ISMA, jangan hentam keromo

kecaman yang dibuat oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) terhadap Projek Dialog dengan rasa amat hairan. Kecaman ISMA ini telah dimuatkan dalam satu laporan di laman web ISMA bertarikh 10 April 2014 bertajuk “Projek Dialog Penentang Identiti Kebangsaan”. Latar Kecaman yang dikeluarkan oleh ISMA ini dibuat hanya berasaskan beberapa teks ringkas yang dipetik daripada akaun media sosial twitter Projek Dialog. Antara kenyataan yang dikeluarkan termasuklah Projek Dialog menentang Identiti Kebangsaan yang diambil daripada Perlembagaan Persekutuan serta mengaitkan dengan kedudukan Islam, Melayu dan Institusi Diraja di Malaysia. Projek Dialog menganggap laporan yang dikeluarkan ini sebagai suatu tindakan yang terburu-buru tanpa usul periksa. ISMA sepatutnya memahami dan mendalami isu yang dibangkitkan dahulu sebelum mengeluarkan kecaman terhadap kami. Penjelasan dan respon Kami mengambil kesempatan disebalik kekeliruan ISMA ini untuk menjelaskan beberapa perkara berkaitan Projek Dialog serta penilaian wacana identiti nasional yang kami bangkitkan semula ini. Pertama sekali, Projek Dialog bukanlah suatu entity atau organisasi (seperti ISMA) yang mempunyai agenda tersendiri yang menyokong kepentingan golongan tertentu secara eksklusif dan meminggirkan segelintir golongan lain dI Malaysia hingga mengundang perselisihan dalam masyarakat yang berkepelbagaian ini. Projek Dialog sebenarnya merupakan satu platform yang dibentuk bertujuan membuka wacana-wacana baru secara kritikal yang kami lihat perlu ditimbulkan, dibahaskan serta didebatkan atas kepentingan mengiktiraf kekayaan idea dan budaya masyarakat Malaysia yang berkepelbagaian. Atas dasar ini, sememangnya Projek Dialog menggunakan kaedah yang kritis dalam merungkai persoalan-persoalan penting terhadap pelbagai wacana yang mempunyai kepentingan umum kepada masyarakat Malaysia termasuk berkenaan Agama, hubungan antara kaum, serta pembinaan Negara. Kami juga melihat kecaman ISMA ini dibuat tanpa usul periksa yang mendalam. Teks ringkas di laman Twitter Projek Dialog yang dipetik ISMA itu merupakan laporan ringkas hasil perbincangan dalam forum “Penilaian Kritikal Bangsa Malaysia”, di mana peserta yang terlibat dalam program ini sama-sama memberi pandangan dan penilaian konsep identiti nasional, Bangsa Malaysia, pencapaiannya dan juga permasalahannya sejak diperkenalkan pada tahun 1991. Perbincangan ini melibatkan penyertaan anak-anak muda daripada pelbagai latarbelakang dan organisasi termasuk ABIM, Lawyers for Liberty, Komuniti Orang Asli dan lain-lain kumpulan yang melambangkan kepelbagaian masyarakat Malaysia. Sememangnya perbezaan pandangan timbul dalam perbincangan ini, namun sebagai warga Malaysia yang matang, perbezaan tidak semestinya perlu dilihat sebagai satu permasalahan tapi sebagai satu peluang untuk kita memahami realiti perbezaan pendapat dalam masyarakat Malaysia yang rencam dengan pengharapan, pertemuan antara kumpulan berbeza akan dapat meningkatkan persefahaman dalam menghadapi isu-isu kompleks yang timbul dalam masyarakat kita. Perbincangan ini jauh sekali daripada budaya hentam-menghentam pihak yang berbeza seperti yang sering dilakukan oleh beberapa organisasi lain termasuklah ISMA. Fahami Perlembagaan Persekutuan dengan betul Laporan yang sama turut memetik kenyataan Naib Presiden I ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni yang berpandangan secara ‘hakikatnya’, “Perlembagaan Negara adalah identiti kebangsaan Negara yang merangkumi Islam, Melayu dan Institusi Raja”. Kami merasakan terdapatnya permasalahan dalam memahami konsep identiti nasional daripada kenyataan ini. Meletakkan Perlembagaan Negara sebagai asas identiti nasional melalui sudut pandang ISMA ini perlu dipersoalkan. Kami melihat Perlembagaan Negara merupakan suatu dokumen perundangan tertinggi yang mempunyai legitimasi dan perlu diakui semua warganegara yang bernaung di bawah institusi kenegaraan di Malaysia. Namun, ini jauh sekali daripada memberi definisi khusus terhadap identiti nasional seperti yang dihujahkan ISMA. Malah, tiada ketetapan yang jelas dalam Perlembagaan Negara khusus berkenaan identiti nasional dan ini dapat difahami kerana bukanlah tujuan Perlembagaan itu dibuat untuk menetapkan identiti suatu warganegara. Persoalan yang penting untuk kita fahami berkenaan konsep identiti nasional, di mana subjek yang menjadi tumpuan ialah warga (orang/ masyarakat/ rakyat) dan bukan Negara (state/ struktur/ sistem). Oleh itu, wacana identiti nasional perlulah berasaskan gagasan yang boleh diterima keseluruhan masyarakat Malaysia dengan mengambil kira arah dan kepentingan bersama. Atas sebab ini, penilaian semula perlu dibuat terhadap konsep Bangsa Malaysia yang menjadi salah satu elemen penting dalam Wawasan 2020 yang diperkenalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 1991:

