Projek Dialog

Dunia Kiamat Akibat Dehumanisasi

Semasa mengisi borang UPU untuk memilih bidang yang saya minati dan universiti yang saya ingini, saya berasa sungguh bersemangat dan gembira kerana saya tidak sangka yang saya akan sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Saya selalu membayangkan bahawa konsep universiti ini adalah institusi yang paling kompleks, kerana fakulti manusia yang tertinggi iaitu intelek diterokai.

Tetapi pengalaman pada minggu pertama langsung melenyapkan imaginasi itu, kerana orientasi dimulakan dengan ceramah rasis dan menakutkan. Dan pengalaman ke kuliah setiap hari ialah pengalaman yang membosankan tiada bezanya dari sekolah menegah. Pensyarah mengajar dan pelajar belajar, dan muntahkanya pada waktu peperiksaan.

Saya kurang didedahkan dengan konsep hak asasi manusia semasa di universiti dan ia bermula agak lambat iaitu pada tahun 2009, dimana saya mengikuti satu dialog tentang anti-diskriminasi di Kuala Lumpur. Pengalaman pada masa itu sungguh mengkagumkan, terutamanya orang ramai yang berada di forum itu, merekalah yang saya bayangkan selama ini iaitu berdialog dan bersuara lantang, bertanyakan soalan dan memberi pendapat. Orang ramai yang terdiri daripada pelajar, pekerja, ahli akademik, ahli politik, aktivis, makcik, pakcik semua berdialog antara sesama tanpa diskriminasi bangsa, umur dan idea masing-masing.

Keberanian dan kelantangan dalam bilik itu langsung membuka mata saya dan saya dapat merasakan seluruh kosmos alam semesta bergerak menuju ke dalam diri dan memberi tenaga dan harapan baru. Itulah pendidikan hak asasi manusia saya yang pertama. Dan kisah Bawani mengingatkan saya tentang keadaan itu dan banyak situasi dialog yang pernah saya ikuti selama ini, yang memang tidak dipergiatkan di universiti. Tindakan Bawani berdiri untuk bertanyakan soalan dan pendapat merupakan satu jenis pendidikan yang memanusiakan, dimana pencerahan akal dan fikiran berlaku.

Saya bersetuju dengan Zul Fikri yang mengakhiri artikelnya1 kalau mahasiswa setakat belajar, lembu di padang juga belajar (selain belajar untuk membuang air, lembu juga belajar untuk membiak). Saya rasa bahawa fungsi mahasiswa tidak hanya tertakhluk kepada belajar, bekerja lepas itu kahwin dan beranak kemudian mati. Kita mempunyai panggilan yang lebih jauh dari itu, satu panggilan untuk menjadi garam dan terang dunia untuk memberi rasa dan cahaya dan mengubah realiti dunia yang tidak adil. Atau secara ringkasnya untuk menjadi manusia yang sejati.

Menurut artikel 1 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), setiapmanusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi martabat dan hak-hak. Mereka dikaruniai akal dan hati nurani dan harus bertindak terhadap satu sama lain dalam semangat persaudaraan. Pernyataan ini sungguh dalam jika kita benar-benar membuat refleksi dan kaitkannya dengan panggilan kita untuk memperjuangkan keadilan dan perdamaian di masyarakat. Ini bermaksud manusia mempunyai kesucian hidup yang dilandaskan pada martabat dan kemerdekaan peribadi yang paling tinggi.

Tetapi jika kita melihat kontradiksi realiti sekarang, cerita kemiskinan yang disebabkan oleh struktur yang tidak adil punca daripada nilai sikap yang tidak manusiawi. Ini telah menyebabkan golongan ditindas ini tidak mempunyai martabat, dilayan seperti tiada maruah, hidup bagaikan robot, mayat hidup yang tiada nyawa. Seperti yang dikatakan oleh seorang pekerja migran, “though we look physically healthy, mentally we are sick. It’s unbearable”. Dengan itu, golongan ditindas telah mengalami dehumanisasi (tidak manusiawi), iaitu perbuatan yang menjatuhkan martabat dan menafikan sifat-sifat seluruh keperibadian seorang manusia.

Maka benarlah apa yang diramalkan oleh masyarakat Maya tentang dunia akan kiamat. Kerana kaum ditindas yang merangkumi golongan majoriti memang merasakan hidup seharian mereka ialah hari kiamat, dimana situasi kehidupan ekonomi dan politik menyerang martabat peribadi mereka, bukan sahaja itu tapi mereka benar benar mati akibat penindasan. Golongan penindas juga menjadi dehumanisasi dan hilang nilai kemanusiaannya apabila mereka menolak martabat dan rasa hormat terhadap orang lain. Oleh itu sebagai kaum (mahasiswa) yang mempunyai peluang mendapat pencerahan intelek, seharusnya memberikan kembali kepada masyarakat dan bukannya menghancurkan masyarakat.

