Oleh: Uthaya Sankar SB (Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya) Sesungguhnya Facebook sudah menjadi laman rangkaian sosial yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Sejak mula menggunakannya semasa bertugas sebagai editor kandungan berita di Bernama Radio24 pada Ogos 2008, saya menjadikan Facebook sebagai alat komunikasi utama; selain telefon bimbit dan e-mel. Walau bagaimanapun, sehingga kini, jumlah “rakan” saya di Facebook tidak ramai. Antara sebab utama adalah kerana saya tidak mahu membaca komen-komen dan paparan status yang “membunuh bahasa” – mana-mana bahasa. Maka, apabila ada orang mahu menambah saya sebagai rakan, awal-awal lagi saya akan mengingatkan mereka supaya tidak “membunuh bahasa” di dinding (wall) saya. Rakan-rakan yang mahu menulis komen bagi mana-mana catatan status, pautan atau foto di laman Facebook saya pula akan dinasihatkan supaya menyemak dengan teliti apa yang ditulis sebelum dipaparkan. Rata-rata rakan-rakan saya sedia maklum akan syarat ketat yang saya tetapkan dalam soal penggunaan bahasa. Tidak kurang juga “pembunuh bahasa” yang merajuk dan segera membuang saya dari senarai sahabat. Saya mengalu-alukan tindakan mereka dengan penuh syukur dan rasa gembira. Saya tidak akan melayan sesiapa yang tidak tahu (atau tidak mahu) menggunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil atau Bahasa Mandarin yang betul apabila berkomunikasi dengan saya menerusi Facebook. Selaras dengan usaha memartabatkan penggunaan bahasa yang betul, komen serta individu yang “membunuh” bahasa (mana-mana bahasa) akan dibuang serta-merta tanpa notis dan tanpa simpati. Demikian pendirian tegas saya. “Buatlah apa sahaja pada ruangan status dan dinding anda tetapi dinding Facebook saya bukan tempat untuk anda sewenang-wenangnya menganjurkan pesta membunuh mana-mana bahasa.” Demikian makluman awal yang saya nyatakan kepada rakan-rakan. Dari semasa ke semasa, saya meluangkan masa membuang (unfriend) sesiapa sahaja (ulang: sesiapa sahaja) yang tidak tahu membezakan antara “kah” dan “ke”, “what” dan “wat” serta “its” dan “it’s” apabila menulis komen di dinding saya. Malah, ramai juga individu yang mempromosikan diri di khalayak sebagai “pencinta bahasa” dan “pejuang bahasa” tetapi realiti berkenaan tahap kecintaan, keprihatinan dan usaha mereka memartabatkan bahasa – khususnya Bahasa Malaysia – dapat dilihat menerusi paparan pada akaun Facebook mereka. Memartabatkan bahasa di laman rangkaian sosial
Tentulah saya sedar bahawa masing-masing berhak menulis apa-apa sahaja – dan dengan apa-apa gaya – pada dinding Facebook masing-masing. Saya menghormati hak itu dan tidak akan masuk campur dalam urusan “rumahtangga” orang.
