Projek Dialog

Dewa dewi dalam seni agama Hindu

Memahami konsep berhala Hindu” (Projek Dialog, 27 Februari 2014) dibaca dan dikongsi lebih 1,400 pengguna Facebook. Sambutan di luar dugaan ini membuktikan secara jelas bahawa masyarakat pelbagai kaum, etnik dan agama di Malaysia berminat untuk mengambil tahu serta memahami konsep-konsep asas dalam ajaran dan agama yang terdapat di negara berpenduduk majmuk ini. Saya percaya bahawa penerangan dan penjelasan yang disampaikan menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah telah membantu khalayak memahami pelbagai perkara berkaitan konsep berhala dalam ajaran Hindu sejak lebih 5,000 tahun dahulu. Pengetahuan dalam bidang Murtisilpasastra atau ikonografi iaitu ilmu seni/sains ukiran berhala boleh membantu orang ramai lebih memahami konsep berhala yang terdapat di kuil atau di rumah rakan-rakan penganut Hindu; tanpa perlu merasakan keimanan dan pegangan agama masing-masing tergugat. [caption id="attachment_3107" align="alignleft" width="150"]Setiap berhala memiliki mahkota dan senjata peribadi. Setiap berhala memiliki mahkota dan senjata peribadi.[/caption] Peserta yang pernah mengikuti Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 2010 sudah berpeluang menjejakkan kaki ke dalam kuil untuk melihat, bertanya dan mendapatkan penjelasan mengenai hal-hal berkaitan Hinduisme, termasuk konsep berhala. Dalam konteks kemajmukan di Malaysia, tentu sahaja setiap individu tanpa mengira kaum, etnik dan agama pernah melihat berhala – sama ada secara langsung, menerusi kaca televisyen, media cetak atau internet. Saya akan cuba menggunakan sedikit pengetahuan ilmu ikonografi untuk membantu memahami ciri-ciri berhala ini. Apabila saya katakan “berhala” (idol), sila bezakan daripada “patung” (statue). Malah, harap maklum bahawa penganut Hindu (Sanatana Dharma) bukan menyembah berhala atau batu berkenaan; sebaliknya menyembah Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Wujud. Kerja-kerja mengukir berhala biasanya dibuat menggunakan batu khas seperti granit dan marmar oleh individu profesional yang disebut silpi. Ukiran dibuat berpandukan syarat, peraturan, norma dan panduan yang sangat rigid. [caption id="attachment_3108" align="alignleft" width="150"]Dewi Lakshmi sebagai Tanyalakshmi (kiri) dan Veeralakshmi. Dewi Lakshmi sebagai Tanyalakshmi (kiri) dan Veeralakshmi.[/caption] Namun begitu, setiap berhala mempunyai ciri-ciri khusus yang menjadikannya unik dan tersendiri. Harus ditekankan bahawa berhala-berhala ini tidak mewakili beberapa Tuhan atau dewa-dewi; sebaliknya mewakili ciri-ciri atau sifat-sifat berjumlah infiniti (tidak terhingga) yang dimiliki Tuhan Yang Maha Esa. Setiap berhala biasanya diukir bersama-sama tiga perkara yang boleh membantu orang ramai mengenal pasti dan membezakan dewa-dewi berkenaan. Tiga perkara itu adalah kritam (mahkota dan gaya rambut), mudra (posisi tangan dan jari-jemari) serta ayudham (senjata dan peralatan). Kritam, mudra dan ayudham Setiap dewa dan dewi menggayakan kritam yang berbeza dari segi bentuk, saiz, hiasan dan warna. Kritam pada berhala Dewa Vishnu biasanya meninggi dan kurang hiasan. Mahkota pada kepala Dewi Lakshmi dan Dewi Saraswati misalnya mempunyai beberapa lapis dengan diameter berbeza; dan setiap lapis/tingkat dihiasi batu-batu hiasan berbeza saiz