Projek Dialog

Ada apa dengan “Kafir”?

Bulan lepas, saya menghikayatkan pengalaman saya mengikuti misi banjir ke negeri Pahang. Secara sempoi dan separa berseloroh, perkataan “kafir” digunakan. Maklumbalas yang diterima cukup galak, tetapi bukan semuanya menggalakkan. Ramai juga yang rata-rata tidak membaca makalah itu secara keseluruhan, tetapi terus diterangkan panjang lebar- betapa salahnya dan betapa tak sensitifnya penulis menggunakan istilah laknat itu. Sedangkan perkataan sensitif itu hanya digunakan sekali dalam keseluruhan artikel tersebut. Maka saya pun terasa terpanggil untuk menulis makalah kedua ini, bukan sebagai bidasan, tapi lebih kepada memberi konteks sepenuhnya, pemahaman terhad saya dengan istilah “Kafir”. Terlebih dahulu, izinkan saya memohon maaf jika ada yang terkilan dengan penggunaan istilah tersebut. Tujuan makalah terdahulu adalah untuk menggalakkan persefahaman Kristian-Islam, malangnya pembaca dari kalangan kedua komuniti itulah yang tidak senang dengan istilah tersebut. Rata-rata segelintir pembaca beragama Islam mempersoalkan apakah saya benar-benar faham akan istilah tersebut, manakala rakan mereka yang beragama Kristian merasakan penulis sengaja sama ada ingin melaga-lagakan Islam-Kristian ataupun memandang enteng agama sendiri. Kafir, Gentile, Goyim Istilah “kafir” dan setara dengannya bukan unik kepada penganut agama Islam semata-mata. Lazimnya, agama-agama Abrahamik sememangnya sering membezakan antara penganut agama sendiri yang akan selamat di akhirat, dengan penganut agama lain yang nasibnya tidak begitu terjamin setelah hayat meninggalkan jasad. Pembezaan ini bukan sahaja disebut dalam teks agama masing-masing, malah termasuk upacara keagamaan,perbincangan agama, doa, ilmiah,dialog perbandingan agama malah juga tertib sosial apabila berurusan dengan golongan bukan dari agama sendiri tadi. Sebagai contoh, orang Kristian ada beberapa istilah sendiri yang digunakan- seperti Gentile, Pagan, nonbeliever,  yang juga digunakan bersilih ganti dengan cara yang agak serupa sepertimana “kafir” digunakan oleh saudara beragama Islam. Sungguhpun tidak sejelas yang dinyatakan dalam agama Islam, di mana ia dirujuk dalam Al-Quran sebanyak 134 kali, lengkap dengan huraian dan maksud tersendiri, malahan juga dirujuk dalam sunnah dan rujukan agama lain seperti Tafsir ibn Kathir,di mana istilah tersebut dijelaskan agak mendalam, kitab agama Kristian sendiri ada memberi bayangan konotasi perkataan Gentile yang dipakai. Bergantung pada jenis kitab yang digunapakai,perkataan Gentile muncul antara 123 hingga 168 kali di dalam Bible. Menariknya, sebelum kedatangan Yesus, istilah Gentile (sinonim dengan “Goy” atau “Goyim” yang digunakan agama Yahudi) dalam pengunaan Old Testament, membawa konteks “negara luar” atau “dunia”. Namun untuk membuat kesimpulan bahawa konotasi negatif atau kurang enak yang dikaitkan dengan istilah Gentile cuma bermula setelah kedatangan Yesus, adalah agak simplistik. Mungkin lebih sesuai dikatakan pemahaman atau erti kata perkataan itu sendiri telah berubah mengikut masa. Ada yang menganggap pengunaan itu sebagai pengunaan biasa zaman tersebut. Ada yang menganggap ia biadap. Ada yang menganggap kita tidak patut mempersoalkan sesuatu yang telah diturunkan oleh Tuhan.Sedihnya,pendapat terakhir tadi tidak meninggalkan banyak ruang bicara. Niat disebalik penggunaan istilah Sememangnya, setiap agama akan mengajar kita suatu jalan untuk diikuti, namun bagi penulis, penghayatan semangat apa yang diajar tadi lebih penting dari penerimaan terang-terangan apa yang diajar. Bagi penulis,  itulah yang dibawa oleh pengunaan perkataan yang dianggap kurang enak seperti ‘kafir’ atau Pagan atau apa-apa istilah positif atau negatif yang dibawa mana-mana agama. Sejelas atau sekabur mana pun penjelasan, pada saya, bergantung hampir sepenuhnya kepada si pendengar untuk menerima atau menolaknya sebagai pujian mahupun cacian ataupun istilah harian. Sesuatu perkataan hanya mempunyai kuasa mempengaruhi kita jika kita membenarkan perkataan itu menguasai kita. Jadi bagi penulis ini, “kafir”, hanya satu istilah harian yang tidak patut dianggap terlalu negatif oleh orang bukan Islam. Tapi itu hanyalah sekadar pendapat penulis. unnamed  

]]>

Share your thoughts!

More Articles