Walau bagaimanapun, apa-apa yang ditulis pada ruangan status rakan-rakan pasti akan muncul pada paparan jalur masa (“timeline”) saya sendiri. Maka, bagi mengelakkan daripada terpaksa melihat segala macam “pembunuhan bahasa”, saya memanfaatkan fungsi “unfollow” yang tersedia tetapi kurang diketahui orang. Dengan cara itu, individu berkenaan masih kekal sebagai “sahabat” saya di Facebook tetapi segala paparan pada ruangan statusnya tidak lagi muncul secara automatik apabila saya mahu melihat senarai perkembangan rakan-rakan pada jalur masa. Berikutan tindakan saya meletakkan syarat-syarat ketat berhubung penggunaan bahasa yang betul, ramai juga yang pada mulanya bersemangat mahu menjadi sahabat saya di Facebook tetapi kemudian memutuskan untuk “membatalkan” persahabatan itu. Sebenarnya tidak menjadi masalah kepada saya kerana saya tidak mahu menyesakkan minda dan Facebook dengan terlalu ramai kawan. Sekitar 500 orang sudah lebih daripada mencukupi. Bagi saya, kualiti sahabat adalah jauh lebih penting daripada kuantiti sahabat. Ada juga orang yang mengatakan bahawa saya sepatutnya tidak menyingkirkan (“unfriend”) rakan-rakan yang tidak tahu – atau tidak mahu – menggunakan bahasa yang betul semasa menulis komen pada dinding saya. Kononnya saya perlu membimbing mereka. Kononnya mereka perlu dikekalkan dalam senarai “sahabat” supaya mereka boleh terus belajar tentang penggunaan bahasa yang betul. Sebenarnya, jika benarlah mereka mahu belajar penggunaan bahasa yang betul menerusi paparan pada Facebook saya, mereka tidak semestinya menjadi “sahabat” saya. Mereka masih ada pilihan untuk memanfaatkan fungsi “follow” bagi tujuan itu. Atau mereka boleh melayari blog saya untuk belajar penggunaan bahasa yang betul seperti yang kononnya dihajati. Hasil penelitian saya sejak mula-mula menggunakan Facebook pada 2008, ada orang yang tidak menggunakan bahasa (mana-mana bahasa) dengan betul di Facebook dan sering memberikan alasan “this is social network, not school exam”. Sebenarnya, jika diteliti dan dipantau – misalnya selama tiga bulan, seperti yang biasanya saya lakukan – maka akan terbukti bahawa individu berkenaan sesungguhnya tidak tahu menggunakan bahasa (mana-mana bahasa) dengan betul. Mereka sengaja mengemukakan alasan “this is social network, not school exam” bagi menutup kelemahan diri. Bodoh sombong. Ramai juga pengguna Facebook yang bertegas mahu menggunakan Bahasa Inggeris di Facebook. Saya bukannya anti bahasa berkenaan; malah saya secara automatik berfikir dalam Bahasa Inggeris. Bagaimanapun, saya sakit hati melihat Bahasa Inggeris – atau mana-mana bahasa – dibunuh sewenang-wenangnya oleh individu yang “bodoh sombong”. Membetulkan apa yang biasa, membiasakan apa yang betul Sedarkah anda? Ramai pengguna Facebook di Malaysia tidak tahu membezakan antara “never” (tidak pernah sama sekali) dan “did not” (tidak). Komen yang sepatutnya ditulis “You did not invite me” sering ditulis sebagai “You never invite me”. Sering juga orang memaparkan status “I never eat rice” sedangkan apa yang dimaksudkan adalah “I did not eat rice”. Saya berusaha menggunakan Facebook untuk berkongsi maklumat berhubung penggunaan bahasa yang betul. Apabila ada masa dan ruang, saya memaparkan trivia yang boleh dijadikan panduan oleh sesiapa. Sering kali, trivia berkenaan adalah berdasarkan pengalaman serta apa yang saya sendiri belajar dan mahu amalkan. Istilah “cop” yang sering digunakan orang Malaysia sepatutnya disebut/dieja “cap”. Setahu saya, sebutan “cop” digunakan penutur bahasa Melanau (Sarawak). Dalam istilah Bahasa Malaysia, “chicken/mutton/pork chop” (makanan) disebut “cop ayam/kambing/babi”. Dalam permainan pingpong, istilah “heavy/double/soft chop” biasa digunakan. “Time stamp” sering ditulis sebagai “cop masa” sedangkan istilah sebenar adalah “cap masa”. Orang Brunei menggunakan “cop waktu” manakala orang Indonesia menggunakan “bubuh waktu”. Orang Kedah menggunakan istilah “cop” apabila merujuk kepada sejenis alat yang digunakan untuk mengupas