dan warna. Ada juga dewa-dewi yang tidak mengenakan – atau dikenakan – kritam. Sebaliknya rambut sendiri digayakan umpama mahkota. Contoh terbaik dan paling mudah adalah Dewa Shiva yang selalu digambarkan mengikat rambut menjadi sanggul yang tinggi. Terdapat bulan sabit terselit pada rambut serta anak sungai (Ganges) mengalir dari puncak sanggul. Selain daripada kritam yang unik, setiap berhala juga menampilkan mudra menggunakan aksi tangan dan jari dewa-dewi. Posisi dan kedudukan “bahasa isyarat” yang dinamakan hastabhinaya dalam tarian seperti Bharatanatyam dan Kathakali ini ternyata dipinjam oleh silpi (pengukir berhala) daripada Natyasastra iaitu teks panduan muzik, tarian dan drama tradisional India. [caption id="attachment_3110" align="alignleft" width="150"]Konvoi Rumah Ibadat turut membawa peserta ke kuil. Konvoi Rumah Ibadat turut membawa peserta ke kuil.[/caption] Mudra yang ditunjukkan oleh setiap berhala mungkin menggabungkan posisi kedua-dua tangan dan digelar samyukta. Sekiranya hanya melibatkan sebelah tangan, maka dinamakan asamyukta. Tentu sahaja segaja istilah ini menggunakan Bahasa Sanskrit kerana rata-rata teks ajaran Hindu sejak 5,000 tahun dahulu menggunakan bahasa berkenaan. Rujukan dalam buku-buku mengenai ikonografi seperti Silparatna, Silpasangraha dan Silpasara menjelaskan bahawa terdapat antara 35 dan 39 mudra yang digambarkan menerusi berhala di kuil yang diukir oleh silpi menggunakan batu. Walau bagaimanapun, sekiranya kita memperhatikan berhala dewa-dewi di kuil-kuil seluruh Malaysia, mungkin sekitar 8 hingga 10 mudra sahaja yang biasa digunakan. Maknanya, hanya mudra-mudra yang paling penting dan utama masih dipaparkan menerusi ukiran berhala. Memandangkan berhala mewakili Tuhan dan disembah bagi mendapatkan perlindungan, maka mudra atau posisi tangan yang paling lazim ditemui adalah abhayamudra. Posisi ini adalah di mana tangan berhala (dewa atau dewi) seolah-olah memberikan jaminan kepada penganut bahawa mereka (umat) dilindungi. Tuhan juga disembah dan doa dipanjangkan kepada-Nya untuk mendapatkan sesuatu. Maka, satu lagi mudra yang biasa terdapat pada berhala di kuil adalah posisi seperti mengurniakan anugerah atau memberikan apa yang diminta. Posisi ini dinamakan varadamudra. Posisi tangan seolah-olah merestui merupakan satu lagi mudra penting. Dalam novel Panchayat: Edisi Khas (2012) misalnya, watak utama memandang tangan berhala yang berada dalam posisi merestui. Dia merasakan seolah-olah Kaali Devi berkata: “Usah risau, anakku. Aku tahu apa yang perlu dilakukan sekarang.” Perkara yang amat nyata pada berhala Hindu adalah kehadiran beberapa pasang tangan. Setiap berhala (dewa-dewi) biasanya mempunyai dua pasang tangan. Secara simbolik ia cuba menyampaikan mesej bahawa Tuhan (yang sifat-Nya diwakili oleh berhala itu) adalah lebih “istimewa” berbanding manusia. Dalam cerpen “Doa Tahun Baru” (Kisah dari Siru Kambam, 2013), watak kanak-kanak bernama Rama menyebut bahawa “Amma tidak kurang hebat berbanding Dewi Lakshmi walaupun Amma tidak ada empat pasang tangan seperti pada berhala Dewi Lakshmi di kuil.” “Kasihan Amma. Mungkin Amma perlu ada lapan tangan seperti Dewi Lakshmi untuk memudahkannya membuat semua kerja seorang diri,” fikir lagi kanak-kanak berusia enam tahun itu dalam cerpen yang berlatar belakangkan tahun 