Masyarakat pun bersalah Masyarakat yang lebih mengutamakan hukuman daripada meneliti dan melawan punca masalah adalah masyarakat penindas. Saya menggunakan perkataan masyarakat kerana ia merangkumi golongan pentadbir negara dan juga rakyat biasa. Penindasan tidak saja dilakukan oleh golongan politikus dan korporat, ia juga malah dilakukan oleh golongan awam. Apabila rakyat memilih untuk berdiam diri bilamana berlaku kezaliman penguasa, agamawan dan korporat, rakyat sebenarnya bersubahat dalam penindasan tersebut. Subahat ini bukan dari sudut niat semata, malah ia subahat berupa perbuatan kerana ketidakadilan yang patut dilawan dengan daya upaya dibiarkan berleluasa, seolah menggalakkan lagi kezaliman bermaharajalela. Ia serupa rakyat sendiri melakukan perbuatan menindas itu dengan tangan-tangan mereka. Muslim pun turut serta Saya mahu menyentuh tentang masyarakat Islam secara khusus dan betapa mandulnya ia dalam menangani isu ketidakadilan sosial dan ekonomi. Kalau kita melihat di sekeliling, masalah kemiskinan masih parah. Golongan miskin tegar bukan hanya wujud di ceruk kampung tapi di celah-celah bandar. Malah kehidupan bandar lebih perit dari kehidupan kampung. Begitu ramai anak-anak yang tak bersekolah kerana tidak berduit, dan masih ramai yang kelaparan, gelandangan semakin bertambah, penagih dadah berkeliaran sekitar kota dan golongan fakir miskin dan muallaf yang ditinggalkan keluarga kebajikannya tak dijaga. Islam ni untuk apa? Islam seharusnya bukan sekadar gerakan agama, ia malah gerakan ekonomi. Tapi ia bukan gerakan ekonomi pelambakan harta untuk golongan tertentu, ia bukan ekonomi ekspo perbankan Islam yang dijaja di pusat dagang, ia gerakan ekonomi yang bertunjangkan keadilan untuk golongan lemah. Nilai ekonomi dalam Islam menekankan prinsip penyamarataan dan kesamaan. Islam melarang penimbunan harta dan menentang akan lebihan keperluan yang tidak diagih-agihkan kepada golongan lemah. Kita tidak mahu mengatakan bahawa hukum alam itu ada yang kaya maka ada yang miskin. Kata-kata sebegitu hanya menguntungkan golongan elit dan penguasa. Sekurang-kurangnya dalam Islam tidak ada konsep sebegitu kerana keadilan dalam Islam bukan hanya bersifat hukum malah lebih dari itu ia bersifat distributif. Ia bersifat mengagih kekayaaan supaya wujud keseimbangan sosial. Wujudnya jurang perbezaan kelas ekonomi yang kian bertambah cuma membawa masyarakat kepada kehancuran. Ya, ekonomi dalam al-Quran tidak bersifat dogma tapi lebih kepada penyerapan nilai. Saya tidak mengatakan wujud sebuah sistem ekonomi yang lengkap di dalam al Quran itu. Tapi nilai-nilai yang diajar dalam kitab itu dengan jelas mengisyaratkan yang al Quran tidak bersetuju dengan sistem ekonomi yang menindas. Kesejahteraaan masycrakat dan keadilan cuma boleh ditegakkan jika nilai-nilai itu digunapakai. Sistem ekonomi yang menindas dan mengeksploitasi jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan harus ditentang. Muslim dicandu? Di sini bukan ruang untk membahaskan dengan panjang tentang sistem ekonomi. Apa yang mahu disampaikan sebenarnya adalah orang-orang Islam itu punya penyakit tidak mahu meneliti masalah dari puncanya dan sering bersifat menghukum. Kita digula-gulakan oleh golongan politikus dengan kegilaan mereka mahu melaksanakan perundangan syariah dan retorik hudud contohnya. Kita sibuk memilih rotan jenis apa yang mahu digunakan untuk menghukum tapi lupa mengingati diri kita atas sebab apa perlunya mengangkat rotan itu terlebih dahulu. Masyarakat yang kecanduan angan-angan negara Islam ini semakin hari semakin terbuai dengan permainan politik penguasa. Rasuah berleluasa, kepincangan dalam perlaksanaan pengagihan zakat disebut-sebut, hak-hak pekerja terus dicabul, gaji yang tidak setimpal dengan nilai kerja, ketelusan institusi baitulmal dipersoal, rumah orang-orang miskin diroboh bagi tujuan menguntungkan syarikat gergasi, kampung-kampung diceroboh atas nama pembangunan, anak-anak yatim dipaksa meminta-minta di jalanan, pembaziran dalam perbelanjaan negara dan pelbagai lagi kezaliman yang jelas sekali ditentang oleh agama yang kita anuti ini. Semua ini berlaku dan kita sibuk berhujah bagaimana si pencuri perlu dihukum, bagaimana orang-orang berzina perlu dimalukan di khalayak ramai dan bagaimana memenangi perlumbaan siapa yang lebih Islam ini. Si pencuri Milo dan tabung wang masjid terus dipukul hingga lunyai oleh tuhan-tuhan jalanan. Di mana kehebatan Islam? Brunei mahu melaksanakan undang-undang syariah kita pun sibuk tidak mahu tertinggal. Konon malu kita tidak melaksanakan seruan Tuhan, namun tidak malu dengan hakikat yang kita dicengkam sistem ekonomi bercorak penindasan sedemikian rupa sehingga begitu payah kita mahu menjadi Muslim pun kerana masalah ini. Perlaksanaan undang-undang syariat dan hudud tidak lain hanya tunggangan penguasa semata dalam mengekalkan status quo. Apa saja yang tidak mengganggu sistem ekonomi penindasan ini, itulah yang diberi suap kepada orang Islam supaya mereka kekal redha dengan kemapan institusi agama dan pentadbiran negara. Ya, ini negara yang majoritinya umat Islam. Sayangnya majoriti inilah yang disuap saban hari dengan ceramah-ceramah agama berunsur jenaka, fatwa-fatwa berpihak kepada penguasa, ritual-ritual ibadah yang kering, doktrin-doktrin yang abstrak dan sulit difahami, khutbah berunsur sektarian dan ulama-ulama yang sibuk mengkafirkan satu sama lain. Golongan agamawan dan parti politik keagamaan sampai hari ini gagal meyakinkan masyarakat dengan pelan tindak ekonomi dan sosial yang mampu menaik taraf hidup golongan tertindas. Mana sistem ekonomi Islam yang dicanang-canang kehebatannya? Kalau sudah wujud, di mana keberkesanannya? Atau adakah memang benar fungsi agama cuma untuk memberi makanan rohani dan menghukum orang?
]]>