Oleh Ming Abdullah Untuk mencipta keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang agama seperti di negara kita ini, kita perlulah ada sifat saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza dari segi agama dan kepercayaan. Khasnya kepada umat Islam diwajibkan menghormati penganut agama lain, ini adalah ajaran Al Quran seperti mana dalam surah, Al-An’aam ayat 108: “Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” Amat jelas Islam menolak prinsip yang tidak toleransi dalam kehidupan bermasyarakat. Allah SWT menciptakan umat manusia bagi menghuni seluruh permukaan bumi dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama serta etnik. Oleh yang demikian Allah SWT juga mengajarkan konsep toleransi dengan tujuan agar keharmonian wujud dalam kalangan umat manusia. Ayat berkenaan menjelaskan bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan Islam. Jika umat Islam mencemuh atau mengejek masyarakat berlainan agama akan mendorong mereka membalas penghinaan tersebut dan hal ini Allah SWT tidak membenarkannya, inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam. Berbuat baik arahan Tuhan Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berlainan akidah sekalipun. Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, namum kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Islam adalah agama yang sempurna kerana tidak hanya mengajarkan hubungan manusia dengan Allah SWT malahan juga mengajarkan bagaimana umat Islam hidup dalam bermasyarakat. Agama Islam sentiasa menganjurkan kebaikan dan kedamaian, agama Islam mewajibkan umatnya agar memiliki dan mempraktikkan sikap toleransi dalam menyikapi perbezaan antara sesama manusia. Dalam konteks negara Malaysia, yang merupakan negara yang dihuni oleh bangsa majmuk dengan berbagai macam agama dan budaya. Oleh itu sebagai umat Islam dengan ajaran yang jelas, berusahalah melaksanakan perintah Al Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. agar dapat diwujudkan masyarakat dengan kehidupan yang harmoni hasil dari toleransi terhadap umat beragama lainnya. Dalam menjalin interaksi antara pelbagai bangsa dan agama, samada dalam bentuk ekonomi, politik, kebudayaan, agama dan lain-lain aspek kehidupan adalah perlu menjadi keutamaan agar terbentuk hubungan yang baik dan saling menguntungkan sesama umat manusia dalam suasana penuh kedamaian. Kepelbagaian diiktiraf Kepelbagaian masyarakat yang berupa perbezaan suku, bangsa, bahasa, adat istiadat merupakan fitrah manusia itu sendiri yang ditentukan oleh penciptanya, seperti yang difirmankan Allah swt dalam surat al-Hujurat ayat 13 yang berbunyi : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikanmu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”. Dalam ayat ini seruan tidak dikhususkan kepada “wahai oran mukmin ataupun wahai orang yang beriman”, ianya cukup berbentuk umum iaitu umat manusia. Tidak ada seruan agar sesama umat manusia bermusuhan sebaliknya perhatikan dalam ayat yang sama terkandung, “Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu”. Ini adalah satu perintah dari sang pencipta supaya umat manusia berlumba-lumba berbuat kebaikan. Bukan di kalangan umat Islam tetapi di kalangan umat manusia, orang yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang bertakwa kepadaNya. Takwa Salah satu sifat orang yang bertakwa ialah sentiasa berusaha agar tidak menyakiti orang lain dan sentiasa berbuat kebaikan agar sentiasa mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah SWT. Dalam mencapai matlamat di atas, Nabi Muhammad S.A.W. telah memberikan contoh terbaik. Jadikanlah pesanan dan cara hidup Nabi Muhmaad SAW yang secara keseluruhannya berpandukan ajaran Al Quran sebagai panduan. Jika ini dapat dilaksanakan, umat Islam akan menjadi umat yang terhormat di muka bumi ini. Rasululullah S.A.W. pernah bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. adalah orang yang sukakan berselisih dan bergaduh.” Dalam kesempatan lain Nabi Muhammad S.A.W. juga bersabda, “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan”- (Riwayat Abu Daud). Nabi Muhammad S.A.W. sentiasa berbuat baik kepada mereka yang bukan beragama Islam, berkaitan hal ini terdapat banyak kisah-kisah dalam kehidupan dan pesanan-pesanan suci Nabi Muhammad S.A.W. kepada umat Islam. Nabi Muhammad S.A.W. memerintahkan umat Islam, “Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Darimi). Hadis Nabi Dalam hadis ini Nabi Muhammad S.A.W. tidak mengatakan “Pergaulilah kaum muslimin, atau orang-orang yang shalih, atau orang-orang yang mengerjakan shalat”, akan tetapi beliau mengatakan “Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik”. Maksudnya adalah semua manusia, yang kafir, yang Muslim, yang mushlih (yang melakukan perbaikan), yang faajir (jahat) dan yang salih, sebagai bentuk keluasan rahmat dan kelengkapannya dengan akhlak din (agama). Demikianlah di antara contoh-contoh yang baik dari kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Nabi S.A.W mempunyai jiran seorang Yahudi, jiran ini sering menyakiti Nabi S.A.W. Suatu ketika, Nabi S.A.W. mengetahui bahwa orang yang selalu menyakitinya ini memiliki seorang anak yang sedang sakit dan nazak. Maka Nabi S.A.W. datang berkunjung ke rumahnya dan mengajaknya menuju jalan Rabb-nya, dengan harapan semoga Allah memberikan petunjuk dan memperbaiki keadaan orang ini. Ini jelas menunjukan Nabi S.A.W. tidak pernah menaruh dendam malahan membalas keburukan dengan kebaikan, meskipun terhadap orang kafir. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda kepada si anak, sementara bapaknya juga ada bersama mereka, “Wahai bocah, katakanlah laa ilaaha illallah, itu akan menyelamatkanmu dari api neraka”. Mendengar seruan ini, si anak memandang ke arah bapanya dan memperhatikannya. Nabi Muhammad S.A.W. mengulangi lagi. “Wahai bocah, katakanlah laa ilaaha illallah!” Si anak memandang ke arah bapanya lagi. Pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. memberi hormat dengan berdiri apabila jenazah seorang Yahudi dibawa lalu di hadapan Nabi Muhammad S.A.W. Kemudian ada seorang sahabat bertanya : Wahai Rasulullah S.A.W., sesungguhnya itu adalah jenazah seorang Yahudi. Baginda bertanya: Bukankah dia manusia juga?” Dalam hidup berjiran Nabi Muhammad S.A.W. amat menghormati dan mengasihi jiran tetangganya dan beliau pernah bersabda, “Jibril selalu berwasiat kepadaku tentang perihal jiran, sehingga aku menyangka bahawa ia akan menjadikan jiran sebagai salah satu pihak yang berhak mendapatkan bahagian warisan.” Isu hangat diperbincangkan akhir-akhir ini ialah tentang larangan menggunakan nama ALLAH oleh non-muslim sehingga membawa kepada rampasan kitab Injil oleh pihak berkuasa agama. Tindakan seperti ini telah menyalahi cara hidup yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. agar jangan menyakiti orang yang bukan beragama Islam. Namun tindakan yang diambil oleh kerajaan Negeri Selangor dengan mengembalikan kitab tersebut kepada pemiliknya adalah satu tindakan yang wajar. Diharapkan mereka yang bukan beragama Islam mampu berfikir secara waras dan tidak tegesa-gesa menisbahkan bahawa larangan menggunakan nama Allah adalah ajaran agama Islam sehingga umat lain memandang serong serta terbit rasa kebencian terhadap agama Islam dan juga umat Islam. Saranan ulama Dalam menanggapi permasalahan ini penulis selitkan pandangan bernas dari Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin (sumber: http://drmaza.com/home/?p=931#):
- “Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?”.
- Nabi S.A.W ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi S.A.W. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi S.A.W : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.