Gambar: themalaysiantimes.com.my[/caption] Hudud – Ya atau tidak, mengapa? Pada 18 Mac yang lalu, kerajaan Kelantan telah meluluskan penggubalan RUU Kanun Jenayah Syariah Islam. Dengan erti kata lain, kerajaan Kelantan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob telah mendapat mandat untuk melaksanakan hudud di Kelantan. Isu pelaksanaan hudud bukanlah wacana baharu. Hudud telah menjadi subjek perbahasan di kalangan rakyat Malaysia. Ada yang menyokong hudud kerana berpandangan ia adalah hukum Allah yang wajar ditegakkan oleh umat Islam. Ada pula yang menyanggah kerana hudud masih belum sesuai dilaksanakan kerana isu-isu penting seperti kemiskinan, korupsi dan penindasan masih berlaku. Tak kurang juga yang berpendapat bahawa pelaksanaan hudud tidak akan menyelesaikan masalah jenayah kerana akhirnya yang dihukum adalah orang miskin yang tidak berkuasa. Penulis tidak berminat untuk membahaskan tentang hudud. Sudah terlalu banyak perbahasan tentang hudud; sama ada dibicarakan dalam konteks akademik mahupun bukan akademik. Namun, suatu isu yang wajar direnungi oleh semua adalah – apakah itu agama bagi diri kita? [caption id="attachment_4593" align="aligncenter" width="496"] Paus, Rabbi dan Imam. Gmabar: Saltandlighttv.org[/caption] Apa Makna Agama – Undang-undang atau Kasih Sayang? Adakah agama itu belas kasihan dan sifat kasih sayang? Atau, agama itu laksana undang-undang yang wajar penganutnya patuhi? Atau mungkin sahaja kedua-duanya betul mahupun salah. Oleh demikian, kita wajar untuk menyingkap semula apa yang kita maksudkan dengan beragama. Selain daripada isu Hudud, kita dikejutkan dengan pemergian Pak Mie – seorang aktivis kemanusiaan yang mengabdikan seluruh jiwa dan raganya untuk menyelamatkan anjing-anjing terbiar. Kehilangan Pak Mie merupakan kesedihan buat kita semua. Pak Mie telah menyedarkan kita bahawa jati sebenar umat beragama adalah untuk berbakti demi kasih sayang dan belas kasihan. Jasa-jasa Pak Mie wajar dikenang oleh setiap umat Islam kerana beliau telah mengajarkan kita erti kasih sayang terhadap binatang-binatang terbiar. Hero kemanusiaan seperti Pak Mie mungkin kisah kecil berbanding isu-isu besar yang lain. Tetapi bagi penulis, sikap Pak Mie mewajarkan kita semua untuk merenung kembali peranan agama di dalam masyarakat. [caption id="attachment_4594" align="aligncenter" width="342"] Gambar: texansforpeace.org[/caption] Agama untuk agama atau Agama untuk manusia? Kita harus fahami bahawa agama memainkan peranan penting terhadap pemikiran masyarakat. Agama juga boleh menyebabkan kita menjadi manusia yang bermoral dan beretika. Penulis percaya bahawa ramai daripada kita memilih untuk melakukan kebaikan, jika bukan kerana diri sendiri – ia disebabkan oleh ajaran agama. Bagi seorang Muslim, kita dibesarkan dengan konsep pahala dan dosa, syurga dan neraka. Kita diajar sejak kecil supaya melakukan kebaikan kerana kita akan memperoleh pahala dan syurga. Jika kita berbuat jahat, kita akan menerima dosa dan hukuman neraka. Jadi, wacana ini tertumpu kepada renungan kembali terhadap agama. Soalannya apakah agama ini diturunkan kerana agama atau kerana manusia? Jika agama ini untuk manusia, bukankah mesej utama setiap agama yang wujud di muka bumi ini adalah untuk berpesan-pesan ke arah kebaikan. Mungkin kita perlu merenung kembali apakah kebaikan-kebaikan di dunia datang kerana a) belas ihsan dan kasih sayang atau b) hukuman dan perintah agama. Sejarah kedatangan Islam turut mengajarkan kita bagaimana Islam begitu menekankan keadilan dan kemanusiaan. Menurut sejarawan Ayesha Jalal, konsep Jihad yang diutarakan dalam Al-Quran menyeru kaum beriman supaya menegakkan keadilan dan kemanusiaan. Khalifah Umar Abdul Aziz pernah menangguhkan hukuman hudud kerana kemiskinan dan keadilan masih belum ditegakkan. Sikap yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar menunjukkan bagaimana Islam begitu menekankan keadilan dan rasa ihsan sesama manusia. Jadi, soalnya di antara Hudud dan kemanusiaan; mana lebih utama? Jawapannya terpulang kepada pembaca kerana Tuhan telah mengurniakan akal yang cerdas supaya kita berfikir dengan waras!
]]>