“..membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, hak dan keadilan, dan membentuk sebuah ‘Bangsa Malaysia’ dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”

Pernyataan di atas jelas menunjukkan gagasan identiti nasional yang dicita-citakan dengan hasrat membina perpaduan dan keharmonian warga Malaysia, dan bukanlah hanya satu cedokan simplistik Perlembagaan seperti yang difahami ISMA.

Namun, apa yang ketara mutakhir ini ialah agenda Bangsa Malaysia seakan-akan tidak Berjaya atau telah digagalkan dengan berkembangnya organisasi-organisasi yang begitu giat memperjuangkan agenda yang hanya eksklusif kepada golongan tertentu (seperti ISMA) tanpa usaha meningkatkan integrasi sesama warga Malaysia kepada satu identiti Bangsa Malaysia yang bersepadu. Isma berhujah secara selektif Satu perkara lagi berkenaan kenyataan ISMA yang berhujah secara selektif dalam memahami Perlembagaan dengan hanya mengambil kira kedudukan Islam, Melayu dan Institusi diRaja. Sedangkan terdapat banyak lagi perkara penting di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya di bawah Perkara 5 – 13, berkenaan hak-hak asas bertemakan kebebasan, kesamarataan dan kepelbagaian, yang selayaknya diberi pertimbangan kalaupun hendak menjadikan Perlembagaan sebagai asas pembentukan identiti nasional. Malah kami merasakan ISMA memahami Perlembagaan Persekutuan dengan begitu sempit tanpa dinamika untuk disesuaikan dengan perkembangan zaman, seakan-akan ianya suatu dokumen yang sakral, sempurna dan tidak berubah. Seperti membandingkan Perlembagaan ini dengan kitab  suci Al-Quran pula. Sedangkan Perlembagaan Malaysia yang kita warisi kini asalnya dibentuk melalui perangkaan British sebelum Kemerdekaan Malaya lagi pada tahun 1957, dan sejak itu telah mengalami perubahan dengan lebih 600 pindaan telah dibuat sehingga ke hari ini. Kami tidak melihat terdapatnya sebarang permasalahan untuk menilai kembali Perlembagaan Persekutuan dengan tumpuan mencipta idealisme yang kukuh berhadapan realiti semasa hari ini untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara bangsa yang berjaya. Kunjungilah forum Projek Dialog yang akan datang Akhir kata, kami menyeru ISMA supaya lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan atau laporan terutamanya yang berbentuk kecaman terhadap pihak lain. Namun bagi kami, usaha untuk menggalakkan dialog dalam membincangkan pelbagai isu untuk kepentingan Negara perlu diteruskan. Kami mengambil peluang ini untuk mengajak ISMA untuk turut serta dalam program-program Projek Dialog yang akan datang supaya dapat meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian dan wacana kritis di Malaysia.         unnamed ]]>