Projek Dialog

Bahasa Melayu Bahasa Kita Semua

Central Market Baru-baru ini timbul isu mengenai papan tanda Pasar Seni. Gambar yang dimuat naikkan oleh seorang pengguna Facebook telah menangkap perhatian ramai dan menjadi viral. Dalam kapsyennya, dia menulis, “… terperanjat besar aku. Aku ni kat Kuala Lumpur ke… atau kat Hong Kong… atau kat Macau ke… atau kat Beijing?… Oh Negaraku Malaysia.” Seperti biasa, masyarakat Malaysia yang masih tersepit dan bergelut dengan sentimen perkauman menjadikan isu bahasa sebagai isu perkauman. Malang sungguh buat negara kita kerana kita amat jarang sekali boleh mengadakan diskusi yang rasional, membina dan konstruktif tentang bahasa (dan sekolah) tanpa sentimen kaum. Namun, tidak salah mencuba rasanya. Bahasa jiwa bangsa. Apakah peri pentingnya tiga perkataan yang sering diulangi di zaman sekolah kita? Bahasa adalah teras sesuatu kaum. Amatlah malang jika sesuatu bangsa tidak mengangkat bahasanya sendiri. Tidak kira sama ada kita memperjuangkan bangsa Malaysia dan/atau bangsa Melayu, rasanya kita sama-sama setuju bahawa bahasa bangsa Malaysia/Melayu perlu diangkat. Ketika belajar di Amerika Syarikat, saya perhatikan sebuah usaha untuk memupuk perpaduan dan identiti seragam. Di situ pun usaha membina perpaduan adalah sesuatu yang mengambil masa dan tenaga, sebaliknya usaha memecah-belahkan masyarakat lebih mudah dan cepat. Apatah lagi di negara kita yang bukan sahaja mempunyai warganegara pelbagai kaum dan agama, tetapi juga bahasa yang berlainan. Di Amerika, tidak kira orang berkulit putih atau hitam, sekurang-kurangnya mereka berkomunikasi dalam bahasa yang sama. Cabaran yang menghadapi kita adalah bagaimana untuk memperkukuhkan dan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu di kalangan warganegara kita. Bahasa Sebagai Medium Perpaduan Kebatasan menguasai sesuatu bahasa akan mendatangkan kesan kepada kehidupan bermasyarakat di negara ini. Jurang bahasa adalah suatu masalah yang perlu ditangani dan diselesaikan. Kita perlukan satu bahasa yang membolehkan semua warganegara berkomunikasi antara satu sama lain. Jika tidak, ada antara kita yang akan hidup dalam tempurung masing-masing. Kesesuaian, malah kepentingan, bahasa Melayu/Malaysia sebagai medium perpaduan sukar dinafikan. Kita tidak memerlukan hujah bersifat perkauman dan emosi untuk melihat bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah yang terbaik dalam pembinaan identiti bangsa negara. Pertamanya, bahasa ini yang paling banyak digunakan dalam masyarakat kita. Kedua, ia lebih mudah dipelajari berbanding dengan bahasa lain. Ketiga, ia merupakan kesinambungan sejarah tanah air dan masyarakat kita. Keempat, Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kelima, kehidupan bermasyarakat mengharuskan kita cuba memahami antara satu sama lain, dan cara terbaik untuk memulakan proses pemahaman ini adalah dengan meluaskan penggunaan bahasa majoriti. Bahasa Melayu Kavyan Tanggungjawab Bersama Orang Melayu & Bukan Melayu Tidak kira Melayu atau bukan Melayu, kita semua mempunyai peranan untuk mengangkat semula bahasa ini. Kita patut menggalakkan orang bukan Melayu bertutur dalam bahasa Melayu dan membuatkan mereka sedar bahawa bahasa ini adalah milik kita semua. Kita patut menanam rasa pemilikan terhadap bahasa ini antara orang bukan Melayu. Orang Melayu pula jangan menganggap bahasa ini milik ekslusif mereka sahaja. Malah, sebenarnya mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dalam mengangkat martabat bahasa Melayu. Apakah gunanya jika lantang mengeluarkan kenyataan yang kononnya memperjuangkan bangsa Melayu tetapi merendahkan bahasa sendiri? Saya maksudkan orang Melayu yang suka menggunakan ayat dan perkataan ringkasan seperti “awk”, “ko”, “aq”, “klo”, “x heran” dan sebagainya. Penggunaan sedemikian boleh diamalkan dalam perbualan seharian, tetapi tidak patut digalakkan dalam tulisan dan ucapan. Untuk mengangkat semula martabat bahasa, kita perlu mula dengan menggunakannya dengan betul. Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia – Pentingkah? Selain itu, seringkali terdapat perdebatan sama ada kita patut menamakan bahasa kebangsaan sebagai Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia. Pada hemat saya, perbahasan ini bukan mustahak. Persoalan pokok bukan sama ada namanya Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia, tetapi bagaimana kita menggalakkan lebih ramai orang menggunakannya. Contohnya, seorang sahabat saya sangat mementingkan terminologi Bahasa Malaysia. Mungkin dia akan membaca artikel ini dan “menegur” saya nanti. Walaupun terdapat perbedaan pendapat di sini, kami berdua kerap menggunakan bahasa Melayu/Malaysia dalam makalah kami. Kami tetap menyarankan rakan-rakan Melayu dan bukan Melayu untuk belajar, bertutur, dan menulis dalam bahasa kebangsaan. Perbezaan kami ini hanya satu butiran sahaja; kami mempunyai matlamat yang sama. Yang penting, kita promosikan penggunaan bahasa ini. Bahasa Kebangsaan Bahasa Kebangsaan, Bahasa Kebanggaan – Mulakan dengan Percubaan! Poin terakhir adalah berkenaan wakil rakyat. Disebabkan prosiding, dokumen, dan mesyuarat parlimen dan urusan kerajaan mesti dilakukan di dalam bahasa Melayu, wakil rakyat perlu memperbaiki penguasaan bahasa Melayu. Kadangkala agak “sukar” mendengar sesetengah wakil rakyat berbahas dalam bahasa Melayu. Namun, saya memuji sikap mereka yang berani mencuba. Harap dapat meneruskan usaha mempelajari dan menggunakan bahasa kebangsaan! Perubahan bermula dari kita. Jika kita ingin berbangga dengan bahasa kita dan ingin mengangkat bahasa Melayu, kita semua perlu memainkan peranan masing-masing untuk menggalakkan penggunaan bahasa ini sebagai medium perpaduan dan pengantaraan. Hentikan penghinaan terhadap bahasa dan mulalah menulis dengan menggunakan bahasa yang betul (atau sekurang-kurangnya cuba). Banggalah dengan bahasa kita. Ingat, bahasa Melayu/bahasa Malaysia milik semua rakyat Malaysia!   Penulis adalah penyelidik di Penang Institute dan presiden Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM)

]]>

Share your thoughts!

More Articles