Projek Dialog

Hudud di Kelantan: Kesangsian berasas

Perbincangan fiqh dalam konteks Dalam isu undang-undang hudud Kelantan, bukan soal polimik undang-undang dan politik sahaja yang dibincangkan, tetapi terdapat juga polemik fiqh yang masih tidak mendapat jawapan tuntas. Dalam makalah ini, saya tidak menyatakan semua polemik fiqh tersebut, tetapi hanya sudut pandang yang mahu dibawa ke meja perbincangan ini. Sedia maklum bahawa dalam dunia moden ini, bukan tidak ada negara yang telah melaksanakan hudud. Ini dapat dilihat di negara sudan dan Pakistan. Namun, kedua-dua negara ini telah membuktikan kegagalan dalam perlaksanaan hukuman tersebut. Contoh dalam kes Pakistan, definisi zina agak longgar sehinggakan mangsa rogol di Pakistan tidak terbela. Ini kerana, dalam kes Pakistan, mangsa rogol perlu mendatangkan saksi empat orang dengan alasan bahawa ia dibawah kesalahan zina. Bukan sekadar itu, malahan kegagalan mangsa rogol mendatangkan saksi empat orang, menjadikan mangsa rogol pula dikenakan hukuman atas kesalahan Qazaf. Dalam kes Sudan pula, apabila definisi murtad amat longgar, menjadikan pihak kerajaan seperti punyai kuasa untuk menuduh orang yang tidak sehaluan sebagai murtad: pengkritik keputusan kerajaan dituduh murtad dengan alasan mengkritik undang-undang islam (kononnya), lalu dia dihukum dengan hukuman bunuh. Perkara ini telah menimpa seorang ulama Islam di Sudan bernama Syaikh Mahmood Taha. Kebimbangan ini wujud dalam Enakmen Hudud Kelantan. Makanya tidak hairan bahawa kebimbangan fitnah bakal terjadi ekoran terlaksananya undang-undang tersebut berlaku. Di sisi lain pula seperti hukum bunuh dalam kesalahan murtad dan penzina yang telah merasai persetubuhan secara sah. Khilaf Di kalangan ulama Islam sendiri, terdapat kekhilafan dalam menyatakan hukuman bunuh terhadap kesalahan murtad. Dr Taha Jabir menulis sebuah buku bertajuk “La Ikrah fi al-Din” telah merungkai perkara ini secara jitu. Disamping itu pula, Syaikh Mahmood Syaltut, seorang ulama besar dari Universiti al-Azhar pernah mempersoalkan tentang status hukuman bunuh terhadap kesalahan murtad, kerana ia tidak wujud dalam al-Quran, sedangkan hukuman mencuri dan qazaf yang dianggap kurang berat pula ada dalam al-Quran. Dalam hujah mereka, al-Quran tidak boleh diatasi oleh hadis, lebih-lebih lagi jika wujud percanggahan dengan umum al-Quran. Pada mereka, umum al-Quran telah menyatakan hukuman bunuh tidak dibenarkan kecuali wujud nas al-Quran sendiri yang menyatakan keizinan membunuh tersebut. Alasan mereka adalah merujuk kepada ayat 151 dari surah al-An’am dan ayat 33 dari surah al-Isra’ yang menyatakan larangan membunuh manusia. Adapun keizinan bunuh pula, yang wujud dalam al-Quran hanya hukuman Qisas (melayu : kesalahan balasan, seperti orang membunuh, maka dibunuh balas; orang meluka, maka diluka balas), hukuman muharabah (melayu : pemberontakan). Mereka berhujah lagi, kewujudan hadis-hadis yang menyebut tentang hukuman bunuh terhadap orang murtad, bukan melibatkan kesalahan hudud, tetapi lebih kepada kesalahan yang berwajah politik, seperti tindakan Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang melakukan serangan terhadap orang murtad yang tidak membayar zakat kerana di kala itu, zakat merupakan sumber utama negara. Hudud menurut siapa? Ini dikukuhkan lagi bahawa di zaman Nabi Muhammad saw, agak ramai juga yang murtad, tetapi tidak pernah disuruh bunuh oleh Nabi Muhammad saw ekoran murtadnya mereka itu. Kejadian ini berlaku seperti sejarah Isra’ dan mikraj yang cukup masyhur di kalangan umat islam; murtadnya Ubadillah bin Jahsy yang asalnya beragama hanif yang memeluk Islam, lalu memeluk agama kristian di Habsyah; murtadnya seorang penulis wahyu berasal dari Bani Najjar kepada agama Kristian; Murtadnya Abdullah bin Sa’ad bin Abi Sarah yang merupakan adik beradik susuan Saidina Osman bin Affan ekoran tindakannya melakukan penyelewengan pada beberapa teks ayat al-Quran sehinggakan Allah SWT menurunkan ayat 93 dari surah al-An’am. Disamping itu pula, tentang hukuman rejam bagi penzina yang pernah merasai persetubuhan secara sah yang wujud dalam undang-undang hudud Kelantan, sedangkan hukuman tersebut