentangkan satu akta untuk melindungi minoriti agama. Indonesia adalah negara terbesar Ahlus sunnah wal jamaah dan bermazhab Syafie. Ternyata Indonesia sangat ke hadapan dan kita masih terkebelakang dalam hal melindungi hak asasi kaum minoriti agama. Padahal  sudah dua kali Perdana Menteri Malaysia memberi isyarat yang minoriti Syiah mesti dilindungi hak-hak mereka. Sekali ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir di majlis berbuka puasa bersama rakyat Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam pada 10 Julai 2014 lalu. Beliau berkata: “Saya gunakan analogi mudah tentang orang Syiah dan Sunni ibarat kita berada atas landasan lebuh raya yang sama, destinasi sama, yang berbeza cuma kita dalam laluan lain… selagi kita tak tukar laluan untuk menolak orang lain sehingga berlaku kemalangan, maka kita akan sampai ke destinasi dengan selamat.” Kali kedua, Perdana Menteri menyatakan hal yang hampir sama ketika berucap di hadapan dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di New York sesi 68. Saya tidak fikir Malaysia ingin melangkah ke belakang, tentulah Datuk Seri Najib mahu setanding dengan Jokowi.   Faisal Tehrani banyak melakukan kajian mengenai masyarakat Syiah di Asia Tenggara. Antara penerbitan beliau yang penting tentang subjek ini adalah, The Malaysian Shi‘a: A Preliminary Study of Their History, Oppression, and Denied Rights (2013, Journal of Shi‘a Islamic Studies), dan The Axiology of Pilgrimage: The Malaysian Shi’ites Ziyarat to Iran and Iraq (2013, International Journal of Philosophy of Culture and Axiology). Novel beliau Perempuan Nan Bercinta diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2014, dengan alasan menggambarkan cara hidup masyarakat Syiah di negara ini. Beliau dilantik oleh Shia Rights Watch yang berpangkalan di Washington DC untuk memantau pelanggaran hak asasi manusia yang melibatkan komuniti Syiah di rantau Asia Tenggara pada tahun 2013. unnamed

]]>