kelapa atau menggali tanah. Istilah “cop” juga bermakna “menghembus” atau “meniup” dalam loghat Kedah. Apabila saya memaparkan trivia itu pada ruangan status Facebook baru-baru ini, Zaid Akhtar bertanya mengenai “cop sawit”. Setahu saya, istilah berkenaan merujuk kepada alat yang digunakan di ladang kelapa sawit. Mungki boleh dirujuk pada Kamus Dewan. Rakan dari Kota Kinabalu, Rafi Harumin bertanya apakah pengesahan (endorsement) pada pasport juga sepatutnya disebut “cap”. Sebenarnya, ya. Malangnya orang Malaysia sudah terbiasa menggunakan istilah yang salah (“cop”) sehingga apabila disuakan dengan istilah/ejaan yang betul (“cap”), sukar pula untuk menerimanya. Apatah lagi apabila pembetulan dilakukan oleh “orang Bukan Melayu”. Dalam pada itu, agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa dalam konteks Bahasa Inggeris (versi United Kingdom; bukan versi Amerika Syarikat), frasa “get the chop” bermakna “dibuang kerja”. Izni Rahim pula meminta kepastian mengenai kata “cop” yang biasa digunakan apabila, contohnya, mahu menyatakan bahawa tempat duduk itu kita yang punya. Sebenarnya, “cop tempat” sepatutnya disebut “cap tempat” dengan erti kata kita sudah “tandakan” (mark/reserve/book) tempat itu untuk kita. Akan tetapi, sudah menjadi kelaziman sejak zaman kanak-kanak menggunakan frasa “cop tempat” (bahasa pasar). Kesantunan berbahasa usah dilupakan Memang seronok apabila berkongsi maklumat mengenai soal penggunaan bahasa yang betul! Saya suka melakukannya menerusi Facebook pada waktu santai supaya cepat sampai kepada rakan-rakan yang berminat untuk belajar. Apabila bercakap mengenai penggunaan bahasa yang betul, aspek kesantunan berbahasa juga perlu diberikan perhatian. Sesekali saya cuba membimbing, mendidik dan menegur rakan-rakan di Facebook dengan “mengajar” mereka gaya santun dalam percakapan dan penulisan. Jika berkomunikasi dengan orang yang lebih dewasa, misalnya, jangan menggunakan kata ganti nama diri kedua “awak”, “engkau”, “kau” atau “kamu”. Perkara ini sebenarnya sudah diajar sejak sekolah rendah tetapi memandangkan sistem pendidikan Malaysia hanya mementingkan markah, aspek kesantunan berbahasa sering dilupa. Harap maklum bahawa “engkau” dan “kau” tidak sesuai digunakan apabila berkomunikasi dengan “orang yang lebih dewasa” tetapi boleh digunakan apabila berkomunikasi dengan Tuhan (sebagai “Engkau” dan “Kau”). Apabila saya memaparkan teguran berkaitan kesantunan bahasa itu di Facebook, Shela Rasin bertanya sama ada kata ganti nama diri kedua “anda” boleh digunakan. Saya berusaha menjelaskan bahawa kata ganti nama diri kedua “anda” boleh digunakan kerana ia tidak membezakan umur, taraf dan kedudukan. Penggunaannya bersifat “neutral” apabila digunakan dalam komunikasi formal, tidak bersemuka atau apabila ditujukan kepada khalayak umum. Bagaimanapun, penggunaan “anda” elok dielakkan dalam komunikasi bersemuka; bergantung kepada kedudukan, taraf dan hubungan anda dengan orang itu. Contoh lazim kata ganti nama diri kedua yang digunakan dalam komunikasi bersemuka: tuan, puan, cik, pak cik, saudara, cikgu, encik, abang, kakak dan mak cik. Ayat “Cikgu/Puan/Kakak, awak sudah makan?” yang sering digunakan boleh sahaja dibetulkan kepada “Cikgu/Puan/Kakak sudah makan?” dan “Encik/Tuan/Pak cik, kamu perlu mengisi borang ini” kepada “Encik/Tuan/Pak cik perlu mengisi borang ini” supaya memelihara kesantunan berbahasa tanpa sedikitpun mengubah makna. Saya tahu bahawa tindakan saya (minoriti) menegur dan mengajar penggunaan bahasa yang betul menerusi Facebook kurang disenangi orang (majoriti). Akan tetapi, saya tidak memerlukan sesiapa “menyenangi” apa yang saya lakukan kerana tindakan saya adalah demi memartabatkan penggunaan bahasa (mana-mana bahasa) yang betul; bukan untuk “disenangi” oleh sesiapa. Terima kasih kepada anda kerana sudi membaca makalah ini sepenuhnya. Semoga ada sesuatu yang dipelajari dan mampu dimanfaatkan supaya kita dapat sama-sama memartabatkan penggunaan bahasa yang betul dan penuh kesantunan. ]]>