Kepupusan Hari Gawai?

Asal-Usul Perayaan Gawai Dayak Sambutan Hari Gawai Dayak di Sarawak adalah tetap pada 1 Jun setiap tahun. Cadangan menetapkan tarikh Gawai Dayak bermula pada tahun 1957 dalam satu forum radio yang diadakan oleh Tan Kingsley dan Owen Liang yang mengundang pelbagai sokongan dan minat dalam kalangan komuniti Dayak. Pada mulanya pihak kolonial British selepas era pemerintahan keluarga Brooke sehingga tahun 1962 enggan mengikhtiraf Hari Gawai Dayak sebaliknya memanggil hari tersebut sebagai Hari Sarawak sebagai cuti umum bagi seluruh rakyat Sarawak. Hari Gawai pertama kali dianjurkan oleh Datuk Michael Buma yang merupakan Iban dari Betong di Kuching pada 1 Jun 1963 sebelum digazetkan secara rasmi sebagai hari cuti umum pada 25 September 1965 bagi menggantikan Hari Sarawak selepas pembentukan Persekutuan Malaysia (negara Malaya, Sarawak, Sabah dan Singapura membentuk Persekutuan). Sambutan besar-besaran pada pertama kalinya pada 1 Jun 1965 dan ianya menjadi simbolik perpaduan, aspirasi dan harapan bagi semua komuniti Dayak. Dewasa kini, sambutan tahunan ini merupakan satu kewajipan bagi masyarakat sosial Dayak dan ianya merupakan tanda kesyukuran bersama keluarga selain daripada melengkapi tradisi meraikan tamat musim menuai. Kepelbagaian sambutan Gawai Hakikat sambutan Gawai Dayak sebenarnya tidak terhad pada 1 Jun semata-mata. Konsep Gawai juga disambut dalam pelbagai cara dan maksud serta berbeza-beza mengikut suku kaum serta etnik mengikut bahagian dan daerah tempat masing-masing. Bahkan perayaan Gawai Dayak sendiri disambut bukan sahaja pada 1 Jun tetapi bermula lebih awal pada awal bulan Mei dan berakhir sehingga awal bulan Julai. Pada jangka tempoh masa ini, pelbagai jenis Gawai boleh diraikan mengikut tujuan dan kehendak. Secara umum, Gawai Dayak adalah sambutan tahunan dalam komuniti masyarakat Iban juga dikenali sebagai Gawai Padi diikuti puluhan sambutan gawai-gawai yang lain. Selain itu, antara gawai lain yang popular dalam komuniti Iban adalah Gawai Burong, Gawai Antu dan Gawai Pangkung Tiang. Gawai Burong disambut bagi tujuan untuk menyembah dan memuja Sengalang Burong iaitu tuhan peperangan, perlindungan dan keamanan. Gawai Antu pula merupakan sambutan terakhir memperingati semua orang-orang yang sudah meninggal dunia dalam satu generasi keluarga sejak sambutan Gawai Antu yang sebelumnya. Gawai Antu ini harus disambut hanya sekali dari satu generasi ke satu generasi secara besar-besaran. Sementara itu, Gawai Pangkung Tiang disambut dengan memukul tiang utama rumah sesudah pindah ke rumah baru sebelum ada kematian bagi memohon “gayu guru, gerai nyamai senang lantang nguan menoa” iaitu bermaksud “panjang umur, sihat walafiat serta senang lenang mendiami dunia.” Komuniti Bidayuh pula terdiri daripada 3 kumpulan besar iaitu Singai-Jagoi (Daerah Bau), Biatah (Daerah Padawan/Siburan) dan Bukar-Sadong (Daerah Serian).Kebanyakan komuniti Bidayuh ini berkongsi adat resam, tradisi dan sambutan perayaan yang hampir serupa bahasanya berlainan dari satu daerah ke daerah yang lain. Sebagai anak jati Bidayuh yang berasal daripada Kampung Opar yang terletak di daerah Bau dalam bahagian Kuching dan dalam kelompok Bratak (sub Bijagoi), saya bersyukur kerana masih berpeluang melihat sendiri sambutan Gawea Sowa Bauh iaitu gawai tahunan yang masih lagi disambut di kampung