1964. Kenali binatang tunggangan Sekiranya kita perhatikan berhala dewa-dewi, setiap tangan menggambarkan mudra-mudra yang berbeza. Atau tangan-tangan itu akan memegang senjata atau peralatan yang ada makna tersendiri. Walaupun istilah ayudham membawa makna “senjata”, dalam ilmu ikonografi, ia turut merujuk kepada peralatan tangan (props) yang dipegang oleh dewa-dewi. Shiva biasanya memegang trisula (tombak bermata tiga) dan damaru (gendang tangan). Dewa Murugan pula memegang sula (tombak bermata satu) seperti yang terdapat pada patung (statue) setinggi 42.7 meter di hadapan kuil di Batu Caves. Saraswathi yang dikaitkan dengan ilmu pengetahuan biasanya memegang pustaka (buku) manakala Ganesha memegang modakam (sejenis manisan) dan bhagnadanta (gading yang patah). Brahma yang berkepala empat boleh dikenali melalui kamandalu (bekas air) yang dipegang dengan tangan. Vishnu pula sering digambarkan memegang cakra (cakera) dan sankha (sangkakala). Berhala yang ditempatkan di kuil bagi tujuan sembahyang lazimnya diperbuat daripada batu seperti granit dan marmar. Berhala jenis ini dinamakan acala atau dhruvabera. Berhala yang digunakan bagi tujuan perarakan semasa upacara keagamaan serta berhala yang ditempatkan di rumah penganut Hindu diperbuat daripada logam, kayu, batu atau tanah liat serta dikenali sebagai utsavamurti. [caption id="attachment_3109" align="alignleft" width="150"]Merak menjadi wahana tunggangan Dewa Murugan. Merak menjadi wahana tunggangan Dewa Murugan.[/caption] Setiap berhala (dewa-dewi) juga biasanya ada vahana (kenderaan atau kenaikan) tersendiri. Menurut catatan berkaitan perkembangan (evolusi) ajaran Hinduisme, kehadiran vahana ada kaitan dengan purana, mitos dan legenda mengenai setiap dewa-dewi sejak ribuan tahun dahulu. Shiva memiliki nandi (lembu) sebagai kenderaan rasmi, Vishnu menunggang garuda, manakala Brahma menaiki hamsa (angsa). Dhurga menggunakan simha (singa) sebagai kenaikan manakala Ganesha – dewa berkepala gajah – menunggang mushika (tikus) dan Murugan menaiki mayil (merak). Maka, seseorang boleh mengenal pasti identiti sesuatu berhala berdasarkan vahana yang ditunggangi serta ayudha yang dipegang. Setiap satu aspek ini mempunyai makna simbolik dan tidak sepatutnya ditafsir secara luaran semata-mata. Sesungguhnya Hinduisme adalah ajaran berusia lebih 5,000 tahun yang sangat kompleks dan subjektif sifatnya. Setiap aspek yang dipaparkan pada berhala menerusi ukiran mempunyai makna simbolik yang perlu ditafsir mengikut budhi (tahap pemikiran) masing-masing. Sebab itulah dikatakan bahawa seseorang yang tidak ada budhi akan melihat berhala sebagai batu dan patung semata-mata, manakala seseorang yang ada budhi dan beriman akan mampu melihat Tuhan Yang Maha Wujud pada berhala tersebut. Setiap berhala itu pula tidaklah mewakili Tuhan yang berlainan. Sebaliknya, sebagai agama Tauhid yang pertama di muka bumi, ajaran Hindu menekankan konsep Ekan Anekan – Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Wujud di mana-mana serta dalam mana-mana rupa dan bentuk yang diingini-Nya. Hinduisme bukan agama politeisme seperti sering dipropagandakan pihak tertentu. Sedikit budhi dan ilmu ikonografi boleh membantu memahami hakikat sebenar mengenai ajaran kompleks dan unik ini.     unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles