Projek Dialog

Antara hudud, penyeluk saku dan politikus korup

The Malaysian Mirror. Senario: Penyeluk saku yang mencuri RM10 dipotong tangan tetapi ahli politik yang menyeleweng berjuta duit awam hanya dipenjara. Senario di atas merupakan contoh kontradiksi di dalam banyak kanun Syariah yang menggunakan hukuman hudud di seluruh dunia Muslim kata pakar kajian undang-undang Islam Prof Abdullahi Ahmed An-Naim. 357d632468bc33cd7bd5ac3ea31e59c8 Contoh seperti ini mengambarkan bahawa usaha melaksanakan hukuman hudud menimbulkan banyak masalah dan ia antara sebab utama menggapa pemerintah Muslim harus menangguhkannya, kata Abdullahi, pensyarah daripada Emory University di Amerika Syarikat. Masalah perlaksanaan hudud akhirnya akan mencalar imej Islam itu sendiri kata Abdullahi, kerana kecelaruan kesalahan dan hukuman itu menjejaskan prinsip bahawa Tuhan itu Maha Adil dan Maha Bijaksana. Lain daripada sistem undang-undang biasa atau sivil, pendokong hudud mendakwa kanun mereka berasakan Islam dan datangnya daripda Tuhan. Ini memberikannya satu aura sempurna, ekslusif dan sakral yang menyekat cara masyarakat menilai undang-undang itu. Di dalam proses membentuk undang-undang sivil misalnya siapa sahaja – individu biasa, NGO, pakar, Muslim atau tidak – ada hak untuk menilai, mengkritik dan menolak undang-undang itu. Dengan itu kelemahan di dalam sesebuah undang-undang sivil boleh diperbaiki dengan efisyen kerana proses pembentukkannya terbuka. Tetapi bila datang pada hudud dan undang-undang syariah, seperti berlaku di Malaysia, proses mengubal dan menilai disekat dan dimonopoli oleh hanya sekelompok individu yang mengelar mereka “pakar agama”. Orang Muslim biasa ditegah daripada mempersoalkan hudud dan dipaksa untuk menyokongnya manakala orang bukan Muslim yang bakal mendapat kesan daripada hudud langsung tak boleh berkata apa-apa. Buatan manusia Contoh antara hukuman penyeluk saku dan penyeleweng, menunjukkan bahawa kanun kesalahan syariah dan hukuman hudud adalah buatan manusia melalui interpretasi al-Quran dan Hadith, kata Abdullahi. “Setiap kali manusia cuba menghasilkan sebuah kanun undang-undang Syariah ia adalah usaha interpretasi dalam alam politik dan kerajaan,” katanya di sebuah forum di Sunway University baru-baru ini. (Istilah politik dan kerajaan dalam konteks ini merujuk kepada proses penghasilan dasar dan sistem tadbir sesebuah masyarakat oleh manusia.) Ulama dan ahli fiqah pada zaman dinasti Muslim seperti Ummaiyah dan Abassiyah, tidak pernah menghasilkan kanun Syariah yang universal kerana mereka saling berbeza pendapat dan interpretasi, ujar Abdullahi. Al-Quran ada menyebut bahawa potong tangan si pencuri, kata Abdullahi. “Tetapi ia tidak memberi definasi apakah itu perbuatan mencuri. Definasi tersebut telah dibentuk oleh para ulama yang masing-masing berbeza dan bercanggah pendapat. “Ada ulama yang mengatakan mencuri itu sebuah perbuatan yang dilakukan secara senyap, kalau dibuat terang-terang ia bukan mencuri. Ada pula ulama yang berkata kalau dilakukan secara terang pun mencuri.” Ada pula ulama yang berhujah bahawa sekiranya si pencuri ada hak ke atas harta itu, pengambilannya tidak dikira mencuri. Mengikut takrifan ini, duit kerajaan yang pada asasnya dimiliki oleh semua warganegara – samada bakal penjenayah atau tidak – tidak boleh terkandung di bawah harta yang boleh dicuri, kata Abdullahi. Sekiranya hukuman hudud dibentuk menggunakan takrifan itu, penalti lebih berat dikenakan kepada penyeluk saku (potong tangan) berbanding ahli politik yang melesapkan duit awam. Antara undang-undang manusia dan Tuhan Pendokong hudud berkata penyelewangan harta awam boleh dikenakan hukuman takzir yang boleh ditentukan mahkamah, seperti penjara. Hujah ini masih tidak menyelesaikan isu pengadilan dan kesamarataan di bawah undang-undang (equality before the law) antara si penyeluk saku dan si ahli politik yang korup, ujar Abdullahi. “Kerana hukuman takzir dan hukuman hudud tidak sama berat. Orang yang curi dana awam tidak merasai keperitan yang sama seperti penyeluk saku, walaupun jenayahnya lebih berat.” Kontradiksi ini harus dilihat di dalam konteks dunia sekarang yang banyak sistem perundangan untuk menangani berbagai jenayah baru seperti korupsi, pecah amanah dan penyelewengan. Hampir kesemua sistem perundangan itu dihasilkan manusia tanpa dicap sebagai undang-undang Tuhan. Sekiranya hukuman hudud dilaksanakan tanpa menyelesaikan masalah interpretasi yang bercanggah, masyarakat Muslim bakal memberi gambaran bahawa undang-undang yang “datang daripada Tuhan” lebih lemah daripada undang-undang buatan manusia. “Ia akan menjejaskan imej Tuhan dan Islam sendiri di waktu rasuah, korupsi telah menjadi jenayah yang serius di seluruh dunia,” kata Abdullahi. “Kerana ia seolah-olah Syariah itu tidak menghukum golongan elit yang berkuasa (yang biasanya melakukan penyelewengan) seberat mana ia menghukum golongan bawahan (yang mencuri).” Sebagai alternatif, Abdullahi mencadangkan kepada penyokong hudud agar membentangkan undang-undang sivil yang mengandungi hukuman yang mereka mahu seperti potong tangan, sebat 100 kali dan sebagainya. “Kenapa nak sebutnya sebagai hudud? Gubal sahaja undang-undang untuk jenayah bersama hukumannya dan bentang di Parlimen.” Dengan ini seluruh masyarakat tidak kira Muslim atau tidak, boleh berdebat dan memilih sama ada mahu menyokong undang-undang tersebut atau tidak tanpa paksaan, katanya. Lagi satu alternatif kata Abdullahi, adalah menangguhkan perlaksanaan hudud dan menyalurkan tenaga dan masa ke arah hal-hal lain seperti membanteras kemiskinan, menghapuskan rasuah dan memperkuatkan semangat sivik di antara manusia. – Jun 2, 2016

]]>

Share your thoughts!

More Articles