ini. Antara sambutan gawai popular dalam komuniti Bidayuh Bau yang saya ketahui iaitu Gawea Sopid/Oran, Gawea Podi/Umoh, Gawea Tubi Bauh dan Gawea Sowa Bau. Gawea Oran disambut bagi tujuan memohon berkat melimpah ruah ke atas hutan ataupun tanah tanaman agar memberi pulangan hasil yang baik. Dalam Gawea Oran, akan ada pemujaan bagi mendapat kebenaran roh-roh tertentu agar tidak memudaratkan kawasan tanah dan altar dibina serta bahan penawaran diletakan sebagai persembahan di tepi jalan utama kampung. Gawea Podi pula disambut dengan tujuan memohon berkat “Ieng Topa” (Tuhan) ke atas benih padi dan pada masa yang sama memohon berkat ke atas tanah agar subur dan tidak dilanda kerosakan. Selain itu, Gawea Tubi Bauh pula dirayakan bagi memohon berkat “Ieng Topa” untuk memberi kebenaran kepada penduduk untuk menuai padi yang sedang mengguning. Dan menurut kepercayaan masyarakat setempat, sekiranya ritual ini tidak dilakukan; penduduk akan sakit apabila makan nasi hasil tanaman tersebut. Dan terakhir sekali adalah Gawea Sowa, iaitu perayaan yang disambut besar-besaran bagi tanda kesyukuran dan menujukkan tamat musim menuai padi dan bermula tahun penanaman padi baru. Semangat Gawai Dayak Masa Kini Bagi mereka yang tiada gawai tradisi tertentu atau telah memeluk agama utama, mereka meraikan Gawai Dayak yang bersifat umum dan boleh diraikan oleh mana-mana orang berketurunan Dayak tanpa mengira agama dengan mengadakan rumah terbuka. Melalui rumah terbuka, mereka menikmati juadah-juadah tradisi masyarakat setempat seperti lemang pulut, daging pansuh (daging yang dimasak dalam buluh), kuih-muih Sarawak, tuak (arak beras) dan sebagainya. Disamping itu, mereka dapat berbual-bual dan berceloteh panjang tenang pelbagai perkara sekaligus merapatkan hubugan sahabat handai dan rakan-rakan melalui rumah terbuka. Bagi kampung-kampung mahupun rumah panjang yang masih kekal dan mempunyai tradisi adat resam Dayak, ahli keluarga dan sahabat handai yang telah beragama bertandang ke kampung boleh menonton dan melihat sendiri bagaimana adat nenek moyang mereka dilakukan dengan penuh ritual dan adat istiadat. Ketika itu, mereka juga boleh terlibat secara tidak langsung dalam mana-mana aktiviti yang mereka rasakan ianya tidak bercanggah dengan norma agama mereka. Sementalahan itu, budaya ‘mejeng’ iaitu tari menari moden diikuti dengan alat musik serta kumpulan kugiran dalam konsert turut serta memenuhi kehangatan Gawai Dayak. Budaya moden ini dipelopori sejak tahun 1980an dimana, lagu-lagu rock and roll serta blues dimainkan dengan rancak serta disertai dengan tari menari antara golongan remaja dan dewasa tanpa mengira lelaki dan perempuan. Mengikuti perkembangan zaman, budaya ‘mejeng’ juga memainkan pelbagai jenis genre lagu seperti dangdut, joget serta muzik tempatan yang telah dimodenkan. Budaya ‘mejeng’ ini mungkin kelihatan positif dan negatif bergantung dengan pembawaan masyarakat setempat. Oleh sebab sedemikian, perlunya anggota keselamatan seperti polis bantuan dan RELA bagi mengawal keadaan sekaligus mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku. Faktor Agama Popular dan Budaya Semasa ke atas Gawai Dayak Berbalik kepada persoalan makalah ini, saya ingin berkongsi pendapat mengapa adat serta tradisi masyarakat Dayak di Sarawak akan pupus ditelan zaman jika tiada kesedaran. Dalam situasi masa kini, faktor agama popular dan budaya semasa telah mempengaruhi survival adat resam turun temurun terutama sambutan Gawai Dayak. Berdasarkan demografi Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2010, masyarakat Dayak mewakili 30.3% kaum Iban dan diikuti dengan 8.43% kaum Bidayuh daripada 2,354,048 penduduk Sarawak. Daripada pecahan jumlah tersebut, 76.3% kaum Iban beragama Kristian, 9.94% kaum Iban beragama Islam, 81.43% kaum Bidayuh beragama Kristian, 2.38% kaum Bidayuh beragama Islam manakala 13.76% kaum Iban dan 16.19% kaum Bidayuh beragama asal, menganut agama lain atau tidak beragama. Berdasarkan dapatan ini, cukup jelas bahawa agama popular seperti Kristian dan Islam telah mengubah landskap masyarakat peribumi Dayak untuk meninggalkan adat tradisi mereka. Antara alasan mahupun sebab utama adat agama asal mereka diabaikan kerana faktor perbezaan teologi. Masyarakat Dayak yang percaya bahawa setiap kuasa yang ada pada alam mempunyai ‘tuhan’ dan penjaganya sendiri telah menunjukkan ianya bercanggah dengan konsep monotheistik yang ada pada ajaran Islam dan Kristian. Disamping itu, momokan ‘berhala’ dan ‘syirik’ dalam setiap upacara Gawai Dayak, peralatan mahupun adat resam telah mengukuhkan lagi sebab mengapa kaum Dayak beragama tidak lagi memelihara tradisi mereka. Budaya semasa tidak terhad pada hiburan semata-mata. Ditambah dengan arus pemodenan dan pembangunan, masyarakat Dayak telah banyak yang berpendidikan. Sudah semestinya akan ada anjakan paradigma dalam setiap persepsi mereka tentang bagaimana menghadapi kehidupan mereka sendiri. Jika dulu, masyarakat Dayak amat bergantung sepenuhnya pada hasil tanaman padi, buah-buahan dan sayur-sayuran mereka. Sudah tentu, banyak upacara serta ritual perlu dilakukan bagi menentukan survival tanaman mereka. Kini, memandangkan kebanyakan mereka telah berhijrah ke bandar atas sebab pekerjaan, jadi mereka tidak lagi bergantung pada tanaman sebagai mata pencarian mereka. Oleh sebab itu, tiada lagi sebab utama mengapa mereka terus kekal dengan agama asal dan memilih jalan hidup moden dengan menganut agama popular serta meninggalkan apa yang kelihatan ‘kuno’ dan “ketinggalan zaman” bagi mereka. Sebagaimana salah seorang orang tua di kampung saya pernah berseloroh, “Buat apa lagi mahu puja semangat dan roh padi kalau kebanyakan anak muda kita semua tidak lagi mahu menanam padi.” Penutup Walaubagaimanapun, masyarakat Dayak yang terkenal dengan kepelbagaian adat resam serta ritual seharusnya tidak melupakan asal-usul mereka sebagaimana yang ada pada nenek moyang mereka sebelum datangnya agama seperti Islam mahupun Kristian. Saya tidak hairan dalam 10 hingga ke 20 tahun akan datang, akan menjadi persoalan besar daripada anak-anak kita, tentang “apakah Dayak itu?’ dan “apakah istimewa dan uniknya bangsa Dayak ini?” jika kesemua yang ada tidak dijaga sudah pasti lidah pasti kelu untuk menjawab. Tradisi yang masih ada sekarang sewajarnya dirakam dalam video dan gambar serta ditulis bagi peringkat generasi masa datang. Mungkin di suatu masa, tradisi-tradisi ini boleh dihidupkan secara simbolik untuk mengenang nenek moyang kita yang menghidupkannya. Terpulanglah kepada generasi sekarang jika ada minat dan usaha memelihara, saya yakin adat tradisi terutama Gawai Dayak akan utuh ibarat “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.”         unnamed

]]>