terdapat pertikaian, apakah ia wujud dalam islam atau tidak? Al-Imam Abu Zuhrah menyatakan bahawa hukuman tersebut tidak wujud dalam Islam. Pandangan itu disokong oleh al-Qaradawi dan Dr Mustafa al-Zarqa’. Alasan beliau, bahawa hukuman itu tidak wujud dalam al-Quran, sedangkan dalam hadis, ia merujuk kepada hukuman di awal islam yang dimansukhkan dengan ayat sebat seratus sebatan  kepada penzina. Pada beliau, hukuman rejam adalah syariat yahudi yang tidak wajar dianggap sebagai kesalahan hudud. Hudud dan ekonomi Zaman khalifah islam ke-2, di bawah pentadbiran Saidina Umar, beliau menangguhkan hukuman potong tangan kepada pencuri. Tindakan itu kerana melihat status ekonomi negara yang tidak mengizinkan perlaksanaan tersebut. Ia dikenali sebagai ‘Am al-Maja’ah (Tahun kebuluran). Al-Qaradawi pernah menyatakan, “sebelum melaksanakan hudud, beri makan terlebih dahulu kepada orang-orang lapar, sediakan pekerjaan untuk penganggur, berikan pendidikan kepada orang jahil; semestinya melaksanakan perkara ini sebelum melaksanakan hudud”. Dari sudut fiqh, tindakan Kelantan mahu melaksanakan hudud, sewajarnya dicukupkan syarat-syarat kelayakan untuk perlaksanaan. Bukan sekadar syarat dari sudut ekonomi, tetapi dari sudut kredibiliti negeri dalam mengurus kewangan negeri juga wajar diwujudkan terlebih dahulu; yang sehingga kini masih gagal. Kelantan di bawah kepimpinan PAS adalah negeri yang berhasrat mahu melaksanakan hudud yang dilihat berat, tetapi seperti mengabaikan kewajipan yang lebih besar dari hudud, iaitu melaksanakan badan Hisbah (seperti Selcat di Selangor dan Pinang Cat di Pulau Pinang). Kewajipan melaksanakan Hisbah berbanding hudud ini, umpama kewajipan mendapat kemampuan kewangan dan kesihatan tubuh badan untuk menunaikan kewajipan menunaikan ibadat haji. Ada pihak menyatakan bahawa hisbah tidak disebut dalam al-Quran, sedangkan hudud itu disebutkan dalam al-Quran (hukuman hudud yang disebut dalam al-Quran, hanya kesalahan mencuri, pemberontakan, zina dan Qazaf. Adapun kesalahan minum arak, termaktub dalam hadis). Dengan itu, menjadikan kewajipan Hudud didahulukan berbanding Hisbah. Dijawab bahawa al-Quran, tidak pernah dinyatakan larangan memukul ibu bapa, tetapi yang termaktub dalam al-Quran adalah larangan mengatakan “oh” kepada ibu bapa. Walaupun tidak disebut larangan memukul ibu bapa, tetapi dengan kefahaman larangan mengatakan “oh” terhadap ibu bapa itu sudah difahami secara jelas terhadap larangan memukul ibu bapa. Maka begitulah kewajipan melaksanakan Hisbah sebelum melaksanakan hudud. Begitujuga, bahawa sebelum Kelantan mahu melaksanakan hudud, sewajibnya Kelantan melaksanakan pengurusan hasil mahsul balak secara Islam terlebih dahulu. Ini kerana, kepentingan melaksanakan pengurusan hasil mahsul balak mengikut Islam lebih utama berbanding kepentingan perlaksanaan hudud, sepertimana kepentingan solat lebih diutamakan berbanding kepentingan menunaikan ibadat haji. Hudud di Malaysia: suatu realiti? Manusia mungkin tidak akan meragui kewajipan hudud, tetapi disebabkan sudah ada perlaksanaannya di sebilangan negara membawa kepada kezaliman (kes Pakistan dan Sudan) menjadikan manusia sangsi dengan hukum itu. Manusia mungkin tidak meragui hudud, tetapi keraguan itu berlaku pada pihak pelaksana yang tidak punyai kredibiliti ekoran kegagalan melaksanakan perkara yang lebih mudah dari hudud. Bukan isu hudud mahu dilaksanakan atau tidak, tetapi yang menjadi isu adalah, apakah kepimpinan pemerintahan Kelantan mahu melaksanakan hudud itu benar-benar punyai kredibiliti dan kelayakkan melaksanakannya? Ekoran kredibiliti dan kelayakkan, makanya bukan isu menolak atau terima hudud, tetapi yang menjadi isu adalah, apakah Kelantan berjaya memberikan fitrah dalam perlaksanaan hudud atau mendatangkan fitnah pada perlaksanaan hukum itu? Islam yang hebat, kadangkala buruk kerana kegagalan umatnya. (Sila email editor di projekdialog@yahoo.com untuk bibliografi lengkap)       unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles

Negotiating Love in Malaysia

by Yvonne Tan Maybe it is just me, but conversion, of course tied to religion and race, seem to be a preoccupation of the dating