Melihat kepada pelajar yang tepuk tangan untuk Sharifah dan lepas itu tepuk lagi untuk Bawani adalah satu petanda, iaitu mereka tidak dapat mengesankan penindasan sedang berlaku kerana proses dehumanisasi dan doktrinasi telah meresap dalam institusi pendidikan. Perlakuan pasif ini adalah kerana mereka juga ditindas, mereka pun dilakukan tidak berdaya dan dibenamkan dalam “kebudayaan bisu” yang dikatakan oleh Freire sebagai “submerged in the culture of silence”.

Pernah sekali, oleh kerana perasaan ingin tahu saya mengikutinya satu aktiviti pelancaran PERKASA yang diadakan dalam universiti. Ternyata sesi doktrinasi juga berlaku, dan dibelakang saya dua pelajar sedang bercerita, langsung tidak mendengar dan tidak menghiraukan ucapan diatas. Tetapi apabila tiba-tiba penceramah berkata “betul kan apa saya cakap ni”, untuk meminta maklum balas fakta sejarah (yang kurang betul). Dua orang dibelakang itu tanpa mengambil tahu apa yang berlaku tadi tiba tiba cakap “betul betul”! Dan ada seorang lagi secara tiba-tiba menjerit “hidup Melayu!”, yang dua orang tadi dan seluruh dewan pun terikut-ikut. Tindakan membuta tuli ini dibuat tanpa akal kerana proses dehumanisasi yang sangat kuat dan langsung tidak memberi ruang akal untuk berjalan. Adakah institusi pendidikan ini hanya menjadi gudang suruhan oleh penindas supaya kita mematuhi sistem ketidakadilan dan menafikan martabat sendiri dan orang lain?

Dengan dehumanisasi menjadi kenyataan yang sudah lama dalam institusi pendidikan, apakah yang membuatkan Bawani mampu bangun untuk bersuara? Saya tidak kenal Bawani secara peribadi, tapi melihat kepada kebanyakkan manusia yang berani bersuara saya nampak persamaan yang sama. Manusia yang bersikap kritikal, berani bersuara atas ketidakadilan, ini kerana mereka ada kapasiti untuk mencintai sesama. Dalam erti kata yang lain mereka menggunakan akal dan fikiran untuk refleksi, tangan dan kaki untuk bertindak secara solidariti dengan golongan akar umbi yang ditindas dan ada hati untuk memanusiakan kembali manusia. Seperti yang dikatakan oleh Che Guevara, “At the risk of seeming ridiculous, true revolutionary is guided by feelings of great love”.

Bukan itu saja, dengan keterlibatan konkrit dengan komuniti, mahasiswa mampu untuk membuat analisis yang berdasarkan kepada realiti. Dan keterlibatan dengan komuniti inilah panggilan yang menjangkau pengalaman hanya duduk dalam kelas, pergi membeli belah dan tengok wayang atau drama Korea. Sebagai contoh, mengapa kurang penglibatan mahasiswa untuk ingin mengetahui tentang penindasan yang dihadapi oleh orang kampung atau komuniti yang dipinggirkan, seperti rampasan tanah, pembinaan empangan atau pengusiran rumah.

Dan sedar atau tidak, banyak larangan atau halangan direka untuk menghalang mahasiswa daripada mempunyai campurtangan kritikal dengan realiti komuniti. Hal ini kerana penindas tahu bahawa campurtangan kritikal ini bukan kepentingannya, kerana penindas hanya pentingkan keadaan dimana manusia meneruskan ketundukan itu dan menerima realiti mereka yang ditindas. Kerana pada saat kesedaran itu bermula, mata mahasiswa akan terbuka dan dengan intervensi analisis sosial, ini akan memberi keyakinan dan tenaga baru untuk bertindak bersama komuniti akar umbi untuk menidakkan struktur ketidakadilan secara konkrit. Saya rasa itu yang berlaku pada kebangkitan mahasiswa pada tahun 70an, dimana pendedahan kepada penindasan dan penderitaan yang dirasai oleh rakyat miskin di Baling.

Jadi, merujuk kepada pendapat pelajar pada video Forum Suara Mahasiswa Part 4 minit yang ke 18:30, mendengar ceramah itu bukanlah satu pendedahan, dan pendedahan juga bukan berlaku apabila rujukpada internet sahaja. Mahasiswa harus betul-betul berdepan dengan melibatkan diri ke komuniti akar umbi untuk melihat sendiri realiti mereka, buat sendiri buat penilaian dan baru mahasiswa akan tahu apa tindakan seterusnya. Oleh itu, azam saya tahun ini masih juga sama, iaitu untuk menjadi lebih manusia dan solidariti dengan yang ditindas, kerana iman tanpa perbuatan adalah mati.

1 Surat Terbuka kepada Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin (http://www.projekdialog.com/featured/surat-terbuka-kepada-sharifah-zohra-jabeen-syed-shah-miskin/)  
]]>

Share your thoughts!

More Articles